42 Ilmu hitam
"Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berpikir."
QS Ar-Rum: 21
Segelas jus buahan yang tidak berusik tertepis mengenai badan Khairul. Boleh dikatakan itu adalah perancangan Azzam dari mula. Pertemuan yang ditawarkan memberikan lelaki itu peluang tuk mendapatkan beberapa barangan kepunyaan Khairul Iddin.
Sudahlah dapat wang RM50 000, pada hari itu juga dia menyusun taktik buat memastikan Khairul menanggalkan baju yang tersarung di badan.
Azzam bingkas berdiri dan menapak ke sebelah Khairul. Dia pura-pura terkejut sedang hati terkekek ketawa. Bahagian bawah baju kemeja Khairul yang habis dicemari jus buahan cuba dibeleknya. Kain napkin berhampiran dijadikan sebagai pengelap. "Minta maaf, aku tak sengaja. "
"Tak apa. Aku ada baju lain dalam kereta." Khairul menjarakkan kerusi dan meja. Pengawal peribadinya dipinta buat ke kereta di luar sana. Beberapa baju kemeja sentiasa bersangkut di tempat duduk belakang kereta kerana terkadang Khairul tidak terus pulang ke rumah ketika kerja.
"Habis kotor," keluh Azzam. Kesan tumpahan air hampir saja meleret hingga ke seluar Khairul. Mujur tadi sempat dielak.
Khairul mula menanggalkan butang baju kemeja yang teratas. "Tak apa, hantar dobi hilanglah."
"Biar aku yang hantar pergi dobi. Lagipun aku yang tumpahkan air ni," Azzam mempelawa segera. Peluang keemasan ini tidak akan sesekali dilepaskan.
Purnama pun tidak menampakkan diri. Di tanggal penghujung bulan hijriyah, malam lebih gelap berbanding hari-hari lain. Seperti yang dipinta bomoh, Azzam kembali ke rumah usang itu pada tarikh yang ditetapkan. Wang pemberian Khairul Iddin sudah lama dibuat berjoli sepanjang minggu, betapa gembiranya lelaki itu. Kini, RM10 000 yang berbaki akan dijadikan sebagai wang pengeras.
"Ini bajunya, tok." Sehelai kemeja diletak ke lantai berdekatan tembikar tanah liat. Tidak berbasuh, peluh dan segala haruman minyak wangi pemuda yang bernama Khairul ada dibawa bersama-sama.
Setibanya di penghujung bulan, kandungan Alya akan memasuki bulan ke lapan. Hanya berbaki beberapa minggu sahaja lagi anak Khairul akan lahir ke dunia.
Air ulat sintuk dituang ke dalam satu tembikar. Habuk sumbu pelita minyak tanah yang menerangi rumah kayu itu diambil dan dimasukkan bersama-sama segala jenis miang yang terhidang dalam deretan bekas-bekas. Di bekas terhujung itu terkandung tulang belulang kokang yang mati tergantung. Satu per satu, disatukan lelaki tua berkenaan.
Tali sabut di dalam tempayan dibawa keluar bomoh itu lalu diracik-racik. Sepi sahaja.
Bahana terkena segala miang campuran mampu membuatkan kulit mengalami kegatalan kronik hingga boleh menyebabkan sebahagian anggota badan terpaksa dipotong.
Segalanya diperhatikan Azzam tidak beriak. Dua ulas bibirnya terkatup. Bacaan mantera asing kedengaran sayup, terkumat kamit. Terkadang suatu bunyi aneh menangkap pendengaran. Apatah lagi siulan bayu malam yang asyik bergemalai melalui celahan lubang dinding papan. Menambah keseraman pada malam itu.
Apabila bermain dengan ilmu hitam, tidak dapat tidak bantuan jin akan terlibat sama. Baju kemeja Khairul Iddin menjadi panduan kepada jin pendamping. Pada siapa untuk dihantar santau ini, untuk siapa harus disengsarakan.
Usai ramuan sihir disatukan, penutup tembikar pun terkatup dengan sendiri.
Lelaki tua itu memandang Azzam.
"Tunggulah lagi 40 hari untuk semuanya masak. Kau akan dapat apa yang kau nak."
"Mana boleh tunggu 40 hari, nanti anak haram tu lahir. Kena gugurkan sekarang juga," bangkang Azzam. Sungguh berani asalkan kemahuannya tercapai. Lia telah meninggal dunia angkara Khairul Iddin. Nyawa harus dibalas dengan nyawa. Biar anak dalam kandungan yang tidak berdosa itu juga mati bersama-sama bapanya.
"40 hari itu penantian untuk menghantar santau kepada lelaki yang kau nak sudahkan. Buat gadis yang kau mahu gugurkan kandungannya... Esok juga boleh terjadi." Satu uncang hitam diserahkan kepada Azzam. Lelaki tua itu tersenyum dalam cara yang menakutkan. Kantung rahim gadis bunting sulung berkenaan tidak sabar mahu dirasainya.
"Taburkan dalam makanan dia. Pada hari yang sama, darah akan keluar melimpah-limpah sehingga rahimnya kosong..." sambung bomoh itu.
Barulah Azzam mengatup mulut. Dia memerhatikan uncang berkenaan, tidak diketahui apalah ramuan didalamnya. "Ini kena tunggu 40 hari... Tak boleh buat malam ni terus?" Mulut memuncung ke arah tembikar tanah liat di hadapan mata.
Lelaki tua itu ketawa sahaja. Hasad yang bertapak menukarkan manusia kepada syaitan. Yang terzahir hanyalah kebencian pada saudara sesama Islam.
"Kalau kau mampu bersabar, kesannya akan lagi dahsyat. Ambillah bekas ni, nanti bila telah berlalu 40 hari... Engkau pergi ke sebuah simpang tiga penjuru seorang diri. Baca mantera yang sama seperti tadi. "
Setiap yang dilakukan akan ada bayaran. Perjanjian dengan syaitan ini tidak juga percuma. Azzam mengangguk faham. Dia harus mengambil risiko pada apa yang bakal terjadi.
***
Keadaan bilik mesyuarat utama menjadi sepi seketika. Masing-masing sedang menunggu sambungan bait bicara pemuda yang sedang berdiri itu. Pandangan kosong Khairul akhirnya membuatkan pekerja yang terdekat untuk menyentuh bahunya.
"Tuan, kenapa?" Seorang eksekutif pemasaran menyedarkan Khairul ke alam realiti.
"Tak ada apa..." Khairul memegang sebelah kepalanya dan tersenyum nipis. Bagaimana pula dia boleh terdiam di tengah-tengah mesyuarat bersama-sama pekerja syarikat.
"Tuan rehatlah dulu," cadang pekerjanya. Umum maklum bahawa Khairul masih dalam fasa penyembuhan tulang tangan yang patah. Hadirnya anak Dato Muhsin ke pejabat pun bersama-sama kain pengaduh.
Perasaan tidak sedap hati tiba-tiba hadir tiada undangan. Khairul Iddin bersetuju untuk mengundurkan diri di perjumpaan pada hari itu. Dia terpaksa menunda akan beberapa perkara yang belum sempat dibincangkan. Hatinya sungguh tidak enak.
Rasa mahu ke rumah Haji Daud kuat mencengkam jiwa. Nampaknya dia akan ke rumah orang tua itu lagi buat membincangkan seperkara dua.
"Kenapa muka tuan pucat?" Seorang pekerja pula menanyakan khabar Khairul Iddin di pintu keluar bilik mesyuarat.
Pemuda berkenaan tidak menoleh ke tepi. Dia hanya meneruskan langkahan mahu ke lift di hujung bangunan. "Tak ada apa. Saya balik awal hari ni. Kalau ada apa-apa boleh rujuk dan runding dengan pembantu saya."
Punat anak panah ke bawah ditekankan pekerjanya. "Baik, tuan. Selamat berehat."
Sebaik sahaja pintu terbuka, langsung Khairul menapak ke dalam. Wajah dinginnya sudah biasa menjadi santapan buat pekerja-pekerja di situ. Lift berkenaan mula menurun ke bawah membawa jasadnya ke aras satu. Aras bawah tanah ialah kawasan parkir kereta yang mana kereta Khairul jua terparkir di sana.
Dikebanyakan hari, Khairul tidak akan memandu sendirian. Nak-nak lagi Dato Muhsin telah menetapkan sekurang-kurangnya seorang pengawal peribadi bersenjata untuk menemani Khairul ke mana sahaja.
"Rumah Haji Daud," bilang Khairul kepada pemandunya.
Bip Bip bip
Jauh mengelamun ke luar tingkap. Sistem kereta terus berbunyi sejak kereta dipacu ke lebuh raya tidak diendahkan.
"Tuan, tali pinggang." Pemandu kereta Khairul akhirnya membuka mulut.
"Ah, ya," balas Khairul. Dia mengeluh perlahan. Tangan dilekapkan pada jantung yang berdetak. Rasa tidak enaknya masih menyelubungi diri. Dia ingin cepat melihat keadaan Alya.
***
"Assalamualaikum, ada orang kirimkan makanan."
Senyuman gadis hamil itu meleret hingga ke telinga. Besar telapak tangan menadah pemberian si tukang penghantar. Kotak makanan di dalam plastik lutsinar berkenaan dijinjing melintasi ruang tamu dengan wajah berseri-seri. Kad ucapan terselit seperti kebiasaan. Maka, matanya meniti setiap tulisan yang tersemat pada kad itu.
Khairul.
"Alya, siapa kirim?" tegur Haji Daud yang sedang mencerlung makanan di tangan anak perempuannya.
"Kawan..." jawab Alya perlahan. Dia yang tersenyum seorang diri menghentikan langkah segera. Terpacak di tengah-tengah laluan. Bagaimanalah boleh terlupa mengenai keberadaan orang tuanya di situ. Kad ucapan disorokkan dalam genggaman.
"Khairul?" tebak Haji Daud.
"Ya, ayah," jujur Alya.
"Kenapa susah nak cakap ni?" Haji Daud berkerut kehairanan.
"Nanti ayah marah." Alya jadi serba salah di situ. Bukannya dia tidak tahu ayahnya sedikit dingin dengan Khairul Iddin. Pantang disebut nama, habis nanti dimarahi.
"Ayah tak kisah pun kalau dia kirim barang. Duduklah sini, ayah nak tengok dia bagi apa." Haji Daud menepuk ruang kosong di sebelahnya.
"Alya cuma takut ayah marah..."
"Dia selalu kirim makanan?"
"Kadang-kadang... Tapi Alya tak pernah meminta. Cuma dia yang selalu berikan makanan." Gadis itu mengetap bibir delimanya. Dia berlabuh di sebelah Haji Daud seperti yang dipinta. Hati mahu terus membaca ucapan di atas kad tadi. Alya sedikit pelik, kebiasaan barang yang dikirimkan Khairul Iddin tidak sesekali beserta ucapan panjang meleret.
Khairul akan sekadar menulis namanya. Khai.
Kiriman kali ini menimbulkan persoalan pada sang penerima.
"Ayah nak baca kad ucapan dalam tangan Alya tu." Haji Daud menghulurkan tangan, wajahnya dingin. Alya tiada tempat untuk melarikan diri saat itu.
Kad ucapan itu bertukar tangan.
Makanlah makanan ni, sayang. Kalau sedap, nanti abang belikan lagi.
-Khairul
"Ayah, Khairul tak pernah tulis macam ni..." Gadis itu menggeleng berkali-kali. Melihat pada apa yang terpeta di wajah Haji Daud, liur ditelan kesat.
"Sayang? Alya buat apa belakang ayah? Ayah cuba lindungi Alya daripada mana-mana lelaki." Betapa kecewanya nada lelaki setengah abad itu. Hujung ayatnya mendatar, keluhan terbit.
"Demi Allah, Khairul tak pernah buat macam ni... Alya tahu ni bukan Khairul yang kirim."
Bekas makanan itu dibuka Haji Daud. Mahu melihat apa yang dikirimkan sebentar tadi. Sebaik sahaja Alya menerima bungkusan asing itu, ada sesuatu perkara aneh dapat dirasai Haji Daud. "Norma, ambilkan pinggan kaca."
Di kala suara lelaki tua itu berubah tegas, Alya tidak akan berani membalas apa-apa lagi. Alasan itu digenggam, hatinya tetap menafikan bahawa itu bukan kiriman Khairul.
Hajah Norma mendapatkan dua beranak di ruang tamu, pinggan kaca diletakkan ke meja kopi. Alya memandang ibunya meminta simpati untuk meredakan amarah sang ayah.
Bau nasi lemak daun pisang naik memenuhi ruang udara. Enak dan menggiurkan. Berlaukkan kerang sambal, seakan-akan tukang kirim mengetahui makanan kegemaran Alya yang mustahil akan ditolak gadis bunting berkenaan.
"بسم الله الذي لا يضر مع اسمه شاء في الأرض ولا في السماء وهو السميع العليم... "
Tiga kali Haji Daud mengulangi ayat yang sama pada makanan yang telah dialaskan pinggan kaca. Memohon petunjuk daripada Allah, hati seorang ayah itu terlebih mengetahui bila mana ada perkara buruk hendak berlaku.
Rasulullah SAW didengari berkata sesiapa yang berdoa,
“Dengan nama Allah yang tidak memberi mudharat akan sesuatu yang dibumi dan yang dilangit (selagi) bersama dengan Nama-Nya dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Bacalah sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa kesusahan bala dan musibah sehinggalah subuh esoknya, dan barangsiapa membacanya ketika waktu subuh sebanyak tiga kali, dia tidak akan ditimpa kesusahan bala dan musibah sehingga petangnya.
(Riwayat Abu Daud, At-Tirmizi dan Ahmad)
Krakkk
Bunyi belahan pinggan kaca menyentakkan Alya. Matanya memandang Haji Daud sayu, meminta ruang tuk bersuara mempertahankan Khairul Iddin.
"Dah berapa banyak makanan dia kirimkan selama ini?"
"Khairul tak pernah tulis macam ni. Dia tak pernah bahasakan diri sebagai 'abang'," kata Alya sambil memandang ibu dan ayahnya silih berganti. Betapa yakinnya Alya. "Makanan ni bukan Khairul yang hantar."
Deruman enjin di halaman rumah menarik perhatian kesemua isi ruang tamu.
"Assalamualaikum."
Alya hampir menangis sebaik sahaja mendengar suara yang sedang memberi salam. Telah lama lelaki berkenaan tidak menghadap Haji Daud. Entah apa yang menyebabkan anak Dato Muhsin berubah angin buat ke sini.
"Ayah... Bukan Khai... " rayu Alya. Lengan Haji Daud dipegang. Berkaca-kaca matanya mahu mengurangkan amarah di dada sang bapa.
Bagi Haji Daud pula, Khairul datang tepat pada masanya. Di kala kemarahan meruap memenuhi tahap kesabaran, orang tua itu meminta isterinya membawa Alya ke dalam bilik.
Kaki dihayunkan laju menuruni anak tangga rumah. Ilmu hitam yang disertakan dalam makanan kiriman tadi membuatkan Haji Daud bertambah bengang. Lagi-lagi cara kotor itu digunakan untuk mengapa-apakan puteri kesayangan.
Wajah Khairul menyapa pandangan mata.
"Pak cik," tegur Khairul Iddin.
PANGGG
Tidak berkutik pemuda berkenaan. Pijar tamparan maut Haji Daud memakan pipi kirinya secara tiba-tiba.
"Aku boleh terima kalau menantu aku jahil, tapi... Aku takkan sesekali terima kalau menantu aku syirikkan Allah." Kolar baju Khairul ditarik Haji Daud kegeraman. Jari telunjuknya menunding ke rahang Khairul yang kemerahan.
"Apa saya buat, pak cik?" bisik Khairul.
Syirik? Khairul berasa sungguh terhina. Sehina-hina diri itu, tidak pernah sekali pun mensyirikkan Tuhan yang Esa. Bergetar bibir ingin menarik senyuman pahit.
"Kau letak santau dalam makanan anak aku." Suara Haji Daud naik seoktaf. Kali ini dia benar-benar telah sampai ke penghujung kesabaran.
"Saya tak pernah berniat sedikit pun nak apa-apakan Alya... Saya cuma nak jaga dia..." Kejujuran pemuda itu bagaikan angin senja. Yang terbang pergi tiada meninggalkan kesan. Dia hanyalah mangsa keadaan atas perbuatan terkutuk insan lain.
Pengawal peribadi Khairul di tempat duduk pemandu bergegas meleraikan cengkaman Haji Daud. Khairul tertolak ke belakang lemah. Tubuh pekerjanya menjadi pemisah antara dia dan imam kampung berkenaan.
"Kau berhambus sekarang!" Memetir suara Haji Daud. Urat di pelipis menegang, mata terjegil keluar kebengangan.
"Kita balik," perlahan sahaja Khairul berkata pada pengawalnya. Hati itu terobek kesakitan. Tuduhan tidak berasas Haji Daud meragut keteguhannya, mencampak harapan selama ini.
Ketika itu, Khairul hanya mahu pulang ke rumah.
Dia letih dan sakit.
***
vote komen
***
Sedih Khairul tahu rasa sampai dekat sini.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro