
50 Solat berjemaah
"Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berpikir."
QS Ar-Rum: 21
"Pak cik, saya dah cuba tunaikan semua syarat pak cik dalam tiga hari ni..." kata Khairul. Demamnya kebah seiring dengan hijrah yang mahu diambil. Dia datang lagi ke rumah kampung itu untuk mempersembah hasil tungkus lumus hendak berjumpa Alya dan anaknya.
" Baru tiga hari... Cukupkanlah 40 hari..," balas Haji Daud. Pemuda yang terduduk elok bertentangan dengannya dipandang. Selama tiga hari berlalu, bagaikan ada sesuatu yang tidak kena pada Khairul. Wajahnya lain, seri lelaki itu tidak seperti sebelum ini. Terpeta pada muka pemuda itu kepenatan. Lingkaran hitam di bawah mata membawa maksud dia sukar melelapkan mata di waktu malam.
"Baik, saya akan buat," akur Khairul tanpa banyak soal. Mujurlah kehadirannya mahu diterima pada hari itu. Dibuatnya kena halau sekali lagi, harapan tuk berjumpa puteri cinta hati akan semakin tipis.
"Dah belajar sampai mana?" Haji Daud sengaja hendak mensahihkan penyataan Khairul. Boleh jadi anak muda itu menipu semata-mata untuk berkahwin dengan Alya. Masih sedang melihat calon menantunya, sedang mencari sesuatu yang tidak kena.
"Pagi tadi dah habis bab aqidah. Insya Allah, malam ni nak masuk bab thaharah..." balas Khairul yang berbaju t-shirt biasa. Tangan sudah tidak bersimen namun pegerakannya masih terbatas.
"Apa maksud kalimah syahadah pertama?" Berdesup soalan cepumas diberikan. Haji Daud dan wajah tegas tidak dapat dipisahkan. Gayanya seperti ustaz sekolah yang mahu merotan anak murid andai tersalah jawapan.
"Saya baru belajar... Jadi otak saya masih ingat-ingat lupa tapi saya akan cuba jawab. Kalimah syahadah pertama maknanya aku bernaik saksi bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah. Maknanya... Allah lah Tuhan sekalian alam, Allah lah pencipta dan kita hanyalah makhluk yang diciptakan. Tak layak untuk menyembah sesiapa melainkan Allah Ta'ala... " Khairul agak gugup hendak berdepan dengan Haji Daud. Ilmunya sangatlah cetek nak dibandingkan dengan bapa Alya ini.
"Betul lah tu. Kalaulah anak kau tanya yang dikatakan, Allah ada tulang tak? Apa jawapan kau?" Soalan kedua semakin payah. Kalau tiba soalan kelima dan keenam, pastu Khairul terduduk tidak tahu hendak menjawab apa.
"Saya... Saya akan jawab... Tak boleh kata macam tu sebab Allah tidak sama dengan makhluk ciptaanNya, zat Allah lain... Ustaz saya kata, apa sahaja yang terbayang di fikiran kita Allah tidak seperti itu. Kerana kita hanya dapat membayangkan makhluk sahaja..." Peluh dingin menampakkan diri. Begitu risau kesalahan dalam pertuturan. "Maaf kalau saya salah, saya betul-betul baru belajar. Orang bodoh macam saya memang bengap nak ingat ilmu." Tertunduklah Khairul memohon maaf. Sanggup direndahkan ego demi masa hadapan anak.
"Betullah jawapan kau. Kau betul-betul bersungguh dalam dua tiga hari ni... Susah nak tinggalkan maksiat lama?" Hati Haji Daud jadi terbuka sedikit mendengar jawapan Khairul. Tegang di wajah mengendur.
"Susah...," jujur Khairul.
"Alya kata kau suka melancap dan layan video lucah. Macam mana kau nak hilangkan benda tu?" Sememangnya Khairul akan ditapis baik sebelum Alya yang dalam berpantang akan diserahkan. Anak istimewa dan Alya kedua-duanya sedang beradu di kamar.
Aibnya tidak lagi dapat ditutup. Seluruh keluarga Alya mengetahui keburukan Khairul. "Saya dah buang dan sekat segala sumber video lucah... Saya tahan juga biarpun susah..."
"Kau ada hobi?"
Khairul mengangguk. "Saya ada basikal dekat rumah."
Haji Daud menghela nafas dan membetulkan posisi kedudukan. "Nafsu kita ni perlu dididik. Kalau kau mampu didik nafsu, insya Allah kau akan mampu didik anak bini. Bila nafsu membuak, benda ni perlukan sesuatu untuk puaskan. Kau cubalah puaskan diri dengan berbasikal, mungkin tu akan tenangkan kau daripada terus menahan nafsu tanpa berbuat apa-apa. "
"Baik, pak cik. Saya cuba rutinkan hobi saya setiap hari..." akur Khairul.
"Aku bukan tak nak terima kau... Kau juga ayah anak tu... aku cuma nak kau jadi manusia dahulu sebelum aku serahkan amanah ni pada kau." Haji Daud makin berat hati melihat Alya haus kasih seorang peneman yakni suami. Alya yang melahirkan puteri sulung melalui pembedahan masih lagi lesu di katil.
"Saya akan cuba... demi Alya dan anak saya..." Tekad di hati sudah utuh. Ke mana langkah diatur, wajah puterinya terbayang dalam ingatan.
"Nanti datanglah ke sini lagi esok lusa. Kita boleh solat sama-sama, dan aku boleh tanya macam-macam soalan. Jangan ingat kau belajar ilmu tu saja-saja... Aku akan tanya lagi soalan lain," bilang Haji Daud mendatar. Bagaikan dapat merasai kehadiran Khairul bukanlah seorang diri. Ada sesuatu yang turut hadir menemani lelaki ini.
Sesuatu yang dihantar untuk membinasakan Khairul Iddin. Di halaman rumah, Haji Daud sudah memasang pagar sempadan daripada makhluk halus. Khairul selamat di sini sementara pendampingnya sedang bertenggek di luar sana.
"Bila cuti, datanglah bermalam di rumah aku ni. Aku akan cuba bantu kau berubah," sambung lelaki tua itu.
Terhiaslah senyuman gembira di wajah Khairul. Seakan si tua di hadapannya mahu membuka peluang. Ternyata kehadiran pagi itu bukanlah sia-sia."Terima kasih, pak cik..."
"Ingat... Aku takkan beri peluang kedua. Kalau kau gagal, Alya akan aku nikahkan dengan lelaki lain... Masa hadapan Alya di tangan aku. Kau baik dengan aku, aku akan amanahkan Alya pada kau. Kau khianat aku, jangan jejakkan kaki di sini lagi." Mata bundar Haji Daud menikam Khairul.
Senyuman Khairul jadi pudar. Sungguh takut tersilap langkah. Ayah Alya pula garangnya bukan kepalang. Apa yang dikatakan, itulah yang akan ditunaikan. Suasana sepi ruang tamu diisi dengan bunyi tuangan air kopi. Sepinggan roti kering turut dihidangkan pada Khairul.
"Pak cik, apa nama anak saya?" soal Khairul. Kopinya tidak diminum lagi.
"Aku akan beritahu... Tapi itupun kalau kau datang esok untuk solat dengan aku." Balasan Haji Daud berbaur cabaran. Hadiahnya pula ialah puteri itu.
"Saya akan datang lagi..." jawab Khairul. Kopi panasnya dicicip, hati bertaut lega. Tidak sia-sia pengorbanannya selama tiga hari berturut-turut. Dia hampir gila dek menahan nafsu binatangnya. Namun, saranan Haji Daud untuk melepaskan nafsu pada hobi akan dituruti.
***
Menitis air wuduk ke lantai.
Bentangan sejadah dijejak kakinya.
Satu solat yang sering Khairul lakukan setiap diajar ustaz; solat taubat.
Di saat mata tercelik di dua per tiga malam, diambil kesempatan itu buat menunaikan solat sunat dua rakaat.
Setiap hati akan merindui rahmat kasih sayang dan keredhaan Allah dalam kehidupan yang fana' ini. Meskipun telah banyak mengulangi dosa noda yang menjanjikan azab sengsara, namun Khairul sedar keampunanNya tidak bertepi.
Setiap kali ruas dahi bertemu tikar sejadah, terasa hatinya di serendah-rendah tanah. Diri itu hanyalah hamba yang mungkir pada janji-janji. Yang susah mahu meninggalkan maksiat dan berbuat kebaikan.
Sudah banyak solat ditunaikan sepanjang minggu diiringi doa untuk diberikan kekuatan. Dia lemah di situ.
"Jadikanlah taubat ini yang sejati padaMu Ilahi. Ya Allah, ampunkanlah dosa-doaku. Ya Allah, redhakanlah kehidupanku. Aku telah zalimi diri ini... Andai kau tak ampuni dan rahmati, alangkah ruginya diri. Jangan korbankan hati ini setelah kau beri Hidayah. Sesungguhnya kau yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang."
Usai membaca doa, dia meraup wajah. Tidak sabar hendak ke rumah Haji Daud buat bermalam di sana.
Khairul menggeliat kecil. Tikar sejadah dilipat elok ke tempat asal.
Bunyi jatuhan botol air kosong ke lantai menyentaknya namun dibuat tidak endah sahaja. Tidak tahu mengapa ada sesuatu yang suka mengacau dia sejak kebelakangan ini. Baik dalam mimpi ataupun realiti.
Tangan mencapai sebuah beg galas mahu mengisi pakaian dan beberapa peralatan mandi.
"Kau cabar aku?" Suara seorang perempuan menerpa. Inilah suara yang sering mengganggu malam Khairul selama ini. Ia kedengaran berpunca daripada penjuru kamar berdekatan bilik mandi.
"Aku tak takut dengan kau," jawab Khairul. Tangannya ralik melipat sehelai kain pelikat di atas katil.
Pada awal-awal, mungkin lelaki ini sedikit gentar kerana asyik diganggu. Setiap malam, hati dapat merasakan ada sesuatu sedang berbaring di katil. Namun, sejak rajin berkunjung ke rumah Haji Daud, segala macam gangguan seakan reda. Walhal Haji Daud tidak berbuat apa kepadanya dan Khairul juga bukannya pernah menceritakan soal gangguan ini kepada sesiapa.
"Siapa yang hantar kau?" Khairul mengangkat wajah. Ternyata dia berseorang sahaja semenjak tadi.
***
Bunyi tangisan seorang bayi memecahkan atmosfera perbualan di ruang tamu. Pada mulanya Khairul hanya diam sahaja. Ditahan hasrat ingin melihat anak itu.
"Tak apa, nanti isteri aku uruskan," kata lelaki setengah abad itu dengan tenang.
Namun, tangisan bayi perempuan berkenaan berlarutan tidak henti. Lirih sahaja bunyinya. Pintu kamar Alya yang tidak jauh dari ruang tamu dilihat Haji Daud kebimbangan. Akhirnya, lelaki tua itu menyusun langkah buat melihat bayi istimewa mereka.
Diam-diam, Khairul mengikut langkah. Hati turut berdebar. Nyaring tangisan bayi itu bagaikan ditimpa kesakitan. Dia segera menepis lintasan hati yang buruk. Belakang Haji Daud disusuli. Ketinggian lelaki itu yang menghampiri bingkai pintu atas kamar Alya mengizinkan dia memanjangkan penglihatan.
Satu tubuh yang sudah lama tidak ketemu sedang duduk di atas katil mendodoi puteri sulung. Tubuh kecil berbalut kain batik dalam dodoiannya diamati Khairul lama.
Teresak tangisan anak itu. Matanya terpejam rapat menzahirkan ketidakselesaan yang entah berpuncakan apa. Khairul menapak selangkah ke bilik Alya, titisan air mata Zahra memanggilnya untuk mendekati. Tangisan puteri sulungnya bagaikan anak kucing sahaja. Terkoyaklah senyuman sang bapa. Sekian lama hanya menatap di telefon, kini tubuh yang dirindui sudah ada di hadapan mata.
Lelaki tinggi lampai itu perlahan-lahan hadir ke katil berkenaan. Mata tertancap mengintai satu wajah disebalik balutan kain batik. Sungguh pun tidak sedar dia telah menceroboh ke kamar seorang gadis, Haji Daud seakan tidak menghalang.
Alya sedikit terkejut dengan keberadaan Khairul di birai katil.
"Alya," panggil Khairul. Kepalanya dijatuhkan sekali memberi isyarat yang dia mahu memujuk sang puteri tuk berhenti membuat tangis. Dipandang sahaja anaknya yang putih kemerahan.
Setelah berada dalam dakapan Khairul, barulah bayi berwajah manis itu dapat beradu. Sisi muka bersandar pada dada Khairul, mata almondnya terkatup perlahan-lahan. Degupan jantung sang ayah bagaikan satu melodi dodoian.
Fatimah Azzahra.
Nama anak istimewa ini, yang diberikan Alya.
Nama indah untuk seorang puteri.
Rupanya, Zahra juga mahu memeluk papanya.
Senanglah hati lelaki yang lama menanti tuk bertemu tuan puteri ini. Khairul statik berdiri di tingkap kamar Alya. Dia mengizinkan angin luar membelai wajah buah hatinya yang sudah lama terlentok. Telapak tangan kekal di belakang tubuh Fatimah Az-Zahra sebagai penahan. Baru kini dapat dirasakan apa itu erti bahagia.
Tak apalah jika Zahra tidak membesar seperti bayi perempuan normal kerana dia akan tetap menjadi puteri di mata Khairul. Kecil tubuhnya bagaikan sesuai sekali melekap lama pada dada bidang Khairul. Tidak lenguh menampung berat anaknya, kasih sayang lelaki itu kian memekar.
Air mata dipaksa untuk kekal di kantung.
Hangat tubuh saling membalut. Sentuhan pertama bertemu kulit papanya, terasa pelindungan Khairul jua membaluti. Zahra selamat di situ, langsung tidak menitiskan air mata malah telah terlena di dada Khairul Iddin.
***
Gadis berstoking itu menggendong bayi kecilnya ke ruang tamu rumah. Perlahan-lahan mendarat ke sofa, tak mahu mengejutkan puteri Khairul. Sejak didodoi Khairul siang tadi, Zahra sudah tidak membuat perangai.
Suara garau Khairul yang kedengaran di ruang tamu rumah mampu menyedapkan hati Alya. Benarlah betapa lelaki ini sedang berusaha untuk menghalalkannya. Melihat sosok tubuh bidang itu sedang berdiri di sebelah Haji Daud, Alya tersenyum bahagia. Tahulah dia bahawa Haji Daud menerima Khairul perlahan-lahan.
Alya tidak mampu menyertai solat berjemaah malam itu kerana kondisinya yang belum mengizinkan. Dia sekadar memeluk tubuh kecil Zahra dan melihat Hajah Norma membentangkan sejadah di ruang berdekatan tingkap rumah.
Dikucup kelopak mata Zahra yang terpejam. Tiada khabar yang menggembirakan melainkan melihat ayah kepada Zahra sedang menapak ke atas tikar sejadah untuk menjadi imam solat maghrib malam itu. Alya mampu duduk bersimpuh di kerusi sepanjang mereka solat berjemaah nanti. Mahu mendengar suara Khairul melantunkan bacaan surah Alfatihah yang telah dibaiki Haji Daud petang tadi.
Tidak pasti lama mana akan Khairul menginap di situ. Alya sempat mengintai beg galas lelaki berkenaan ketika senja, sedikit sahaja pakaian yang dibawa.
Tangan menepuk sisi tubuh anaknya yang mencelikkan mata.
Tiada pun takbir diangkat setelah Haji Daud membacakan iqamah solat. Yang kedengaran hanyalah bunyi batuk Khairul, semakin kuat. Bunyi batukan itu menjagakan Zahra, seakan tahu ada sesuatu perkara buruk bakal menimpa papanya.
Alya melihat sahaja lelaki itu memegang bahagian dada. Daripada posisi berdiri, Khairul terduduk di lantai kayu. Lutut lemahnya tidak mampu memaksa diri berdiri pada saat rasa sakit mencengkam dada. Bagaikan ada benda tajam menikamnya berkali-kali ketika itu. Haji Daud di sebelah telah keluar daripada saf buat memeriksa keadaan calon menantunya.
Tangisan Zahra memecak benak malam.
Cecair merah pekat mula keluar daripada rongga mulut Khairul. Kedua-dua mata terpejam perit, menahan bisa yang menghiris saluran pernafasan dan penghadaman. Ringisan kesakitan yang dihadapi Khairul tidak mengakhiri kejadian mengejutkan itu. Masih darah busuk mengalir beserta untaian rambut tidak henti sehingga tubuh itu akhirnya terjelopok jatuh ke lantai, tidak dapat menahan kesakitan teramat.
Bahagian bawah bibir dicemari lendiran darah. Matanya terkedip lemah memandang Haji Daud di sebelah.
Teresak-esak Zahra menangis dalam pelukan Alya.
***
votexkomen
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro