Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 9

BELUM sempat meletakkan beg tangan di meja, Datuk Borhan muncul di belakangnya lalu terus menyapa; "Meen! Pak long nak minta tolong kau jemput Mithtaff di airport."

"Bila?" tanya Jasmeen sambil menoleh.

"Lebih kurang pukul satu tengah hari dia sampai di KLIA."

Jasmeen mengangguk sahaja. Walaupun Datuk Borhan meminta pertolongan tetapi dia tahu, lelaki itu tidak suka jika Jasmeen menolak. Jasmeen harus memandu ke airport lebih awal daripada masa ketibaan Mithtaff Hakimi. Mithtaff Hakimi pasti tidak suka menunggu lama di sana. Penerbangan yang jauh dari USA ke Asia jelas sangat melelahkan. Ditambah pula dengan cuaca yang panas, dia yakin Mithtaff Hakimi akan mengambil masa untuk menyesuaikan diri setelah sekian lama berada di sana.

"Pak long akan ke Pahang sekejap lagi. Nak tengok tapak projek baru. Sebab itulah Pak Man tak boleh jemput Mith."

"Baik, Meen faham. Meen akan pergi ambil Mith di airport."

Datuk Borhan terus berlalu. Jasmeen duduk di kerusi sambil menjangkau tangan menghidupkan komputer. Ada kerja yang menunggu yang perlu disiapkan. Lincah jari-jemarinya menaip sambil berharap tugasan itu dapat diselesaikan sebelum dia keluar ke lapangan terbang.

Dia mengeluh dengan agak kuat, rasa sedikit tertekan kerana yakin kerjanya itu tidak akan dapat disiapkan dengan cepat.

"Apa yang dikeluhkan tu?" tanya Rose yang muncul di tepi mejanya.

Jasmeen mengangkat wajah. Dia melihat Rose sedang membawa dua bungkusan berisi nasi lemak.

"Kau tentu belum makan. Ni, aku belikan kau nasi lemak," kata Rose sambil mengajak Jasmeen ke pantri.

"Aku nak makan pun tak sempat. Pukul sebelas nanti harus pergi airport."

"Kenapa?"

"Nak jemput cousin aku yang baru tiba dari US."

"Cousin kau? Anak Datuk Borhan ke? Handsome tak?" tanya Rose sambil tersengih.

Dia menarik Jasmeen supaya bangun dari kerusi. Dengan lemah Jasmeen bangun lalu mengikut langkah Rose menghala ke pantri.

Mereka duduk menghadap tingkap yang memaparkan pemandangan kota raya Kuala Lumpur. Tidak jauh dari situ terlihat bangunan KLCC dan di bawahnya terlihat jalan raya dengan kereta-kereta yang berjejeran di sepanjang jalan. Sekali-sekala ternampak juga tren melintas, yang terasa begitu dekat dengan bangunan pejabat mereka.

"Handsome tak cousin kau tu?" ulang Rose apabila dia masih belum mendapat jawapan daripada Jasmeen.

"Handsomelah," jawab Jasmeen ringkas sambil membuka bekas plastik berisi nasi lemak. Harum semerbak bau nasi lemak yang beradu dengan sambal ikan bilis.

Mereka berdua menikmati sarapan sambil memandang ke luar dinding kaca di pantri yang kosong itu. Tiada sesiapa yang masuk ke situ. Kebanyakan staf lelaki lebih suka melepak di restoran seberang jalan.

"Kalau aku tak banyak kerja, mahu juga aku pergi ikut kau jemput dia."

"Jomlah," ajak Jasmeen bersungguh-sungguh. Ada juga teman berbual sepanjang jalan ke airport yang jauh itu. Dia pasti bosan memandu sendirian.

"Tak bolehlah. Kerja aku banyak yang perlu disiapkan," kata Rose sambil menyuap nasi lemak dengan sudu.

"Aku pun banyak kerja juga. Tapi sebab Datuk yang minta aku jemput, terpaksalah pergi juga. Harap-harap aku boleh segera balik ke pejabat lepas hantar Mith balik rumah."

"Ya, hopefully."

Sekitar jam sebelas pagi, Jasmeen tergesa-gesa keluar dari pejabat. Dia turun ke parking lot lalu menghala ke kereta. Dia masuk ke dalam kereta lalu terus menghidupkan enjin. Namun enjin keretanya gagal untuk dihidupkan.

"Ehhh, kenapa pulak tak nak hidup ni?" rungut Jasmeen sendiri sambil mencuba lagi tetapi enjin keretanya kedengaran menggigil seperti kesejukan.

"Takkan bateri habis kut? Rasa macam baru lagi ganti bateri..." Dia bercakap sendiri lagi sambil membuka pintu kereta. Dia bergerak ke hadapan kereta dan membuka penutup keretanya. Jasmeen termenung sejenak memikirkan apakah yang terjadi pada keretanya.

"Pagi tadi, elok saja. Kau janganlah meragam masa-masa genting macam ni!" Jasmeen bercakap lagi seolah-olah kereta itu faham keadaannya sekarang.

Jasmeen berdiri di hadapan keretanya sambil memandang enjin dan segala macam komponen di bahagian itu. Kenapa keretanya tidak boleh hidup? Apa masalahnya? Itulah, orang nak pakai kereta, kau pun nak pakai kereta. Tapi bila ada masalah satu habuk pun tak tahu! Semua harus diserahkan kepada foreman... Hatinya merungut.

Dia masih berdiri kebingungan. Perlukah dia menelefon bengkel kereta? Tapi bagaimana dia hendak menjemput Mithtaff Hakimi tepat pada masanya? Agh, suruh sahaja Mithtaff Hakimi naik ERL ke KL Sentral. Tak perlu manjakan sangat lelaki itu. Nak berjemput segala... Macam budak-budak. Umur dah tua kut! Hatinya merungut lagi.

"Kenapa tu? Ada masalah ke?"

Jasmeen tersentak apabila terdengar suara yang amat dikenalinya menegur. Dia memandang lelaki itu yang muncul entah dari mana. Kini lelaki itu sudah pun berdiri di hadapan Jasmeen.

"Enjin kereta saya tak boleh hidup," jawab Jasmeen ringkas.

"Awak masuk dalam kereta, cuba hidupkan lagi. Biar saya tengok," kata Amsyar.

Tanpa banyak soal, Jasmeen bergerak masuk ke kereta kemudian cuba menghidupkan enjin kereta. Ternyata enjin masih seperti tadi, tidak dapat dihidupkan. Jasmeen keluar semula dari kereta dan mendekati Amsyar.

"Timing belt sudah putus..." Amsyar berkata lagi sambil membongkok untuk memeriksa timing belt.

"Alamak! Terpaksa bawa ke bengkel ke?" tanya Jasmeen.

Amsyar mengangguk.

"Tapi saya harus ke airport. Nak jemput sepupu saya yang akan tiba jam satu tengah hari."

Amsyar memerhati wajah Jasmeen yang kelihatan begitu risau dan gusar. Kening Amsyar terangkat sedikit. Dia senyum.

"Jom saya hantar," kata Amsyar sambil membantu Jasmeen menutup bonet keretanya.

"Ha?"

"Kenapa terkejut?"

"Awak tak ada kerja? Tak ada assignment?"

Amsyar menggeleng.

Jasmeen termenung sejenak, masih memikirkan pelawaan Amsyar.

"Masa bergerak. Cepat buat keputusan," kata Amsyar.

"Awak mesti nak cepat, kan?"

Jasmeen mengangguk.

"Okey, jom. Kereta saya kat sana..." Amsyar berjalan terlebih dahulu meninggalkan Jasmeen yang masih teragak-agak.

Akhirnya Jasmeen melangkah mengekori Amsyar. Diam-diam Amsyar senyum apabila melihat Jasmeen berdiri di tepi keretanya. Dia pantas membukakan pintu kereta untuk Jasmeen masuk. Jasmeen kelihatan cuba menyelesakan diri. Matanya menjeling ke arah Amsyar yang menghidupkan enjin kemudian memakai tali pinggang keledar.

Jasmeen turut ingin mengenakan tali pinggang keledar. Dia menarik tali dengan agak rakus, tetapi tali pinggang keledar itu seperti sukar untuk ditarik. Terkial-kial Jasmeen cuba untuk memakai tali pinggang keledar. Amsyar pantas membantunya.

"Maaf, ketat sikit. Kusyen sebelah jarang orang duduk," kata Amsyar sambil cuba menarik tali pinggang keledar itu sehingga kepala mereka begitu dekat. Jasmeen cuba mengelak dengan menegakkan badan dan kepalanya.Hatinya merungut sedikit, tidak senang apabila Amsyar tersentuh sedikit tangannya.

"Ops... Sorry," kata Amsyar sambil segera mengalihkan tangannya dan memegang stereng kereta.

Pemanduan Amsyar lancar menuju ke destinasi. Mereka sampai awal dan kapal terbang yang dinaiki Mithtaff Hakimi belum mendarat. Amsyar mengajak Jasmeen minum-minum dahulu di kafe sementara menunggu ketibaan pesawat Mithtaff Hakimi.

"Terima kasih sebab hantar saya ke sini. Jauh perjalanan. Nanti saya bayar duit minyak," kata Jasmeen dengan lembut semasa mereka sudah pun duduk menghadapi kopi hangat yang berbau harum. Jelas kopi itu sedikit sebanyak membuat Jasmeen rasa tenteram.

Amsyar senyum sahaja. Dia menghirup kopinya perlahan-lahan sambil mata memerhati sekeliling. Kemudian mata Amsyar kembali ke wajah Jasmeen yang tidak lagi gelisah berbanding semasa mereka mula-mula duduk di dalam kereta. Namun kini wajah Jasmeen mulai ceria, memerhati seluruh ruang dan orang yang ada di sekeliling mereka.

"Tak perlu. Saya ikhlas," balas Amsyar.

"Bila kali terakhir awak terbang di udara?" tanya Amsyar.

"Hmmm... Awal tahun hari itu. Pergi ke Jakarta," jawab Jasmeen.

"Awak?" Jasmeen menyambung perbualan.

"Saya... Saya dah lama tak naik kapal terbang. Kali terakhir saya naik kapal terbang, ada ribut di angkasa. Kapal terbang bergegar. Selepas itu saya jadi fobia. Terbayang-bayang kapal terbang jatuh," cerita Amsyar.

Jasmeen tersenyum kecil.

"Saya pernah terbang jauh hampir 13 jam ke Switzerland beberapa tahun lalu. Saya ada juga terfikir tentang kapal terbang jatuh dipukul ribut. Kalau mati masa itu, pegang tangan dan peluk sajalah kawan baik."

"Jadi awak pergi luar negara dengan kawan baik awak?"

"Ya, saya pergi dengan Rose."

"Saya ingat awak pergi dengan boyfriend."

"Eh, tak... tak. Saya tak ada boyfriend," jawab Jasmeen spontan.

"Baguslah!"

"Apa yang bagus?" tanya Jasmeen kembali.

"Tak ada boyfriend. Tidak ada tunang ataupun suami, kan?" soal Amsyar sambil merenung ke wajah Jasmeen.

"Hmmm... Entah."

Jasmeen melihat jam di pergelangan tangan. Masih ada waktu setengah jam lagi sebelum ketibaan Mithtaff Hakimi. Dia berharap Mithtaff Hakimi tiba tepat pada waktunya ataupun lebih awal daripada itu. Sekonyong-konyong dia rasa tidak selesa apabila harus berhadapan dengan Amsyar lebih lama lagi.

"Kenapa entah pula?" kata Amsyar sambil tertawa kecil.

"Kalau ikutkan nenek kami, dia mahu saya dan Mithtaff kahwin," kata Jasmeen setelah diam beberapa saat.

Dia meneguk minumannya perlahan-lahan dengan penuh nikmat. Sekali-sekala rambutnya jatuh di dahi dan dia menguaknya dengan lembut. Amsyar suka melihat tatkala Jasmeen menguak rambutnya itu. Mata Jasmeen kelihatan mengerdip beberapa kali. Amsyar merasakan kerdipan mata Jasmeen bak bintang kejora. Jasmeen punya iris mata berwarna coklat muda.

"Jadi, awak pun setuju?" tanya Amsyar setengah menduga.

Bibir Jasmeen tercebik sedikit. Dia tidak pernah setuju dengan idea neneknya yang ingin menyatukan mereka. Entah mengapa harus timbul idea begitu. Sedangkan perhubungan sepupu seperti adik-beradik juga. Tidak mungkin akan tumbuhnya perasaan cinta. Lagipun Jasmeen tidak ingin jatuh cinta pada sesiapa.

"Kalau awak nak ke kahwin dengan orang yang awak anggap macam adik-beradik?"

"Ya, tentulah tak nak," balas Amsyar.

"Nenek saya masih di luar negara. Eropah. Duduk di rumah anak cucunya di sana. Kalau dia balik nanti, pasti kecoh. Mith pun dah habis belajar dan balik ke sini. Saya rasa macam nak lari," kata Jasmeen sambil meneguk minumannya yang masih bersisa.

"Jom, kita lari sama-sama, nak?" ajak Amsyar sambil tersengih.

"Merepek..." balas Jasmeen sambil mengeluh perlahan.

"Apa pulak merepek? Awak boleh lari ke rumah saya," balas Amsyar sambil tersengih kemudian tertawa kecil.

Jasmeen mengulum senyum. Kemudian berkata dengan nada remeh.

"Siapa nak lari ke rumah awak? Saya nak lari ke Korea."

"Korea? Awak pernah ke sana?"

Jasmeen mengangguk.

"Saya ada beberapa orang kawan kat sana. Ara Kang, Minjun, Boek Sung."

"Lelaki ke perempuan tu?" tanya Amsyar ingin tahu. Dia tidak dapat membezakan nama-nama itu sama ada lelaki atau perempuan.

"Kenapa awak nak tahu?" tanya Jasmeen sambil merenung dalam ke wajah Amsyar.

Kenapa kau sibuk sangat nak tahu semua hal aku? bisik hati Jasmeen.

"Saja nak tahu. Saya harap semua tu nama perempuan. Walaupun perempuan Korea tu cantik, putih tapi saya rasa cantik lagi perempuan Melayu. Macam awak," jawab Amsyar sambil mengalihkan wajahnya ke tingkap cermin.

Terlihat hangar dengan kapal terbang dari pelbagai syarikat penerbangan berlabuh di situ. Mungkin salah satu daripadanya kapal terbang yang membawa pulang sepupu Jasmeen. Sepupu yang mungkin juga akan menjadi bakal suaminya. Amsyar mengeluh perlahan.

"Kawan saya Ara Kang tu memang cantik tapi dia dah berkahwin."

"Bagus!" kata Amsyar sambil sengih.

"Minjun pulak handsome macam pelakon K-drama. Beok Sung juga handsome dan lucu orangnya. Dia suka buat saya ketawa."

"Ooo..." balas Amsyar sepatah.

Jasmeen memerhati kopinya yang sudah semakin kering di cawan. Patut ke dia pesan secawan lagi kopi sebab belum puas minum? Kopi itu sedap tapi sangat mahal.

"Jomlah kita pergi," ajak Jasmeen buat keputusan tidak ingin berlama lagi di kafe itu. Nanti rabak pulak dompetnya. Dahlah tengah bulan.

Mereka berjalan menghala ke ruang menunggu. Jasmeen sempat memerhati jadual ketibaan pesawat dari USA. Bila-bila masa sahaja pesawat akan mendarat. Mithtaff Hakimi akan muncul di pintu ketibaan. Mereka duduk menunggu di bangku tanpa sebarang perbualan. Jasmeen memerhati orang ramai yang baru turun dari pesawat. Amsyar membelek telefon bimbitnya, tidak menghiraukan keadaan sekeliling.

"Eh, itu macam Mith! Dah sampai dah dia!" kata Jasmeen sambil bangun.

"Mana?" tanya Amsyar sambil turut memerhati sekeliling.

Jasmeen berjalan laju ke satu arah. Amsyar mengekorinya dari belakang. Mithtaff Hakimi sedang berdiri di sisi troli yang penuh dengan beg pakaian sambil matanya memerhati sekeliling, seolah-olah mencari wajah yang dikenali.

"Mithtaff! Mith!" Jasmeen memanggil namanya dan melambai. Mithtaff Hakimi membalas lambaian Jasmeen sambil menolak troli ke arah Jasmeen dan Amsyar.

"Lama ke tunggu?" tanya Mithtaff Hakimi sebaik sahaja mendekati mereka.

"Aku sampai awal juga tadi," balas Jasmeen.

"Ni siapa? Boyfriend kau ke?" tanya Mithtaff Hakimi sambil memandang Amsyar kemudian menghulurkan tangan untuk bersalaman.

"Bukan," jawab Jasmeen sepatah.

"Saya Amsyar." Amsyar memperkenalkan diri.

"Oh, aku ingatkan kau dah ada boyfriend. Terkejut jugak aku," kata Mithtaff Hakimi.

Wajah Jasmeen masam sedikit mendengar kata-kata Mithtaff Hakimi.

"Kenapa kau cakap aku macam tu? Kau ingat aku ni apa?" kata Jasmeen marah. Masam wajahnya.

Dia malu apabila Mithtaff berkata begitu. Lalu dengan penuh gaya dia menolak rambutnya yang jatuh di dahi ke atas. Dia cebirkan bibir dan berkata lagi; "Kalau aku nak, aku petik jari aje. Berduyun datang!"

"Yang datang berduyun tu tua ke muda?" tanya Mithtaff Hakimi sengaja mengusik.

"Eh, tak mainlah tua-tua nak buat hapa? Minjun tu anytime aje sanggup datang Malaysia," kata Jasmeen.

"Kau dengar tu! Dia ni kan tak mainlah dengan lelaki Melayu. Asyik dengan Korean aje! Kau jangan jatuh cinta dengan perempuan macam dia! Merana," kata Mithtaff Hakimi pada Amsyar sambil gelak kecil.

"Dah... Dah! Jom gerak. Aku banyak kerja lagi kat ofis tu. Nanti ayah kau bising, kerja tak siap," kata Jasmeen sambil berjalan terlebih dahulu menuju ke pintu utama.

"Okey." Mithtaff Hakimi menolak troli berisi begnya keluar dari ruang itu. Mereka turun ke basement. Tidak lama kemudian Amsyar memandu meninggalkan kawasan lapangan terbang menuju ke pusat kota.

Selepas menghantar Mithtaff Hakimi pulang ke rumah, Amsyar memandu menuju ke pejabat Jasmeen pula.

"Awak tahu foreman yang bagus untuk baiki kereta?"

"Ya, saya tahu. Saya selalu hantar kereta ke foreman tu. Awak nak nombor dia?"

Jasmeen mengangguk.

"Terima kasih. Saya harus settlekan kereta saya cepat. Susah pula nak balik nanti kalau kereta masuk bengkel."

"Boleh settle petang ni juga. Tapi kalau awak mahu, saya boleh saja hantar awak balik." Amsyar meyakinkan Jasmeen.

"Tak apa. Awak dah bersusah payah untuk saya hari ni. Terima kasih. Saya tak tahu macam mana nak balas budi awak," kata Jasmeen sambil tersenyum manis. Buat pertama kalinya dia memberikan secebis penghargaan pada Amsyar.

"Sudi tak makan tengah hari dengan saya esok?"


JASMEEN memanggung kepalanya sambil merenung layar komputer. Pertanyaan Amsyar semalam masih belum jua berjawab. Rasa ingin menerima dan menolak itu sama banyak, sama timbangannya. Perlukah dia menerima pelawaan itu? Patutkah dia menolak? Dia tidak tahu. Masa terasa cepat beredar. Dia perlu berikan jawapan. Amsyar sudah pun menghantar WhatsApp, bertanya lagi untuk kedua kali.

Akhirnya dia capai telefon bimbit lalu membuka aplikasi WhatsApp. Pesanan daripada Amsyar dijawab.

- Okey, boleh. Kat mana?

- Saya datang jemput awak di pejabat tepat pukul satu.

Begitu pantas Amsyar menjawab pesanannya.Setelah itu dia meletakkan telefon bimbit di sisi, ingin menyambung kerja yang tergendala. Namun fokusnya sudah hilang. Mengapa dia menerima pelawaan Amsyar? Seharusnya dia tolak sahaja. Bukannya apa-apa kalau dia menolak. Apabila dia menerima, mungkin nanti akan ada pertemuan kedua dan ketiga. Sedangkan dia tidak ingin terlibat dengan mana-mana lelaki buat masa ini.

Jam dua belas empat puluh lima, Jasmeen masuk ke bilik rehat. Dia membersihkan wajah, membetulkan solekan. Dia mahu tampil segar di hadapan Amsyar. Rambutnya yang panjang melepasi bahu disikat rapi. Sedikit pewangi disembur di pergelangan tangan kiri dan kanan. Ketika dia keluar ke ruang hadapan, jam sudah hampir pukul satu. Dia berselisihan dengan Rose yang ingin turun makan.

"Kau pergi mana tadi? Aku cari kau tak ada kat tempat kau."

"Aku pergi ke bilik rehat sekejap," kata Jasmeen.

"Bersolek cantik-cantik ni kau nak pergi makan kat luar? Dengan siapa?"

"Shhh..." Jasmeen meletakkan jari telunjuk di bibir.

"Haaa! Aku tahu siapa," kata Rose sambil gelak kecil lalu menarik Jasmeen memasuki gawang lif.

"Diam-diam sudahlah," pinta Jasmeen.

"Aku keluar pun sebab rasa terhutang budi. Dia tolong aku. Dia hantar ke airport semalam dan juga syorkan foreman kereta yang bagus, murah upahnya."

"Wahhh..." kata Rose sepatah kemudian gelak kuat.

Jasmeen cebirkan bibir kemudian mencubit lengan Rose agak kuat. Terjerit Rose di ruang lif yang sempit itu. Mujur hanya mereka berdua sahaja di dalam lif ketika itu.

Semasa mereka tiba di bawah, Amsyar sudah pun menunggu di lobi. Dia senyum melihat Rose dan Jasmeen saling bergandingan keluar dari perut lif. Rose senyum meleret pada Amsyar, sempat kenyit mata dan gelak. Jasmeen hanya memasamkan wajah. Dia tidak suka diusik begitu, seolah-olah dia dengan Amsyar sudah ada hubungan yang mesra.

"Tu ke Rose, kawan baik awak?" tanya Amsyar.

"Ya. Nakal betul dia usik saya, macam saya dengan awak ada apa-apa."

"Apa salahnya, kalau ada apa-apa," jawab Amsyar sambil tersenyum mesra.

"Awak! Awak nak saya batalkan saja makan tengah hari ni?"

"Okey... Okey. Janganlah batalkan," kata Amsyar separuh merayu.

"Jom kita pergi. Naik kereta saya."

"Tak perlu pergi jauh-jauh nanti susah nak balik ke pejabat. Awak bukan tak tahu jalan raya di KL ini asyik jem saja pada waktu-waktu puncak."

"Jadi, awak nak makan kat mana?" tanya Amsyar.

"KLCC. Dekat, boleh berjalan kaki saja. Hanya sepuluh minit dari sini."

"Tapi cuaca tengah panas. Nanti kulit awak yang cantik tu jadi terbakar pulak."

"Awak perli saya?"

"Tak. Kita naik keretalah," kata Amsyar tetap ingin membawa Jasmeen menaiki keretanya lagi seperti semalam.

"Okey." Jasmeen mengalah akhirnya.

"Kita pergi makan di Kampung Baru. Dekat dengan rumah saya. Saya boleh hantar makanan pada nenek saya kat rumah," kata Amsyar lagi.

"Awak tinggal dengan nenek awak saja?"

Amsyar mengangguk.

"Ibu bapa saya bercerai masa saya masih kecil. Saya dipelihara nenek saya sejak umur lima tahun. Ibu berkahwin lain begitu juga dengan bapa saya. Saya ada adik-beradik lain dari ibu dan bapa saya."

"Jadi, awak anak tunggal, seibu sebapa?" tanya Jasmeen.

Entah mengapa dia rasa antara dia dan Amsyar ada persamaan. Mereka anak tunggal. Cuma bezanya ibu Jasmeen tidak berkahwin lain setelah bapanya meninggal.

Amsyar mengangguk.

"Tapi saya ada ramai emak dan bapa saudara. Sebenarnya bapa tiri saya sangat baik. Dia banyak membiayai pelajaran saya hingga ke universiti," cerita Amsyar.

Dia ingin Jasmeen tahu sedikit sebanyak tentang kehidupannya dan berharap Jasmeen juga bercerita tentang latar belakang hidupnya.

"Datuk awak?"

"Dah meninggal dunia beberapa tahun lalu. Saya tak mahu nenek tinggal seorang diri di kampung. Saya bawa dia duduk dengan saya di sini. Emak saudara dan bapa saudara pun ada di KL ni. Tapi nenek lebih suka tinggal dengan saya."

Jasmeen mengangguk.

"Saya tinggal dengan mama dan nenek juga. Tapi nenek saya tu jarang di rumah sebab selalu berjalan ke luar negara. Bapa saudara saya ramai, ada yang duduk di luar negara."

"Saya tahu, Datuk Borhan itu bapa saudara awak, kan?"

"Bapa saudara sebab berkahwin dengan kakak mama. Kakak mama dah meninggal. Mithtaff tu anak kakak mama. Selain saya, dia juga cucu kesayangan nenek."

"Emak awak ada kerjaya?"

Jasmeen mengangguk. "Dia pegawai tinggi dalam jabatan kerajaan," beritahu Jasmeen.

"Mama saya dah lama hidup sendirian selepas bapa saya meninggal. Nampaknya dia tidak ingin berkahwin semula. Cinta sejatinya hanya pada bapa saya."

"Saya faham. Saya suka wanita yang setia macam mama awak."

"So, awak suka mama sayalah ni?" tanya Jasmeen mengusik sambil gelak kecil.

Amsyar turut gelak.

"Awak ni..." kata Amsyar.

Dia mulai mengenali karakter Jasmeen. Suka mengusik rupa-rupanya! Patutlah dia dengan Mithtaff seperti hendak bergaduh sahaja bila berjumpa.

"Kami kaum wanita memang setia pada pasangan kalau dah betul-betul cinta. Saya pun kalau suami saya pergi dulu, saya takkan kahwin lagi. Bukan macam lelaki. Kubur isteri masih merah, dah dicari pengganti."

"Bukan semua lelaki macam tu," jawab Amsyar, tidak mahu kalah.

"Ada yang setia sampai mati," tambahnya untuk menguatkan lagi pendapatnya.

"Entahlah, saya selalu tengok lelaki tak boleh hidup tanpa perempuan. Mereka akan segera mencari pengganti kerana tidak mahu kesunyian. Katanya susah hidup bila tak ada orang yang uruskan makan minum dan pakaian."

"Ya, betul juga. Tetapi ada yang setia. Mungkin awak belum jumpa," kata Amsyar sambil tersenyum dan menjeling Jasmeen sekilas.

"Cuma saya rasa setia itu lebih sinonim dengan perempuan." Jasmeen tidak mahu kalah dalam menegakkan pendapatnya.

"Saya lelaki yang setia dan penyayang. Tidak ada erti main-main lagi kalau saya betul-betul jatuh cinta. Kalau saya jumpa orangnya, saya akan segera halalkan dia," kata Amsyar.

Jasmeen terus terdiam apabila Amsyar berkata begitu. Dia memerhati ke hadapan. Kereta Amsyar sudah pun memasuki pintu gerbang Kampung Baru.

"Dah sampai Kampung Baru. Nak makan kat mana?"

"Awak suka nasi beriani kambing?" tanya Amsyar sambil menoleh pada Jasmeen.

"Okey, boleh sahaja."

Selepas makan, Amsyar membungkus makanan untuk neneknya. Dia meninggalkan Jasmeen di dalam kereta dan menghantar makanan untuk neneknya di rumah. Jasmeen memerhati sahaja rumah sewa Amsyar. Sebuah rumah setingkat yang berderet panjang dengan ruang porch yang agak-agak muat sebuah kereta. Namun suasana di situ terlihat nyaman dengan naungan pohon ceri di tepian jalan.

Amsyar kembali tidak berapa lama kemudian. Dia menghantar Jasmeen ke pejabat. Bukan sekadar menghantar dengan kereta tapi lelaki itu menemaninya hingga ke hadapan pintu lif.

"Tak apa. Awak baliklah pejabat awak. Awak tentu banyak kerja," kata Jasmeen.

"Saya nak tengok awak masuk ke dalam lif dengan selamat."

"Ah, awak... Ada-ada sahaja!" kata Jasmeen sambil gelak kecil.

Dia teringat sesuatu. Lif yang mempertemukan mereka buat pertama kali. Dadanya berdenyut kencang tatkala dia teringat perihal itu. Mengapa kini dia harus berdiri di hadapan lif itu dengan Amsyar? Apakah nanti Amsyar akan menemaninya hingga ke hadapan pintu pejabat?

"Awak pergilah. Dah pukul dua lebih," pinta Jasmeen bersungguh-sungguh.

"Tak apa! Baik-baik masuk lif tu!" Amsyar seperti menyindir.

Kemudian dia berpaling dan bergerak meninggalkan Jasmeen.

Pintu lif tertutup. Jasmeen lega kerana Amsyar sudah hilang dari pandangannya. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro