Bab 7
KEJADIAN malang yang menimpa gadis unik bernama Lia Hana lewat petang semalam masih terbayang-bayang di fikiran Syed Azeem. Hampir dua jam dia menghadap dokumen dan komputer di hadapan, sudahnya satu perkara pun tidak dapat diselesaikan. Sememangnya wajah unik itu amat seiras dengan Syarifah Zalia. Dia telah memastikannya dengan jarak yang amat dekat semalam. Mereka duduk sebelah-menyebelah di dalam kereta, dan dia mengambil peluang untuk mengamati wajah manis itu sebaik mungkin.
Sekali pandang, dia pasti tiada siapa pun yang dapat membezakan antara Syarifah Zalia dan Lia Hana. Itu yang difikirkannya. Namun jika diamati betul-betul, ada satu perbezaan yang ketara di wajah mereka. Syed Azeem amat mengenali apa-apa sahaja yang dimiliki Syarifah Zalia. Mungkin tiada satu pun tentang gadis itu yang dia tidak tahu, kecuali niat gadis itu melarikan diri di hari pernikahan mereka.
Ya... gadis unik Lia Hana mempunyai dua lekuk yang dalam dan amat cantik di kedua-dua pipinya apabila dia tersenyum. Sesungguhnya dia sudah mula suka dan terpikat dengan senyuman itu! Sangat manis dan indah! Sementara Syarifah Zalia pula hanya mempunyai satu lekuk sahaja. Satu lekuk yang cetek, dan hampir orang lain tidak perasan. Dia yakin kini, gadis itu bukan Syarifah Zalia.
Cara Lia Hana bertutur juga menarik perhatiannya. Jauh berbeza dengan cara gadis yang menghancurluluhkan hatinya itu. Lia Hana penuh tertib dan sopan, sesuai dengan raut muka yang comel dan manis. Wajahnya nampak tenang, walau dalam keadaan yang agak kecewa dengan peristiwa malang yang menimpa dirinya semalam.
Syed Azeem tersenyum sendiri pula bila terkenangkan gadis itu yang sentiasa tercari-cari sesuatu di dalam beg tangan besarnya. Waktu itu, wajah si dia cukup menghiburkan. Terlalu banyak barang yang dibawa agaknya, sehingga terpaksa mengambil masa yang lama untuk cari benda yang perlu.
Hesy... apa yang melalut ni! Desisnya lalu bangun dari kerusi empuk itu menuju ke cermin yang menghadap jalan dan premis kilang di hadapan pejabatnya. Terasa hati untuk membuka bidai yang mengambil alih tugas langsir itu. Selama dia bekerja di sini, tidak pernah sekalipun dia membuka bidai tersebut. Tidak perlu sebenarnya. Cahaya lampu yang menerangi bilik sudah cukup untuk dia menyelesaikan semua kerja. Juga tidak mahu merasa rimas dengan kehadiran cahaya matahari yang akan masuk dan menerobos ruang fikiran dan jiwanya yang kelam selama ini.
Perlahan-lahan tangan menarik tali pembuka bidai tersebut. Cahaya pagi segera masuk membantu menerangi ruangan pejabatnya yang agak besar itu. Terasa ada ketenangan dan semangat baharu pula yang menerpa masuk ke dalam diri. Semangat yang telah lama pudar dan menjauh.
Mata tenang memerhati ke luar. Pemandangan pagi yang menenangkan. Nun jauh di sana tersergam Bukit Larut yang sungguh indah menghijau, menerbitkan satu perasaan harmoni bila memandang. Di tengah-tengahnya terdapat air terjun yang memukau perhatian. Tiada kesibukan manusia pun pada pandangannya. Yang terbentang di hadapan, cuma ada jalan raya yang agak sunyi. Sememangnya jalan ini jarang digunakan kenderaan luar, kecuali oleh pekerja-pekerja atau orang yang mempunyai urusan dengan kawasan perindustrian sahaja.
Dia terus menghalakan pandangan ke arah kilang di hadapan. Besar kilang tersebut. Terdiri dari beberapa unit bangunan. Setahunya, ia adalah kilang makanan yang mengeluarkan jenama ikan sardin terkenal. Dia juga suka makan sardin daripada jenama tersebut. Jika bondanya yang memasak sardin tersebut, kesedapannya akan menjadi berganda-ganda lagi. Ahhh bonda! Tiba-tiba perasaan rindu kepada bondanya menjengah hati. Satu-satunya wanita yang selalu dirindukan kini. Bonda sudah lama tidak melawat anaknya di hujung dunia ini.
Pandangannya tiba-tiba tertancap kepada sebuah kereta warna hitam yang terparkir di ruangan petak yang agak hujung di hadapan kilang tersebut, tetapi betul-betul berada bertentangan dengan pejabatnya. Toyota Vios Lia Hana!
Oh Tuhan...! Kenapa mesti ada banyak kebetulan dengan gadis ini? Apa rahsia di sebalik semua ini? Soal Syed Azeem sendiri.
Harapannya untuk bertemu gadis itu buat kali ketiga telah dimakbulkan Tuhan. Masih adakah pertemuan manis untuk kali keempat, kelima dan seterusnya? Mengenangkan lesung pipit yang manis terletak di kedua-dua pipi putih, yang kadang-kadang berona merah, rasanya dia tidak akan sekadar mengharap lagi. Tidak akan bergantung kepada kebetulan lagi. Dia akan berusaha supaya ada pertemuan untuk kali keempat dan seterusnya. Daya tarikan gadis tersebut amat kuat kepadanya. Dia mesti bertindak menjadi lelaki macho...
NAIK rimas Lia Hana dengan desakan Salina pada tengah hari itu. Temannya tidak pernah berputus asa meminta penjelasan kenapa dia boleh menumpang kereta mewah Azeem semalam. Hilang selera dia untuk menjamah makanan yang dibelikan oleh Faiz, sebagai tanda terima kasih menyelesaikan masalah bersangkutan mesin operasi malam tadi. Itu janji Faiz padanya.
"Aku belum makan lagi ni, Lina. Kau makanlah, aku boleh cerita... nanti kau boleh jadikan novel," ujarnya separuh perli. Tetapi temannya ini tahukah perliannya bila masuk bab makan begini? Huh!
Tersengih-sengih Salina menerima pelawaan Lia Hana. Nasi yang dibungkus Faiz memang nampak sedap. Lauk sotong, udang besar goreng, ikan pari bakar dan ulam-ulaman, berserta air asam. Sudah rezeki dia agaknya. Walaupun baru makan sebentar tadi, tetapi apabila melihat makanan itu, perutnya terasa lapar semula. Alahai perut stoking... boleh masuk banyak-banyak.
"Aku tunggu kau semalam. Dah pukul sebelas, kau tak balik-balik lagi... aku pun tidurlah. Pagi tadi kau kelam-kabut nak datang kerja awal, tak sempat aku nak tanya."
"Semalam tu aku terpaksa, kunci kereta jatuh dalam longkang depan bank. Si Azeem tu beria-ia nak tolong. Aku naik ajelah kereta dia, sebab dah terdesak. Faiz pulak asyik telefon, kecemasan di kilang ni. Jadi semuanya kena cepatlah."
"Jap... jap. Apa nama dia?"
"Azeem... Azeemlah!" Sedikit terjerit Lia Hana apabila Salina berkerut muka seperti tidak dapat menangkap. Betullah dengan pengakuan dia hari itu yang IQ dia rendah, lambat sangat memahami sesuatu perkara, sungut Lia Hana dalam hati.
"Wah...! Sedapnya nama dia, sesuai dengan orangnya. Jadi, engkau dah berkenalanlah dengan mamat biul tu?"
"Kiranya macam tu la... Sebab orang dah tolong aku, kenalah berbahasa, kan?"
"Eh... Lia, aku betul-betul suka dengan mamat tu. Engkau tolong rekomenkan aku boleh? Kaukan dah kenal dia?"
Tersedak Lia Hana ketika meneguk air dek kerana kata-kata teman serumah merangkap kawan baiknya ini. Jauhnya dia berangan! Belum pun kenal orangnya bagaimana, dia sudah jatuh hati. Salina... Salina, tak habis-habis dengan perangai gopoh dan kecohnya, gumamnya dalam hati. Rasa lucu pun ada.
"Kau janganlah senyum-senyum saja. Bagilah aku peluang!"
"Tengoklah nanti, kalau aku tak nak... kau boleh ambiklah..." gurau Lia Hana, ingin melihat reaksi temannya.
"Eh... takkan kau pun suka jugak dekat mamat biul tu? Dulu kemain takut lagi, sekarang dah suka ke? Kaukan ramai peminat. Ni ha tadi... Encik Kamil, bos aku baru je kirim salam dengan kau. Beria-ia dia tanya pasal engkau itu ini, dengan aku..."
"Hesy... tak kuasa aku. Encik Kamil tukan dah ada anak dua? Engkau jangan nak bergosip, Lina! Pekerja lain tahu, tak elok tau...! Nanti dia orang ingat aku ada skandal dengan suami orang."
"Alah... bukan salah kau, dia yang nak menggatal!"
"Jangan! Kita orang perempuan ni, selalu saja jadi mangsa. Tak salah pun akan dipersalahkan. Kau jangan babitkan nama aku dengan suami orang. Pantang keturunan dan nenek moyang aku!"
Sudahnya Salina tersengih-sengih. Faham benar dia bila Lia Hana sudah menyebut keturunan dan nenek moyang, bermakna dia amat serius dengan kata-katanya. Jangan diungkit atau disebut lagi perkara tersebut.
"Cik Lia, sedap tak makanan yang saya belanja tu?"
Faiz yang tiba-tiba muncul di kantin menyapa. Terkejut kedua-dua gadis tersebut. Hampir tercekik Salina dibuatnya, mujur Lia Hana cepat-cepat menghulurkan air minuman. Kemudian mata Salina terbelalak memandang temannya yang sedang tersengih-sengih itu.
"Sedap sangat, Faiz. Banyak pulak tu. Tak habis saya makan sorang, itu yang syer dengan Cik Lina ni. Terima kasih banyak-banyak ya. Lain kali saya belanja Faiz pulak.
"Saya, kalau Cik Hana nak belanja... tak menolak. Rezeki, kan? Emak ayah pesan, jika ada rezeki... jangan jual mahal!"
"Banyak betul pesanan emak ayah engkau, ya Faiz? Setiap kali jumpa kau, mesti ada pesanan mereka yang kau sebut," Salina mencelah.
Sememangnya begitulah, jika mereka berbual dengan Faiz, mesti ada pesanan ibu bapanya yang disampaikannya. Juruteknik dari bahagian penyelenggaraan ini, sudah setahun berkhidmat di situ, dan nampak seperti amat berminat mendekati mereka berdua sejak kehadiran Lia Hana.
"Saya pergi dululah Cik Hana dan Cik Lina. Nak solat zohor, takut tak sempat pulak nanti."
"Okey Faiz. Terima kasih sekali lagi untuk makanan yang sedap ni."
Faiz mengangguk seraya tersenyum, khas untuk gadis pujaan hati dalam diam. Lalu dia beredar menuju ke surau berdekatan.
"Itu lagi sorang yang tergila-gilakan engkau! Engkau tak perasan ke, Lia?" bisik Salina setelah Faiz agak menjauh.
"Apalah engkau ni, Salina! Dia tu macam adik aku aje. Beza umur dia dengan kita tiga tahun tau! Dah... dah, jangan nak merepek lagi. Jom pergi solat, sebelum bos kau dan bos aku mengamuk kat dalam sana.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro