Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 1 🌸


"Hah? Ayah biar betik? Betul ke ni?" 

Suara nyaring milikku bergema di segenap ruang bilik itu. Berpasang-pasang mata kini melekat pada wajah. Sedar akan keterlanjuran diri, badan ditundukkan sedikit tanda memohon maaf. Tanpa menunggu lagi, kedua belah kaki pantas menapak keluar bersama telefon bimbit yang masih setia melekap di telinga.

"Biar betik ke, mangga ke, durian sekalipun ayah nak Kak Je balik rumah hari ini juga!"

Aku yang mendengar perintah ayah mengeluh perlahan. Dahi yang tidak gatal digaru dengan jari telunjuk. Sementara itu, otak sudah mencongak-congak baki duit minyak yang tinggal. Aduh, ayah ini pun satu. Suka sangat buat perangai last minute macam ini. Nasib baik duit minyak kereta memang tinggal cukup-cukup makan untuk balik.

"Kak Je! Dengar tak ni?" jerkah ayah di hujung talian. Terhenjut bahuku angkara terkejut.

"Ha, ha! Dengar, dengar! Ya, orang balik. Petang nanti, ayah tengok elok dah terpacak anak ayah depan pintu rumah," balasku sambil berseloroh.

"Hmm... ayah tunggu! Jangan nak mengelat pula." Sempat ayah menitipkan pesan.

Spontan mata aku julingkan ke atas. Ish, ayah inikan macam tahu-tahu saja yang aku memang dah pasang niat untuk mengelat. Baru terfikir nak buat-buat sawan kemudian hantar video itu pada ayah. Mesti ayah percaya punya!

"Yalah, orang balik. Kirim salam semua. Insya-Allah, nanti kita jumpa. Assalamualaikum."

Jari segera menekan butang merah untuk menamatkan panggilan. Setakat berita kecil itu pun nak diajak berbincang ke? Selama ini tak buat macam itu pula. Elok saja jawapan diperoleh tanpa disoal tuan empunya diri.

Nama diberi Farah Delaila. Aku tahu nama macam bidadari sesat turun dari langit, tetapi hakikatnya... ah, never mind.

Umur 25. Yes, aku tahu memang dah sesuai untuk berpunya tetapi nak buat macam mana, tiada satu makhluk pun yang sangkut. Abby, kucing jiran sebelah rumah pun awal-awal lagi dah masuk rumah dulu apabila tengok aku dari jauh. Sedih tahu tak!

Kerja... cikgu. Setakat budak-budak nakal itu memang senang untuk diuruskan. Bukan dengan kekerasan, tapi dengan kasih sayang. Budak-budak yang perangai macam juvana pun apabila tengok aku terus pakai kopiah, kau tahu! Aku pernah dapat Anugerah Cikgu Paling Penyayang tiga tahun berturut-turut, tau! Siap disediakan piala pusingan lagi atas kejayaan aku.

Tepat jam lima petang aku dah berdiri tegak di depan pintu rumah kayu milik ayah dan ibu seperti yang dijanjikan. Beg baju hitam berjalur merah aku letakkan perlahan-lahan di sebelah kaki. Berat sangat!

"Assalam..."

Tiba-tiba, pintu dibuka dari dalam tanpa sempat aku habis memberi salam. Terjengul wajah Ahmad, anak buah aku yang baru berusia tiga tahun di tepi pintu. Sengihan milik budak itu menyambut kedatanganku.

"Ooo Ahmad! Mummy mana?" Tubuh gempal Ahmad diangkat dengan kedua belah tangan. Budak gemuk macam dia, mana larat angkat guna sebelah tangan! Mahu tercabut urat-urat nanti.

"Mummy hmm... dekat dapur la." Suara kecil itu membalas dengan pelatnya. Nasib baik aku faham. Cepat-cepatlah kau besar ya budak.

Kaki aku menapak ke dapur bersama Ahmad di dukungan. Beg baju awal-awal lagi aku tolak guna kaki supaya melepasi pintu rumah. Maklumlah, kedua belah tangan dah diguna untuk mengendong budak gemuk ini ha.

Sebaik menjengah ruang dapur, kelihatan kakak aku Fatimah Zahra sedang memotong mangga muda. Sesekali sepotong dua mangga muda dimasukkannya ke dalam mulut.

"Assalamualaikum Kak Tim. Orang balik dah."

Tangannya aku capai untuk bersalaman. Kemudian, Ahmad aku turunkan daripada dukungan. Lama-lama, aku pun tak mampu menampung berat badan dia. Macam gendong anak gajah rasanya! Sebaik mencecah lantai, laju saja kaki kecil itu berlari ke ruang tamu.

"Waalaikumussalam! Hah, sampai pun kau. Jom kita pergi pangkin belakang. Ibu dan ayah pun dah tunggu kau dekat pangkin sana."

"Okey," balasku sambil mencapai pinggan berisi mangga muda dan sambal kicap di atas meja. Huish, tengok pun dah cukup buat aku menelan air liur sendiri. Sedapnya! Nyum, nyum! Aku mengikut langkah Kak Tim dari belakang.

Ibu, sebaik sahaja melihat kelibatku pantas dia tersenyum manis. Ayah pula... err. Memandang aku dengan sebuah pandangan yang menggerunkan. Macam nak telan orang. Awat? Salah aku ka? Tiba-tiba rasa nak cabut lari masuk ke dalam rumah semula.

"Err... ayah dengan ibu sihat ka? " soalku, takut-takut. Walaupun begitu, tangan dihulur juga untuk bersalaman.

"Kami sihat saja Kak Je, cuma itulah. Aura nak mati itu terasa dekat pula." Mendatar nada suara ayah membalas. Aku menggigit bawah bibir. Lain macam ayah kali ini. Aku salah cakap ke tadi?

Masing-masing senyap. Sunyi. Hanya bayu angin petang yang bersuara. Aku yang menjadi subjek utama pun tak mampu nak berkata-kata. Habis terbang segala skrip yang sempat dikarang ketika perjalanan pulang tadi. Akibat tak ingin lemas dengan suasana kekok ini, sepotong mangga muda dicapai.

"Ada orang hantar lamaran hari itu," maklum si ayah. Sepasang matanya melekat padaku yang masih ralit menikmati mangga muda cicah sambal kicap masuk ke dalam mulut.

"Ayah dengan ibu dah terima pun," sambung ayah lagi.

Uhuk! Tekak terasa pedih. Sambal masuk hidung! Tersasar jadinya tak masuk mulut pula. Cis! Nak minta air, Kak Tim baru masuk nak buat air kopi tadi. Akhirnya, terpaksa aku menahan saja pedih itu sendiri.

"Uhuk! Uhuk! Apa ayah dengan ibu ini. Awat terima terus? Tak bincang dengan orang pun. Kalau dah macam itu, function orang balik?" Aku menyoal kembali. Wajah insan yang telah berbakti kepadaku dipandang silih berganti.

"Nak tanya kamulah, on tak on!" jawab ayah. Eh? Boleh pula macam itu. Aku pegang pelipis kepala. Pening jadinya dengan kata-kata ayah.

"Macam ini, kalau Kak Je tak nak masih boleh tolak lagi. Pihak lelaki itu bagi tempohlah," sampuk ibu. Agaknya, dah penat tengok aku dan ayah berlawan cakap. Aku menepuk dahi sendiri. Macam ini pun ada juga ke?

"Memang orang tak naklah, ibu!" tegasku.

"Betul ke? Memang tak nak?" tanya ibu, menginginkan kepastian.

"Tak nak!" tegasku sekali lagi. Kepala turut ikut sama menggeleng. Muktamad. Okey, aku terpaksa mengaku. Aku masih belum berpunya sebab aku memilih orangnya. Aku hanya mahukan si dia.

*******

"Kak Je!"

"Awatnya ayah? Tak dak salam tak dak apa. Dok seru nama orang ja. Awat? "

Sebelah tangan sudah bercekak pinggang. Pelik aku jadinya dengan ayah. Boleh pula dia menelefon aku sewaktu budak-budak sedang menghadiri perhimpunan pagi. Apa lagi, terpaksalah aku meminta izin untuk keluar sebentar dari dewan.

"Ada orang masuk line lagilah! Macam mana ini?"

"Hah? Masuk meminang lagi? Apa susah sangat ayah? Tolak saja la!"

Eh, eh macam tak biasa pula ayah aku ini. Nervous ke? Ayah nak nervous lebih-lebih buat apa? Lagipun, yang dipinangnya itukan aku! Bukan dia!

"Kali ini orangnya nak jumpa Kak Je la," tutur ayah. Ya Allah, siapa pula yang gatal sangat nak jumpa aku ni?

"Katanya nak jumpa hujung minggu ini. Hari Sabtu. Kak Je free ke?"

"Entah. Tengoklah nanti, kalau ada rezeki jumpalah." Mendatar suaraku memberi kata putus. Malas nak layan sebenarnya.

Pelipis kepala diurut perlahan. Aduhai, lepas satu-satu! Tanpa berlengah, aku melangkah kembali masuk ke dalam dewan. Join menyanyikan lagu Negaraku lagi best.

Hari Sabtu seperti yang dijanjikan. Baru saja nak start gear, tak sempat nak baca doa naik kereta, Iphone X aku tiba-tiba berbunyi. Nak tak nak, panggilan tersebut terpaksa diangkat. Mana taknya, daripada kerani sekolah la pula.

"As... salamu... alaikum cikgu," resah suara Kak Om memberi salam. Sembelit ke apa?

"Waalaikumussalam... Hah, kenapa kak? Lain macam saja salamnya." Sempat aku mengusik.

"Akak lupa nak bagitahu yang awak kena ganti kelas tambahan Cikgu Iza. Dia MC la semalam. Denggi katanya," jelas Kak Om satu persatu.

Mak aih! Denggi terus? Naudzubillahiminzalik. Aku mengurut dada. Terkejut sungguh! Baru beberapa hari lepas, aku makan semeja dengan Cikgu Iza. Dari luar cikgu muda itu nampak sihat.

"Okey. Nanti dalam 9.30 pagi saya sampai sekolah. Kelasnya pukul berapa kak?"

"Pukul 10.00 kelas mula. Sedang eloklah itu awak sampai. Terima kasih banyak ya, Cikgu Laila!"

Kelas 5 Bestari. Apabila aku melangkah masuk, semua murid terkejut dan terdiam. Mungkin tak sangka ada guru ganti juga untuk kelas tambahan Sabtu. Suasana yang tadinya bising bertukar menjadi senyap sunyi. Ketua kelas memainkan peranan memberi salam diikuti murid lain.

"Waalaikumussalam. Duduk semua. Siapkan hand-out yang Cikgu Iza bagi sebab nanti kita nak bincang sama-sama. Habis awal, boleh balik awal."

Hand-out di tangan aku edarkan kepada semua murid yang berada di dalam kelas. Lupa sudah jadinya dengan rancangan asal, menghadiri janji temu dengan seseorang pada hari itu.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro