Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 7

JASMEEN baru sahaja keluar dari bilik mesyuarat apabila dia mendapati ada bungkusan makanan di atas mejanya. Dia termenung sejenak. Otaknya ligat berfikir.

Siapa pulak yang kirim makanan ni?

Perutnya memang kelaparan lantaran sebelum mesyuarat berlangsung dia tidak sempat makan pagi. Berkejaran dengan waktu sudah menjadi amalannya. Dan dia sering tertewas, meskipun berusaha untuk bangun seawal yang mungkin. Namun begitu dia rasa waswas. Dia perlu tahu siapa yang hantar makanan untuknya. Kemudian dia bergerak ke meja penyambut tetamu. Dia perlu mendapatkan pengesahan.

Takkan nak makan, sebab tak tahu siapa yang bagi.

"Kak Meen tak ada pesan apa-apa makanan," kata Jasmeen pada Syamila, penyambut tetamu syarikat. Pasti gadis itu yang menerima pesanan itu tadi.

"Tapi kenapa ada makanan di atas meja Kak Meen? Siapa yang hantar?"

"Mila pun tidak tahu, Kak Meen. Tapi makanan itu memang ditujukan kepada Kak Meen. Foodpanda hantar tadi semasa Kak Meen dalam bilik mesyuarat."

Dahi Jasmeen berlapis-lapis, hairan dan curiga. Siapa yang baik hati menghantar makanan untuknya? Mungkin mama? Tapi mama tak pernah buat gitu. Haruskah dia makan saja?

"Makan sajalah, Kak Meen. Rezeki tu," kata Syamila.

"Kau ni, macam mana nak makan? Kak Meen tak tahu siapa yang hantar."

"Mungkin kawan-kawan Kak Meen?"

Jasmeen berjalan semula ke mejanya. Dia merenung sejenak bekas polisterina berisi nasi campur berlaukkan ayam masak merah, sayur terung berlada dan ulam timun serta sambal belacan. Ah, menyelerakan pula nasi dengan lauk ni, bisik hati Jasmeen.

Jasmeen membelek telefon bimbitnya. Tiba-tiba sahaja telefon bimbitnya berbunyi dari aplikasi WhatsApp. Jasmeen memerhati sahaja gambar profil serta nombor yang tiada dalam senarai telefon bimbitnya. Gambar profil itu adalah figura lelaki tetapi diambil dari jarak jauh. Jasmeen tidak dapat meneka siapakah gerangan orangnya.Dia membuka pesanan ringkas daripada lelaki itu.

- Saya tahu awak belum makan. Dah terima ke makanan yang saya pesan untuk awak tadi?

- Siapa awak?

- Amsyar.

- Apa? Dari mana awak dapat nombor telefon saya?

- Cik Jasmeen, awak ingat tak lagi brosur awak itu ada disertakan nombor telefon?

Jasmeen kaget sendiri. Dia terlupa kerana sedikit geram dengan tindakan Amsyar. Mengapa Amsyar hantar makanan tengah hari untuknya? Dia teringat semalam mereka sempat makan bersama dengan Datuk Borhan. Kedua-dua lelaki itu berbual tentang politik sepanjang masa seolah-olah mereka bakal menjadi pemimpin terbaik negara ini. Ada-ada sahaja komen mereka berdua tentang pentadbiran negara dari dahulu hingga sekarang. Namun Datuk Borhan jelas mengagumi Dr. M, pemimpin terbaik Malaysia, menurut tanggapan Amsyar dan juga bapa saudaranya itu.

Jasmeen teramat bosan mengikuti perbualan mereka. Dia memandang mereka berdua silih berganti, bergantung kepada siapa yang berbicara. Mereka berdua seperti berada dalam dunia mereka sendiri dan Jasmeen benar-benar rasa terpinggir. Hendak menyampuk, dia tidak tahu di mana harus bermula. Lagipun dia kurang berminat dengan isu-isu politik yang sengaja digembar-gemburkan. Bagi Jasmeen, siapa pun yang memerintah, asalkan dia membawa keharmonian dan kesejahteraan rakyat, itu sudah cukup memadai.

Lantaran dia lapar dan letih, sudu dan garpu rancak menari di atas pinggannya. Nasi putih hangat, digabungkan dengan kuah kari kepala ikan merah berserta sayur kacang bendi, papadom, sambal belacan benar-benar menjulang seleranya. Dia mengakui pilihan Datuk Borhan untuk makan tengah hari di restoran itu adalah pilihan terbaik.

Selepas selesai makan, dia meminta diri untuk pulang. Datuk Borhan melepaskan kepulangannya dengan mudah tetapi Amsyar memberikan pandangan yang aneh, seolah-olah tidak ingin Jasmeen berlalu pergi begitu cepat. Jasmeen sedar Amsyar menghantar kepulangannya dengan pandangan yang dalam dan tajam.

Kau jangan mula buat benda pelik, Amsyar! Aku ni bukan jenis perempuan yang mudah dipikat. Hati aku keras, bentak hati Jasmeen.

- Lauk yang awak beli tak sedap.

Kata Jasmeen dengan sengaja ingin membuat Amsyar tidak puas hati.

- Jadi awak nak makan nasi kari kepala ikan macam semalam? Bukan main laju lagi awak berkayuh. Sekejap saja nasi awak dah licin.

- Hah! Sebab saya bosan dengar awak dan pak long asyik cerita pasal politik.

- Awak nak cakap soal cinta?

- Lagilah saya tak nak. Merepek.

- Awak tak akan makan makanan itu?

- Saya akan buang saja. Lain kali jangan hantar lagi makanan pada saya.

- Jasmeen. Saya hanya nak berkawan dengan awak. Anggaplah makanan itu sebagai tanda perkenalan dari saya.

- Kenapa saya? Dah kurang ke perempuan di Kuala Lumpur? Awak tu wartawan. Tentu awak ramai kawan, tinggal pilih saja.

- Saya pilih awak.

- Awak jangan macam-macam dengan saya. Saya terkenal sebagai perempuan garang. Tidak ada sesiapapun yang berani dekati saya.

- Yalah.

Jasmeen tidak membalas lagi pesanan ringkas daripada Amsyar. Dia hanya meninggalkan bluetick.

Kemudian dia menolak makanan yang baru dibukanya tadi ke tepi. Dia tidak akan makan. Dia lebih rela turun ke tingkat bawah dan membeli sendiri makanan dari restoran di seberang jalan.

Tapi siapa yang akan makan? Membazirlah pulak kalau buang dalam tong sampah, bisik hati Jasmeen kesal.

Jasmeen nampak seorang staf lelaki lalu di hadapan pintu bilik yang didominasi cermin. Dia melambai.

"Hafiz, awak dah makan?"

"Belum."

"Nah, ambil nasi bungkus ni."

"Betul ke, Cik Jasmeen?"

"Betul."

Hafiz tersengih lebar apabila bungkusan nasi itu diserahkan kepadanya.

Okey, selesai masalah. Aku boleh turun beli makanan, bisik hati Jasmeen sambil bangun.


AINI menyanyi kecil di dapur sambil mengacau gulai ikan keli salai. Kuah santan yang pekat beradu dengan kunyit, cili padi dan bawang itu kelihatan menyelerakan. Warna kuah yang kekuningan, bercampur dengan hirisan daun kunyit menerbitkan aroma yang begitu wangi. Kecur air liur Aini melihat masakannya sendiri.

Ibunya, Mak Juriah sedang sibuk menyiang sayur. Mereka membuat kerja dalam keadaan senyap. Hanya sekali-sekala Mak Juriah bercakap menyuruh Aini melakukan sesuatu. Mak Juriah menggoreng sayur kubis apabila Aini sudah pun selesai memasak gulai.

Aini mengambil sebuah mangkuk bujur sederhana besar lalu memasukkan dua ekor ikan keli ke dalam mangkuk itu. Dia meletakkannya mangkuk berisi lauk itu di atas meja. Diambilnya sepotong daun pisang bagi menutupi mangkuk tersebut.

"Nak hantar ke mana?" tanya Mak Juriah sambil menjeling tajam ke wajah Aini.

"Aini nak beri lauk sikit kat Nenek Timah."

"Tak payahlah. Ikan itu tak banyak. Nanti tak cukup nak makan hingga ke malam," kata Mak Juriah dengan wajah tegas dan serius.

"Tapi..." Suara Aini tersangkut di kerongkong.

"Setiap hari kau hantar makanan pada mereka. Apa yang kau dapat?"

"Dapat pahalalah, emak. Kan menolong orang tu ada ganjarannya?"

"Tak cukup lagi selama ni kau tolong orang tua tu dengan cucunya? Kenapa kau beria-ia sangat, Aini? Kalau bapak kau tahu..."

"Mak, janganlah beritahu bapak. Aini tahu, bapak tak suka kalau Aini selalu baik dengan mereka."

Mak Juriah diam. Dia memerhati sahaja Aini yang mencurah semula lauk yang sudah diisi ke dalam mangkuk. Tanpa sepatah kata Aini bergerak ke dalam bilik. Wajahnya kelihatan rusuh. Mak Juriah sedikit kesal. Bukan dia tidak suka dengan perbuatan Aini yang terlalu bermurah hati dengan jiran sebelah rumahnya itu. Dia cuma tidak mahu anaknya itu terjebak dengan sesuatu yang tidak baik. Sebagai anak gadis yang dipingit ibu bapa, Mak Juriah tidak rela apabila Aini bersikap terlalu 'murah'.

Di rumahnya, Nenek Timah duduk sendiri di atas katil. Dia menunggu kedatangan Aini namun gadis itu tidak datang hingga menjelang petang. Biarpun kakinya belum pulih sepenuhnya namun digagahinya juga ke dapur, menyediakan kopi untuk diri sendiri. Dia minum sendirian di dapur sambil memamah biskut kering. Nasi untuk makan tengah hari sudah disediakan Amsyar sebelum cucunya itu pergi kerja. Amsyar melarang Nenek Timah memasak ataupun mengemas rumah.

"Kalau nenek nak mengemas ataupun masak, tunggu sehingga balutan simen di kaki nenek tu dibuka." Hampir setiap hari Amsyar berpesan begitu.

"Sunyi betul rasanya hati aku ni," rungut Nenek Timah sambil mencelup biskut tawar ke dalam kopinya. "Kalau Aini datang, boleh juga berborak."

Pada saat begini, Nenek Timah mulai dilanda rindu pada kampung halamannya. Di sana ramai cucunya yang akan datang berkunjung dan melayaninya. Tapi di perantauan ini, dia sering bersendirian. Amsyar pulang setelah malam mengembangkan sayap hitamnya. Selagi hari masih cerah, Amsyar tidak akan kenal jalan pulang. Sudah begitu adat pekerjaan Amsyar sebagai wartawan.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro