Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

35 Anak papa

"Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berpikir."

QS Ar-Rum: 21

Sibuk mengalahkan menteri, tuan muda rumah berkenaan tidak menampakkan batang hidung sejak tengah hari semalam. Wanita setengah abad yang bersandar pada kerusi dapur masih belum berputus asa mendail nombor anak bujangnya. Dan setiap pada itu, panggilan tidak pernah tersambung.

Tak siapa mengetahui telefon pintar Khairul sedang berada pada pemilik baharu. Sim kad yang asalnya di dalam telefon telah dipatahkan oleh perompak malam tadi lalu memutuskan terus cara ahli keluarga Khairul untuk terus berhubung.

Air muka Datin Farina bertukar mendung. Tidak pernah-pernah Khairul Iddin membuat perangai begitu. Biarpun sibuk akan hal sendiri, kebiasaannya anak teruna itu akan mengkhabarkan lokasi agar tidak menggusarkan hati kedua orang tuanya.

Hidangan makan tengah hari tiada disediakan. Khairul tidak suka makan makanan berat ketika waktu rehat. Yang digemari hanyalah roti-roti di bakeri.

Di atas meja makan, terbaring satu beg kertas yang mengandungi beberapa jenis tart keju dan roti mentega. Sengaja Datin Farina belikan, harapnya dapatlah menyambut kepulangan Khairul. 

"Mana anak awak ni menghilang seharian?" Runsing Datin Farina. Suaminya yang melangkah ke bahagian dapur dipandang.

"Dia tak balik lagi ke? Haih... Budak ni... Apa pula alasan yang dia nak beri," keluh Dato Muhsin. Kebelakangan ini Khairul bersikap aneh.

"Saya perasaan dia ada balik semalam  untuk mandi dan bersiap ke pejabat. Itu pun tak sampai lima minit terus berderu keluar." Datin Farina meletakkan telefon ke tepi.

Ketika hendak meminta isterinya bancuhkan segelas air, wajah anak sendiri terlayar sesaat. "Muka Khai berlebam."

Dato Muhsin mula berasa tidak sedap hati. Khairul yang dikenali memang suka mencari gaduh tak tentu asal. Sikap egois yang pernah dimiliki dalam diri telah terpahat pada anak sendiri. Tak peliklah jika Khairul yang dibesarkan tanpa kasih sayang ibu bapa gemar mencetuskan masalah.

"Ya? Saya tak sempat nak tilik muka dia."

Turut berlabuh di kerusi meja makan. Lelaki itu mula didatangi banyak sangkaan buruk. "Saya tak tahu apa dia buat dua tiga hari ni... Petang semalam dia menghilang lagi lepas beri surat MC."

"Dia sakit apa pula?"

"Alergik kekacang."

"Oh... Langsung tak beritahu saya..." bebel Datin Farina.

"Tak tahu lah, Farina. Saya hubungi dia dari tadi, takde sambungan. Semua pekerja pejabat dah ditanya, sorang pun tak tahu ke mana Khairul Iddin hilangkan diri." Hatinya masih tidak sedap. Gagal mengesan keberadaan Khairul Iddin dalam tempoh 24 jam, sepertinya jika keadaan terus begini Dato Muhsin perlu membuat laporan polis.

"Khai baru baik demam, kan? Janganlah keluar rumah," ujar Dato Muhsin. Hasrat untuk membuka pagar termati sebaik sahaja Khairul muncul di situ. Pacuan empat roda miliknya terparkir bertentangan dari tempat berdiri anak tunggalnya.

Dato Muhsin tersenyum nipis. Mahu disentuh dahi si hero cilik, beberapa hari ini dia sungguh terkesan.

"Tepilah! Khai benci mama dan papa," kata anak itu. Air matanya jatuh berlinangan. Lihatlah mata Khairul yang membulat dengan pandangan dendam. Bukan diminta segala sakit ini, luka dahulu tidak menyembuhkan hadir pula torehan baharu. "Semua jahat!"

Tangan cuba membuat panggilan kali kesepuluh. Sanubarinya berasa tidak enak. Dia memandang Datin Farina dengan wajah yang terpeta kebimbangan. Digeleng perlahan menjawab pertanyaan isteri yang juga menanti Khairul mengangkat telefon. "Kenapa takde sambungan...."

"Mungkin telefon dia habis bateri." Datin Farina bersangka baik. Kekura tangan Dato Muhsin dielus perlahan. Hendak memujuk gusar di hati suami.

Selang beberapa ketika, Mak teh bersuara. "Tuan, carilah Khairul lagi. Kasihan dia dekat luar sana..."

"Aku dah cari tadi. Tak ada pun dekat sekitar taman perumahan. Mungkin bila dia lapar, dia akan pulang ke sini." Kening yang tidak gatal digaru Dato Muhsin. Nafas halus dihelanya.

"Tuan lupa ke yang Khairul tak pandai cari jalan untuk pulang ke rumah? Dia pernah sesat..." Mak Teh sendiri maklum bahawa anak jagaannya memang tidak pandai berdikari. Makan pun mahu bersuap, baju pun perlu dipakaikan. Manakan Khairul mampu untuk pulang ke rumah tanpa bantuan sesiapa. Kerisauan tidak berkurang sesaat di dadanya. Bergelumang segala kasih dan khuatir atas nama Khairul Iddin.

"Dia dah besar dah. Pandai-pandailah nak hidup," bilang Dato Muhsin. Jauh termenung ke atmosfera ruang tamu. Masalah kian bertambah menimpa rumah tangga mereka yang telah retak seribu.

"Khairul cuma tujuh tahun, tuan. Dia bukan tujuh belas tahun. Khairul tak pandai banyak perkara..." Senyuman nipis Mak Teh terbentuk.

Wanita itu sedikit terkejut apabila tangannya dialihkan Dato Muhsin ke tepi. Dia memandang suaminya yang sudah membuka langkah. "Awak nak pergi mana?"

"Cari anak kita," balas ayah Khairul Iddin itu.

"Dia dah besar panjang. Pandailah tu nak cari jalan pulang," kata Datin Farina. Pada logik pemikiran, Khairul kesayangan mereka bukan lagi anak kecil ataupun budak hingusan. Sudah pandai berdikari membina hidup sendiri.

"Tak." Dato Muhsin tersenyum sumbing. Hati kuat menafikan lontaran sangkaan baik tersebut. "Saya tak nak hilang dia macam mana yang pernah berlaku dulu..."

Biasan mata Dato Muhsin direnung isterinya lalu berkata wanita setengah abad itu, "you're a bit too emotional."

"Saya cuma ada seorang anak."

***

Nadi pergelangan kanan disentuh seorang lelaki dengan penuh berhati-hati dalam posisi bercangkung di tepi sekujur tubuh. Denyutan kuat dapat dirasai menjalar ke ibu jari. Dia pun memandang sahabat di sebelah lalu mengangguk, menyampaikan isyarat bahawa tubuh yang dijumpai mereka ketika dalam perjalanan ke tempat kerja pada pagi itu masih bernyawa.

"Sekejap, aku telefon ambulans."

Keadaan lengan kiri Khairul yang patah riuk berlumuran darah. Kemeja putihnya dikotori tompokan darah dan debu tanah. Disyaki dia telah dipukul di bahu jalan terlebih dahulu sebelum di seret ke tengah jalan. Kesan seretan pada sisi baju yang hampir terkoyak jelas menceritakan tragedi malam tadi.

Bahagian kain baju tercarik kerana dia tidak dipukul dengan tangan kosong semata-mata. Beberapa objek keras dan tumpul telah digunakan samseng pada malam itu untuk melunyaikan tubuh Khairul Iddin tanpa mengambil kira tahap kesihatan lelaki tersebut. Teruk dikerjakan, hingga ke pagi keesokan hari pun tidak tercelik mata biarpun wajah disapa sinar mentari.

Darah luka di dahi pun telah berhenti mengalir dan mengering.

Berombak dada, menandakan dia masih lagi bernyawa dalam tubuh lemahnya.

Bahagian ulnar dan radius di lengan kiri Khairul dikategorikan sebagai open fracture. Kulit lengannya mengalami pendarahan, darah beku dapat dilihat ketika doktor dan jururawat dalam proses merawat.

Implan besi dimasukkan bagi mendokong dua tulangnya yang patah untuk berada di atas paksi. Hentaman tendangan samseng pada malam sebelum benar-benar mematahkan lengan Khairul ibarat ranting kayu yang terpatah dua. Setelah plat dan skru besi diutuhkan, luka koyakan kulit lengan dijahit dengan beberapa jahitan. Kemudian barulah lengan lelaki itu disimen menggunakan plaster of Paris bagi mengelakkan sebarang pergerakan.

Khairul akan kekal lena dalam bius yang mengalir dalam pembuluh darah. Telah didapati tiada pendarahan organ dalaman. Hanya lebam dan luka di lapisan kulit teratas. Beberapa rangkaian kapilari darah halus yang pecah akibat pukulan kelihatan merah kebiruan.

***

Dalam kamus hidup Dato Muhsin, pantang dia dikalahkan sesiapa. Sentiasa saja ingin menjadi pemenang, berlumba-lumba dalam bentangan dunia.

Namun, hanya satu.

Hanya satu yang rela untuk dikalahkan, iaitu untuk dikalahkan anak sendiri. Dia mahukan Khairul menjadi seorang manusia yang jauh lebih hebat daripada dirinya. Baik dalam kerjaya ataupun sahsiah diri.

Kerana hanya itu sahaja anak yang lelaki ini miliki.

Kini, hati bertambah gusar melihat pada langit yang baru menebarkan sinar senja. Betapa buntunya hendak mencari Khairul Iddin di mana lagi. Kedua-dua ulas bibir terkatup rapat. Genggaman pada stereng kereta jatuh ke riba. Sudah mati kutu.

Dato Muhsin telah bertanya pada beberapa kawan Khairul yang berada di sekitar, juga mereka mengkhabarkan sudah lama tidak berhubung dengan tuan muda itu. Sejak kes sabitan merogol, lingkungan rakan-rakan Khairul mengecil. Malah Khairul sendiri tidak mahu berhubung dengan siapa-siapa.

Deringan telefon membawa lelaki setengah abad itu ke alam realiti. Gadget berkenaan dilekapkan ke telinga segera. Hati tidak putus mengharapkan apa-apa perkembangan dari hasil campur tangan pihak polis setempat. Kes kehilangan Khairul Iddin diambil serius dek gagal menghubungi dalam tempoh 24 jam.

"Kami dah menjumpai kereta Tuan Khairul di tol Lebuh Raya Pantai Timur."

Nombor plat kereta Audi R8 yang berdaftar atas nama Khairul Iddin akhirnya tersekat ketika hendak melepasi tol terakhir. Pacuan empat roda hitam legap itu menjadi tumpuan samseng jalanan kerana harganya yang agak lumayan di pasaran. R8 spider akan bermula dengan harga sekitar RM700 ribu, sebuah kereta sport berkualiti tinggi.

"

Khairul ada?" Nama anak sendiri terbit di bibir.

"Maaf, dato'. Bukan Khairul yang memandu kereta ni masa kami buat sekatan. Empat orang lelaki berbangsa Melayu telah ditahan atas sabitan merompak. Insya Allah, bila siasatan selesai kami akan segera hubungi dato'. "

"Okay, terima kasih." Firasat tidak enak Dato Muhsin bertemu jawapan. Kereta anak terunanya telah dicuri. Apakah Khairul disamun oleh empat orang lelaki?

Sungguh dia tidak tahu sama ada Khairul Iddin masih bernyawa mahupun tidak. Andai Tuhan masih mengizinkan Khairul bertaubat, pasti Khairul masih bernafas saat ini. Cuma keberadaannya masih dalam tanda tanya.

***
votexkomen
***

bersambung!! siapa dalang dia agak2??

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro