"MAMA..."
Langkah kecil Abid laju menuruni sofa menuju ke pintu utama yang terkuak usai telinga menangkap ucapan salam daripada lontaran suara yang tidak asing di telinga. Tubuh bersarung pijama biru pantas memaut jari-jemari Hannan lalu dikucup. Seperti selalu.
Hannan jala senyum.
"Hai anak mama yang handsome. Kenapa tak tidur lagi ni, hmmm?"
Jari-jemari kedua-dua saling berpimpinan. Dua pasang kaki melangkah beriringan ke arah ruang tamu. Mak Cik Diah yang dipanggil Hannan sebagai Mak Diah, pembantu rumah Hannan merangkap pengasuh Abid sejak lahir bangkit dari sofa. Tubuh sederhana yang berbaju kurung Kedah dan berkain batik usap kepala Abid yang sudah berdiri di sebelahnya.
"Lambat Hannan balik hari ni. Banyak kerja?"
Kepala Hannan mengangguk. Sekuntum senyum kecil dihadiahkan. Anggukan dan senyuman yang hanya sekadar lakonan untuk menyembunyikan perkara yang telah menimpa diri usai keluar dari pejabat tadi. Tubuh dilabuhkan ke atas sofa. Burberry di bahu ditanggalkan dari sandang lalu dihamparkan ke perut sofa di sebelah. Tangan mencapai tubuh kecil Abid dan dihamparkan ke riba.
"Jalan sesak pula tiba-tiba malam ni, Mak Diah. Hannan pun tak tahulah pasal apa." Bohong Hannan bersambung lagi.
Hannan sedar, tidak wajar dia menipu wanita di depannya ini yang sudah bagaikan ibu sendiri sementelah dia juga sudah tiada ibu lagi sejak kecil, namun Hannan masih belum mampu menzahirkan kisah tadi. Dia lewat bukan kerana alasan itu.
Hakikat sebenar, stereng Audinya terdampar lama di bahu jalan kala hujan tangis dan esak sendu dihamburkan usai pertemuan tidak diundang. Mahu dilontar jauh-jauh ingatan tentang segala yang terjadi, namun apalah daya. Dia mahu buang segala apa yang didengarinya. Dia mahu padamkan bait-bait kata yang terakam agar tiada satu aksara pun yang tertinggal.
Namun, mindanya ternyata tidak mengizinkan seraut wajah itu dinyahkan dari kotak ingatan biar rayuan demi rayuan dipohon. Wajah yang seraut itu ialah wajah yang telah menyeret kembali putaran kisah paling tragis dalam hidup. Bilah-bilah merah kenangan itu tidak mahu diingat lagi. Pelukan tubuh Abid diperkemaskan.
"Mak Diah tu bukan apa, risau. Tu..."
Muncungnya dihala ke arah Abid yang selesa di riba Hannan. Mata Hannan turut jatuh ke tubuh Abid.
"Kenapa dengan Abid, Mak Diah? Demam dia datang lagi ke?"
Kepala Mak Diah menggeleng namun tapak tangan Hannan laju mencecah dahi Abid. Bimbang bertamu. Segala rasa itu kendur kala tapak tangan yang singgah di dahi Abid tidak mengesan apa-apa yang luar biasa. Tak panas.
"Dia tak makan lagi tu, Hannan. Tak mahu juga walau puas dah Mak Diah pujuk dengan macam-macam cara. Katanya nak makan malam dengan mama. Nak tunggu sampai mama balik. Risau Mak Diah dibuatnya, kut perut dia sakit sebab lambat makan nanti."
Mata Hannan sedikit bulat. Terkejut dengan kata-kata Mak Diah. Laju mata dilontar ke pergelangan tangan.
"Abid tak makan malam lagi? Kenapa ni, sayang? Dah lewat sangat ni, kan? Tau tak dah pukul berapa sekarang ni? Cuba tengok jam mama."
Pergelangan tangan disua ke arah Abid yang selesa diriba.
"Sebelas." Senafas Abid menjawab.
"Sebelas malam, sayang. Bukan siang tau. Mana boleh lambat-lambat makan. Abid kan budak kecil. Lagipun...Kesian kat nenek, sayang. Nenek pun tak nak makan sebab Abid tak nak makan dengan nenek."
Nafas dihembus perlahan kala melihat tiada tindak balas daripada Abid yang hanya mendiamkan diri. Mungkin merajuk. Mungkin marah dengan kata-kata Hannan. Mak Diah angkat kening memandang ke arah Hannan. Jari telunjuk menekan dada. Isyarat.
Hannan paut tubuh Abid rapat ke dada. Dielus rambut halus Abid. Dikucup ubun-ubun anak tunggalnya ini penuh limpahan kasih. Abid penguat semangatnya untuk meneruskan hidup selama ini. Abid hadir kala dia sangka segala dalam hidupnya sudah tiada lagi. Tiada apa pun yang tertinggal. Hilang sekelip mata segala bahagia yang masih hijau. Tidak pernah menduga hidup baharunya yang paling bahagia boleh musnah begitu sahaja. Abid memberikan Hannan erti bangkit dari sebuah kemusnahan. Selama ini, mereka mengharungi segala-galanya berdua. Abid buat Hannan tidak menoleh lagi landasan sejarah hidup paling pilu yang pernah dilalui. Abid buat Hannan pandang ke jalan di hadapan. Abid buat Hannan sedar dia ada tanggungjawab kepada insan kecil bernama Abid Hylmi. Rambut Abid dielus lagi.
"Kenapa Abid tak makan malam dengan nenek dulu, sayang? Kalau mama lambat, Abid makan dulu dengan nenek. Nanti Abid sakit sebab lambat makan, mama susah hati. Nenek pun susah hati juga. Abid kan anak mama yang baik. Abid kan selalu dengar kata nenek."
Mak Diah sudah meminta diri ke dapur. Mahu memanaskan hidangan untuk mereka bertiga. Hannan rasa teramat bersalah. Kerana dia yang gagal mengawal juraian perasaan sedih yang menggila, dia teralpa tentang insan-insan lain yang sedang menantinya di rumah.
Abid hala dua tapak tangan ke pipi Hannan. Dipaut lembut. Dua pasang mata mereka beradu pandang.
"Tapi Abid nak makan dengan mama. Mama kan dah janji nak balik cepat dan makan dengan Abid malam ni. Abid tunggulah sampai mama balik. Kita kan tak boleh mungkir janji dengan orang. Mama kata orang yang mungkir janji ni Allah marah. Abid tak mungkir janji." Serentak kepala Abid digeleng. Laju. Mata dibenamkan lagi ke wajah Hannan.
"Mama tak takut Allah marah mama ke?"
Hannan angguk kepala. Dada rasa dihentak batu nan maha berat. Terpukul benar dengan kata-kata spontan yang terhumban dari ulas bibir anak tunggalnya ini. Abid memang anak yang bijak dan sesekali kata spontan yang terlontar memang berisi dan tertampan ke batang hidung si penerima. Tapak tangan kanan Hannan laju diangkat tegak separas bahu.
"Okey..." Hannan lontar nafas dalam-dalam.
"Mama mengaku mama salah sebab mungkir janji nak balik awal dan makan malam dengan Abid. Mama minta maaf, sayang. Mama minta maaf banyak-banyak dengan Abid. Abid maafkan mama, ya?"
Abid angguk tulus. Dua senyum berpaut. Hannan capai wajah Abid. Hannan kucup dahi Abid. Ada rasa sebak yang tersangkut di situ. Dilabuhkan senyap-senyap. Maafkan mama, sayang. Diangkat kembali wajah Abid setentang dengan wajahnya. Hannan senyum. Paling manis.
"Terima kasih, sayang. Mama janji mama takkan lambat lagi, hmmm."
Abid angguk lagi. Senyum polosnya nampak sinar bahagianya. Laungan perlahan Mak Diah dari arah dapur Hannan balas. Rerambut halus hitam Abid dielus.
"Okey, jom kita makan. Kesian nenek tunggu kita, kan? Nenek pun mesti dah lapar macam Abid."
Tubuh Abid diangkat dari riba. Hannan bangkit dari duduk. Dua pasang kaki mengayun rentak kaki ke arah dapur.
"Mama..."
Hannan yang memegang jag air terhenti pergerakannya. Wajah Abid yang membuang pandang ke arahnya dibalas dengan senyuman.
"Ada apa, sayang? Nak tambah nasi lagi?"
Pinggan Abid yang sudah licin menangkap sisi mata.
Abid geleng. Mulut yang berhenti mengunyah itu memandang tepat ke wajah Hannan sebelum membuang pandang ke dada pinggan di depan yang kosong. Bibirnya tiba-tiba terkunci. Hanya gerak mata yang berbicara.
Dahi Hannan berkerut. Pelik dengan perlakuan Abid yang tiba-tiba. Ditoleh ke sebelah. Raut Mak Diah dijamah. Cuba mencari jawapan. Mak Diah dilihat menggeleng kepala. Mungkin juga sama seperti yang Hannan rasa saat ini. Hairan dengan perlakuan Abid. Hannan elus lengan anak tunggalnya itu.
"Sayang... Kenapa ni, hmmm?"
Wajah polos Abid yang bujur bersama sepasang matanya yang bulat diselusuri dalam diam.
Abid angkat wajah menatap Hannan.
"Kenapa mama tak kahwin lagi dengan Uncle Izz?"
Hannan terkesima sesaat. Sungguh dia terkejut dengan pertanyaan permata hatinya ini. Senyum Mak Diah yang usai makan melebar mencecah telinga. Tangan mencapai kendi di sisi. Dihulur tangan sambil mata mengerling ke wajah anak asuhannya di depan. Kepala digeleng. Tuala kecil buat pengelap tangan dicapai. Dielus jari-jemari kanan. Bibir ukir senyum lagi. Abid... Abid. Mak Diah sedia maklum, Abid memang adakalanya tak terduga akalnya.
Mata Hannan terkebil-kebil sebelum bibir perlahan-lahan luncur ketawa kecil. Ketawa kecil yang akhirnya merebak menjadi besar dan kuat. Rambut Abid dielus lembut. Kendi dicapai. Tangan kanan Abid dihulurkan. Dicuci. Tuala kecil yang diberikan Mak Diah dicapai lalu dielus ke tapak tangan Abid.
"Out of the blue, sweetheart. Kenapa tiba-tiba Abid cakap macam tu kat mama? Buat mama terkejut tau."
Abid renung wajah Hannan. Dihempas nafas bersama sebuah desir perlahan namun tertangkap di cuping Hannan. Pasti ada benda yang sedang bersarang dalam fikiran anak tunggalnya ini. Hannan tahu benar!
Hannan usap rambut Abid.
"Okey... Abid nak cakap apa dengan mama sebenarnya? Cakaplah, hmmm. Abid beritahu mama apa yang ada dalam fikiran Abid."
"Kalau mama kahwin dengan Uncle Izz, mama tak payahlah lagi balik lewat. Mama kata mama balik lewat sebab mama kena kerja kuat cari duit banyak. Kalau mama kahwin dengan Uncle Izz, Uncle Izz boleh bagi duit banyak dekat mama. Mama tak payah kerja kuat-kuat lagi. Mama boleh balik rumah cepat. Betul kan, nenek?"
Abid hala sepasang matanya ke wajah Mak Diah. Ibu jari kanan Mak Diah hala ke langit.
"Pandai cucu nenek ni." Senyumnya terus melebar.
Hannan geleng kepala bersama senyum kecil. Kepala Abid terus dielus. Dada yang bergelumang dengan perkara yang tiba-tiba hadir dalam hidup sedaya upaya dihijab daripada terkesan oleh Abid mahupun Mak Diah. Sungguh... Nafas seakan-akan terjerut dengan kemunculan perkara yang memang tidak terduga itu. Perkara yang langsung tidak diundang!
"Hannan..."
Kepala Hannan terpusing kala cuping menyambut suara yang menyeru namanya. Bibir menjuring senyum kecil melihat susuk tubuh Mak Diah mengambil duduk di sebelah.
Melihat dari jauh Hannan yang tenggelam dalam perasaan dan mengelamun di sofa, hati tuanya pasti, memang ada sesuatu yang disembunyikan ibu muda ini. Sejak Hannan balik tadi dia sudah dapat mengesan sesuatu. Ada sisa tangis yang tersirna di wajah Hannan biar cuba dipadamkan dengan senyum dan tawa. Dia tahu Hannan berbohong. Riak wajah Hannan lain benar kala berkata-kata. Malah, sejak dua tiga hari ini dia dapat merasakan ada sesuatu yang telah berlaku.
Detik dalam hati itu tambah kuat apabila Abid ada menceritakan kelmarin tentang Hannan memarahi seorang lelaki di luar klinik semasa membawa Abid ke sana. Tidak pula mahu ditanya lanjut tentang perihal itu kerana menanti Hannan bercerita sendiri, namun nyata tiada langsung bibit-bibit itu muncul. Dia akur. Hannan kini bukan lagi Hannan yang dahulu. Hannan kini sudah lain!
Bukan dia tidak kenal Hannan. Dari Hannan kecil hingga kini, dia melihat pemilik lengkap nama Hannan Zahirah Lee Louver Abdullah ini membesar dengan pelbagai rencam hidup. Hannan gadis cantik yang lincah, ceria dan disenangi setiap pengunjung lodge milik ibu angkatnya di Pulau Mabul. Dibesarkan dengan penuh kasih sayang oleh arwah ibu angkat yang juga teman rapat arwah mamanya setelah mamanya itu meninggal dunia akibat lemas di laut waktu menyelam.
Arwah mamanya juga mengikut jejak mendiang papa Hannan yang lemas semasa menyelam sewaktu Hannan masih di dalam kandungan. Hannan yang tabah sejak kecil. Hannan yang mengerti bahawa dirinya anak yatim piatu sejak kecil. Hannan yang tahu membawa diri dan menyenangkan orang sekelilingnya. Menjadi penghibur dan penyeri di lodge milik arwah ibu angkatnya yang juga bekas majikan Mak Diah.
Hannan jala wajah manis.
"Mak Diah tak tidur lagi? Dah lewat ni..."
"Hannan tu kenapa tak tidur? Esok pagi nak kerja, kan? Fikir masalah kerja, ya?"
Mak Diah balas senyum Hannan. Cuba mengumpan. Kalau-kalau mengena dan Hannan akan membuka kisah yang tersimpan di dalam dada.
Hannan lepas keluhan berat. Rasa yang tersangkut dalam jiwa sukar benar mahu dilepaskan. Hati galau dikejar rasa yang paling tidak ingin dijemput untuk hadir dalam sanubari. Beberapa hari ini jiwanya dilanda ketakutan. Takut pada satu musibah yang bakal meragut seluruh bahagia yang selama ini dia bina dengan darah dan air mata. Kepala tertunduk. Tangan meraup wajah. Lama. Dilepaskan pautan tangan. Kepala diangkat perlahan. Disebak ke belakang rambut panjang yang terjurai ke wajah.
"Dia dah jumpa Hannan, Mak Diah."
"Dia?" Raut wajah Mak Diah tertanya.
"Siapa, Hannan?"
Hannan telan liur. Nafas dihembus. Bibir dikemam. Lama. Mata terpejam seketika sebelum perlahan-lahan dibuka.
"Haniff."
Dan raut wajah itu menari-nari lagi di mata.
Mulut Mak Diah terlopong saat sebaris nama itu terluncur dari bibir Hannan. Mata terkelip-kelip.
Hannan capai tangan Mak Diah. Mata terasa hangat.
"Hannan takut, Mak Diah. Hannan takut." Bibir bergetaran. Menggigil.
Mak Diah elus belakang Hannan. Cuba menyalur semangat.
"Hannan, sabar. Ingat Allah, nak." Kisah Hannan dan Haniff tidak mungkin mampu dia lupa. Sampai hati Haniff buat Hannan sekejam itu.
Hannan ketap bibir. Dada rasa bergoncangan. Bimbang benar dengan segala rasa yang hadir dalam fikiran.
"Kalau dia... Kalau dia datang... Dia muncul semata-mata nak rampas Abid daripada Hannan macam mana? Kalau... Kalau keluarga dia tahu pasal Abid, macam...Macam mana, Mak Diah?"
Hannan geleng kepala. Laju. Air matanya tumpah juga akhirnya. Esak bergema. Kenangan maha pahit yang menimpa hidup dahulu tertayang di layar fikiran. Satu per satu wajah yang telah menikam jiwanya, mencincang hatinya, membunuh semangatnya kembali menghentak kotak ingatan. Dada berombak.
"Keluarga dia kejam, Mak Diah. Mereka kejam." Bibir Hannan menggigil.
Bahu Hannan dipaut.
"Insya-Allah. Dia takkan tahu tentang Abid. Hannan jangan fikir bukan-bukan, nak."
Tangan dibawa ke pinggir mata. Diseka hangat air yang terus mengalir. Kepala digeleng.
"Dia macam dah tahu, Mak Diah. Tadi dia jumpa Hannan di tempat parkir. Sebelum ni pun dia datang jumpa Hannan di pejabat. Dia tanya pasal Abid. Dia tanya siapa ayah Abid. Hannan takut, Mak Diah. Lambat laun dia mesti tahu siapa Abid. Kalau dia tahu mesti dia akan rampas Abid daripada Hannan. Hannan tak boleh hilang Abid, Mak Diah. Tak boleh. Hannan takut." Tangisnya bergema lagi.
Mak Diah sudah tumpah air mata melihat pilu di wajah Hannan. Diseka laju.
"Sabar, Hannan. Mintak kepada Allah semoga semuanya baik-baik. Abid tetap milik Hannan sampai bila-bila. Tak ada sesiapa yang boleh ambil Abid daripada Hannan, nak. Percayalah cakap Mak Diah."
"Hannan tak boleh hilang Abid, Mak Diah. Hannan tak sanggup."
Mata dipejam sesaat. Tidak sanggup membayangkan perkara tersebut. Abid nyawanya. Abid segala-gala buat Hannan selama ini. Dia hidup... Dia bangun... Dia kuat selama ini kerana Abid.
"Baik Hannan mati kalau Hannan hilang Abid, Mak Diah. Abid sahajalah harta hidup Hannan." Pecah lagi air mata.
"Hannan dah tak ada apa-apa lagi dalam hidup ni. Mama dah tak ada. Ibu dah pergi. Hidup Hannan dah musnah dulu. Kalau Abid tak ada, Hannan dah lama mati, Mak Diah. Hannan dah lama mati."
Tubuh Hannan jatuh dalam pelukan Mak Diah. Esak tangisnya memenuhi ruang tamu. Bibir Mak Diah bergetar. Mata terpejam. Ya Allah... Kasihanilah dia. Kasihanilah hamba-Mu yang satu ini. Jangan ambil nyawa hidupnya. Hanya nyawa itu satu-satunya harta jiwa yang dia ada. Hanya itu satu. Jangan biar Abid diambil daripada hidupnya. Jangan, Ya Allah.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro