Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

19 Jenazah

Suatu bunyi bising berpanjangan mencelikkan mata Khairul Iddin. Dia yang terlena di atas sofa satu serangkai menurunkan silangan kaki. Bangkitnya Khairul sedikit terhuyung hayang ke arah katil mak teh.

Langit di luar tidak menampakkan sebarang cahaya, petanda waktu subuh belum menjengah tiba.

Keadaan sepi seketika. Lensa hitam Khairul terpana pada wajah mak teh yang seperti akan pucat selamanya. Barulah disedari bahawa bunyi itu berpunca daripada mesin bersebelahan.

Menyangkakan itu masih lagi mimpi tidurnya buat menyedapkan lara. Khairul tidak menangis, kakinya berlari pantas ke kaunter jururawat pada aras yang sama. Pura-pura kuat di saat itu adalah sukar.

Entah mengapa kesemua jururawat dan doktor bergegas masuk ke bilik mak teh selepas itu. Khairul sedar hujung jemarinya mula menyejuk. Darah sendiri tersekat tak mahu menjalar. Kelu lidahnya tak mampu bertanyakan apa-apa. Dia hanya berdiri di pinggir katil dan melihat doktor memeriksa tahap kesedaran mak teh.

Padanlah waktu isyak semalam, hatinya kuat mengatakan bahawa mak teh telah tiada. Tubuh orang tua itu saja masih di sini, namun mak teh kesayangan Khai telah dijemput Ilahi.

Pembedahan yang mereka jalankan menemu kegagalan. Efek selepas operasi bedah mencengkam isi dan daging mak teh. Barangkali sudah tiba ajal, maka usaha doktor pakar sekalipun tak mampu melawan takdir. Manusia hanya boleh berusaha, namun penentunya ialah Dia yang Esa.

"Masa kematian 3.40 pagi..." Ungkapan keramat seorang jururawat menikam hati Khairul berkali-kali. Kepalanya menggeleng menafikan pendustaan itu.

"Tak, mak teh tak mati lagi," ujar Khairul. Dia tergesa-gesa hendak menolak orang lain menjauhi katil itu. Tidak ada siapa berhak mengacau mak teh yang sedang 'tidur' di mata Khairul.

Satu langkah mara, terus Khairul Iddin jatuh terduduk.

Pada hadapannya terdapat sekujur tubuh yang berselimut menutupi muka. Betapa sukar seorang anak mahu bernafas menerima khabaran bahawa ibunya telah pergi. Seluruh tubuh Khairul menggigil hebat.

"Mak teh..." bisik Khairul. "Mak teh dah janji tak nak tinggalkan Khai..." rintihannya berakhir pada juraian air mata. Sudah tidak kisah jururawat yang lain ingin memandang. Dia memaksa kaki buat utuh berdiri namun tiada berkudrat. Luluh tempurung lutut menghumbam Khairul kembali ke lantai. Dia hilang segala daya kekuatan.

Perginya mak teh merentap separuh nyawa dalam diri Khairul. Hendak berdiri pun lemah apatah lagi mahu berjalan pada keesokan hari.

Air mata Khairul berlinangan di pipi. Hatinya rapuh. "Ya Allah..."

Khairul melirikkan mata ke kiri. Pautan seorang doktor pada lengannya membantu tuk berdiri seketika. Perlahan-lahan merapati birai katil, getaran sebak di dada menyukarkan pernafasan.

Semua yang menjaga aras itu tahu betapa Khairul kasihkan mak teh. Melihat anak yang setia di tepi katil selama ini hilang kudratnya, para jururawat meleraikan ruang buat Khairul.

Tubuh mak teh dipeluk lama. Khairul bernafas melalui rongga mulut. Habis selaput mukus memenuhi hidung, dia teresak-esak seperti anak kecil. Kepala didaratkan pada dada mak teh, tiada pun bunyi degupan jantung yang selalu ada.

Realiti itu sungguh menyakitkan.

Pelukan kali ini adalah yang terakhir. Sisa haba tubuh mak teh cuba dikekalkan Khairul dengan dakapan kasihnya. Namun, masa yang berlalu menyejukkan kulit jasad. Kehilangan haba daripada tubuh mak teh disedari Khairul.

Kian menguat teriakannya.

"Khairul, jangan buat macam ni." Teguran seorang doktor lelaki diabaikan Khairul Iddin.

Satu jam lamanya Khairul menangis di sisi tubuh mak teh yang terlantar tanpa nyawa. Pihak hospital tak mahu ratapan Khairul keterlaluan hingga menyalahkan suratan takdir.

"Nanti susah nak uruskan jenazah kalau badan dah mengeras," katanya lagi.

Khairul mengangkat wajah lalu menoleh ke arah doktor berkenaan. Mata putih lelaki itu memerah kepedihan. "Kau doktor, kan? Kau selamatkan mak aku sekarang." Nada Khairul bertukar bengang tatkala doktor itu memandang sahaja.

"Khairul, istighfar..." pujuk Doktor Rasyid.

"Cepat... Kau rawat mak aku sekarang juga... Mak aku tak mati lagi..." Khairul mengukir senyuman terketar-ketar. Sesaat selepas itu dia kembali ke birai katil dan menggoyangkan bahu mak teh. Lagaknya seolah menggerak sang ibu susuan daripada tidur.

Kain yang jururawat guna buat menutup wajah mak teh diketepikan Khairul.

Doktor Rasyid memerhatikan segala perbuatan Khairul yang mengusap kekura tangan mak teh. "Khairul... Kami dah hubungi Dato Muhsin untuk khabarkan berita ni-"

"Kenapa kau beritahu dia? Dia benci aku... Dia benci mak teh..." Khairul menggeleng tidak mahu. Kedatangan ayah sendiri mengganggu keberadaannya di situ. Jika boleh, hari ini juga dia mahu berpindah ke tempat lain dan hidup bersama-sama mak teh tanpa gangguan sesiapa.

Khairul masih waras buat membezakan realiti dan fantasi. Hanya kerana realitinya terlalu menyakitkan, maka hati menafi segala pertuturan.

Air mata menitis di pipi sekali lagi. Jatuhannya mengenai cadar katil mak teh. Tempurung lutut diturunkan mencium lantai. Khairul tersenyum dalam tangisnya.

***

Seorang pun tidak berani menegur Khairul pada hari itu. Mereka membiarkan Khairul melakukan apa sahaja yang dikehendaki selagi pengebumian jenazah mak teh berjalan lancar. Dari subuh, Khairul turut serta membawa jenazah insan kesayangannya ke masjid berhampiran. Dia menjadi imam pada solat terakhir bersama-sama mak teh. Yang turun ke liang lahad mengusung jasad berkain kapan itu juga Khairul.

Kedua-dua tangan dikotori debu tanah merah. Kaki seluarnya disinsing ke paras betis tak diturunkan. Khairul melangkah ke pagar tanah perkuburan dengan berkaki ayam. Dia sendiri lupa di mana selipar yang dipakai tadi. Fikiran buntu itu tak dapat berfikir dengan baik.

"Ya Allah, kenapa kau ambil mak teh aku? Bukankah aku dah berdoa... Aku dah baca yassin setiap hari supaya Kau berikan kesembuhan pada mak teh..." Hati Khairul menyoal. Terasa dikhianati oleh suratan takdir.

Matahari memancarkan cahaya permai yang tidak menerik. Kebanyakan mereka yang hadir ke upacara pengebumian pembantu rumah Dato Muhsin hanyalah jiran sekitar dan orang-orang masjid. Mak teh tak punya saudara di sini.

Tanah merah menimbun di atas jasad mak teh pada kedalaman satu meter lebih. Itu rumah terakhir mak teh, yang memisahkan Khairul daripada pergantungan selama ini.

"Kenapa Kau tipu aku?" Khairul terus melangkah hingga ke jalan yang berturapkan tar. Suara hatinya bermain-main di fikiran. Air mata sudah kering barangkali, yang tersisa hanya sembapan mata.

"Kenapa Kau ciptakan aku macam ni... Kenapa aku tak dapat keluarga yang sempurna... Aku penat, ya Allah. Aku penat," adu Khairul Iddin. Liur ditelannya kesat. Longgar sahaja lutut menguatkan langkah di sepanjang bahu jalan.

"Tuan, biar saya hantarkan tuan pulang ke rumah." Satu suara menerpa Khairul dari arah belakang.

Kelihatannya Khairul tidak berminat untuk menapak ke rumah sendiri.  "Aku tak ada rumah. Siapa kau?" Serak suara tuan muda ini menandakan betapa sukar detik dan saat itu. Pekerja ayahnya dikerling dengan ekor mata.

"Saya ni pekerja Dato Muhsin. Dato minta saya ikut tuan supaya takde perkara buruk berlaku," terangnya. Setiap gerak geri Khairul hanya mampu diperhatikan Dato Muhsin dari jauh. Ketegangan hubungan anak dan ayah tempoh hari diberatkan pula dengan kematian mak teh. Dato Muhsin menyangka Khairul akan membenci diri itu seumur hidup kelak. Namun, sebagai seorang ayah kebajikan sang anak cuba dijaga. Khuatir Khairul akan memudaratkan diri sendiri asbab kesedihan yang mencengkam jiwa.

Khairul membalas dengan gelengan tidak mahu. Semakin lama berjalan, tenaganya seolah tiba di penghujung. Perut kosong selama dua hari mengehadkan pergerakan fizikal. Mujurlah dia sudah selesai mengebumikan mak teh tanpa apa-apa aral melintang.

"Tuan." Pekerja Dato Muhsin terkejut, segera memapah Khairul yang tiba-tiba sahaja ingin tumbang di bahu jalan. Lengan Khairul dibawa ke belakang leher, separuh berat badan Khairul cuba ditampung dengan baik.

Mereka tahu Khairul kepenatan. Mereka tahu Khairul begitu rapat dengan mak teh sejak kecil. Hari ini adalah hari kedukaan tuan muda itu. Usia Khairul bakal menggenap angka 20 tidak lama lagi, semakin dewasa semakin perit onak duri terbentang di sepanjang laluan.

Apabila tubuh Khairul semakin memberat, hadir lagi seorang lelaki yang tidak dikenali Khairul memaut di sebelah. Dunianya berlalu sungguh perlahan. Dia tidak dapat menangkap panggilan nama sendiri. Untuk mengkoordinasi kaki buat terus utuh pun Khairul tidak mampu. Terasa badannya diusung mereka ke dalam kereta.

Perlahan-lahan kepala Khairul didaratkan pada lantai kusyen tempat duduk belakang. Dadanya beralun perlahan. Mata yang terpejam dicelikkan dengan sisa tenaga.

"Mak teh..." panggil Khairul separuh. berbisik.

Bau ini.

Tidak henti mata melilau ke sekeliling ruangan kereta dalam keadaan berbaring. Sesudah retina disapa wajah redup mak teh, Khairul berasa sedikit tenang. Terlayar keresahannya sebentar tadi.

Dia dapat melihat mak teh yang seolah-olah duduk berhampiran. Yang sentiasa ada di sisi ketika lemah begini. Yang tidak pernah menghinanya di saat yang lain memandang Khairul seperti sampah.

"Mak teh... Khai nak mati juga," bisik Khairul.

Wajah bersih mak teh ditatap Khairul buat beberapa ketika. Tanpa sebarang ungkapan kalimah, kehadiran mak teh sudah mampu menenangkan Khairul Iddin.

Khairul yang comot dengan debu tanah. Matanya sembap dan kepenatan. Terlalu mahukan mak teh di sisi, belaian kasih mak teh terasa ada biarpun hanya halusinasi.

Kelopak mata diturunkan setelah penat membaluti seluruh tubuh.

***

votrxkomen
**

Engkau semakin dewasa berjiwa merdeka, dia pula semakin tua membilang usia...

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro