45 Caesar
"Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berpikir."
QS Ar-Rum: 21
Gadis itu memejamkan mata rapat menahan kontraksi yang berpanjangan. Dia termengah di atas katil sendirian. Masa yang berlalu semakin mengencangkan rasa sakit di kawasan bawah pinggul lalu berpindah ke perut depan. Lama dia mendiamkan diri untuk mendapatkan posisi yang selesa. Diharapkan kontraksi itu berkurangan.
Alya dapat merasakan kebasahan di bawah tempat duduk. Ada suatu cecair keluar keluar daripada farajnya.
"Mak..." panggilnya. Hati turut berdegup laju, pelbagai sangkaan hadir mengunjung tiba. Dia masih cuba tuk bernafas secara beritma.
Hajah Norma segera mendapatkan anak gadisnya yang sedang menahan kesakitan. Peluh dingin merembes di ceruk leher dan ruas dahi Alya.
"Mak..." lirih Alya memanggil. Lendiran cecair jernih yang sedang keluar ini tidak lain tidak bukan amniotic fluid yang memegang kantung janinnya selama ini. Cecair itu bertindak melindungi bayi daripada kecederaan dan mengekalkan suhu dalam rahim. Petanda itu kuat menyatakan bahawa kelahiran harus segera dipercepatkan.
Selepas air ketuban pecah, risiko untuk mendapat jangkitan kuman akan meningkat jika ibu hamil tidak mula bersalin untuk jangka masa tertentu. Pecahnya air ketuban berlaku pada tahap pertama daripada tiga tahap bersalin.
Ketika Alya sedang menahan kesakitan, pintu rahimnya telah terbuka. Anak di dalam kandungan terdorong menonjol ke lubang rongga pinggul, memberi tekanan pada pundi kencing dan saluran rektum.
"Ya Allah, air ketuban dah pecah. Mana ayah ni..." ujar Hajah Norma yang turut kebimbangan.
Dua beranak itu sabar menanti Haji Daud pulang daripada masjid. Sama seperti di waktu sebelum ini, Alya sering mengalami kontraksi ringan di waktu Asar. Pada hari ini, kontraksi yang menekan bahagian serviks makin terasa. Rasa kencang di kawasan rahim lebih berpanjangan.
Kelahiran anak pertama ialah satu perkara yang belum pernah dihadapi gadis itu. Air matanya mengalir kerana ketakutan pada perkara buruk yang akan terjadi. Air ketuban mengalir ke bawah, rasa sakit mencengkam seluruh abdomen tubuh.
"Assalamualaikum..."
"Khai," bisik Alya.
Tak jemu untuk mengunjung ke rumah Haji Daud, kehadiran Khairul pada petang itu melegakan sedikit kegusaran yang membelenggu. Dengan pantas Hajah Norma mahu meminta bantuan lelaki berkenaan, mengkhabarkan keadaan Alya yang sudah sakit hendak bersalin. Gadis itu ditinggalkan sendirian di atas katil.
Di kala zikir meniti di bibir, sehelai selendang diambil untuk menutup rambutnya. Dia menenangkan hati yang tak kurang hebat degupan sejak tadi dengan bait-bait ayat Alquran yang terlintas di dada. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa Alya takut dan bimbang saat itu. Berbagai sangkaan buruk hadir menerjah. Sebagai bekas petugas hospital, Alya tahu petanda air ketuban pecah begini seharusnya perlu terus diperiksa doktor secepat mungkin.
Sesaat kemudian, lelaki yang bernama Khairul Iddin diizinkan Hajah Norma tuk masuk ke dalam bilik Alya. Seorang lelaki jahil yang tidak jemu datang berkali-kali walaupun dihalau dan dimaki.
Alya ditanyakan dahulu apakah dia mampu berjalan untuk ke kereta yang terparkir di luar sana. Kata nafian terbit di bibir pucat si gadis. Dia sedang kesakitan ditambah pula kebimbangan yang tidak putus-putus. Kudratnya hilang separuh.
Maka, sekelip mata tubuh Alya dicempung Khairul Iddin ke udara. Dipandang sahaja wajah lelaki itu daripada jarak dekat yang seakan-akan sedang menahan kesakitan. Detakan geraham bertemu geraham di mulut kedengaran saat tubuh Alya diangkat. Itu kesakitan yang sedang ditahan Khairul. Pada lengan kiri, berat tubuh Alya memberikan tekanan. Lengan kiri Khairul masih belum sembuh dan kuat. Namun, dikuatkan juga sesaat dua untuk membawa Alya ke kereta.
Setelah Hajah Norma masuk ke kereta bersama-sama beg pakaian Alya, Khairul mula memecut untuk ke destinasi.
Nafas dalam ditarik Alya. Bahu sang ibu menjadi tempat bersandar. Jemarinya saling menyulam dengan jemari Hajah Norma di tempat duduk belakang.
Wajah tegang Khairul kelihatan sepanjang perjalanan ke hospital.
Alya melihat tangan kiri lelaki yang sedang memandu di hadapan. Urat hijau pada permukaan kulit menimbul. Terketar-ketar kerana sakit. Sekali sekala Khairul menggenggam penumbuk kiri, tak mahu melayan rasa lemah itu.
***
"Doktor, saya tak jumpa jantung baby."
Hampir luruh nyawa Khairul mendengar lintasan kata-kata daripada seorang jururawat. Dia melihat Alya yang sedang terbaring di katil. Beberapa wayar bersambungan ke skrin monitor, yakin itu untuk mengesan sebarang degupan jantung malaikat kecil mereka.
Cardiotograph.
Kertas CTG disambar seorang doktor perempuan, matanya membaca apa yang tertera. Di bacaan 20 minit pertama kelihatan corak jantung bayi sangat baik. Namun ia diikuti ketiadaan degupan jantung bayi. Beberapa jururawat bertugas mengelilingi katil Alya sementara Khairul hanya memerhatikan daripada jauh.
Lelaki itu kaku. Dia yang sedang mengampuh lengan kiri memandang Alya sayu. Pandangan kosong gadis yang sedang sarat mengandung benihnya memanggil Khairul untuk lebih dekat. Setapak demi setapak mendekati katil Alya.
Senyuman kecil Alya ada terhias. Mengkhabarkan ucapan terima kasih kerana masih berada di situ buat menemaninya.
Mata mereka saling berpandangan buat seketika sebelum keberadaan Khairul yang dilihat mengganggu laluan diarahkan untuk beredar segera.
Anak tunggal Dato Muhsin itu menganggur akur. Dia melangkah pergi dengan sendiri agar para petugas perubatan dapat melaksanakan kerja. Masa terasa berjalan begitu lambat sekali.
Kegagalan usaha jururawat dalam mencari degupan jantung bayi menyebabkan doktor turut masuk campur. Alatan CTG digunakan mereka, masih tiada kesan.
"Cepat ambil mesin scan stat!"
Akhirnya jantung bayi kembali ditemui mereka dengan bantuan alat imbasan bunyi.
Masih berdegup.
Lup dup... Lup dup...
Sangat perlahan. Jauh daripada bacaan normal yang seharusnya seorang bayi miliki.
"Prepare for caesar."
***
Alya sudah tiada pilihan lain, pembedahan harus dilakukan dengan kadar segera. Jantung bayi semakin lemah, tidak sempat jika mahu menunggu Alya meneran dek bukaan serviks masih belum terbuka sepenuhnya. Puteri Khairul sedang lemas dalam rahim Alya pada saat itu.
Para jururawat menyiapkan Alya untuk ke bilik bedah hospital. Beberapa borang perlu ditandatangani Alya sendirian tanpa sesiapa di sisi. Risiko membelah lapisan perut ini sanggup ditanggung badan demi menyelamatkan bayi dalam kandungan. Hatinya berasa tidak sedap. Bacaan jantung bayi mereka tidak cantik.
Apakah ini petanda bahawa si kecil itu tidak akan berjaya diselamatkan?
Belum sempat pembedahan bermula, Alya sudah mengalirkan air mata. Dia lemah di situ berseorangan. Ubat bius disuntik terus ke tulang belakang. Sejuk sahaja rasanya.
Gadis itu dibaringkan bersama-sama perut yang menerik. Terkelip lemah melihat sekeliling. Ubat bius berkenaan mengalir terus ke dalam pembuluh darah. Sekelip mata membawa Alya jatuh ke dunia separa sedar.
Alatan tajam dapat dirasakan sedang membelah perutnya sebanyak beberapa kali torehan. Rasa sakit langsung tidak hinggap, namun Alya tahu pembedahan sedang berjalan. Mata cuba tuk mencelik. Hanya kerdipan lemah terhasil sepanjang petugas perubatan merobek isi perutya.
Andai dia terkorban semasa bertarung nyawa, setidaknya biarlah bayi yang dikandung selama hampir sembilan purnama ini berjaya diselamatkan. Itu sahaja harapan yang tertanam bila mana tanda tangan diturunkan sebelum pembedahan berlaku.
Alya tercampak semula ke realiti tatkala doktor mahu menarik bayi keluar. Dinding perutnya ditarik ke sisi bagi meluaskan bukaan. Segala pergerakan bagi membawa keluar bayinya dapat dirasai.
"Allah..." lirih Alya.
Sepi sahaja keadaan. Tiada tangisan keramat bayi yang dinanti.
Tubuh bayi yang masih merah berdarah tidak diserahkan kepada Alya. Walaupun untuk melihat wajah si cilik itu.
Di saat lama mencelikkan mata dengan kudrat berbaki, perutnya sedang dijahit doktor.
Air mata menitis ke pipi.
Bukan kerana bersyukur telah melahirkan seorang bayi tetapi ketiadaan apa-apa tangisan membawa erti lain. Sama ada jasad yang baru dilahirkan itu tidak bernyawa ataupun tidak bersuara. Menitis mutiara jernih ketakutan.
Namun, Alya terus bersabar mahu mendengar suara mailakat kecilnya. Sungguh detik berlalu perlahan, mengoyak kekuatan seorang ibu muda itu. Penantian tidak bertahan lama kerana dia terus tidak sedarkan diri. Kesan bius telah meresap sepenuhnya.
Doktor yang sedang memeriksa keadaan bayi Alya cuba melakukan semampu yang mungkin. Mereka mengharapkan tangisan si kecil hadir.
Bibir kecil bayi itu bergerak. Sayup sahaja rengekan terhasil. Tangisan pertama ini tidak dapat didengari Alya mahupun Khairul yang menanti diluar.
Bayi mereka istimewa. Paras oksigen otaknya yang rendah. Maka, petugas di situ segera memasukkan cahaya mata Alya dan Khairul ke wad buat bantuan pernafasan. Sementara itu, Alya ditolak ke wad dan masih dalam pemantauan doktor.
***
"Kau buat apa dekat sini? Kau balik sekarang!"
Tengkingan Haji Daud menjemput berbagai spekulasi orang disekeliling. Banyak mata sedang memandang Khairul Iddin yang tidak berganjak daripada ruang menunggu.
Imam kampung itu bertegas hendak mengharamkan Khairul menyentuh bayi. Bahkan untuk berada di hospital itu pun tidak diizinkan. Dia tidak kisah orang lain mahu mengata apa-apa, asalkan Khairul Iddin tidak berada di hadapan mata.
Khairul menekur lantai. Lengan kiri masih ditahan daripada terkulai layu semenjak tadi. Kain anduhnya tertinggal di rumah Haji Daud semasa mencempung tubuh Alya.
"Ya, saya pergi," kata pemuda itu. Dia tersenyum nipis sambil menghapuskan setitis air mata.
Sudah lali dimalukan di hadapan orang ramai. Hendak melihat anak sendiri pun dia dihalau seperti tiada maruah. Kekecohan di koridor beransur reda apabila Khairul mengundurkan diri.
Biarlah hanya Haji Daud dan Hajah Norma menunggu sehingga doktor memberikan laporan perkembangan. Sedar diri itu hanya orang asing yang sukar untuk masuk ke sebuah keluarga alim.
Jauh langkah mengatur, Khairul terhenti pabila menyedari ada seorang jururawat perempuan memanggil namanya di ruang legar hospital.
"Tuan Khairul, saya dah ambilkan gambar anak tuan," bilang jururawat itu seraya menyerahkan telefon pintar milik Khairul kembali. Khairul hampir terlupa bahawa dia telah meminta seorang petugas hospital buat menangkap gambar bayinya.
Benar-benar mahu melihat bagaimanakah rupa anak sendiri. Ini kali pertama Khairul menerima sebuah kehidupan baharu. Rasa yang hadir mengatasi segala kesedihan.
Dia mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga. Dapat juga menatap satu wajah yang selama ini hanya dapat dilihat pada foto imbasan bunyi. Vermilion Khairul tertarik naik, membentukkan sebuah senyuman.
Di dalam kereta, Khairul merehatkan diri. Penghawa dingin menyamankan lekitan peluh. Kawasan parkir hospital swasta berkenaan dipenuhi banyak pacuan.
Namun, Allah telah permudahkan urusannya pada hari ini dalam menghantar Alya ke unit kecemasan dengan segera.
Skrin telefon pintar dilihat Khairul Iddin. Ini gambar anaknya. Seperti masih tidak percaya, dia telah bergelar seorang bapa.
Mata almond, kerana dia istimewa. Mulut kecil ini, pasti nanti akan mengisi gelak tawa di hari-hari Khairul nanti.
Sekeping gambar bayi yang kemerah-merahan ditatap lelaki itu hampir satu jam lamanya tidak berkelip. Setiap ciri-ciri abnormal anaknya diperhatikan satu per satu.
Hujung mata bahagian sisi melancip ke atas, tidak lurus seperti anak-anak kebanyakan. Raut wajah relatifnya mendatar.
Namun, bagi Khairul anak ini sempurna.
"Nyawa papa..."
***
votexkomen
***
bayi Khairul dah lahir :)
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro