Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 4 🌸

Kepada Farah Delaila,

insan yang sentiasa memegang title Mrs. Hadiff dalam hati aku.

Assalamualaikum. Waktu kau baca surat ini mesti kau tengah sedih yang teramat sangat. Aku pasti itu. Aku minta maaf sebab aku tak dapat menjadi suami seorang Delaila macam yang aku cakap. Bukan apa... cuma aku... aku tak mampu dah. Tak mampu nak bertahan melawan penyakit ini. Setiap hari rasa sakit ini menyerang. Sakitnya, hanya Allah saja yang tahu Lela.

Kanser otak ini sebenarnya dah lama Lela. Aku sengaja simpan sendiri sebab aku tak nak orang yang aku sayang iaitu kau rasa sedih. Cukuplah senyuman kau, gurauan kau dan telatah kau yang selamba habis itu sebagai ubat penguat untuk aku terus bertahan.

Ingat lagi betapa aku risaukan kau di cafe dulu? Sampai nak cepatkan pernikahan kita? Rasa risau ini bukan hanya untuk kau tetapi juga untuk diri aku sendiri. Aku takut aku tak sempat nak melindungi kau. Kata-kata kau pada petang itu mula menyedarkan aku. Kalau aku pergi dulu pun, aku tahu yang Delaila aku takkan keseorangan. Sebab apa? Sebab dia ada Dia Yang Maha Menjaga.

Jujur aku cakap, waktu kau ajak aku kahwin di tasik dulu hati aku rasa nak melonjak tinggi. Tak sangka bulan jatuh ke riba itu benar-benar berlaku. Tak sangka juga Farah Delaila yang aku tunggu selama ini jadi milik aku. Aku terima kahwin dengan kau bersebab Lela. Pertama, sebab kau memang pemilik hati aku. Kedua, sebab rasa sayang dan cinta ini memang Dia campakkan dalam hati aku untuk kau. Cuma... aku tak sempat nak menzahirkannya.

Walau apapun yang terjadi, aku harap kau tabah dan sabar. Kau ada Dia. Jangan jadikan kehilangan ini sebagai penghalang untuk kau terus melangkah. Aku hanya mampu berdoa kau akan bertemu dengan orang lain yang lebih baik daripada aku. Pastinya orang itu ialah dia yang sangat bertuah kerana memiliki kau.

La Tahzan, Farah Delaila...

Daripada,

Diff

Kertas saiz A4 itu aku lipat lalu disimpan dalam laci. Sisa-sisa air mata dikesat dengan hujung lengan jubah hitam yang tersarung di badan. Upacara pengebumian jenazah Diff baru sahaja selesai. Masing-masing turut dirundung kesedihan dengan pemergiannya. Ahli keluarga Diff pun tak menyangka yang penyakit itu disorokkan daripada pengetahuan mereka.

Tipulah kalau aku kata rasa sayang ini tak bercambah untuk Diff. Sepanjang tempoh pertunangan kami, Diff memang betul-betul ambil berat pasal aku. Nama dia memang dah terpahat dalam hati aku.

Dan... aku tak tahu macam mana nak lalui hari mendatang tanpa dia.

Saat ini, segala pesanannya yang dititipkan malam tadi serta-merta terlayar di ruang fikiran. Aku pejamkan mata, cuba rasai kembali kenangan bersama Diff. 

"Aku nak pesan, selepas ini kau tak boleh balik lewat dah. Tepat 4.30 petang, kalau dah habis kelas kena terus balik rumah. Kau tu perempuan, jangan nak berlagak jadi lelaki. Konon-konon pandai jaga diri. Kalau macam itu, apa guna ada suami? Lagi satu, selepas ini pun jangan halang orang untuk risaukan kau. Ingat, risau tanda sayang. Dan aku sayangkan kau... sangat-sangat."

"Esok hari yang paling bermakna, so aku kena rehat yang cukup. Kau pun, semoga bersedia menghadapi hari esok. Bye, Lela. Sweet dreams."

Semakin laju air mata mencurah keluar daripada tubir mata. Ya Allah, ini ke yang Diff maksudkan? Hari yang paling bermakna... Hari dirinya diambil nyawa dan pergi jauh meninggalkan dunia. Pesanan yang mengiringi juga bagaikan pesanan kali terakhir. Meminta aku bersedia, menghadapi kehilangannya yang tak terjangka. 

Ya Allah... Aku tersandar lemah di kepala katil. Cincin tunang yang dibeli oleh Diff dulu dibawa rapat ke dada. Sungguh banyak memori yang telah tercipta. Walaupun pada awalnya, perkahwinan ini dirancang semata-mata untuk memenuhi kepuasan ibu dan ayah yang teringinkan menantu. Namun siapa sangka, Diff dan sikap pelindungnya buat aku rasa dihargai dan sentiasa disayangi. 

Jari aku yang masih berinai merah ditatap lama. Air mata jatuh menitik lagi. Cepat-cepat aku lap dengan ibu jari. Teringat aku pada pesanan arwah Diff. Aku tak boleh lemah. Aku tak boleh sedih. Lagipun, aku bukan keseorangan. Aku ada Dia. Keyakinan dan kekuatan aku salurkan kepada diri sendiri.

Perlahan-lahan dengan langkah yang lemah, aku bergerak menghampiri segala hantaran yang tersusun di tepi ruang bilik yang telah dihias indah. Barang-barang itu aku ambil dan masukkan ke dalam laci kemudian dikunci. Semua ini hanyalah kenangan yang dah berlalu. Tak perlu untuk aku kenang insan yang dah pergi buat selama-lamanya. Cukuplah dengan doa dititipkan buat Diff.

Khairul Hadiff.

Terima kasih kerana pernah mencintai dan berusaha untuk menjadi pelindung aku. Semoga kau tenang di alam sana, cik tunang kesayangan Delaila. Aku sentiasa di sini, mendoakan kesejahteraan kau di sana.




Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro