Bab 8
BEBERAPA orang lelaki yang sedang menikmati makanan memandang ke arah dua orang gadis yang baru masuk ke restoran itu. Salah seorang gadis itu paling menyerlah dengan berbaju merah lembut dan berambut panjang menyentuh bahu. Gaya langkahnya dengan kasut tumit tinggi kelihatan penuh keyakinan. Tawa lembut dan keriangan yang ditunjukkannya membuat suasana sekeliling seolah-olah ikut menjadi ceria. Kulitnya putih kemerahan dengan wajah yang rapi bersolek, membuat beberapa pasang mata lelaki yang ada di situ memandang tidak berkelip. Kedua-dua gadis itu berjalan ke arah meja yang penuh dengan makanan.
"Kau nak makan apa?" tanya temannya sambil memandang ke arah pelbagai makanan. Ada mi goreng, bihun goreng, lontong, mi kari dan lain-lain.
"My favoritelah Rose, apa lagi. Nasi lemak sambal sotong dan kangkung lebih."
"Kau ni, Meen. Asal ke sini itu sahajalah pilihan kau," komen Rose sambil tertawa kecil.
"Saya juga suka nasi lemak sambal sotong dan kangkung lebih." Terdengar suara lelaki menyampuk dari belakang mereka.
Rose dan Jasmeen menoleh hampir serentak. Mata Jasmeen sedikit terjegil apabila dia melihat siapa lelaki yang berdiri di belakangnya dan menyampuk perbualan antara dia dan Rose. Dahi Jasmeen spontan berkerut. Dia hanya menggertapkan bibirnya sahaja, menyimpan rasa geram dalam hati.
"Siapa dia? Tiba-tiba aja menyampuk." Rose berbisik ke arah Jasmeen.
Jasmeen hanya angkat bahu.
"Awak ikut saya ke?" tanya Jasmeen dengan wajah masam dan matanya tajam menjeling ke wajah Amsyar. Namun Amsyar selamba sahaja.
"Kebetulan," jawab Amsyar sepatah.
"Banyak kebetulan awak kebelakangan ni." Jasmeen separuh menyindir.
"Saya dan awak sampai di hadapan restoran ini tadi hampir pada waktu yang sama. Awak saja yang tak nampak saya."
"Eh, kau kenal dia ke?" tanya Rose ingin tahu sambil matanya memanah ke wajah Amsyar. Amsyar senyum pada Rose.
Spontan Rose membalas senyuman jejaka itu. Dia lihat wajah Amsyar bersih berseri dan rambutnya kemas tersisir. Pakaiannya juga kemas, dengan kemeja putih, bertali leher hitam dan slack hitam. Kasut kulitnya tampak berkilat, bagaikan boleh bercermin.
"Saya kenal dia." Amsyar menjawab pertanyaan Rose bagi pihak Jasmeen.
"Wahhh... Ini perkembangan baik. Kau langsung tak cerita apa-apa," kata Rose sambil menyiku pinggang Jasmeen.
Jasmeen hampir melatah kerana terkejut namun mujur tidak terkeluar perkataan yang menjadi tabu. Rasa marah benar hati Jasmeen kerana Amsyar muncul tiba-tiba begitu di belakangnya.
Dia mulai kelam-kabut dan tidak suka apabila Amsyar ada di antara mereka. Entah mengapa dia rasa tidak keruan. Seluruh semangatnya yang berkobar-kobar mulai layu dan menunduk seperti kelopak bunga mawar yang disiram hujan lebat.
"Bukan penting pun nak cerita pasal orang yang aku tak berapa nak kenal."
"Kenapa awak macam marah pada saya, Cik Jasmeen? What's wrong?"
"Tak perlulah nak berdrama kat sini, Encik Amsyar."
"Saya bukan nak berdrama. Saya tanya awak. Kenapa awak tak suka pada saya? Saya ada buat salah apa pada awak?"
"Saya nak bungkus nasi lemak dan balik ke pejabat. Tak ada masa nak jawab pertanyaan awak tu," kata Jasmeen dengan tegas sambil meminta pekerja restoran itu membungkus nasi untuknya. Rose juga turut membungkus nasi lemak padahal niat asal mereka hendak makan di restoran itu.
"Okey, saya minta maaf kalau saya mengganggu awak, Cik Jasmeen."
"Tidak perlulah awak perli saya dengan panggil saya Cik Jasmeen."
"Jadi, sebenarnya saya harus panggil awak apa? Sayang?"
"Hah?" Merah padam wajah Jasmeen.
Matanya terbelalak memandang wajah Amsyar yang terus sahaja selamba.
Bertambah marah dan geram hatinya mendengar kata-kata Amsyar. Kenapalah lelaki itu sering buat dia rasa macam nak marah dan mengamuk walaupun kesalahannya taklah sebesar mana? Tiba-tiba ada angin lewat mengitari mereka datang dari pintu restoran yang terbuka. Dan Jasmeen terhidu bau haruman minyak wangi Amsyar. Bau itu tidak asing lagi. Bukankah dia pernah menghidu bau itu semasa dia jatuh di dalam lif tempoh hari?
Hati Jasmeen merasa begitu rusuh. Masam wajahnya sambil mengajak Rose berlalu meninggalkan restoran itu. Mereka berdua berjalan laju keluar dari restoran sambil menjinjing beg plastik berisi nasi lemak. Rose berjalan di sisi Jasmeen sambil menoleh sejenak ke belakang. Dia nampak Amsyar memerhati mereka berdua berjalan menghala ke arah jejantas.
"Lelaki itu masih pandang kau," kata Rose.
"Sejak bila kau kenal dia? Kau sorok dari aku, langsung tak cerita pasal dia."
"Aku nak cerita apa pasal dia, Rose?" tanya Jasmeen kembali.
"Macam mana kau kenal dia? Aku rasa dia minat kat kau. Lain macam aku tengok. Dia berdiri dekat betul di belakang kau tadi."
"Dia kawan rapat dengan Datuk Borhan. Dia bukan kawan aku, okey?"
Jasmeen tidak akan membuka cerita bahawa pertemuan pertamanya dengan Amsyar agak tragis dan memalukan. Tidak. Dia yakin Rose akan mentertawakannya. Dia tidak rela. Lebih baik dia simpan sahaja peristiwa itu buat diri sendiri. Walaupun terkadang dia rasa meremang bulu roma apabila teringat peristiwa itu.
Rose sekadar mengangguk. Dia tahu kalau Jasmeen tidak mahu bercerita, jangan dipaksa. Sudah lama dia mengenali Jasmeen. Gadis itu kelihatan lembut tetapi dalam kelembutan itu ada ketegasannya.
Semasa mereka sama-sama belajar di universiti, Jasmeen tidak pernah ada kekasih, biarpun ramai jejaka yang menyukainya. Rose tidak mengerti mengapa Jasmeen tidak seperti teman-teman mereka yang lain, yang asyik dengan cinta. Kata mereka, tujuan masuk universiti bukan hanya untuk mencari ilmu tetapi juga untuk mencari jodoh. Bagi Jasmeen, tujuan utama adalah belajar dan dia tidak akan memburu cinta.
"Aku tak ingin jatuh cinta," kata Jasmeen berulang kali pada Rose apabila mereka berbicara tentang lelaki. Rose dan Jasmeen sebilik semasa tahun pertama hingga ke tahun akhir.
"Kenapa? Mungkin sekarang hati kau masih keras dan tidak terpikat pada sesiapa. Mana tahu nanti kau akan jumpa orang yang berjaya menambat hati kau."
"Aku menginginkan lelaki yang figuranya sama macam ayah aku. Tapi aku rasa lelaki macam ayah aku tak wujud lagi zaman sekarang. Hanya dia satu-satunya yang terbaik untuk kami. Baik, penyayang, lembut tutur kata, taat pada agama... Tuhan sayangkan dia," ucap Jasmeen lirih, sambil matanya memandang jauh.
Ayahnya pergi ketika dia baru menginjak remaja. Dia merasa itu adalah satu kehilangan yang terbesar dalam hidup. Dia tidak akan pernah lupa pada kasih sayang dan perhatian ayahnya walaupun lelaki itu sudah lama pergi mengadap Ilahi.
Jasmeen sedang tekun menulis di mejanya. Dia agak terperanjat apabila terdengar suara Rose bertanya; "Tak nak makan tengah hari ke? Kau terlalu tekun bekerja. Dah pukul satu setengah."
"Kenyang lagi."
"Rehatlah. Kita pergi solat kalau tak mahu makan," kata Rose.
Jasmeen meletakkan pen di atas buku kemudian menggeliat setengah malas. Bahunya terasa agak tegang. Sebelah tangan memicit bahunya sendiri.
"Meen, selepas aku tengok lelaki di restoran itu tadi..." kata Rose, namun tidak sempat ayat itu dihabiskan, Jasmeen terus memotong kata-katanya.
"Agh! Apa kau ni? Masih sebut pasal dia."
"Tak. Aku teringat kau pernah kata, kau tak ingin jatuh cinta kerana kau mencari figura seorang lelaki yang sama macam ayah kau," kata Rose sambil memandang tepat ke wajah Jasmeen.
"Mungkin lelaki tu mempunyai ciri-ciri macam ayah kau, siapa tahu?"
"Amsyar?" tanya Jasmeen kembali lalu kening lebatnya itu pun bercantum.
"Kenapa kau nampak dia gitu?"
"Entah. Aku nampak dia macam cocok dengan kau," balas Rose sambil tersenyum kecil. Dia bimbang Jasmeen marah.
Jasmeen menggeleng.
"Kau jangan mula," kata Jasmeen seperti memberi Rose amaran.
"Aku tak suka dia."
Jasmeen tiba-tiba teringat dia pernah melihat Amsyar bersama kawan-kawannya pada suatu malam ketika dia keluar dengan Puan Nazirah. Itu kali ketiga mereka terserempak. Apakah Tuhan sedang merencanakan sesuatu? Sempat hatinya bertanya.
"Aku tak faham, satu aje. Aku dah banyak kali terserempak dengan dia. Dia macam sengaja cuba nak pikat aku. Cara dia bercakap dengan aku seolah-olah dia dah lama kenal aku padahal hanya beberapa kali saja jumpa."
Rose mengangguk.
"Okey. Jom kita pergi solat dan berdoa," kata Rose sambil bangun.
"Berdoa apa?"
"Doa supaya kita ini bertemu jodoh. Kita ni masih tak berteman dari dahulu hingga sekarang. Tahun ini kita sudah dua puluh enam. Dah tua," kata Rose sambil tergelak kecil.
"Untuk kau sahaja aku titipkan doanya moga hujung tahun ini kau naik pelamin," kata Jasmeen sambil bangun dan mengajak Rose menghala ke surau.
Mereka berdua berjalan menghala ke ruang belakang untuk ke surau. Ketika itu juga Syamila muncul dari bahagian hadapan dengan membawa jambangan bunga mawar merah yang besar.
"Kak Meen! Ini untuk Kak Meen," kata Syamila sambil tersenyum.
Jasmeen memerhati sahaja Syamila menghulur bunga itu. Hatinya berkata, dia tahu siapa yang menghantar jambangan bunga itu. Namun matanya menjeling pada sekeping kad berwarna pink yang terselit di celah-celah mawar yang indah itu. Jasmeen menyambut bunga itu lalu mencapai kad. Dia membaca sepotong kata-kata yang tertulis di situ.
- Maaf, saya tak akan ganggu awak lagi.
Amsyar
Bibir Jasmeen tercebik sedikit. Tetapi entah mengapa hatinya bergetar. Benar-benar tersentuh sehingga dia rasa dadanya sedikit pedih. Dia berjalan kembali ke dalam biliknya lalu meletakkan bunga itu di atas meja. Kemudian Jasmeen menyaingi Rose yang sudah pun berada di hadapan pintu surau.
"Siapa bagi kau bunga tu?" tanya Rose ingin tahu.
"Cubalah teka."
"Encik Amsyar?"
Jasmeen mengangguk sahaja.
"Apa yang ditulis pada kad?"
"Dia minta maaf, katanya tak akan ganggu aku lagi."
"Kau betul-betul rasa terganggu ke bila jumpa dia?" tanya Rose ingin tahu.
Jasmeen diam sejenak. Betul ke dia rasa terganggu? Jasmeen termangu hilang kata-kata. Hatinya tidak tenteram dan aman apabila dia melihat Amsyar ada berdekatan. Badannya akan rasa panas dingin secara mendadak. Dia tidak suka keadaan itu. Jantungnya akan berdegup kuat daripada biasa.
Jasmeen angkat bahu. Dia tidak dapat menjawab pertanyaan Rose.
"Aku risau kau yang akan naik pelamin dulu," kata Rose sambil tergelak kecil.
Jasmeen geram lalu ditamparnya bahu Rose sekuat hati. Namun Rose sempat mengelak. Dia mentertawakan Jasmeen yang kelihatan tidak keruan apabila nama Amsyar disebut. Wajah Jasmeen segera memerah dan bibirnya dikertap kuat hingga dia rasa sakit. Sepanjang petang, Jasmeen rasa lebih sakit saat memandang jambangan mawar merah yang terletak damai di mejanya dan tulisan Amsyar di kad itu bagai merobek hati kecilnya.
Kau tak perlu minta maaf. Hanya aku... aku rasa hatiku terusik sedikit dengan perangai kau. Suara kau, aksi kau yang bersahaja buat hati aku sakit. Pelik, kenapa aku harus rasa macam tu? bisik hati Jasmeen.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro