Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 27 🌸


https://youtu.be/VIKfegSMEfs


Tempat ini tenang malahan sangat tenang. Sejuk pula itu, tidak seperti rasa panas yang aku rasa semalam. Aku berjalan melewati sekitar kawasan yang pertama kali aku jejak. Betul... tempat ini memang cantik! Terdapat padang luas yang menghijau, burung riang berkicauan, bunyi air terjun mengalir deras dan... suara itu. Semakin lama suaranya tenggelam dan menghilang perlahan-lahan.

"Kak Je..." Ibu! 

"Laila..." Bonda! 

"Dik..." Kak Tim!

Aku dengar ketiga-tiga suara itu memanggilku. Namun, bukan suara itu yang aku cari. Ada satu lagi suara yang menarik perhatianku kala ini. Suara yang lembut dan merdu... sedang mengalunkan bacaan ayat suci Al-Quran. Ketika aku masih tercari-cari, muncul sebuah cahaya putih yang terang bersinar tidak jauh dari tempatku berdiri.

"Lela..." Suara itu!

"Diff... itu kau?" Aku masih teragak-agak, lebih-lebih lagi tatkala mendengar suaranya memanggil namaku. Air mata bertakung memenuhi tubir mata apabila kelibat bersama cahaya putih itu menunjukkan bentuk sebenarnya.

Dia tersenyum lebar sambil kepalanya dianggukkan perlahan. Mataku tak lepas daripada meneliti segenap wajahnya. Dia kelihatan sangat tenang, air mukanya pun berseri-seri. Adakah ini mimpi? Diff... bukankah dia dah meninggal dunia? Aku seolah-olah tak percaya dengan apa yang terhidang di ruangan mata. 

"Diff... aku rindu kau." Akhirnya, kata-kata itu terluah. Mungkin agak keterlaluan, tapi itulah hakikatnya. Sudut hatiku begitu rindu akan lelaki ini. 

Diff menggeleng.

"Berhenti mengingati aku, Lela. Cerita antara kita dah lama terkubur. Sekarang kau dah menjadi milik orang lain. Sayangi dan cintai dia, suami kau yang sah. Muz cintakan kau," pesannya.

"Tak... Kau silap. Kata-kata cinta Muz bukan untuk aku. Dia hanya nak membalas dendam supaya aku menderita bukan untuk menyulam bahagia dengan dia." 

Segera aku menafikan pernyataan yang keluar daripada mulut Diff tadi. Memang itu pun yang berlaku. Muz tak ikhlas mencintai aku. Kami bukan ditakdirkan untuk saling mencintai. Aku lebih rela sendiri daripada menerima cinta yang disertai dendam membara.

"Lela, semua yang terjadi pasti bersebab. Pasti ada rahsia dan hikmah terindah daripada setiap musibah. Aku yakin, kau kuat dan mampu hadapi semua ini. Muz sayangkan kau, Lela. Dia lebih layak mencintai kau. Bukan aku." 

Sebaik saja kata-kata itu diungkapkan, cahaya putih itu serta-merta menghilang dalam sekelip mata. Pemandangan indah yang terbentang sebelum ini pun bertukar gelap. Segalanya berlaku begitu cepat sehinggalah telingaku menangkap suara orang ramai di sekitarku.

Aku kembali sedar ke alam nyata. Perlahan-lahan aku membuka kelopak mata. Aku mengelipkan mata berkali-kali, cuba untuk menyesuaikan mata dengan keamatan cahaya. Tidak lama kemudian wajah ibu, ayah, Kak Tim, bonda dan ayahanda menghiasi pandangan.

"Alhamdulillah, Kak Je dah sedar pun." Ayah meraup muka sebagai tanda syukur. Masing-masing turut melakukan perkara yang sama. Ibu lantas membawa aku ke dalam pelukannya. Ubun-ubun dahiku dicium lembut manakala yang lain memandangku bersama sebuah pandangan. Sukar untuk ditafsirkan.

Saat itu, baru aku sedar. Di mana Muz? 

"Ibu, mana Muz? Dia tak datang?" Soalan pertama dariku setelah ibu meleraikan pelukan. Aku dapat menangkap riak muka ibu yang mula berubah. Bukan saja ibu, mereka yang lain pun sama. Setelah agak lama, ibu masih diam tanpa sebarang jawapan.

"Ibu, Kak Je tanya. Mana Muz?" soalku sekali lagi. Aku masih setia menunggu jawapan dari bibir ibu. 

"Lela... Lela rehat dulu ya sayang. Lagipun Lela baru saja sedar. Tak elok macam ini." Suara bonda tiba-tiba mencelah. Bahuku dielus lembut sebagai tanda memujuk. Baru saja aku ingin membuka mulut, rasa sakit pada bahagian bawah perut serta-merta menyerang. Berkerut dahiku akibat menahan pedih. Walaupun rasanya tidaklah seteruk sebelum aku pengsan hari itu.

"Dik, kau okey tak ini?" Kak Tim yang tadi duduk di sisi katil bingkas berdiri. Masing-masing turut kaget melihatku. Kak Tim kembali membetulkan posisiku di atas katil.

"Lela nak rehat dulu boleh? Lela rasa sakit lagi tetapi ibu, ayah, bonda, ayahanda dan Kak Tim janganlah risau, ya? Doakan yang baik-baik saja untuk Lela," ucapku perlahan.

Aku gagahkan diri mengukir senyuman nipis untuk meyakinkan mereka tentang keadaan diriku. Masing-masing akur dengan permintaan itu dan bergerak keluar dari bilik meninggalkan aku sendirian. Kelopak mata ditutup perlahan-lahan menuntut rehat.

*******

Ya, telinga aku menangkap suara itu lagi. Suara yang lembut dan merdu. Kelopak mata dibuka perlahan-lahan. Kemudian, kepala aku mencari arah datangnya suara itu. Kelihatan Muz khusyuk mengalunkan surah Yasin di hujung katil. Suara dia rupanya yang aku dengar dari tadi. Hati serta-merta tersentuh. 

Muz, betul ke awak cintakan saya macam yang Diff cakap? Betul ke awak hanya nak seksa saya, tak nak biarkan saya bahagia? Soalan-soalan itu hanya mampu dibiar sepi tanpa jawapan. Aku leka merenung Muz yang setia mengalunkan bacaan. 

"Muz," panggilku setelah bacaannya tamat. Lelaki itu menoleh.

Pandangan mata kami bertemu. Muz segera mengalihkan pandangannya. Dia bangun, bersedia untuk melangkah keluar dari bilik. Tangan lelaki itu segera aku capai. Langkahnya terhenti.

"Kau nak apa? Aku nak belikan kau makanan. Kau tak makan apa-apa lagi daripada semalam," ujar Muz. Wajahnya beku malah sedikit pun tidak berpaling ke arahku.

Aku menggeleng kepala. "Saya tak nak makan. Saya cuma nak tahu awak pergi mana semalam?"

Muz masih diam belum mahu membuka mulut untuk menjawab soalanku. Aku seakan dapat menghidu ada sesuatu yang sedang disorokkan sekarang.

"Selagi awak tak jawab, saya takkan lepaskan tangan awak Muz," gertakku. 

Dia mengeluh perlahan. "Tolonglah Lela. Jangan buat aku macam ini. Aku tak suka." 

"Then, tell me Muz!  Awak jumpa doktorkan waktu saya sedar semalam? Doktor cakap apa pada awak?"

Muz yang sedari tadi membuang pandang ke arah pintu bilik wad berkalih memandang ke arahku. Saat itu, sepasang mata ini menjadi saksi titisan air mata perlahan-lahan mencemari pipi seorang lelaki.

"Muz... kenapa awak menangis ini?" Bergetar suaraku bertanya. Perasaan ingin tahu semakin membuak-buak. Genggamanku pada tangannya semakin dieratkan. 

"Maaf... maafkan aku." Air mata Muz mengalir semakin laju. Belakang tanganku kini dibasahi air mata sang suami yang menitis jatuh tanpa dapat ditahan. 

"Kau keguguran."

Jantung aku bagai direntap dari tempatnya. Peganganku serta-merta terlepas. Ke... keguguran? Fikiran aku masih bingung dengan kata-kata Muz. Jadi selama ini aku mengandung? Mengandungkan anak Muz? Anak kami? 

Pandangan mata mulai kabur dan tak lama selepas itu, mutiara jernih itu tumpah juga. Badan serta-merta menggigil hebat. Ya Allah, ujian apakah ini? Tapak tangan diletakkan di bawah bahagian abdomen yang masih ngilu.

Kosong. Langsung tak berisi.

Saat itu, baru aku sedar suatu hakikat yang cukup menyakitkan. Anak aku dah mati, dah tiada. Mutiara jernih sekali lagi mencemar pipi.

Kasihannya anak ibu. Ibu tak sempat nak jaga awak. Ibu tak sempat pun nak tengok awak. Awak dah pergi tinggalkan ibu. Maafkan ibu sayang, sebab tak pernah tahu kehadiran awak selama ini.

Semakin laju titisan jernih itu mengalir. Sudah tak kuhiraukan Muz yang masih setia memandang dengan penuh simpati. Tersedu-sedan aku menghamburkan tangis. Dada terasa sesak dan senak untuk menerima semua ini. Segalanya berlaku secara mengejut tanpa sempat aku hadamkan satu persatu. 

"Argh! Anak aku dah mati! Anak aku dah mati!"

Ungkapan itu dilafazkan berkali-kali. Selimut yang menutup separuh badan direnyuk sekuat hati. Bagaikan dirasuk, bantal-bantal di atas katil juga dicampak sejauhnya. Tilam katil pula menjadi mangsa tumbukan bertalu-talu. 

Akibat tak sanggup membiarkan, Muz lantas mengunci aku ke dalam pelukannya. Rambutku dielus lembut kemudian bahagian ubun-ubun dikucup. Puas aku meronta-ronta, namun sepasang tangan itu gagah mengeratkan pelukan. Kudratku tak mampu untuk melawan. Dada bidang Muz pula menjadi sasaran, ditumbuk berkali-kali.

"Anak aku dah mati, kau tahu tak! Anak aku dah tak ada!" jeritku sekuat hati. Biar satu dunia tahu apa yang aku rasa. Sakit tak terperi! 

"Semua ni jadi sebab aku... aku yang tak jaga dia elok-elok... Ya Allah, maafkan aku," rintihku lagi. Lantunan suara juga kian mengendur.

"Lela... Lela please jangan macam ini. Kau kuat," bisik Muz di tepi telinga. 

Ciuman hangat dilabuhkan di dahi. Ubun-ubunku dikucup sekali lagi malah lebih lama daripada tadi. Suara gemersiknya pula lembut memujuk.

Akhirnya, aku tersandar lemah di dada bidang itu. Tidak punya tenaga untuk memberontak lagi. Lama-kelamaan, aku sendiri terbuai lena dalam pelukan hangat seorang suami.

*******

Sinaran mentari menerobos masuk dari celah langsir. Aku cuba juga untuk bangkit walaupun kepala masih terasa berat dek terlalu banyak menangis. Tatkala aku menoleh ke sisi, terlihat Muz lena beralaskan lenganku. Penuh hati-hati aku menggerakkan lengan yang sudah lenguh supaya tidak mengganggu lena lelaki itu.

"Ops sorry... saya tak sengaja buat awak terbangun," ujarku tatkala mata Muz mulai terbuka. Pasti dia terjaga akibat pergerakan tadi.

"Tak apa, it's just a small matter."  Mulutnya ditutup dengan sebelah tangan. Menahan rasa kantuk yang masih bersisa. Dari jauh, aku menangkap lingkaran hitam di bawah mata Muz. Pasti lelaki ini tidak tidur lena kerana menemaniku. Simpati mula menjalar di sudut hati.

Namun, semua itu tak lama apabila renungan redup milik Muz menikam anak mataku. Automatik jantung laju mengepam darah. Sudah lama rasanya pandangan itu tidak diberikan. Pandangan yang hangat malah cukup untuk membuatkan aku rasa selamat.

"Lela... kau dah okey?" Muz bertanya perlahan namun masih dapat didengari. Aku tersenyum kelat mendengar soalan itu. Hidung menghela nafas dalam sebelum menjawab.

"Jujur, saya masih terkejut dengan semua ini. Tak sangka saya mengandung. Tahu-tahu saja baby dah tak ada. Saya tahu saya salah. Maafkan saya..." Aku menunduk sambil meramas jari. Bibir dah tak sanggup mengungkap kata. Kolam mata juga sudah bergenang. Sedaya upaya cuba untuk menahan tangis. 

"Hei, apa kau cakap ini? Baby  itu anak aku juga, anak kita. Kau tak salah. Stop blame yourself, please... kau tak buat salah apa pun." 

"Allah dah aturkan yang terbaik. Mungkin sekarang belum tiba rezeki kita lagi untuk jadi ibu dan ayah. Tapi aku nak kau tahu yang kau langsung tak bersalah dalam hal ni. Semua ni ketentuan Allah dan kita kena reda." Bahu aku dipegang kemudian dibawanya ke dalam pelukan. Sama seperti waktu semalam.

"Dah... From now on, janji dengan aku jangan sedih-sedih lagi, okey?" sambung Muz lagi. Ibu jarinya bertindak laju mengelap air mataku yang masih bersisa. 

Mata bundar Muz merenung jauh ke dalam anak mataku. Lantas segera aku melarikan pandangan. Masih belum selesa dengan perubahan mendadak Muz. Senyuman kecil dilemparkan sekadar untuk menutup rasa hati yang dah mula tak menentu.

"Good! That's my wife." Tidak cukup dengan itu, pucuk hidungku menjadi mangsa. Berdebar-debar aku dibuatnya. Lagi-lagi apabila dihidangkan dengan senyuman manis milik Muz. Senyuman yang cukup untuk membuatkan aku jadi aiskrim.



Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro