"MAMA...Tu uncle semalam yang kawan mama tu la. Uncle yang jemput Abid dari sekolah tu."
"Uncle?!" Sepasang mata Hannan sepantas kilat menoleh ke depan. Mencari. Dada berombak saat bebola mata jatuh ke wajah yang amat dibenci. Hannan hala mata kembali mencari wajah Abid. Dan ternyata Hannan terlambat. Abid terlebih dahulu sudah berlari mengatur langkah.
"Abid! Nanti sayang. Jangan lari. Abid!" Panggilan Hannan tidak diendah. Hannan geleng kepala.
"Abid!" Gagal suara dan seru Hannan menyekat kemaraan langkah anak tunggalnya itu ke hadapan. Bibir diketap. Kuat. Dan Abid makin laju berlari mendapatkan Haniff yang bersandar di pintu kereta. Lelaki itu tenang melontar senyum kepada Abid yang berlari mendapatkannya. Hannan rasa mahu sahaja dia meluru ke arah Haniff dan menghadiahkan tamparan ke wajah lelaki yang amat dibenci dalam hidupnya itu. Kurang ajar, Haniff!
Hannan lepas nafas. Dijatuhkan wajah ke atas lantai jalan. Mata dipejamkan sesaat. Naik turun nafas yang bersulam amarah sedayanya dikawal. Cuba mencari tabir tenang dalam diri yang awal-awal pagi sudah direnggut tali damainya oleh wajah yang paling tidak ingin dilihat seumur hidup. Namun ternyata Hannan gagal. Melihat wajah itu, pantas sahaja bibit geram melonjak dan membiak dalam jiwa. Sakit yang dia tanggung selama lebih enam tahun kembali mencucuk naluri. Luka dalam hati yang dia rawat sendiri selama puluhan purnama ini kembali tersiat-siat. Hannan benci dengan sesungguhnya lelaki bernama Haniff Mirza ini. Untuk apa lagi dia muncul dalam hidupnya?
Haniff Mirza.
Lelaki yang telah memusnahkan segala harapan dan impian manis hidup Hannan. Lelaki yang hanya bijak berjanji dan melafaz sumpah, namun ternyata buta menilai kejujuran perempuan bernama isteri. Hannan ketap bibir kala kenangan pahit itu bertamu di layar mata. Masih terbayang-bayang saat paling kejam itu. Betapa diri dirasakan begitu hina. Sampai hati you, Haniff. You mungkin dah lupa apa yang telah berlaku dulu. Tapi tidak I. I tak akan lupa sampai bila-bila. Sampai mati! You dan keluarga you memang manusia paling keji dan kejam dalam dunia ni. I benci you, Haniff. I benci!!!
Makian bergema lagi di seluruh pelosok dinding fikiran. Wajah terus hangat dek buih-buih amarah yang makin bertali dalam hati. Dah kenapa dengan you ni, Haniff? Tak faham-faham bahasa lagi ke hah?! Nak I cakap macam mana lagi dengan you?! Pergilah macam dulu. Pergi dari hidup kami! Tolonglah pergi! Tak faham ke?! Hannan rasa macam mahu menjerit sekuat jiwa. Menghamburkan sakit hati dengan kedegilan Haniff. Aliran adrenalin melompat-lompat. Lebih tinggi daripada Banjaran Himalaya dirasakan. Dada naik turun menahan gelojak rasa. Seiring dengan deras amarah yang terus bercampur-baur dalam jiwa. Tapak tangan kanan kuat digenggam. Penzahiran rasa geram yang membuak-buak. Menanti saat mahu dimuntahkan. Hannan mendongak ke langit sesaat. Hamparan putih suci yang terbentang luas saujana mata memandang itu seakan-akan menyiram dingin rasa hangat yang menggila dalam jiwa. Kepala tertunduk seketika.
Hannan, sabar nak. Sabar, Hannan. Sabar itu kunci iman, nak. Ingat ya? Jangan biar syaitan menguasai hati dan jiwa. Amarah itu teman syaitan, nak. Istighfar banyak-banyak. Itu ubat paling hebat untuk hati yang diamuk rasa marah. Bisik lembut suara Mak Diah yang terucap malam tadi kala dia menghamburkan sedih dan geram dengan tindakan Haniff yang enggan berundur daripada mengganggu hidupnya dan Abid kembali menghembus jendela hati. Perlahan istighfar dialun. Berulangkali. Diraup wajah bersama desir nafas. Perlahan-lahan diangkat wajah. Mata yang ditabiri Prada mencari susuk tubuh anak tunggalnya yang berada di sisi Haniff. Abid dilihat rancak berbual dengan Haniff. Senyum dan tawa kedua-duanya saling bertingkah. Abid nampak gembira benar. Abid nampak seronok sangat. Prada yang tersangkut ditolak ke atas. Mata dihala ke hadapan. Wajah itu sedang memandangnya. Tepat ke anak mata.
Dua pasang mata mereka bertemu. Hannan deras hala pandangan mata ke arah bertentangan. Tidak ingin memandang dan membiarkan wajahnya ditatap sedemikian rupa. Tangan yang menjinjit Upin & Ipin biru tenang membawa sepasang kakinya ke arah lelaki itu. Lelaki yang dipaut kemas jari-jemarinya oleh Abid. Susuk tubuh tegap itu masih tidak berkalih lirik mata memandang. Hannan lepas dengus. Meluat! Abid yang menggamit senyum dibalas. Kepala diangguk. Isyarat ke arah Abid yang melontar tatap.
"Abid, jom sayang, kita masuk." Senyum Hannan tergalas dibibir. Mata nampak Haniff melirik lagi. Memancing. Hannan tidak kuasa mahu melayan. Lantaklah. Hadir lelaki itu memang tak dijemput. Digamit tangan memanggil Abid.
Abid capai tangan Hannan. Pautan di tangan Haniff spontan terlerai. Kepala mendongak. Wajah mulusnya melempar senyum penuh makna.
"Mama, uncle kawan mama ni nama dia Haniff tau mama. Macam nak sama dengan nama papa Abid. Kan mama?"
Hannan senyum segaris. Membalas. Dari ekor mata Haniff dilihat melontar renung.
"Papa Abid nama Haniff Mirza tau Uncle Haniff." Haniff balas senyum Abid yang memandang. Hannan yang berdiri setentang dilihat tenang sahaja melempar wajah. Senyum manis terus meniti di bibir.
"Kalau nama Uncle Haniff ni serupa nama papa Abid mesti seronok. Kan mama? Papa Abid pun tak balik-balik lagi tau uncle. Mama cakap papa kerja jauh. Uncle Haniff kan kawan mama, tentu uncle kenal papa Abid. Papa Abid baik tak, uncle?"
Bagai rencatan elektrik bebola mata Hannan dan Haniff beradu pandang seketika. Tangkai jantung direnggut kencang. Sakit. Teramat. Hannan pantas mencari wajah Abid. Senyum manis daripada wajah penuh mulus itu buat Hannan rasa pilu yang teramat. Maafkan mama, sayang.
"Uncle Haniff baik. Mesti papa Abid pun baik kan, mama? Baik macam Uncle Haniff."
Allah. Abid, tolong sayang. Jangan cakap lagi. Mama tak sanggup nak dengar lagi. Nafas Hannan rasa lelah. Sesak.
Hannan paut erat jari-jemari kecil Abid.
"Jom sayang, kita masuk. Teacher Abid dah tunggu tu kat pintu pagar." Muncung Hannan hala ke pintu pagar. Abid turut memandang.
"Mama nak kena pergi ofis dah ni. Mama ada mesyuarat pagi ni. Nanti mama lambat, hmmm." Dagu diangkat. Abid balas dengan anggukan. Bibir lirik senyum. Dua tangan saling bergandingan mengorak langkah meninggalkan Haniff yang berdiri. Bisu.
Haniff hanya jeda. Tidak mencelah walau sekalam kata. Hanya mata sayu memandang Hannan dan Abid melangkah. Melangkah meninggalkannya. Makin jauh. Sama seperti dia yang kejam meninggalkan mereka suatu waktu dahulu. Sungguh jika dia tahu tentang Abid, pasti mereka bertiga takkan jadi begini. Terpisah. Betapa besar salahnya selama ini. Betapa berat dosanya terhadap Hannan dan Abid. Maafkan I, Hannan. Tolong maafkan, I.
Susuk tubuh Abid yang riang melangkah menangkap pandangan. Dada bergetaran mengingati kata-kata Abid. Pasti anak itu merindu belai seorang papa. Papa yang tidak pernah ditemui. Papa yang tidak pernah dikenali. Maafkan papa, Abid. Maafkan papa. Papa banyak dosa kepada Abid. Kepada mama. Beri papa peluang untuk jaga Abid. Untuk sayang Abid. Beri papa peluang untuk tebus semua dosa papa kepada Abid. Kepada mama.
Langkah Abid tiba-tiba terhenti. Hannan ikut terhenti. Kepala menjunam ke bawah.
"Kenapa, sayang?" Abid lepas pautan tangan Hannan. Laju berlari ke belakang. Hannan terkejut. Spontan menoleh. Tubuh kecil Abid dilihat laju menuju ke arah Haniff. Kedua-dua mereka seakan-akan sedang berbual. Hannan lepas nafas. Tapak tangan dibawa ke pelipis. Abid dilihat menyalami Haniff. Mengucup tangan. Dada Hannan sesak. Dan rasa itu makin menjerut batang leher hingga dia sukar bernafas tatkala mata menyaksikan Haniff merangkul Abid dalam pelukan. Erat. Kucupan singgah di kepala Abid. Bibir dikemam. Kuat. Mata terpejam. Ya Allah, kenapa dugaan ini yang kau timpakan kepada hamba-Mu ini? Aku tak kuat, Ya Allah. Aku tak kuat.
Hannan laju atur langkah ke kereta. Prada yang tersangkut di kepala ditarik ke bawah.
"Hannan, tunggu."
Hannan tidak mengendahkan suara yang memanggil. Dia tak peduli. Benci! Langkah terus dibawa ke kereta yang terparkir kaku.
Haniff memintas. Menghalang. Berdiri di depan Hannan.
"Hannan, kita perlu berbincang."
Bisu.
Hannan tekan punat kereta di tangan. Haniff capai tangan Hannan. Dan sepantas Hannan menepis. Sekuat rasa. Mata membuntang.
"Jangan you berani-berani nak sentuh I. Jangan nak kurang ajar, Haniff." Dua tangan Haniff spontan tegak separas dada.
"Maaf. Maafkan I, Hannan." Hannan capai pemegang pintu. Haniff laju menolak.
"Hannan, tolong." Dua pasang mata mereka bertembung.
Hannan lepas dengusan kasar. Prada ditarik. Mata tajam menentang. "You ni dah kenapa? Tolong kawal diri you. Tak nampak ke you kat mana sekarang ni?"
"Maaf. Tapi, kita perlu berbincang, Hannan. Tolong." Lembut suara dilontar. Haniff tahu dia bersalah selama ini. Terlalu besar khilafnya. Dan tatkala segala-galanya terbongkar, semuanya sudah terlambat. Kesal tidak tertulis walau beribu lembar kertas dihampar. Jejak Hannan merata-rata dicari. Lelah tidak pernah ada. Doanya tidak pernah putus. Hannan sahaja dalam doanya saban waktu dan ketika. Hannan hilang tanpa dikesan. Dan kali ini dia tidak akan melepaskan peluang kedua yang datang. Takkan dilepas biar apa pun harganya.
"Kita dah tak ada apa-apa. Tak ada apa-apa lagi yang perlu dicakapkan." Tangan Hannan kembali mencapai pemegang pintu. Sederas itu juga niatnya dihalang oleh tangan Haniff. Hannan lepas dengusan.
"You ni dah kenapa? I dah lambat. I nak pergi ofis. Tolong ke tepi." Sekali lagi cubaan Hannan untuk membuka pintu digagalkan Haniff.
"Kita perlu berbincang, Hannan. You jangan macam ni. Tolong."
"Nak bincang apa lagi?!" Nyaring suara Hannan terhumban. Mata membulat. Geram. Sakit hati. Semuanya.
Haniff geleng kepala. "Hannan, tolong."
Hannan capai semula pemegang pintu untuk kesekian kalinya dan Haniff deras menghalang. Hannan nekad tolak Haniff ke belakang. Dada naik turun menahan marah.
"You jangan cabar kesabaran I, Haniff. I dah beri amaran kepada you, kan? Jangan ganggu hidup I dan anak I. And you..." Telunjuk Hannan lurus ke wajah Haniff. "Jangan cuba nak rosakkan fikiran anak I dengan kasih sayang palsu you. I takkan benarkan you ganggu hidup Abid. Langkah mayat I dulu. "
"Abid anak I juga, Hannan. Abid anak kita. Anak kita, Hannan. Abid anak kita. Anak you dan anak I."
Hannan hambur ketawa sinis. Kepala mendongak ke atas seketika sebelum kembali menghumban bebola mata yang tajam ke arah Haniff. Ketawa terhenti. Tatap mata mencerlung. Menikam hingga ke akar jantung.
"Jauhkan diri you dari anak I, Haniff. I bagi amaran kepada you. I akan lakukan apa saja... Apa saja untuk lindungi anak I. Abid hak I." Jari telunjuk Hannan menekan dadanya. "Bukan you!" Jari dibawa menjunam ke dada Haniff. Kuat. "Ingat tu, Haniff." Dan serentak pemegang pintu dicapai. Tubuh tinggi Hannan melolos masuk. Haniff laju mencapai pemegang pintu. Cuba dibuka. Gagal. Tangan mengetuk cermin.
"Hannan, Tolong. Biar I terangkan. Beri I peluang, Hannan." Wajah Hannan yang memandang ke depan ditatap.
Enjin menderum. Tubuh Haniff tersasar ke belakang. Audi laju melepasi mata. Haniff telan liur. Kelibat kereta sayup jauh ke depan. Nafas berdesir perlahan. Haniff geleng kepala. Langkah perlahan diatur ke arah keretanya. Punat ditekan. Pemegang pintu dicapai. Mata kembali memandang ke arah bangunan merah dan biru didepan. My Little Sweet Home Child Care Centre tertinta indah di depan pintu pagar. Raut comel Abid terlayar. Haniff raup wajah.
Abid anak I, Hannan. Anak kita. Tak ada sesiapa pun yang boleh ambil Abid daripada I. Tak ada, Hannan. I sumpah!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro