Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

54 Butik

"Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berpikir."

QS Ar-Rum: 21

Ketukan pintu bilik pejabat menarik Khairul Iddin untuk melangutkan pandangan. Dia memberhentikan taipan di atas kekunci komputer riba. Sudah senja melewati, kan bertemu tebaran malam hari. Dia masih di situ, cuba menyiapkan sesuatu. Hanya berseorangan tiada berteman. Dalam pakaian kerja yang biasa disarungkan, pemuda itu melangkah ke muka pintu. Dia menggeliat kecil dek kepenatan.

Sebelum memulas tombol pintu, sempat mulut sekadar bertanya. "Siapa tu?"

Sebaik sahaja daun pintu terkuak, seorang lelaki yang sedang menekur kelihatan. Khairul melepaskan pegangan tombol, matanya melihat susuk tubuh yang kini berdiri terpacak di hadapannya.

"Kau datang sini nak apa?" soal pemuda tinggi lampai itu. Sekian lama tidak melihat wajah abang Lia, tiba-tiba sahaja petangnya bersua dengan lelaki mata duitan tersebut. Khairul sudah berpura-ura hendak mengeluarkan dompet. Barangkali Azzam ke mari kerana wang tempoh hari telah habis dibelanjakan.

Azzam diam tanpa mengeluarkan sebarang patah kata-kata. Sepi keadaan itu meninggalkan syak wasangka pada Khairul. Khairul cuba mengintai wajah yang tertunduk itu.

"Kenapa dengan kau ni?" soal Khairul. Bahu Azzam dipegangnya. Bikin hairan sahaja menapak ke pejabat orang di waktu maghrib.

"Aku minta maaf," bilang Azzam.

"Kenapa?"

"Aku hantar santau pada kau..."

Pada waktu itu, Khairul tidak tahu mahu menjawab apa. Maka dia memilih untuk mengetap kedua-dua ulas bibir. Tangan ditarik ke saku seluar. Sama ada hendak marah ataupun terkejut pun pemuda berkenaan tidak tahu.

Sakit dibelenggu sihir asyik menghantuinya. Cuma kini kesakitan itu reda, berkat doa orang sekelilingnya Nafas dalam ditarik Khairul. Tak ramai tahu dia sakit kerana sihir. Lama menyepi selama beberapa bulan tanpa khabar. Hanya orang terdekat sahaja diberitahu tentang keadaan Khairul yang pernah tenat pada bulan lalu. Mustahil Azzam maklum mengenai santau melainkan pengakuan yang dibuat pada petang itu adalah sebuah kebenaran.

"Apa yang aku dah buat pada kau?" balas Khairul.

Azzam mengangkat wajah.

Wajah yang penuh dengan comotan darah. Bibirnya mengalirkan darah merah pekat ke dagu. Ada sesuatu bergerak-bergerak tersemat di dalam kulit mukanya, sedang memamah isi seorang manusia yang telah melakukan perbuatan mungkar. Ulat sampah berwarna putih itu terlalu banyak tidak terkira.

Bau bangkai dan hanyir saling berganti memenuhi atmosfera.

Khairul menapak ke belakang. Dia tidak boleh menahan bau busuk itu. Lampu di koridor menyuluh susuk tubuh Azzam yang sudah kurus tidak seperti dahulu. Wajahnya yang mengerikan tidak mampu dipandang Khairul lama-lama. Cairan lendir di rongga mulut dan mata menjadi tatapan.

Peluh merenik di ruas dahi. Jantung berdegupan di luar kebiasaan. Khairul bangkit daripada lenanya dengan mata yang membulat. Dia menoleh ke sekeliling, sendirian sahaja di kamar tidur.

Wajah diraup lelaki tidak berbaju itu. Bau dan segala gambaran kedatangan Azzam seakan-akan benar. Dia memejamkan mata lemah. Pelipis diurut perlahan dengan jari telunjuk. Terbaringlah kembali tubuhnya ke atas katil yang empuk. Memikirkan keanehan alam mimpi yang seolah-olah sedang menjawab pertanyaannya selama ini.

Siang dan malam, Khairul sering tertanya-tanya siapakah dalang di sebalik kerja jahat ini. Baru kini jawapan terungkap jelas.

Bila matahari menampakkan diri, Khairul bercadang mahu mencari lelaki itu bagi mensahihkan petunjuk mimpinya. Lebih baik dia mengatupkan mata di waktu itu dan kembali berehat. Biarkan sahaja mimpinya tergantung seketika.

***

Haji Daud pun mendiamkan diri seketika. Bunyi cawan kaca ditelangkupkan mengisi benak perbincangan. Hajah Norma sedang menghidangkan minuman buat tetamu yakni bakal menantu mereka juga.

"Hari ni kan nak bawa Alya pergi butik pengantin?" Wanita itu memandang Khairul. Dia tidak tahu apa isi perbincangan yang kelihatan serius berkenaan. Namun, jika diikutkan tarikh pada hari inilah sepatutnya Alya dibawa untuk mencuba beberapa helai baju nikah bersama-sama Datin Farina. Beberapa persiapan majlis sedang dibuat.

"Ya," balas Khairul lalu menyelesakan kedudukan di atas kerusi.

"Takpalah Khairul... Pergi cuba baju untuk akad nikah dulu. Pasal mimpi tu... Nanti biar aku cuba carikan khabar Azzam. Azzam tu budak kampung ni juga, mesti penduduk setempat tahu ke mana dia pergi." Haji Daud menyedapkan hati pemuda di hadapannya ini.

"Pak cik nak ikut sekali pergi bandar?"

"Tak. Aku nak cari Azzam dahulu."

"Tak payahlah... Kita kena keluar sama-sama hari ni. Saya pun nak belikan pak cik dan mak cik baju baru. Soal Azzam tu kita letak tepi dahulu," kata Khairul pula. Pasti Datin Farina telah menunggu mereka semua di pekan. Secawan teh diambilnya.

"Kau betul sayangkan Alya?"

"Ya." Khairul yang baru hendak merapatkan bibir ke cawan terhenti. Mata Haji Daud sedang menikamnya seperti kebiasaan. Susah juga mahu mengambil kepercayaan seorang ayah kepada satu-satunya bunga di dalam rumah.

Orang tua itu pun mengangguk perlahan seraya mengambil hidangan air jua. "Jagalah Alya elok-elok nanti. Aku tak nak tengok dia bersedih lagi. Dia budak yang kuat... kuat nak mengandung dan lahirkan anak tanpa suami di sisi. Tapi lambat laun dia akan penat juga. Kau lah yang akan jadi penguat dia."

"Saya akan jaga dia." Sudah jauh melangkah dalam suratan takdir. Takkanlah dia mahu buat main sahaja pada janji yang termeterai. Banyak perkara telah menyedarkan Khairul sendiri tentang hakikat kehidupan.

Hujan menitis ke bumi bukanlah disengajakan. Namun, buat hati ini bertenang.

Di sisi, terdapat satu beg kertas di sisi. Di dalamnya terdapat pengendong bayi yang sengaja Khairul membelinya semata-mata untuk outing pertama kali dengan Zahra. Diikutkan dalam perancangan, hari ni adalah hari di mana Khairul dan Alya perlu ke butik pengantin bagi memilih persalinan di hari pernikahan dan persandingan. Pasti itu akan jadi sebuah hari yang panjang. Maka, Khairul sudah bersedia mahu menggendong bayinya.

Tidak lama selepas itu, Alya dan Hajah Norma menapak ke ruang tamu. Kelihatan kedua-dua mereka telah siap bertudung litup mahu ke pekan pagi itu.

Senyuman nipis terhias di bibir Khairul Iddin. Dengan rela hati, dia mendekati Alya. "Dah siap?"

Dilihat gadis itu dari hujung kepala hingga ke kaki. Tidak silap, inilah baju yang pernah dihadiahkan dahulu ketika Alya sedang sarat mengandungkan puterinya. Entah mengapa, setelah melahirkan sekecil ini Khairul mendapati Alya semakin menawan hari demi hari. Meskipun dia tahu Alya bukanlah gadis pilihannya di tempat pertama, namun biarlah dia menjadi yang terakhir.

"Dah," jawab Alya yang sedang mendukung tubuh genit Fatimah Azzahra.

"Biar saya yang bawa Zahra. Hari ni awak rehatlah," pelawa Khairul. Perbualan kecil mereka berdua diperhatikan Haji Daud dari belakang sana.

Alya mengelus kepala anak kecilnya yang masih segan hendak membuka mata di dini hari.

"Saya ada bawa baby carrier," tambah Khairul lagi seraya mengambil isi beg kertas yang sejak tadi dibiarkan di atas kerusi.

"Siapa nak memandu kalau kau dukung baby?" Haji Daud bertanya pada pemuda tinggi lampai itu.

"Hari ni saya mintakan driver bawa kereta. Ada tu pekerja saya dekat luar sana," jawab Khairul. Satu kain pembalut berwarna merah jambu dibawa keluar. Warnanya senada dengan pakaian Fatimah Azzahra pagi itu.

Atas permintaan Khairul yang mahu menggendong puterinya, Haji Daud turut membantu pemuda itu membalutkan kain dari belakang tubuh hingga ke bahagian hadapan. Zahra dibaringkan bersandar pada dada bidang Khairul, itulah kesukaan si kecil itu; untuk berada dekat dengan degupan jantung papanya.

Alya ketawa kecil pada mulanya dek kejanggalan Khairul hendak memakai pengendong bayi. Dia hanya berdiri di tepi dan memerhatikan Haji Daud mengemaskan kain pengendong itu.

"Selesa?" soal Haji Daud.

Khairul pun menjatuhkan kepala dua kali. Tidak putus tangan mendakap badan kecil bayi perempuannya. Dia tersenyum gembira. "Pak cik dan mak cik masuklah kereta dahulu. Nanti saya turun."

Gadis yang bertudung litup itu juga hendak menyusul langkah kedua orang tua. Namun, dia terhenti kerana Khairul memanggil. Dibawa langkahnya yang berstoking mendekati lelaki berkenaan. Kening dijongketkan, hairan mengapa.

Sebelum membuka mulut, Khairul memanjangkan penglihatannya. Hendak memastikan Haji Daud telah berada jauh ke tempat parkir kereta di halaman rumah. Untuk beberapa detik itu, dia kembali menatap Alya.

Seorang gadis dalam dress berwarna hijau lembut, yang juga selendangnya sama warna bersulamkan bunga.

"Awak nampak cantik hari ni," kata Khairul. Suara garaunya kedengaran sayup, dalam kadar tak mahu Haji Daud mencuri dengar.

Automatik wajah Alya berona merah bak tomato. Dia bergegas keluar daripada rumah, membiarkan Khairul dan Zahra terpacak di ruang tamu.

***

"Mama, mama dah pilih kan ke?" Khairul  berdiri sebelah Datin Farina yang sedang terduduk di ruangan menunggu.

"Belum lagi... Baru tengok-tengok design tadi," jawab wanita itu. Mata belum menangkap tubuh kecil yang sedang digedong Khairul Iddin. Dia membelek buku katalog bagi hiasan pelamin.

"Mana Alya?" tanya Datin Farina. Sendirian sahaja anak terunanya ke mari.

"Tadi Khai bawa Haji Daud dan Hajah pergi sarapan dulu. Kesian pula kalau menunggu lama dekat sini. Nanti bila dorang dah siap makan, driver akan hantarkan ke butik ni. Alya pula... pergi tandas kedai sebelah," terang Khairul satu per satu.

Datin Farina mengangguk faham. Masih sibuk melihat setiap muka surat katalog butik. "Baby mana?"

"Ni." Khairul tersenyum sendiri. Ternyata Datin Farina tidak sedar bahwa dia sedang menggendong Zahra semenjak tadi lagi. Tangan kiri menampung sebahagian berat badan bayinya yang enak terlentok.

Terus Datin Farina mengangkat wajah. Dia bingkas berdiri dan meletakkan buku ke meja kopi. Dilihat wajah kemerahan cucunya. "Kesiannya dia tidur..."

"Mana ada. Dia lagi suka sebab Khai dukung," jawab Khairul. Membiarkan pipi puterinya dielus Datin Farina.

"Awak tu nak cuba baju pengantin. Biar mama yang dukung baby," cadang wanita itu.

"Ma... Mama tak segan Khai ada anak sebelum bernikah?" Menyedari status dia yang masih bujang, terkadang Khairul malu mahu menunjukkan muka di khalayak. Apatah lagi ingin membuat majlis persandingan.

Datin Farina tersenyum kecil. Banyak kali Dato Muhsin menasihatinya buat tidak menekan perasaan anak sendiri. Wajah Khairul yang baru hendak sihat dipandang. "Mama tak kisah. Mama cuma nak Khai bahagia."

Kuakkan pintu masuk butik menarik perhatian  kedua-dua mereka.

"Nanti kita tengok baju mana yang sesuai untuk bakal isteri Khai," kata Datin Farina. Alya sedang menapak ke arah mereka. Gadis muda itu kelihatan segan mahu bersua dengan Datin Farina. Asyik menekur sahaja.

"Alya, jom ke belakang tengok design baju," Khairul menyapa bakal isterinya. Senyuman di wajah menyelesakan kehadiran Alya. Mereka berjalan seiring bersama-sama Zahra dalam gendongan Khairul menuju ke ruangan sebelah.

Tersergam indah busana pengantin pelbagai reka bentuk. Kaki berhenti di bahagian serba putih. Turut menyambut pasangan muda itu seorang tukang jahit wanita, yakni kenalan Datin Farina. Beruntung mereka berdua kerana tidak perlu berfikir panjang. Kebanyakan persediaan akan diuruskan Datin Farina daripada aturan majlis hingga ke buah tangan tetamu.

"Saya tak tahu nak yang mana." Alya mengekori ke mana sahaja langkah Khairul.

"Saya pun tak tahu," tambah Khairul jujur. Mujur juga Zahra selesa beradu tika itu. Hembusan angin dari pendingin hawa lagi melenakan puteri Khairul dalam pelukan haba.

"Untuk badan petite macam cik puan, banyak design yang sesuai. Saya cadangkan untuk memilih rekaan yang klasik atau timeless seperti rekaan seperti baju kurung atau kebaya," kata pekerja butik.

Mereka berdua dibawa ke hadapan beberapa busana yang mempunyai potongan badan namun tidaklah terlalu menonjol. Ia akan terletak elok pada badan si pemakai.

"Mana-mana pun tetap cantik. Pilihlah yang selesa," bisik Khairul di sebelah.

Alya menarik nafas dalam. Baju buat akad nikah pun belum selesai lagi. Sehelai baju kurung Pahang yang berwarna putih bersih disentuh hujung jari. Materialnya yang lembut serta sulaman bunga menarik hati. Tergerak buat menanyakan harga pada pekerja di sebelah.

"Jangan tengok harga," Khairul membisikkan pada Alya. "Ambil saja yang mana awak berkenan. Nanti tolong pilihkan baju untuk saya sekali ya?"

Lembut pertuturan lelaki ini membuat Alya jadi segan beribu kali ganda. Tingkahnya yang asyik memeluk tubuh Zahra lagi memekarkan rasa cinta. Bukankah bayi kecil ini anak mereka berdua? Dalam tubuh itu ada darah daging Alya dan Khairul yang dikongsi bersama.

Banyak masa diluangkan bersama pada hari itu. Banyak pilihan yang harus dibuat berdua. Cair hati pada setiap layanan baik pada dirinya. Perlahan-lahan Khairul menjadi seorang lelaki idaman yang tidak pernah menjengah akal fikiran.

"Ikutkan mama ni... Nak kena shooting outdoor. Paling kurang pun kita kena pilih tiga pasang baju hari ni. Baju akad nikah, baju bersanding dan untuk shooting," gumam Khairul sambil menilik sehelai baju Melayu putih.

Senyap sahaja tiada balasan Alya. Maka dia menoleh ke sebelah.

"Awak dengar tak saya cakap apa?" soal Khairul.

Alya menggeleng perlahan. Malu. Pasti Khairul menangkap dia sedang mengelamun. Habis bicara lelaki itu berlalu laksana angin sahaja.

"Jangan usha saya lama-lama. Nanti jatuh cinta. Tunggu kahwin nanti boleh pandang lama-lama," sakat pemuda itu. Sempat mata kirinya dikenyitkan.

Berderu darah panas si gadis. Mukanya jadi tomato sekali lagi. Dia berkerut lalu menoleh ke arah lain.

"Perasan," kata Alya.

***
votexkomen
***

tengok orang bercinta ni rasa sendu pul kita




Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro