Gadis Misteri dari Kolam Biru
Sayang tekukur digulai lemak,
Sayang selasih saya luruskan,
Biar payah menulis menempuh onak,
Sayang kasih bintang 🌟 diberikan ⬇️
SANG MENTARI masih gah diufuk timur, sang rembulan masih setia menemani sang mentari pagi. Kaloi-kaloi sudah jauh bergerak ke hulu mencari pasangan masing-masing, manakala muzikal hutan masih riang bernyayi disebalik pepohon gaharu dan cendana.
Kalakian itu, perjalanan Putera Kentang ke kawasan hulu sungai diteruskan. Dengan meranduk sungai yang sebelum ini dipenuhi dengan ikan-ikan kaloi yang sedang bermigrasi ke kawasan hulu, Putera Kentang juga sempat melihat-lihat singkapan-singkapan batuan yang dipenuhi telerang-telerang kuarza sambil mencerap singkapan terbabit . Manalah tahu jika dia terjumpa seakan-akan mineral indikator kepada bahan-bahan bumi yang berharga.
Semak samun yang tumbuh disekitar kawasan tebing sungai terbabit juga turut ditebas oleh si Petir dan si Guruh bagi memberi keselesaan kepada putera raja terbabit. Ini juga bagi memudahkan penduduk kampung yang mencari rezeki dan makanan harian mereka dengan menjala ikan ditebing - tebing sungai terbabit.
Sesampai sahaja Putera Kentang dikawasan bongkahan batu-batuan yang besar, dia terdengar seperti suatu alunan suara yang mengasyikkan dan merdu juga jika diamati. Lenggok suara nya tidak ubah seperti Shila Amzah menyanyikan lagu 'Perigi Biru'. Ada nada-nada kesantunan dalam bait-bait puitis lagu berkenaan. Terdapat juga nada - nada kesedihan dalam tona suara si pelatun lagu terbabit.
Putera Kentang, si Guruh serta si Petir perlahan-lahan mendekati kawasan bongkahan batu terbabit. Bunyi-bunyian nyanyian merdu semakin mendekat. Terasa seram sejuk ketiga-tiga jejaka bujang terbabit. Manalah tahu ada sang puteri bunian yang sedang bersiram dan mereka hanya mengganggu puteri bunian terbabit. Riak wajah si Guruh dan si Petir tiba - tiba berubah tika memikirkan hal itu. Jelas terpancar perasaan keterujaan dan kegembiraan ketika mengendap-ngendap disebalik bongkahan batu-batu terbabit. Dasar jantan keparat, gatal!
Dari kejauhan, dapat dilihat seorang gadis manis, berkulit putih mulus, rambutnya ikal panjang hingga ke pinggang, hanya berkemban berkain batik basahan, sedang duduk termenung sambil membaling nasi melukut dengan sayur keladi disisi kolam yang airnya berwarna biru terbabit, sambil menyanyi duka.
Putera Kentang terpana, jantungnya tertusuk bak sembilu kasih, degup kalbunya berlagu riang seakan-akan menyanyikan lagu 'Oolala Tropika', matanya tertacap dengan kejelitaan sebuah ciptaan tuhan. Cerminan cahaya sang suria oleh air tasik biru yang terkena tepat ke permukaan wajah mulus gadis misteri terbabit menjadikan paru-paru dan limpa Putera Kentang terpaut erat, organ-organ dalamannya seperti mahu terkeluar.
"Siapakah gadis misteri terbabit yang telah mencuri hati patik ini. " bergema suara kecil dari lubuk hati Putera Kentang yang paling dalam, tidak terselam.
Si Guruh dan si Petir hanya mampu bernyanyi alunan 'Nakal Nakal Nakal' oleh Ayda Jebat didalam hati masing-masing.
Sungguh nakal sekali.
***
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro