Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

56 Akad Khairul

"Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berpikir."

QS Ar-Rum: 21

"Mimpi pasal seorang lelaki yang mengaku hantar santau pada kau..." Mahfuz meringkaskan penceritaan tetamunya. Sunyi rumah pengajian setelah sesi pembelajaran di waktu asar berakhir. Di ruangan pejabat yang berpendingin hawa, Khairul dan Haji Daud berlabuh seketika.

Khairul mengangguk. "Mimpi tu datang beberapa kali. Buat aku tak senang duduk selagi tak jumpa Azzam."

Lihatlah pada raut lelaki itu, gayanya yang berkerut dahi, pandangan yang kejap ke sana sini menyatakan kebimbangan. Tiada siapa tahu dalang di sebalik kiriman ilmu hitam ke atas Khairul. Mimpinya juga masih belum tentu benar untuk terus mencekup Azzam sebagai pelaku.

"Dah pergi rumahnya?" soal Mahfuz tenang.

"Baru je tadi. Tapi ibu dia kata... Azzam dah lama menghilangkan diri tanpa jejak. Tapi aku rasa Azzam ada sahaja berdekatan kita."

"Macam ni lah, kau pulang ke rumah. Tenangkan fikiran dulu," balas Mahfuz. 

"Aku risau," bisik Khairul pula. Sejak memiliki insan tercinta, dia mula mempunyai kebimbangan sebegini.

"Pulang ke rumah, rehatkan diri. Jangan beratkan fikiran macam ni. Bila kau akan bernikah?"

"Minggu depan."

"Aku sendiri akan ke rumah Azzam esok lusa. Kalau ada apa-apa berita, aku akan sampaikan kepada kau secepat mungkin."

Haji Daud di sebelah menzahirkan kebimbangan yang sama. Cuma tidak terungkap pada raut wajah. Dia tahu episod kehidupan sebelum ini agak mencabar buat mereka sekeluarga. Entah apa lagi yang bakal menimpa. Nafas halus dihela lelaki tua itu sebelum senyuman nipis terukir di bibir. "Khairul, kita balik dan rehat. Insya Allah, Allah akan lindungi kita sekeluarga."

Khairul menjatuhkan pandangan ke lantai. Seperti masih tidak berpuas hati selagi tiada kata putus. Dia benci hidup dalam berteka teki.

Mahfuz tersenyum juga. Melihat pada langit senja, keadaan petang yang tidak terduga menambahkan rasa. Tidak jangka lelaki yang kejam dan zalim dikurniakan hidayah dalam sekelip mata.

"Alya dan Zara mesti tengah tunggu di rumah. Ada baiknya kau bermalam di rumah aku malam ni. Mesti Zara gembira." Haji Daud menepuk bahu bakal menantunya. Orang tua itu berpura-ura hendak beredar dengan harapan Khairul tidak terlalu membebani bahu sendiri dengan timbunan masalah lagi.

Akhirnya, Khairul meleraikan wajah kusut. Mata dipejamkan seketika.  "Mahfuz, terima kasih."

Kalimat itu dilantunkan lalu dia bangkit berdiri disusuli Haji Daud.

"Maaflah tak hidang apa-apa." Mahfuz mengusap belakang leher. Tetamunya sudah hendak pulang. Mereka cuma membincangkan masalah sahaja, langsung terlupa untuk memberikan penyejuk anak tekak.

"Kalau ada apa-apa, beritahu aku," kata Khairul Iddin. Dia berjabat tangan dengan ustaz muda di hadapannya.

"Ya, Khairul. Kita kawan, bukan? Aku akan cuba leraikan masalah kau yang ini."

Balasan Mahfuz yang sebegini menyentakkan hati beku anak tunggal Dato Muhsin. Khairul hilang kata tatkala dianggap sebagai 'kawan'. Dia tidak membalas apa-apa.

Untung jika siapa mempunyai sahabat seperti Mahfuz. Jika benar Mahfuz mahu berkawan dengannya, itu merupakan satu hadiah kiriman Tuhan yang terlebih pemurah. Khairul sendiri bingung apa yang dia lakukan hingga diberikan nikmat-nikmat ini.

***

Seminggu berlalu tanpa perkhabaran daripada lelaki bernama Azzam. Sungguh masa memintas dengan pantas dan membawa pergi sarat di dada Khairul Iddin.

Bayi kecilnya sengaja hendak didakap pagi itu. Dia memencilkan mata, mengamati raut si kecil yang kemerahan. Mata almond ini tidak terbiasa diterangi cahaya, maka Khairul akan lindungi wajah ini di sebalik dadanya. Senang berada dalam dakapan Khairul, Zahra tidak banyak merengek biarpun terpaksa berada di luar bilik di awal pagi. Selimut putih membaluti tubuh itu, menambahkan lagi kehangatan ke tahap optimum.

"Zara nak teman papa akad nikah hari ni?" Khairul membisik sambil membaiki baju putih vanilla yang tersarung di tubuh puterinya. Dia yang sendirian di kamar persalinan tidak terganggu dengan segala persiapan di luar dewan. Meskipun bakal terlangsungnya akad nikah buat kali pertama, Khairul tidak gelabah. Mungkin kerana dia telah lama memasukkan diri ke dalam keluarga kecil ini. Alya pun sudah dianggap sebagai peneman jiwa. Tenang berduaan bersama-sama Fatimah Azzahra. Pantulan cermin memantulkan satu figura seorang lelaki berbaju Melayu putih yang sedang mengendong bayi perempuan berusia dua bulan lebih. Rambut hitam lebat yang Fatimah Azzahra miliki tak ubah seperti Khairul.

Belakang tubuh bayi itu dielus perlahan. Kain napkin di tangan dibawa ke bibir si kecil bagi mengelap lendiran susu yang terkeluar dari mulut merah jambu berkenaan.

"Papa nak kahwin hari ni," kata Khairul sendirian.

"Nanti kita bina hidup baru sama-sama... Kita beli banyak mainan.. Kita cat bilik ikut warna yang Zara suka... Kita tunggu mama lahirkan adik baru. Zara nak adik?" Pemuda itu ketawa sendirian, menyedari bahawa bayi itu tidak akan mampu menjawab soalannya. Mana mungkin puteri papa seorang ini sudah boleh bersuara, yang dia tahu hanyalah merengek sahaja. Terutama sekali ketika lapar.

Pucuk hidung Fatimah Azzahra dikucup Khairul. Dia jadi obses dengan kecomelan anak sendiri. Mahu dicium di setiap pelusuk kecomelan Zahra, terutama sekali di kedua pipi yang berona merah. Merah bak tomato, seperti Alya yang malu tatkala disakat Khairul.

Tok tok

"Tuan dah siap?" Seseorang di muka pintu mengintai keberadaan Khairul Iddin di bilik persalinan.

"Dah nak mula ke?" Khairul mengangkat kepala. Tangan Fatimah Azzahra terkapai-kapai di udara, sedang menenyeh mata sendiri. Rasa kantuk si kecil dilayar pergi dengan tingkah bapanya yang asyik mahu bersembang.

"Ya, tuan. Lagi 15 minit."

"Okay," akur Khairul.

***

Sentiasa dalam diri setiap jiwa mahu berjumpa dengan insan yang teristimewa kiriman Tuhan. Cuma tidak pasti siapa insan itu sepanjang perjalanan penuh onak ranjau kehidupan.

Detik ini.

Alya mula percaya, jodohnya dengan lelaki asing itu. Biarpun pertemuan mereka sangat menyedihkan. Malah masing-masing tak mahu bersua muka untuk pertemuan kali kedua dan ketiga. Hati yang sabar demi menuai hasil, akan dikurniakan nikmat di kemudian hari.

Baik bagi Khairul, mengira pencariannya telah berakhir. Detik bahagia itu akan hadir.

Yang terlihat ini anugerah baginya.

Bibir melafazkan akad terindah untuk didengari seorang gadis yang mahu membina hidup bersama-samanya. Utuh tangan Haji Daud berjabat, Khairul telah berjaya menggarap kepercayaan orang tua ini.

Jika cinta dapat dilukiskan, ia kan penuh dengan garis pengharapan. Yang tidak terlihat oleh sesiapa melainkan hati yang merasainya. Antara dua jiwa, cinta itu akan terus mekar mewarnai kelam kehidupan.

Dua jiwa disatukan dalam majlis. Semua hadirin mengangkat tangan bagi mengaminkan doa pimpinan Haji Daud. Tetamu pada pagi itu tidak terlampau banyak. Rata-ratanya hanyalah kenalan kedua-dua orang tua mereka. Khairul tidak punya ramai kawan, begitu jua Alya. Ujian yang menimpa hidup mereka telah memisahkan kehidupan lama.

Merah inai dijari terhias pada kulit putih Alya. Sejuk hujung jarinya menadah tangan, mengaminkan doa. Terkadang ekor mata melihat sisi profil Khairul, lalu mulalah senyuman terukir bahagia. Dia mampu jatuh cinta dengan lelaki ini buat ke sekian kali.

Liur ditelan kesat. Sedar-sedar sahaja lelaki asing itu berjalan ke arahnya. Dia kaku dan terpaku. Bingung hendak membuat apa. Hinggalah orang di sebelah mengatakan bahawa Khairul Iddin akan menyarungkan jari kepadanya, barulah gadis itu tercampak semula ke realiti.

"Berangan?" bisik Khairul selamba. Mujur sahaja tiada siapa yang mendengar.

Alya menunduk segan. Dia benci terpinga-pinga begini. Dalam debaran dada, tangan kanan dihulurkan. Sejak semalam, Khairul langsung tidak menghubunginya. Seperti sengaja membiarkan detik berlalu hingga saat diijab kabulkan. Melihat tangan lelaki sawo matang itu menyambut tangan kecilnya, Alya tersenyum nipis. Ada elusan pada kekura tangan, diiringi redup pandangan yang terarah benar-benar ke mukanya.

"Kenapa menangis?" soal Khairul tenang. Lipatan tisu di genggaman Alya diambilnya. Diseka butiran mutiara itu, sambil sebelah tangan terus mengusap kekura tangan isteri halalnya bagi menenangkan si gadis. Tak eloklah sudah cantik begini hendak menangis pula.

Sungguh Alya tidak sedar dia melinangkan air mata bersama-sama senyuman.

"Dah?" Khairul mahu Alya benar-benar selesa. Tidak terlalu segan atau pun tertekan.

Sebentuk cincin emas putih disarungkan pada jari manis. Lelaki itu menyimpulkan senyuman ikhlas. Dipandang lama akan wajah si isteri. Dari kedua mata hingga ulas bibir, semuanya mempersona. Mulai saat ini, Khairul akan mabuk cinta pada seorang gadis kejaran. Dia rela berada di riba Alya di kala hidup menghimpit, hingga ke hari tua. Wajah ini yang akan dipandang, tiada lagi gadis lain.

"Sejujurnya, saya dah lama sayangkan awak," kata Khairul. Perbualan kecil yang hanya didengari mereka berdua. "Awak sayang saya?"

Kedua mata Alya membulat. Terlihat mata coklatnya dengan jelas. Dia jadi malu.

"Jawab." Khairul masih tidak melepaskan tangan Alya. Biar gadis itu terperangkap di tengah-tengah orang ramai yang menyaksikan sesi menyarung cincin.

"Sayang," bisik Alya mahu tidak mahu. Dia buntu seketika. Sekali lagi, akalnya mati. Lelaki itu teramat pandai membuat gelora perasaan membadai di dada.

"Saya tak dengar jawapan awak. Nanti malam ni saya tanya lagi," lelaki itu berkata.

Ibarat sengaja hendak buat Alya berdebar-debar.  Masih tangan tidak dilepaskan, malah Khairul memimpin gadis itu untuk melangkah berhati-hati. Kemas genggamannya membaluti. Tak mahu sedikit pun Alya tersalah langkah.

Perkenalan singkat mereka memberikan Khairul gambaran tentang bagaimana kehidupannya bersama gadis ini. Ketika berdua, kebiasaannya Alya akan melakukan kesilapan remeh. Barangkali kerana terlalu segan dan malu pada Khairul Iddin. Maka, pada hari persandingan Khairul akan memastikan tiada kesilapan berlaku. Dia mahu menjaga Alya dan menjadi bahu tuk bersandar. Pelindung gadis ini, yang telah banyak menitiskan air mata.

"Tengok mama tu..." Khairul berbisik di sebelah. Dua pasangan yang sama padan berlabuh di atas tempat duduk persandingan. Indah dipandang, segalanya putih suci. Bertebaran kuntuman mawar putih sebagai hiasan tabir.

Alya memandang ibu mertuanya dari jauh.

"Mama menangis," sambung Khairul.

"Kenapa?" tanya Alya.

Hujung kening yang tidak gatal digaru Khairul. "Mungkin dia ingat anak lelaki dia dah tak sayang dia. Entahlah... Mama dah lama kahwin dengan papa, biarlah anak dia nak kahwin pula, kan? Mana aci kalau mama saja yang kahwin."

Ketawa kecil Alya berbunyi. "Apa awak ni." Ada-ada sahaja perbualan yang diguna pakai untuk menyelesakan Alya. Alya memandang ke sebelah. Tangan Khairul ibarat sudah digam pada tangannya, sungguh Alya pun tidak berniat hendak meleraikan. Rasa selamat membaluti jiwa.

"Kenapa baju awak comot?" Mata Alya tertancap pada bahu Khairul Iddin.

"Anak awaklah muntah. Tak nak kasi saya tinggalkan dia." Lelaki itu menunduk. Tercari-cari kesan muntahan Fatimah Azzahra. Bukanlah kotoran itu yang dicari, Khairul malah menyambungkan mata. Biar mereka saling bertatapan, biar hangat rasa kasih menjalar ke segenap ruang di hati

Nampaknya hari ini merupakan hari yang mana Alya akan tersenyum hingga matahari terbenam. Betapa kasih Khairul kepadanya akan bercambah. Semakin dicantas, semakin itu kan bertunas. Dan siapalah dia untuk menolak cinta yang hadir di jiwa tanpa dipaksa. Rasa cinta itu fitrah manusia, juga anugerah terindah.

***
votexkomen
***

lama tak update, maaf! busy life made me that way :( Tapi gembira tengok Khairul dan Alya!



Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro