Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 6

NENEK TIMAH sedikit gelisah menunggu Amsyar bangun daripada tidur. Biasanya Amsyar memang bangun agak lewat pada hari minggu begini. Selepas subuh Amsyar kembali melayan mata yang mengantuk. Malam semalam entah pukul berapa cucunya itu pulang.

Seminggu sudah pun berlalu selepas dia ditimpa malang. Kakinya yang masih bersimen tidak membenarkan dia turun ke dapur. Awal pagi itu dia bangun lalu duduk berehat sahaja di ruang tamu, merenung televisyen yang tidak dihidupkan. Di atas meja dapur sudah tersedia makanan pagi yang baru dihantar Aini. Semangkuk bihun goreng yang ditaburi telur dadar serta sepiring karipap, menanti untuk dijamah.

Pintu bilik tidur Amsyar terkuak perlahan. Nenek Timah memandang ke arah Amsyar yang sudah pun siap berpakaian. T-shirt berkolar biru cerah dan seluar jean tersarung di badannya.

"Kau nak ke mana pagi-pagi minggu ni?" tanya Nenek Timah sambil mengerutkan dahinya kehairanan.

"Oh, Am ada hal, nenek. Nak keluar," beritahu Amsyar ringkas.

"Kau tak nak minum dulu ke? Semua dah tersedia. Ada bihun goreng yang baru dihantar Aini. Ada juga kopi O yang baru dibancuh. Panas lagi."

Amsyar menggeleng.

"Nenek makan sahajalah. Am nak cepat," kata Amsyar sambil terus berjalan ke pintu hadapan lalu membukanya.

"Amsyar..."

Amsyar menoleh memandang Nenek Timah yang duduk di kerusi malas di hadapan televisyen. Dengan sabar, dia menunggu Nenek Timah berkata-kata. Namun wanita tua itu sekadar menggertapkan bibir, tidak menyuarakan apa-apa. Hanya wajahnya tergambar kekesalan.

"Kenapa nek?" Amsyar bertanya lalu mendekati Nenek Timah lalu duduk di sofa.

"Kau nak keluar jumpa dengan perempuan mana?" tanya Nenek Timah tidak dapat lagi menyembunyikan rasa curiga.

Amsyar ketawa lembut.

"Tak ada, nek. Mana ada perempuan dalam hidup Am. Sejak dulu, nenek aje perempuan yang Am ada," jawab Amsyar sambil tersenyum kecil lalu dicium pipi Nenek Timah dengan lembut.

"Kau jangan tipu nenek, Am. Hari minggu keluar dengan berpakaian kemas dan elok macam ni mesti nak pergi jumpa orang yang istimewa," kata Nenek Timah sambil merenung seluruh wajah cucunya itu.

"Tak ada, nek. Percayalah. Cucu nenek yang handsome bergaya ni hatinya masih dimiliki nenek seorang. Tapi entahlah kut nanti ada orang suka," jawab Amsyar cuba meyakinkan neneknya. Dia ketawa kecil.

Minggu lepas dia sudah memutuskan hubungan dengan Nadia dan Mimi. Tiada maaf buat mereka berdua. Nadia menumpahkan jus ke baju kemeja putih kesayangannya sehingga dia mencuci dengan susah payah. Kesan jus susah mahu dihilangkan lalu kemeja itu dicampakkannya ke dalam tong sampah. Kakinya pula sedikit luka akibat tusukan kasut tumit tinggi Mimi.

Dia tidak akan mendekati kedua-dua perempuan dari neraka itu lagi. Dah serik! Dia akan mencari bidadari syurga selepas ini. Ada seraut wajah yang tergambar di ruang matanya.

Nenek Timah tersenyum mendengar kata-kata Amsyar.

"Kalau gitu, kalau nenek cakap kau akan dengar? Kau akan ikut permintaan nenek? Mungkin ini permintaan terakhir," kata Nenek Timah seolah-olah memancing persetujuan Amsyar.

"Ya, nek," jawab Amsyar ringkas.

"Kau dah menghubungi tuan rumah ni, Am? Bila dia nak baiki atap dapur? Semakin teruk bocornya. Nanti nenek jatuh lagi," kata Nenek Timah mengubah haluan perbualan.

"Jangan bimbang soal atap rumah yang bocor tu, nenek. Am dah pun hubungi tuan rumah. Dia akan hantar tukang rumah untuk memperbaiki atap tu," kata Amsyar sambil memeluk bahu Nenek Timah.

"Jadi jangan bimbang apa-apa. Jangan ke dapur untuk memasak. Kalau mahu makan apa-apa, nenek telefon sahaja. Am akan belikan apa jua makanan yang nenek hajati."

"Kalau gitu, nenek teringin makan nasi minyak kenduri."

"Ahhh, siapa pula yang menjemput kenduri minggu ini? Minggu ni tak ada, nek," kata Amsyar sambil termenung sejenak.

"Maksud nenek, nasi minyak kau, Amsyar!"

"Sabarlah, nek. Am pasti kahwin kalau dah bertemu jodoh. Bulannya dah tahu, iaitu bulan dua belas, musim hujan. Tahunnya aja belum tahu lagi."

Amsyar tertawa. Wajah Nenek Timah sedikit masam lalu dicubitnya lengan Amsyar dengan agak kuat.

"Sakit nek!" Kata Amsyar sambil menggosok-gosok lengannya.

Jodoh kau sangat dekat Am, bisik Nenek Timah dalam hatinya sahaja.

Amsyar menyalami tangan Nenek Timah, tunduk dan mencium tangan tua yang telah banyak berjasa kepadanya. Kemudian dia meminta diri untuk keluar.


SUASANA di ruang legar, tingkat bawah syarikat Datuk Borhan kelihatan meriah. Ramai pengunjung datang untuk menghadiri majlis penjualan rumah mewah dan sederhana mewah yang ditawarkan syarikat lelaki itu. Semasa melangkah masuk melalui pintu cermin itu, mata Amsyar memerhati sekeliling mencari wajah-wajah yang mungkin dikenali. Dia tidak melihat langsung wajah-wajah orang yang mengenali dan dikenalinya. Hatinya sedikit kesal.

Amsyar nampak Jasmeen sibuk ke sana ke mari dengan brosur di tangan. Gadis itu paling sibuk melayani sesiapa sahaja yang menegur dan bertanya tentang rumah yang ditawarkan. Datuk Borhan pula kelihatan sedang berdiri dikelilingi kawan-kawannya. Apabila melihat kehadiran Amsyar, Datuk Borhan segera melambai dari jauh. Amsyar mengangguk lalu melangkah mendekati lelaki itu.

"Kau lambat nampaknya!" kata Datuk Borhan.

"Ya, jalan agak jem walaupun hari minggu. KL biasalah," balas Amsyar.

Datuk Borhan memanggil Jasmeen. Wanita muda yang mengenakan blaus merah darah dipadankan dengan seluar slack putih itu datang mendekati Datuk Borhan. Dia memandang sekilas pada Amsyar, namun langsung tidak menegur ataupun memberikan segaris senyuman.

"Ya, pak long," kata Jasmeen setelah mendekat.

"Kau berikan Amsyar ni brosur. Aku nak tawarkan dia harga rumah yang istimewa untuknya."

Jasmeen menghulur brosur tanpa sepatah kata. Amsyar menyambutnya dengan tertib sambil tersenyum. Namun Jasmeen tidak membalas senyuman Amsyar. Dia ingin beredar tetapi tidak jadi apabila Datuk Borhan berkata; "Kau terangkan pada Amsyar, segala yang berkaitan pasal rumah yang kita tawarkan. Harga istimewa. Pinjaman bank yang gerenti lulus."

"Tapi..." Suara Jasmeen tergantung.

Datuk Borhan beredar untuk menemui teman-temannya yang lain.

"Pak long ni dah gila agaknya... Semua nak tawarkan harga istimewa. Mana ada untung kalau gitu." Jasmeen separuh merungut.

"Apa awak cakap?" tanya Amsyar.

"Tak ada apa. Jadi, awak pun berhajat nak beli rumah? Rumah yang mana satu jadi pilihan awak? Banyak pattern dan harga yang ditawarkan dalam brosur tu."

Amsyar langsung tidak membelek brosur itu kerana dia tidak berminat. Dia tidak berniat hendak membeli rumah. Mungkin dia akan kembali ke kampung, ke tanah tumpah darahnya yang sudah lama ditinggalkan dahulu. Masih ada tanah dan rumah di sana. Dia boleh membangunkan sebuah rumah mengikut ideanya sendiri. Dia minat dengan rumah kayu yang lebih sejuk suasananya jika dibandingkan dengan rumah batu.

"Saya tak berminat," jawab Amsyar.

"Kalau awak tak berminat, kenapa awak datang ke majlis ni?" tanya Jasmeen sambil merenung tepat ke wajah Amsyar.

Sebab awak, jawab Amsyar hanya dalam hatinya sahaja. Amsyar tersenyum kecil sambil berkata; "Sebab Datuk jemput. Awak macam tak suka saya datang. Kenapa ya?"

Jasmeen seperti terjerat dengan kata-kata Amsyar. Tentu ada sebab mengapa kita tidak suka pada seseorang, kan? Apakah mungkin kita tidak menyukai seseorang itu tanpa sebab yang jelas?

"Eh, bukan tak suka," jawab Jasmeen tegas.

"Jadi, awak suka?"

"Soalan apa awak tanya saya ni?"

"Okey, awak tak suka."

"Eh, awak memang macam ni, ya? Terus shoot aje soalan tanpa berfikir."

"Kerja saya wartawan. Saya tanya soalan, saya harap orang boleh jawab dengan jujur."

"O, awak nak saya jawab dengan jujur?" tanya Jasmeen dengan kening yang terangkat sedikit. Kelihatan wajahnya mulai merah seperti buah tomato yang ranum.

"Ya," balas Amsyar sepatah.

"Saya memang tak suka awak."

"Baik. Terima kasih."

Amsyar berpaling, lalu mulai bergerak di celah-celah orang ramai. Dahi Jasmeen berkerut. Dia memerhati sahaja Amsyar bergerak pergi.

Apa dah jadi padanya? Mengapa dia harus buat gitu? soal Jasmeen.

"Awak!" Jasmeen memanggil sambil berjalan di belakang Amsyar.

Bingo! Amsyar tersenyum dalam diam. Dia yakin, Jasmeen akan memanggilnya kembali.

"Ya?" Amsyar berpaling.

"Sekurang-kurangnya sebelum awak pergi, jemputlah minum dan jamah apa yang ada." Tunjuk Jasmeen ke satu arah di mana terlihat sederet meja panjang yang beralas skirting merah. Di atas meja terlihat pelbagai hidangan kuih-muih dan minuman.

"Baik." Amsyar mengangguk.

"Tapi dengan satu syarat. Awak pun minumlah bersama saya."

"Saya sibuk." Jasmeen terus meninggalkan Amsyar.

Ah, perempuan ini memang sengaja nak menduga aku rupa-rupanya! Kau ajak aku main tarik tali ke ni? bisik hatinya sambil berjalan ke arah meja. Dia mengambil piring kertas lalu mengisi beberapa potong kuih dan segelas air oren. Lalu dia duduk di suatu ruang khas yang disediakan. Ada kerusi dan meja bulat untuk pengunjung-pengunjung yang datang ke situ.

Meja bulat itu kosong. Hanya Amsyar seorang yang duduk menghadap sepiring kuih-muih yang tidak membangkitkan selera langsung. Namun lantaran perutnya yang kosong tidak makan apa-apa kerana berkejar ingin menghadiri majlis itu, Amsyar sedaya upaya memamah kuih lapis dan kuih talam jagung itu. Akhirnya habis juga empat potong kuih. Dia meneguk minumannya hingga habis. Tidak ada gunanya dia terus berada di situ lagi. Dia akan segera beredar namun tidak jadi apabila Datuk Borhan mendekatinya.

"Jom, naik ke bilik aku. Ada perkara yang nak borak sekejap," kata Datuk Borhan.

"Majlis dah selesai ke?" tanya Amsyar sambil memerhati sekeliling. Masih ada orang di ruang itu namun sudah mulai berkurangan jika dibandingkan sewaktu dia masuk tadi.

"Sejam lagi selesailah. Dah ramai yang balik."

"Macam mana sambutan?" tanya Amsyar semasa mereka beriringan menuju ke lif.

"Bagus. Ramai juga yang buat permohonan. Dan ramai juga yang tidak pasti dan akan menghubungi semula. Tapi jumlah pembelian itu lebih daripada jangkaan kami."

Amsyar mengangguk. Patutlah Jasmeen terlihat begitu sibuk sekali melayani bakal pelanggan mereka.

Setelah tiba di bilik Datuk Borhan, lelaki itu mengajak Amsyar duduk bersembang di sofa. Dia memulakan perbualan dengan berkata; "Aku ada nampak kau menulis tentang Dato Don di portal berita syarikat kau. Syabas. Aku suka dengan keberanian kau itu."

Amsyar tersenyum kecil.

"Tapi berita itu hanya semalaman saja berada di atas talian. Datuk Rahim panggil saya mengadap dan minta saya padamkannya. Dia siap beri saya amaran."

"Hah?" Datuk Borhan terkejut.

"Kenapa gitu?"

"Kan Dato Don tu kawan baik dia dalam parti. Dia tak benarkan saya tulis apa sahaja perkara yang terutama sekali perkara negatif tentang lelaki itu. Kalau perkara positif, dia tak marah," kata Amsyar.

Datuk Borhan ketawa besar.

"Kau jangan takut menyatakan kebenaran, Amsyar. Cuma kalau kau rasa ia akan mengancam kerjaya kau, kau jangan tulis nama mereka yang terlibat itu secara terang-terangan. Kau selindungkan nama dia. Kau buatlah hanya sebutan nama awal huruf sahaja. Contohnya Datuk B, kononnya lah," kata Datuk Borhan seolah-olah ingin mengajar Amsyar.

Amsyar turut tertawa.

"Perkara tu boleh diketengahkan kerana ia berita sahih, sekali dengan bukti. Bukan ke orang-orang politik itu suka berdebat dan membentangkan segala macam bukti untuk menegakkan kebenaran hujah mereka? Kalau musim pilihan raya semakin teruklah mereka saling bongkar-membongkar aib lawan semata-mata untuk menang."

"Itulah perang, Amsyar. Peperangan di mana kebenaran tidak lagi penting. Asalkan lawan kau tewas dengan apa cara sekali pun."

Mereka meneruskan perbualan selama sejam, kemudian Datuk Borhan mengajak Amsyar untuk makan tengah hari.

"Hari itu aku terlepas nak belanja kau makan tengah hari."

"Ya." Amsyar tertawa kecil.

Mereka bergerak ke luar dari bilik Datuk Borhan menuju ke lif. Kemudian turun ke tingkat bawah. Ruang legar di hadapan pintu lif itu kelihatan lengang. Kebanyakan tetamu yang datang tadi sudah pun beredar pergi. Beberapa orang pekerja katering sedang membersih dan mengemaskan meja.

Jasmeen kelihatan sedang duduk di kerusi sambil mengurut betisnya. Wajahnya kelihatan lelah. Solekan di wajahnya kelihatan masih unggul biarpun dicemari dengan bunga-bunga peluh. Amsyar mengekori sahaja Datuk Borhan yang bergerak ke arah wanita muda itu.

"Meen, penat betul nampaknya kau."

"Sedikit sahaja, pak long. Kaki Meen lenguh sebab banyak bergerak."

Datuk Borhan mengangguk sambil mengangkat ibu jarinya ke atas. "Good job, Meen. Jom, kita pergi makan tengah hari."

"Tak mengapa, pak long. Meen nak balik terus."

"Jangan degil. Ikut pak long makan dulu, Meen." Datuk Borhan mendesak.

"Tak apa, pak long. Lain kali," jawab Jasmeen berusaha untuk menolak.

Matanya sempat menjeling Amsyar yang berdiri sahaja di belakang Datuk Borhan.

"Ni bukan ajakan lagi Meen, tapi perintah. Kau nak gaji kau dipotong sebab tak dengar cakap pak long?"

Entah serius entah main-main, Amsyar tidak mengerti maksud kata-kata Datuk Borhan. Lelaki itu sudah pun bergerak pantas menghala ke pintu cermin. Kereta Mercedes hitamnya sudah lama menunggu di ruang hadapan. Amsyar masih berdiri di situ, memandang Jasmeen yang menjeling masam ke arahnya. Jasmeen cuba bangun dan berdiri, tetapi terduduk semula.

"Saya tak larat. Saya nak rehat sahaja," kata Jasmeen perlahan seolah-olah menagih simpati dan pengertian daripada Amsyar.

"Tapi Datuk Borhan bersungguh-sungguh. Dia dah lama tunggu. Awak nak saya dukung awak ke?"

"Mengada-ada. Awak siapa nak cakap gitu dengan saya?" marah Jasmeen.

Merah padam sudah wajahnya. Bibirnya dikertap sekuat hati.

Jasmeen terus berdiri dan berjalan dengan laju sambil menghentak high heelnya di lantai berturap marmar. Eh, boleh pulak dia berjalan laju gitu? Nyata tadi dia hanya pura-pura kerana tak mahu makan bersama dengan aku, bisik Amsyar dalam hati. Amsyar separuh berlari mengejar Jasmeen.

"Baik-baik sikit berjalan, nanti patah pula kasut tumit tinggi awak macam hari tu. Ingat lagi tak?"

Bertambah masam wajah Jasmeen. Meskipun Amsyar membukakan pintu kereta untuknya namun dia masuk dari pintu yang berlainan. Amsyar hanya tertawa dalam hati.

Jasmeen... Jasmeen... Kau ni marah-marah pun aku nampak sweet aje.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro