Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 11 🌸

Dulang berisi gelas kaca aku bawa ke hadapan dengan penuh berhati-hati. Tersilap langkah, mahunya jatuh bergolek-golek aku di sini. Buat jatuh saham anak dara Jeneral Radzi saja. 

Dulang yang sedang ditatang diletakkan perlahan-lahan di atas tikar yang terhampar, berdekatan dengan juadah kuih dan manisan yang tersedia. Sambil-sambil itu, tangan ini cekap membetulkan letak susun dulang-dulang yang lain. Setelah berpuas hati, aku kembali mengorak langkah ke dapur. Boleh pula terserempak dengan Kak Tim yang baru lepas membasuh tangan.

"Dah nak azan maghrib. Kau solat tak?" tanya Kak Tim. Lengan baju kurung kebaya yang tadinya dilipat agak tinggi dilorot jatuh.

"Eh, solat Kak Tim. Orang nak pergi ambil wuduklah ini," balasku. Muka Kak Tim semacam resah. Aku pelik. Bukan selalu Kak Tim macam ini.

"Oh, kau boleh solat rupanya. Aku baru ingat nak minta tolong kau tolong tengok-tengokkan budak berdua itu. Kak Tim takut Ahmad dan Akhyar buat sepah saja dekat depan nanti. Abang Zul tak ada, sebelum Maghrib tadi dah pergi masjid dengan ayah," jelas Kak Tim. 

Aku hanya tersenyum. Aduhai, kakakku ini. Benda kecil saja pun. Aku fikir ada masalah negara tadi. Resah dia tak kawal! 

"Macam ini... Kak Tim solatlah dulu, kita bergilir. Lagipun, kariah masjid datang selepas maghrib kan? Insya-Allah sempat." Aku meyakinkan Kak Tim. Sebaik mendengar kataku, Kak Tim menarik nafas lega. Segera langkah kakinya masuk ke dalam bilik air untuk mengangkat wuduk.

Sementara menunggu Kak Tim solat, aku pergi mendapatkan Ahmad dengan Akhyar kemudian mengurung dua hero itu di dalam bilik. Nanti barulah tak merayap keluar! Bijak tak aku? 

"Hei, dengar sini Kak Je nak cakap."

Mendengar saja gelaran 'Kak Je' menerjah telinga, pantas perhatian Ahmad dan Akhyar yang sedang seronok bermain blok lego tertumpu ke arahku. Dua beradik itu memandangku bersama mata bulat masing-masing. Apabila tengok macam ini, rasa geram pula. Comel! Nampak baik pula itu.

 "Awak berdua jangan nakal-nakal tau. Malam ini ramai orang datang," pesanku sambil bercekak pinggang. Sengaja acah-acah garang. Budak berdua ni bukan boleh percaya sangat! Akalnya tak diduga!

Ahmad, si abang memandangku sejenak sebelum bergerak mendapatkanku di atas katil, meninggalkan adiknya bermain sendirian. Perlahan-lahan kaki kanannya diangkat ke atas katil diikuti dengan kaki sebelah lagi. Tahu-tahu sahaja, Ahmad sudah berada di sebelahku bersama kedua-dua kaki terjuntai ke bawah.

"Kenapa tak boleh nakal-nakal Kak Je?" Polos soalan itu meniti di bibir Ahmad. Mata jernihnya menuntut jawapan. 

"Sebab ramai kawan tok ayah nak datang. Kalau Ahmad dengan adik bising, nanti kesianlah kawan-kawan tok ayah," jelasku dalam bahasa yang mudah difahami oleh budak lima tahun itu. Ahmad mengangguk faham.

"Dah, Ahmad pergi bagitahu dekat adik sana." Belakang badan dia aku tolak perlahan. Ahmad terkedek-kedek mendapatkan Akhyar lalu berbisik sesuatu di tepi telinga si adik. Akhyar yang baru menginjak dua tahun hanya meleret senyum. Entah faham ke tidak, aku tak tahulah.

Bibir aku spontan mengukir senyum. Hai la budak... comel betul! Pipi Ahmad dan Akhyar aku cubit perlahan. Geram! Masing-masing mengaduh perlahan. Biar la, sekali-sekala mengusik anak buah. Apa salahnya, kan? Lagi dituntut tau untuk mak cik nakal macam aku. Haha.

Tidak lama kemudian, kedengaran pintu bilik diketuk lalu dibuka dari luar. Kak Tim dah datang. Tiba giliran aku pula untuk menunaikan solat Maghrib. Aku tengok jam di dinding. Baik cepat, sebelum lagi ramai orang datang nanti.

Menginjak angka 10 malam, barulah selesai kenduri khas untuk arwah Diff. Keluarga Diff juga turut hadir mengucapkan terima kasih kerana sudi mengadakan kenduri untuk arwah. Bukannya apa, kami sekeluarga faham yang keluarga itu memang sibuk. Jadi, apa salahnya kita membantu mana-mana yang patut.

Hasratku untuk bertemu dengan adik Diff, Lili masih belum kesampaian. Selepas Diff meninggal, rezeki Lili mendapat tawaran menyambung pengajiannya di luar negara.  Sebab itulah kebelakangan ini kami jarang berhubung.

"Kak Je, ayah dan ibu panggil tadi. Suruh ke depan," beritahu Kak Tim. Tangan aku yang masih basah selepas membasuh pinggan dilap dengan kain bersih. Aku menjongketkan kening mendengar kata-kata yang dibawa Kak Tim. Kakakku hanya mengangkat kedua belah bahu, tanda tidak tahu.

Aku bergerak juga melangkah ke ruang hadapan. Ibu dan ayah sedang rancak bersembang dengan seseorang. Dari jauh ini, tak nampak jelaslah pula. Jadi, aku menghampiri mereka.

Saat itu, aku dah rasa nak patah balik pergi dapur. Apa dia buat dekat sini? Namun, apakan daya plan aku tak dapat dilaksanakan. Ibu terlebih dahulu menahan langkah aku. Diperkenalkan pula aku dengan 'seseorang' itu.

"Kak Je inilah..." Ibu menunjuk kepada dia yang berdiri di hadapanku.

"Tuan Salahuddin Muzaffar Shah Al-Din bin Tuan Muhammad Alam Shah Al-Din." Lancar saja nama penuh lelaki itu meniti di bibir. Otak aku sendiri pun cannot brain macam mana boleh terhafal nama dia yang panjang gila nak mati itu. Bukan sebelum ini dah set tak nak hafal ke?

Ibu dan ayah pandang aku semacam. Muz pula hanya mengukir senyum. Dan aku? Cuba mengekalkan riak selamba macam tiada apa yang berlaku.

"Err... Kak Je sebut nama Sultan Melaka yang ke berapa tu? Ayah tak pernah dengar pun?" Dahi orang tua itu berlapis dengan kerutan. Aku dah rasa nak maraton gelak sambil guling dekat atas tanah kubur.

"Nama sultan apanya, ayah! Yang Kak Je sebut itu nama panjang lelaki depan ini ha!" Dalam keadaan yang sukar, aku menjelaskan juga perkara sebenar.

Perlahan-lahan kerutan di dahi ayah dan ibu menghilang. Mereka masing-masing berbalas pandangan sebelum kembali menatap wajah Muz di depan.

"Oh... nama panjang Muz ka tu? Awat panjang bebenor namanya? Macam train!" seloroh ibu. Hahahaha... perut aku dah sakit gelakkan lelaki di depan ini.

"Hehe. Saya pun tak tahulah, mak cik. Bonda yang beri nama. Katanya, itu memang nama keturunan sejak dulu lagi." Muz tersenyum sumbing sambil tangannya diletakkan di tepi leher. Mata aku menangkap muka dan bahagian lehernya yang bertukar merah. Malu agaknya.

"Ibu dengan ayah kenal ke dia ni? Kenapa nampak mesra semacam?" Tiba-tiba soalan itu menjengah fikiran. Yalah, nak tahu juga macam mana lelaki sengal ini boleh dijemput hadir.

"Eh, kenal sangat! Ayah Si Muz ni kawan baik ayah kat tentera dulu." Ayah menunjuk pada lelaki sebayanya yang berdiri tak jauh daripada Muz. Tuan Muhammad memberikan senyuman kepadaku. 

"Delaila kan?" soal Tuan Muhammad, berbasa-basi.

Dalam teragak-agak aku mengangguk juga. Ayah dah pandang aku, pelik. 

"Kau dah kenal dengan anak aku, Mad? Jumpa kat mana?" 

Tuan Muhammad tersenyum nipis. Sungguh, aku boleh kata lelaki tua ini begitu murah dengan senyuman. Macam tak percaya  pula dia lepasan tentera. 

Bahu ayah ditepuk-tepuk. "Ala... adalah kenal sikit-sikit."

Tiba-tiba, kumpulan kami didatangi oleh seseorang. Apa yang pasti, nampak je muka dia membuatkan aku betul-betul nak menyorok di dapur. Puan Sri Khairina weh!

Ketika wanita itu berdiri di hadapanku, takut-takut aku mengangkat kepala. Renungannya masih sama, kekal tajam tatkala singgah di wajahku. Puan Sri kemudiannya berlalu ke sebelah Tuan Muhammad.

"Abang, jomlah kita balik. Dah lewat malam ni." 

Tuan Muhammad pantas menahan. "Eh, sekejaplah. Meh saya kenalkan awak dengan kawan lama saya dulu. Ini Radzi..." Jarinya menunjuk ke arah ayah.

"Ini pula isterinya, Mastura..." Ibu pula ditunjuk. 

Puan Sri Khairina tak lepas memerhatikan wajah ibu. Sampai ibu pun naik segan. Kami pun pelik dengan tingkah Puan Sri.

"Oh my gosh..." Tapak tangannya tiba-tiba dibawa menutup mulut. 

"Are you Mas? No, no... hmm... Messy?" 

Kali ini giliran ibu pula memerhatikan Puan Sri Khairina dari jarak dekat. Tak lama sebelum riak teruja muncul di wajahnya.

"Ya Allah, Kary ke ni? Hahaha Kary! Eee... lamanya tak jumpa you!" Terus kedua-dua sahabat itu berpelukan erat. 

Kary? Messy? Apakah... aku dah tak terkata apa. Yang lain pun turut terkedu. 

"Lah! Kawan lama juga rupanya dua orang ni!" ujar ayah. Tuan Muhammad ketawa terhibur. 

"Kalau dah macam tu, ada baiknya kita masuk dalam. Tak manis pula orang tengok berborak depan pintu," ajak ayah lagi. Tuan Muhammad hanya akur. Aku dan Muz mengekor dari arah belakang.

*******

Aku bergerak mencapai bekas kopi di atas rak dapur. Beberapa sudu serbuk kopi kemudiannya diletakkan di dalam penapis. Aku tengok air panas dalam cerek dah mendidih, jadi tanpa buang masa aku memulakan membancuh kopi. Tanpa sedar rupanya tindak-tanduk aku diperhatikan oleh Kak Tim. 

"Kau dah kenapa muka macam lepas telan whiteboard ni? Buat kopi pun susah ke?" Tch! Kak Tim punya ayat ni selalu je menusuk hati.

Sebuah keluhan terlepas dari bibir. "Tak adalah... mana ada." Tangan ligat mengacau kopi dengan sudu.

Kak Tim berdecit. "Engkau tak payah nak berdolak-dalih la dengan aku dik. Baik kau cerita sekarang." 

Aku mengeluh lagi dan lagi. Badanku berpusing menghadap Kak Tim. 

"Huwaaa! Habislah orang, Kak Tim! Benda semua dah kantoi tahu tak? Huhu habislah... mana orang nak taruk muka ni," luahku. Kak Tim sengih sambil mengambil teko daripada tanganku. 

"Salah kau juga, menipu tak agak-agak. Lain kali jujur jelah," balas Kak Tim. Aku menggeleng-gelengkan kepala. Menyesal pun tak guna. Layar ingatan serta-merta mengimbas kembali kejadian semalam... tatkala semuanya terbongkar hanya dalam sekelip mata.


"I tak sangka pula Delaila ni anak you." Suara Puan Sri Khairina memecah suasana. Pada masa yang sama, matanya tak lepas memerhatikanku.

"Delaila anak I yang bongsu... ini yang sulung pula namanya Fatimah." Sedang elok pula Kak Tim tiba dari dapur hidangkan air panas sekarang. Kak Tim tersenyum nipis sebelum bersalaman dengan Puan Sri.

"Yang ini pun dah kahwin ke?" soal Puan Sri Kharina.

"Kahwin pun dah... beranak pun dah! Alhamdulillah, dapatlah merasa timang dua cucu daripada dia." Ibu membalas bagi pihak Kak Tim. Daripada nada suara ibu jelas menunjukkan yang orang tua itu seronok dikelilingi anak cucu kesayangannya.

"Wah, untungnya you! Tahun ini bertambah lagilah cucu you nampaknya." Pandangan Puan Sri tertala sejenak pada bahagian perutku. Spontan aku membongkokkan badan sedikit. Menghalang wanita itu daripada terus menerus melihat perutku yang hakikatnya langsung tak berisi.

Kening ibu bertaut hairan. Begitu juga dengan Kak Tim. Abang Zul yang turut menyertai perbualan itu memandang isterinya di sebelah.

"Sayang mengandung lagi ke? Tak bagitahu abang pun?" bisik abang iparku, perlahan. Tapak tangan Abang Zul pantas mendarat di perut kempis kakakku.

"Mengandung? Ish, tak mungkinlah! Period sayang baru habis semalam," balas Kak Tim dalam nada berbisik juga. Tangan suaminya dibawa menjauh.

Disebabkan aku memang duduk berhampiran pasangan itu, segala perbualan mereka jelas menyapa deria telinga. Rasa bersalah membukit tinggi. Tak pasal-pasal orang lain turut terpalit disebabkan cerita rekaanku. Aku lantas mengetap bibir. Tak boleh jadi ni! Takut semakin lama dibiarkan, semakin rumit untukku memberi penjelasan.

Ketika aku ingin mengangkat kepala, sepasang mataku sempat bertembung dengan pandangan mata milik Muz. Lelaki itu memandangku dengan pandangan yang begitu sukar ditafsirkan. 

"Kak Tim mengandung lagi ke?" soal ibu. Kak Tim hanya menggeleng.

Puan Sri Khairina lantas menyampuk, "Ish apalah you ni. Fatimah memanglah tak mengandung. I maksudkan Delaila,"  balasnya. Aku pejamkan mata. Habislah!

Seperti yang dijangka, tatkala aku membuka kelopak mata, berpasang-pasang mata kini melekat memandang wajahku. Dalam keadaan janggal, aku memaksa bibir mengoyak senyuman.

"T... tak... sebenarnya Lela...."

"Kak Je...." Suara dalam ayah terlebih dahulu memintas. Dari kaca mata ayah, aku tahu dia juga menuntut penjelasan segera.

"Okey, okey. Cerita dia macam ni... saya tak mengandung pun. Kakak saya pun tak mengandung. Tak ada siapapun yang mengandung. Semua itu hanya rekaan," terangku sekali nafas. Puan Sri Khairina merenungku sambil berpeluk tubuh. Perlahan-lahan aku tunduk merenung lantai. Malu selepas mengaku salah.

"Yalah! Takkanlah dia yang mengandung... tak kahwin lagi Si Lela ni. Bujang terlajak!"

Suasana sunyi tadi bertukar riuh. Masing-masing tergelak mendengar bait-bait kata daripada mulut ayah. Aisey, ayah ini pun. Agak-agaklah kalau nak memalukan aku. Orang bukan bujang terlajak la! Muda lagi kot!

"Kalau nak dikata bujang terlajak, orangnya tu hah... Si Muz tu." Tuan Muhammad menunjuk ke arah Muz. Kesian, Muz yang sedang mencicip teh tersedak dibuatnya.

"Lah! Awat hang dak nikah lagi? Takkan takdak oghang nak kot... Ayah hang ni dulu laku woi!" Terkeluar dah sipi-sipi loghat Kedah ayah. Terkejut sangatlah tu. Tuan Muhammad melepas tawa lagi.

Muz tersenyum canggung. Sama seperti tadi, aku sempat memerhatikan tangannya mengusap tepi leher diikuti dengan muka dan bahagian leher yang mulai memerah. Sah, mesti tengah malu.

"Hah, sedang eloklah tu! Bujang dengan bujang, dua-dua pun dah lanjut umur. Kita satukanlah terus dua orang ni. Tak gitu?" Puan Sri Khairina menyuarakan cadangan yang kukira langsung tak bernas. Punggung aku pun dah terasa panas.

"Tak apalah, Puan Sri. Lupakan jelah hasrat tu. Saya masuk ke dapur dulu ya? Banyak pinggan nak kena basuh ni." Sehabis sopan aku meminta diri, bimbang andai dikata kurang ajar pula.

Ketika aku melangkah, sempat telingaku menangkap butir bicara ibu. Perlahan, namun masih jelas.

"Kary, you jangan terasa pula. Biasalah tu, anak dara kan... Dia malu agaknya tiba-tiba kita ungkit perihal ini." Huh, tahu pun! 








Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro