Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

15 Tangkap

Sepantas kilat khabaran Khairul yang tidak sedarkan diri sampai ke pengetahuan Dato Muhsin pada malam yang sama. Terdiamlah seorang bapa di balkoni rumah. Malam sudah larut, ada baiknya jika dia menguruskan cetusan masalah Khairul di keesokan hari.

"Pelaku yang memukul Khairul sudah ditahan polis untuk keterangan lanjut."

"Baiklah, terima kasih," jawab Dato Muhsin mendatar. Sampaikan pertumpahan darah berlaku di kediaman rumah sewa, sudah pasti ini melibatkan perkara yang besar. Jauh sekali mahu menuduh Khairul melakukan perkara tidak elok. Dato Muhsin pun naif soal anaknya yang liar di luar sana.

Mencuri? Mustahil. Khairul itu punya berpuluh ribu wang simpanan.

Mencabul? Boleh jadi.

Lelaki tua itu melangkah ke kamar kembali lalu menutup pintu dan langsir. Cahaya lampu tidur menerangi sebahagian ruang katil. Kali pertama Khairul diheret ke bilik disiplin adalah kerana kes cabul rakan sekelas. Itu pun sewaktu anak bujangnya berusia tujuh tahun.

Apakah pisang telah berbuah dua kali? Dato Muhsin tidak tahu.

Peristiwa gelap 13 tahun lalu masih terasa kesannya hingga kini. Sebagai seorang bapa, Dato Muhsin sedar khilafnya dalam membentuk satu-satu pewaris keturunan.

Dihantar Khairul ke sekolah private, walaupun bayaran yuran beribu namun Dato Muhsin sanggup juga melabur demi masa hadapan Khairul. Tanggungjawab telah digalasnya baik, kini apa yang tersisa adalah peranan Khairul sendiri. Khairul sudah cukup besar dan matang untuk menentukan yang hak dan batil. Tidak selamanya juga Dato Muhsin akan ada buat mengawal tingkah anaknya.

Satu nombor didail lelaki tua itu.

Masalah sebegini tidak seharusnya dikhabarkan kepada mak teh. Khuatir kesihatan mak teh pula akan merosot. Tepi pelipis diurut lembut.

"Farina, dah tidur?" Sejauh mana mereka  terpisah, hati masih mahukan bekas isteri kembali sebagai peneman hidup.

"Belum. Kenapa call malam-malam ni? Ada apa-apa berlaku?" Naluri seorang ibu laju sahaja menghidu perkara yang tidak elok.

"Khairul tak sedarkan diri di hospital... Dia kena pukul dengan stereng lock."

"Astaghfirullah... Bukan ke dia baik-baik sahaja siang tadi?"

Dato Muhsin mengangguk lemah. Anak seorang pun begitu susah hendak dijaga. "Ya, sebelum bertolak ke Kuala Lumpur anak kita elok sahaja. Entahlah apa yang berlaku. Katanya sebab bergaduh..."

"Di mana dia bergaduh?"

"Dalam kawasan rumah sewa. Kawan satu kuliyah dia juga yang pukul... Polis dah tahan budak lelaki tu. Keadaan Khairul stabil, kepala dia dah dijahit. Mujurlah tak ada darah beku dalam tempurung. Kalau tak... kena bedah pula."  Dalam perancangan, keesokan hari mahu bertolak ke hospital dan juga balai polis. Tidak tahu seteruk mana keadaan Khairul yang sebenarnya.

"Awak... Saya nak jumpa Khairul..."  Sayu permintaan Datin Farina di hujung talian.

"Saya memang tak mampu nak paksa dia... Mungkin kalau mak teh yang kata, dia akan berlapang dada." Kasihan pada si ibu kandung yang langsung tak dipandang anak. Kaki diselitkan di bawah selimut.

"Mak teh sihat hari ni? Saya pun nak jumpa mak teh juga untuk minta maaf."

Matanya merenung ke luar jendela sepanjang perbualan dengan mantan isteri. "Mak teh sakit perut lagi... Semalam Khairul bawa mak teh ke hospital untuk buat pemeriksaan. Doktor kata mak teh hidap kanser usus. Lagi tiga hari, akan ada pembedahan. Farina, datanglah berbaik dengan Khairul. Awak tahu kan betapa rapatnya Khairul dan mak teh? Kalau terjadi apa-apa nanti... Saya bimbang Khairul akan berputus harap untuk hidup."

Dato Muhsin tidak menafikan betapa akrabnya Khairul dengan sang pembantu rumah sejak kecil. Bahkan Khairul lebih mendengar kata mak teh berbanding dirinya ini.

"Mak teh kanser? Astaghfirullah..."  Satu lagi kejutan menyapa Datin Farina.

"Iya...  Kejadian malam ni saya tak ceritakan lagi pada mak teh," kata lelaki tua itu.

"Janganlah cerita... Biar Khairul yang ceritakan sendiri. Takut tindakan kita lagi keruhkan keadaan pula."

Apa yang dikatakan Datin Farina itu ada benarnya. Waktu melewati, banyak perubahan dibuat ibu kandung Khairul ini. "Itu yang saya fikir juga. Esok hari saya nak berangkat ke Kuala Lumpur. Awak nak pergi sekali?"

"Siapa jaga mak teh di rumah?"

"Asyilla... Anak kawan awak," jawab Dato Muhsin. Anak dara rakan karib mereka sepertinya menyimpan hati pada Khairul dalam diam.

"Lupa pula... Asyilla pun ada beritahu saya yang dia akan selalu jenguk mak teh sebab Khairul yang minta. Kalau boleh, saya nak ikut awak untuk ziarah anak kita..."

Bibir Dato Muhsin mengoyak senyuman senang. Barangkali ini ialah tahun kesembuhan yang mana luka dalam rumah tangga bakal terpulih jua. "Pukul lapan pagi esok saya akan jemput awak di rumah."

***

"Mak teh..." Desiran suara Khairul kedengaran sedang matanya terpejam. Bahagian kanan kepala membengkak, begitu jua dengan mata kanannya yang menerima sedikit kesan.

Tidak sedar sudah berapa lama terlantar di atas katil hospital. Lelaki itu memaksa diri buat mengangkat kelopak mata. Pukulan maut Andi pada kepalanya masih berdenyut hingga ke saat itu. Disentuh punca sakit, hujung jemarinya dipertemukan dengan balutan kepala.

"Khai," sapa Datin Farina. Lengan anaknya diusap buat menyedarkan si bujang itu akan kehadirannya.

Perlahan-lahan Khairul berpaling ke sisi kanan katil. Dia masih terpinga-pinga melihat keadaan sekeliling. Bau ubatan membaluti reseptor hidung, segalanya putih dan senada.

"Hari ni hari apa? Berapa hari bulan?" Itu pertanyaan pertama yang terbit daripada bibir Khairul Iddin.

"Hari selasa, 10 hari bulan," jawab Datin Farina.

Tangannya berpaut pada birai katil, tubuhnya dipaksa untuk bangkit. Walaupun kepala masih berpinar-pinar, dia ralik mencari kunci kereta di poket seluar dan baju. Sedar-sedar sahaja ini bukanlah baju biasa tetapi persalinan hospital. Dipandang wajah Datin Farina kembali. "Khai dekat mana ni?"

Barulah celik minda itu. Sekali lagi keadaan sekeliling dianalisa sepintas lalu. Ingatan kejadian malam tadi masih kabur pada lelaki itu.

"Hospital... Khai kena pukul. Rehatlah dulu... Mama panggilkan doktor, ya?" pujuk sang ibu. Lengan Khairul diusap lembut.

Jawapan Datin Farina menimbulkan kerutan di dahi Khairul. Pada wajah Khairul saja menceritakan bahawa dia tidak hairankan jahitan di kepalanya. "Mana mak teh?"

"Mak teh ada di rumah. Dia tak tahu soal ni," jujur Datin Farina bersulamkan senyuman nipis. Hingga ke saat itu pun Khairul Iddin masih akan menyebut nama mak teh apabila bangkit di hospital, tak ubah seperti 13 tahun yang lalu.

Tiba-tiba sahaja Khairul Iddin mendaratkan kedua-dua kaki menjejak lantai. Biar pun tidak kuat mana lagi, hatinya memaksa segala tindakan saat itu.

"Khai, nak ke mana?" Datin Farina agak terkejut, segera menghalang peha Khairul daripada bangkit.

"Nak balik... jumpa mak teh," bilangnya.

"Mak teh baik-baik sahaja dekat rumah... Khai tak sihat lagi ni. Jangan paksa diri, nanti makin teruk pula."

Nasihat itu ditolak Khairul dengan gelengan. Rasa rindunya pada mak teh makin menjadi-jadi. Ditambah pula kerisauan yang membadai jiwa sejak mengetahui penyakit mak teh, maka tidak ada apa yang melekat di fikiran melainkan soal mak teh sahaja. "Hari ni hari apa? Khai kena hantar mak teh ke hospital."

"Khairul Iddin, tarik nafas. Hari ni hari Selasa..." Tidak henti-henti Datin Farina memujuk anak tunggalnya.

Wajah diraup perlahan.  "Selasa..."

Sedetik dua berlalu tanpa suara. Khairul termenung sebentar sebelum tubuh dijatuhkan kembali atas katil. "Mak teh..." bisiknya. Lengan kanan dinaikkan ke atas kelopak mata.

"Khai," panggil Datin Farina perlahan. Terasa kehadirannya umpama tunggul sahaja. Begitu rapatnya mak teh dalam diari hidup Khairul hingga menghapuskan watak ibu kandung.

"Mana kunci kereta dan telefon..." soal Khairul melirih. Matanya masih terpejam mengumpulkan tenaga sebelum bangkit berdiri. Lemah sahaja kerdipannya.

Gagauan wanita itu dalam tas tangan membawa keluar dua barang yang dikehendaki Khairul. Diletak kunci kereta dan telefon bimbit berhampiran bantal anaknya berbaring.

"Semalam Khai kena pukul... Pihak polis dah tahan kawan Khai," bilang Datin Farina tanpa dipinta. Dia menyangka bahawa Khairul kabur lagi ingatannya. Sudahlah dipukul dengan pengunci stereng kereta hingga tersembur banyak darah.

"Mana papa?" potong Khairul. Sel otaknya seakan-akan berhubung. Wajah berang Andi menerjah ke lensa mata, liur tertelan kesat. Kiranya Khairul masih belum dapat menyedari bahawa Dato Muhsin bakal mengetahui segala kegiatan kotornya melalui mulut Andi. Pelbagai masalah sedang beratur buat menghimpit lelaki ini dalam tidak sedar. Baran sang ayah yang sudah lama tidak terusik pun akan diuji nanti.

"Papa uruskan kes ni di balai polis. Entah dah sudah atau belum..." Datin Farina melihat sahaja wajah anak bujangnya. Betapa rindu itu hadir apabila berdua begini. Namun, wanita itu memilih buat memendam sahaja.

"Khai nak balik Kuantan." Betapa Khairul malas hendak memikirkan soal pergaduhan tempoh hari. Pandai-pandailah Andi menghadap segala pertuduhan di balai polis. Berlagak mahu mengamuk, apa dia tidak sedar bahawa Khairul boleh membuat dia meringkuk di dalam penjara?

"Jangan... Khai tak okay lagi. Kalau Khai betul-betul nak balik, biar papa dan mama yang hantarkan." Kedegilan Khairul ini perlu ditahan juga. Datin Farina melarang keras dek bimbang soal keselamatan anaknya. Jarak Kuantan dan Kuala Lumpur bukanlah dekat. Banyak liku lebuh raya perlu direntasi.

"Khai nak jumpa mak teh," jawab Khairul yang seakan-akan telah naik rimas. Kerutan wajah pun menandakan bahawa dia sedang serabut. Mujur sahja tenaga Khairul terbatas, jika tidak pasti Datin Farina akan ditengkingnya.

"Iya, sabar... Mama kan ada? Nanti kita balik sama-sama," kata Datin Farina.

"Khai tak perlukan mama," bisik lelaki itu tanpa memandang wajah sang ibu. Dia lebih menghiraukan keadaan orang gaji di rumah. Perlahan-lahan merebahkan badan ke tilam dan akhirnya mendaratkan kepala yang berbalut.

Tersenyum dan memerhatikan anak tunggalnya tanpa melakukan apa-apa. Sekarang ini pun Khairul kelihatan kusut, apatah lagi hendak cuba melunturkan hati yang sekian lama mengeras. Datin Farina bangkit berdiri, hajatnya hendak memanggil doktor buat memeriksa tahap kesihatan Khairul.

***


Mak teh berdiri terpacak di hadapan pintu utama rumah sebaik sahaja mendengar bunyi deruman enjin kereta milik Dato Muhsin. Lama sungguh tuannya ke tempat kerja. Semalam pergi, petang keesokannya pulang. Sungguh mak teh tidak menjangka matanya akan disapa dengan Khairul Iddin yang sedang dipimpin Dato Muhsin buat melangkah keluar perut kereta.

Keadaan Khairul yang kelihatan tidak bermaya mengejutkan hati orang tua itu. Lantas dia mendapatkan anak asuhannya. Tak banyak pun bertanya, mak teh menghulurkan bantuan untuk memimpin lengan Khairul hinggalah ke dalam rumah besar berkenaan.

Setelah langkahan mereka berdua tiba di sofa tiga serangkai, Khairul Iddin perlahan-lahan berlabuh di situ. Terlepaslah segala penat di atas jalan raya selama beberapa jam.

Kepala berbalut Khairul disentuh mak teh dengan hujung jari. Wajahnya yang berkedut bertukar sedih dengan sendiri. "Kenapa ni..."

"Kawan pukul," kata Khairul separuh berbisik. Kekura tangan mak teh disalamnya lalu dia tersenyum nipis. "Mak teh janganlah sedih."

"Teruk ni..." Mak teh meneliti efek kesan pukulan yang dimaksudkan. Sebahagian kawasan mata kanan Khairul seakan membengkak jua.

"Tak apa. Khai dapat MC, boleh balik rumah jumpa maak teh," ujar Khairul. Hendak senyum panjang-panjang pun mukanya pula terasa terik. Maka dia menyedapkan hati orang tuanya dengan memegang kedua-dua kekura tangan mak teh. Lutut mereka saling bertemu menandakan kedudukan rapat di sofa.

"Tak naklah MC macam ni... Siapa pukul Khai? Kenapa tak kawan elok-elok?" Kegusaran mak teh hampir menitiskan mutiara jernih. Bencinya dia melihat insan kesayangan terluka. Cukuplah si kecil Khairul pulang ke rumah dalam keadaan hidung yang berdarah. Tak mahu perkara buruk lagi.

Dato Muhsin mendarat di bahagian sofa yang bertentangan. "Kawan serumah dia sendiri yang pukul... Saya dah lepaskan pemukul tu pergi."

"Papa lepaskan dia?" Langsung Khairul menoleh ke arah Dato Muhsin. Dikira Dato Muhsin akan menyaman anak kelahiran Sarawak berkenaan.

"Ya..." Lelaki tua itu menanggalkan jam. di pergelangan tangan sebelum membalas pandangan anak jantannya yang suka menimbulkan onar.

"Papa patut saman dia. Kepala Khai ni rasa nak pecah kena tetak dengan dia," balas Khairul.

"Dia layak buat macam tu pada kau. Kalau bukan dia yang buat, silap hari bulan aku yang akan tetak kepala kau." Nada lembut Dato Muhsin habis menghilang. Kini tinggallah amarah yang cuba untuk ditahan. Sepanjang dalam pemanduan, sepatah pun Dato Muhsin tidak meluahkan isi hati yang perit menerima kenyataan. Kegiatan syaitan Khairul yang suka meniduri perempuan telah pun sampai ke pengetahuan seorang ayah.

Khairul mengalihkan pandangan. Hati berasa tidak enak lagi. "Usah percayakan kata-kata dia. Papa belum lagi dengar keterangan Khai."

"Aku akan lebih percaya cakap orang luar kerana mereka semua yang memerhatikan apa anak aku buat di luar sana. Aku tak ada dengan kau di kolej... Aku tak tahu apa kau buat belakang aku." Makin dicakap, hati Dato Muhsin makin bengang.

Mak teh di sebelah Khairul tidak memahami isunya. Namun, dia memilih untuk berdiam sahaja. Atmosfera kian menerik.

Khairul meraup kepala perlahan. Pandangannya kembali kelam. Tuan muda itu belum cukup kerehatan. Tekanan Dato Muhsin ke atasnya memberikan sedikit kesan.

"Khai..." bisik mak teh, lebih kasihankan Khairul yang belum sembuh. Mak teh tak mahu berteka teki soal onar cetusan Khairul ini.

Dato Muhsin bingkas berdiri dan menjeling anak lelakinya. "Nasib baik mak kau pujuk aku supaya tak mengamuk dekat hospital, kalau tak... bertambah lagi jahitan kepala kau." Lelaki tua itu membuka langkah mahu memasuki kamar sendiri. Kecewa seorang bapa mencengkam rasa.

"Nak naik bilik? Khai kena baring ni..." Terlebih mengerti apa yang dirasai Khairul. Mak teh mengusap sahaja lengan kekar lelaki itu.

Khairul menggeleng sekali dua. "Nak duduk dalam bilik mak teh," pintanya. Mahu menumpang kasih di sisi ibu susuan.

Lagilah mak teh senang. "Boleh."

Langkah Khairul harus dipimpin dek khudrat yang menipis. Mereka melintasi kawasan dapur sebelum tiba di bilik orang gaji rumah yang berhampiran dengan bilik dobi. Katil bujang mak teh menjadi tempat Khairul beristirehat pada petang itu.

"Wanginya..." Ketika mahu berbaring, hidung Khairul menangkap satu bau. Dia mula tercari-cari jambangan bunga tempoh hari.

Mak teh memuncugkan bibir ke arah sebuah pasu putih di atas kabinet pakaian searas pinggang. "Ada boyfriend bagi mak teh," katanya. Punggung berlabuh di tepian birai katil.

Senyuman nipis Khairul terukir manis. Betapa selesanya di atas katil mak teh. Bau kegemarannya juga membaluti reseptor, inilah bau wangian mak teh. "Khai nak tidur sekejap dekat sini... Nanti bila maghrib, Khai bangkit ya? Kepala Khai rasa berat."

Khabar tidak baik Dato Muhsin telah tiba. Andi dibebaskannya, Khairul pula bakal diberikan hukuman. Sejujurnya, Khairul sendiri tidak tahu apa bahana menanti. Apakah sang ayah akan memukul tubuh itu seperti sewaktu kecil?

***
votexkomen
***

Agak-agak Dato Muhsin nak buat apa?

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro