BAB 35 🌸
"What are you doing, girl? "
Pintu bilik kini terbuka. Sesusuk tubuh Muz kelihatan sedang berpeluk tubuh sambil bersandar di muka pintu. Wajahnya beku tanpa sebarang riak. Lama kami berbalas pandang. Aku bangun, segera meletakkan buku hitam di tangan kembali di tempat asal.
Renungan tajam daripada lelaki itu cukup untuk menimbulkan rasa gugup. Tanpa berfikir lagi, aku mengatur langkah meninggalkan bilik yang terasa sesak dengan kehadiran Muz. Belum sempat aku mencapai tombol pintu, dia terlebih dahulu menutup pintu bilik dengan sebelah kaki lalu dikunci.
Aku memandang Muz bersama tanda tanya. Apa yang dia cuba lakukan?
Kemudian, tanganku ditarik menurut langkahnya untuk duduk di tengah-tengah katil. Riak lelaki itu masih selamba malah langsung tidak peduli dengan pandangan pelikku terhadapnya. Apa lagi, mulalah aku rasa tak sedap hati.
"Muz, saya minta ma..." Tak sempat aku menghabiskan kata, jari telunjuk Muz melekap di bibir membuatkanku automatik terdiam. Bibirku terkunci.
"Apa yang awak fikirkan sewaktu baca buku itu?" Muz merenung tepat ke dalam anak mataku. Buat ke sekian kalinya, dada berdegup kencang dan air liur sudah bergelen ditelan.
"Lela... please. Tell me," pinta Muz lagi. Menghalang niatku daripada terus berdiam diri.
"Siapa awak sebenarnya? Macam mana awak... boleh tahu semuanya tentang Diff?" Bergetar suara tatkala aku cuba memberitahu apa yang terlintas di fikiran. Rasa sebak tiba-tiba hadir.
Sewaktu pertama kali Muz menyebut nama Diff di rumah ibu dulu mungkin dia dapat tahu tentang hubungan kami melalui Kak Tim. Tetapi setelah melihat isi kandungan buku hitam Muz, aku dapat rasakan ia lebih daripada itu.
Muz tertunduk lama. Kelihatan seperti dia cuba mengumpul kekuatan. Genggamannya pada tanganku turut dieratkan. Aku hanya membiarkan. Aku perlukan penjelasan sekarang. Diri ini sudah tak mampu hidup lagi dalam teka-teki yang tak berpenghujung.
Lelaki itu mengangkat kepala menjadikan pandangannya lurus menghadapku.
"Salam sayang wahai yang dirindu. Mungkin kita tak pernah bersua apatah lagi bertemu, cukuplah engkau tahu bahawa detak nadi ini sentiasa mengukir namamu."
Berderau darahku tatkala mendengar bait-bait kata itu lancar meniti di bibir Muz.
"Salam sayang wahai yang dirindu. Cinta dalam sebait kata, semua tak seperti yang diharapkan. Cinta hanya ada dalam mimpi. Cinta hanya ada dalam hati. Cinta hanya terungkap dari tulisan ini. Aku harap kau mengerti. Secebis perasaan yang kini membuai diri."
Setitik demi setitik air mata mengena pipi. Mengalir laju tanpa dapat ditahan lagi. Badan terasa lemah tatkala minda ligat mentafsir sebuah hakikat. Siapa lagi yang tahu tentang isi surat itu kalau bukan si dia?
"Maafkan saya Lela sebab tak pernah beritahu perkara sebenar. Maafkan saya sebab meninggalkan awak tanpa pesan. Maafkan saya membiarkan awak dalam penantian. Maafkan saya, sayang. Maafkan saya."
Lelaki itu tertunduk lemah. Aku mengetap bibir menahan rasa hati yang semakin berkecamuk mendengarkan pengakuan Muz. Siapa sangka rupa-rupanya Muz ialah si dia yang dinanti?
"Awak tahu tak betapa sakitnya menunggu? Lima tahun, Muz! Lima tahun saya menunggu khabar berita daripada awak. Tapi awak? Hilang macam itu je! Awak kejam! Awak pergi tinggalkan saya setelah awak buat saya jatuh dalam cinta awak. Selepas lima tahun, tiba-tiba awak muncul depan mata saya. Buatkan saya jatuh cinta sekali lagi. Lamar saya, janji untuk bahagiakan saya. Tapi tengoklah sekarang. Apa yang awak dah buat? Awak memang kejam! Awak seksa saya atas kesilapan yang saya tak lakukan."
"Bagitahu saya Muz, salah ke untuk saya buka hati terima Diff setelah hidup dalam penantian? Salah ke? Saya dan arwah Diff langsung tak bersalah dalam hal ini. Hakikatnya, semua ini berpunca daripada awak, Muz! Awak lelaki pengecut! Tak berani nak lafazkan perasaan cinta awak. Tatkala Diff hadir dalam hidup saya, bahagiakan saya, lindungi saya, awak mengharapkan semua itu tak kekal lama. Awak ini manusia jenis apa? Saya kecewa dengan awak, Muz." Aku menggeleng kesal.
Dada terasa sesak. Bukan mudah untuk mengeluarkan isi hati yang terpendam sekian lama. Tiada siapa yang tahu, tiada siapa yang mengerti. Perkara ini tidak pernah aku ungkit di hadapan sesiapa pun. Termasuklah ibu, ayah serta Kak Tim.
Kisah lima tahun lalu. Ketika di kampus, aku sering menerima surat misteri daripada seseorang. Kata-kata dalam tintanya cukup indah sehinggakan mudahnya hatiku terpaut walaupun aku tak pernah bersua muka dengan si dia. Setiap dua bulan pasti sampul surat berwarna coklat pudar itu menyapa pintu locker. Namun, semua itu tak kekal lama. Tatkala aku mabuk dilamun cinta, si dia pergi. Surat terakhirnya dibiarkan dengan kata yang tergantung. Sejak itu, tiada lagi bicara indah, tiada lagi madah cinta.
Dialah penyebab semua lamaran yang mendatang ditolak tanpa ragu-ragu. Sering kali aku bertegas pada diri. Hanya si dia yang layak menerima hati ini. Ya, aku tahu aku bodoh kerana mengharapkan sesuatu yang tak pasti. Namun, penantian itu berakhir dengan kehadiran Diff. Lelaki yang tanpa sedar mencairkan hatiku dengan sifat pelindungnya, dengan kasih sayangnya yang tulus ikhlas tanpa berbelah bagi.
"Ya, saya mengaku saya salah. Saya ego, saya pengecut dengan diri saya sendiri. Saya tak luahkan perasaan cinta saya terhadap awak dan hanya berharap semoga awak mengerti sendiri. Saya lakukan semua ini bersebab, Lela. Saya sedar diri ini tak layak untuk seorang Delaila."
"Ap... apa maksud awak?" Dahiku berkerut hairan. Apa lagi rahsia yang bakal tersingkap?
"Saya... Tuan Salahuddin Muzaffar Shah Al-Din bin Tuan Muhammad Alam Shah Al-Din. Untuk pengetahuan awak, saya bukan anak kandung ayahanda dan bonda. Hakikatnya, saya hanyalah anak susuan dalam keluarga mewah itu. Asal saya bukan dalam kemewahan tetapi dalam kemiskinan dan kehinaan. Ibu dan ayah kandung saya sendiri buang saya malah saya ditinggalkan untuk dijaga oleh seorang nenek tua. Saya dibesarkan di sebuah rumah pondok di kawasan pedalaman yang jauh dari bandar."
Tipulah andai aku tak terkejut. Sesiapa yang memandang pasti tak sangka rupa-rupanya keluarga ini menyimpan kisah hitam sendiri. Rupa-rupanya di permulaan, mereka langsung tiada sebarang pertalian.
Muz terhenti bicara. Air mata miliknya menitis di pipi namun pantas diseka dengan belakang tangan. Nafas dihela sebelum menyambung cerita.
"Ketentuan Allah, DIA temukan saya dengan ayahanda yang pada waktu itu menjadi sukarelawan memberi bantuan untuk penduduk kawasan pedalaman. Ayahanda nampak nenek jaga saya dengan penuh susah payah. Hati dia tergerak untuk bertanya dan nenek menceritakan segala-galanya."
"Kata nenek, pada suatu malam pintu rumahnya diketuk. Apabila nenek menjenguk ke luar, ada seorang bayi yang sedang menangis. Di sisinya pula terdapat sebuah beg penuh dengan kelengkapan. Turut disertakan dengan sijil lahir saya dan pelbagai dokumen penting. Nenek pun turut menjumpai sepucuk surat daripada ayah dan ibu kandung saya. Kandungan surat itu menjelaskan bahawa saya memang anak yang terhasil daripada hubungan yang halal cuma saya dibuang kerana perbezaan darjat. Ibu datang daripada keluarga orang biasa. Ayah pula berlatarbelakangkan darah bangsawan."
"Mereka kahwin senyap-senyap tanpa pengetahuan keluarga masing-masing. Saya terpaksa dibawa jauh kerana keluarga ayah mengugut hendak membunuh saya yang pada waktu itu baru lahir ke dunia. Keluarga ayah tak dapat menerima hasil perkahwinan ayah dengan orang biasa. Mereka hanya nak keluarga yang setaraf."
"Tanpa banyak soal lagi, ayahanda terus ambil keputusan untuk jaga saya dan bawa saya balik. Pada waktu yang sama, bonda baru lepas mengalami keguguran dan disahkan tidak boleh mengandung lagi. Ayahanda kata pada bonda, Allah hadirkan saya dalam keluarga ini sebagai peluang untuk mereka bergelar ibu bapa. Ayahanda minta supaya bonda susukan saya dan mereka sama-sama menjaga saya seperti anak sendiri. Sampai sekarang... bonda dan ayahanda dah jadi sebahagian dalam hidup saya. Tatkala darah daging sendiri sanggup memilih untuk membuang dan membunuh, masih ada ayahanda dan bonda yang sudi ambil saya dan belai saya dengan penuh kasih sayang."
"Namun, saya masih rasa rendah diri kerana asalnya saya orang luar. Saya tak layak terima semua ini. Percayalah cakap saya. Tanpa ayahanda dan bonda, saya bukan Muzaffar Shah seperti yang awak lihat sekarang. Saya tak layak untuk awak, Lela. Kehidupan awak lengkap dengan kasih sayang ibu dan ayah. Sedangkan saya? Hanya menumpang kasih ayahanda dan bonda. Oleh sebab itu, saya memilih untuk pergi jauh daripada awak."
"Dan bertemu dengan Lili?" pintasku.
Lambat-lambat dia menganggukkan kepala sebagai jawapan.
"Saya sangka itu adalah keputusan terbaik. Rupa-rupanya, saya silap. Hati saya masih teringatkan awak. Jadi, saya kembali menjejaki awak selepas lima tahun berlalu. Tahu-tahu saja, awak sudah bertunang dengan Diff dan akan berkahwin. Kecewanya hati saya pada masa itu hanya Tuhan saja yang tahu, Lela. Pada masa yang sama saya turut terseksa. Melihatkan awak dan Diff bahagia ibarat mimpi ngeri buat saya. Jujur saya cakap, saya hampir gila. Sejak itu, saya mulai menyimpan dendam. Saya akan pastikan awak terima balasan yang sama. Sebaik saja saya dapat tahu tentang penyakit yang menimpa Diff, saya gembira. Akhirnya, peluang saya untuk memiliki awak semakin cerah."
"Bezanya kali ini bukan untuk berikan awak bahagia, tetapi untuk buat awak terseksa. Macam-macam yang saya cuba buat tapi tak kiralah berapa banyak saya cuba sakitkan hati awak, saya tetap akan tewas dengan perasaan saya sendiri."
Setelah sekian lama, aku menemukan jawapannya. Sungguh, kebenaran itu memang memedihkan. Aku tak sangka sampai begitu sekali Muz sanggup menyimpan dendam. Begitu terseksanya dia tatkala mengetahui aku bakal menikahi Diff dulu.
"Maafkan saya, saya bersalah. Saya dah mempermainkan perasaan awak, buat awak terseksa dan terluka. Kalau awak nak pukul saya, pukullah. Saya akui saya memang layak dihukum atas apa yang saya dah buat pada awak selama ini."
Muz beriak tenang. Mata hitam miliknya menikam jauh ke dalam anak mataku.
"Tetapi, saya minta satu perkara. Tolong jangan tinggalkan saya sebagaimana saya pernah tinggalkan awak. Tolong jangan bencikan saya sebagaimana saya pernah cuba bencikan awak dulu. Saya tak mampu tipu diri saya lagi. Saya... cintakan awak Lela. Rasa cinta ini tak pernah pudar walaupun berkali-kali saya cuba untuk padamkan dalam hati ini."
Luahan rasa hati Muz kedengaran begitu jujur dan tulus. Tipulah andai hati ini tidak terusik dengan kata-katanya. Aku memandang Muz dengan kelopak mata yang sudah sarat dengan air mata.
"Senangnya awak minta maaf, Muz. Awak buat macam saya ini manusia yang tak ada perasaan. Awak fikir senang ke untuk saya lupakan semua tu? Awak fikir senang ke untuk saya tinggalkan awak? Pergi jauh daripada awak?" Renunganku menusuk ke dalam anak mata Muz disertai dengan titisan mutiara jernih yang berguguran jatuh.
Mulut lelaki itu terkunci. Kelu tanpa sebarang kata.
Perlahan-lahan, aku mencapai tangan kasar Muz. Kekura tangan lelaki yang bergelar suami itu diusap lembut sambil bibir menutur kata.
"Lelaki depan saya inilah yang saya nantikan selama ini. Lelaki depan saya ini jugalah yang saya cintakan sepenuh hati. Takkan saya nak tinggalkan awak, biarkan awak sakit lagi? Cukuplah awak pernah tanggung rasa sakit dan seksa sewaktu saya hampir menjadi milik orang lain dulu. Sekarang ini saya dah jadi milik awak sepenuhnya, Muz. Saya akan bahagiakan awak. Tidak kiralah setinggi mana pun ombak melambung, sekuat mana pun badai melanda. Saya tetap berada di sisi awak, menyokong awak dan mencintai awak. Selama-lamanya."
Serentak dengan itu, belakang tangannya kukucup lembut. Aku mengangkat kepala menatap wajah Muz. Ternyata pipinya juga basah dengan linangan air mata. Di bibirnya terpalit sebuah senyuman. Pastinya senyuman bahagia. Syukur alhamdulillah.
Selamat tinggal dendam dan seksa, selamat datang cinta dan bahagia. Semoga kekal bersinar menyinari rumah tangga Muz dan Delaila.
To: Readers💕
Saya nak tanya, ada yang menangis ke tu? Hahaha.
Apa reaksi korang? Terkejut ke terkujat? Dah terjawab ke belum tanda tanya korang pasal Muz selama ini? Faham tak? Kalau tak faham, dm. Ahahahaha macam buat kelas mengajar pula.
So, dah ready untuk part bahagia? Ke nak menangis lagi? 😜
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro