Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 15

JASMEEN tergelak sambil menonton filem How To Lose A Guy In Ten Days. Dia suka dengan segala aksi heroin cerita itu, persis dirinya yang berada dalam penafian. Perasaan halus itu sudah hadir dalam hati, tetapi seboleh mungkin dia menafikan lalu dengan sengaja mencipta sengketa agar dirinya ditinggalkan. Apakah Jasmeen akan turut berbuat hal yang sama seperti watak Andie Anderson dalam filem tersebut?

Bagi Jasmeen cerita itu menghiburkan hingga dia boleh tersenyum dan tertawa sendirian. Dia bukannya ingin menjadi seperti watak Andie Anderson tetapi dia ingin menjadi lebih tegas apabila berhadapan dengan lelaki. Dia tidak ingin cinta dijadikan permainan, kerana wanita yang bermaruah tidak akan rela dirinya diperlakukan dengan sewenang-wenangnya oleh lelaki. Wanita perlu ada pendirian yang teguh dan kukuh.

Filem yang ditonton hampir selesai apabila Jasmeen lihat ibunya turun dari tingkat atas. Bau semerbak minyak wangi mengisi seluruh ruang tamu. Puan Nazirah berdandan dan berpakaian cantik seperti ingin keluar berdating.

"Mama nak ke mana?" tanya Jasmeen.

"Keluar. Dating," jawab Puan Nazirah selamba.

"Dating, mama?" tanya Jasmeen sedikit terkejut.

"Ya. Keluarlah sekali-sekala dengan kawan-kawan. Tak perlu terperap di rumah melayan filem romantik, lepas itu kau makan hati sorang-sorang," kata Puan Nazirah lagi.

"Kebelakangan ini mama dah banyak berubah," komen Jasmeen.

"Berubah ke arah yang lebih baik atau sebaliknya?" tanya Puan Nazirah ingin tahu.

"Berubah jadi seperti orang lain. Mama lebih ceria dan gembira. Meen perasan mama juga semakin cantik, menjaga penampilan."

"Meen... Mama tak boleh katakan apa-apa sekarang. Cuma mama nak beritahu kau satu saja, mama dah terlalu lama bersendirian. Mungkin sudah tiba masanya mama cari pengganti papa kau."

Jasmeen mengangguk. Mengerti.

"Yalah mama. Apapun Meen doakan yang terbaik untuk mama."

"Mama..." seru Jasmeen perlahan masih ingin berbicara dengan Puan Nazirah meskipun wanita itu sudah berdiri di hadapan pintu utama.

"Ya, Meen..."

"Meen nak tanya pendapat mama."

"Bukan sekarang, sayang. Mama nak keluar. Apa jua yang nak kau katakan, beritahu bila mama balik nanti, okey."

Jasmeen mengangguk.

Dia ingin berterus terang tentang Amsyar. Dia tidak suka menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan ibunya. Pendapat ibunya penting untuk diambil kira. Jasmeen ingin mendengar pendapat ibunya apakah Amsyar benar-benar jujur dengan segala kata-katanya ataupun sekadar ingin mempermainkan hati dan perasaannya?

Hati perempuan seperti kristal yang cantik dipandang tetapi mudah retak dan pecah. Apabila ia pecah, sukar untuk dicantum semula. Kelukaannya lama dan dalam. Tidak mustahil yang bisa memulihkan hati yang retak itu adalah satu-satunya orang yang pernah menghancurkannya.

- Sayang buat apa malam ni?

Tanya Amsyar lewat WhatsApp.

- Meen baru selesai tengok filem. Bosan pula rasanya. Mama tak ada. Dia keluar.

- Meen tinggal seorang?

- Ya.

- Jom kita keluar. Abang jemput sayang.

- Dah lewat.

- Baru pukul sembilan setengah. Masih awallah.

- Meen malas nak keluar, terpaksa bersiap-siap. Gosok baju, make up.

- Tak perlu, sayang. Pakai ringkas saja. T-shirt dan jean. Rambut Meen yang panjang itu biarkan sahaja bebas, tidak perlu ikat. Muka jangan letak mekap. Abang suka wajah yang natural.

Jasmeen diam. Dia memerhati sahaja tulisan Amsyar.

- Sayang?

- Okey.

- Beri lokasi rumah sayang. Abang datang sekarang juga.

Sambil menunggu kedatangan Amsyar, Jasmeen sempat menyikat rambutnya. Dia memang tidak bersolek langsung. Lipstik pun langsung tidak dicalit ke bibir. T-shirt putih tersarung di badannya pun tidak bergosok, jelas nampak kedutan. Jean birunya pula sedikit koyak di bahagian lutut. Biar Amsyar melihat sisi buruk dirinya.

Sandal kesayangannya disarung ke kaki. Betapa simple dan ringkas gayanya malam itu. Tidak lama kemudian dia lihat kereta Amsyar berada di hadapan pagar. Jasmeen berjalan laju ke pintu pagar lalu membukanya.

Amsyar buru-buru keluar dari kereta, membuka pintu untuk Jasmeen masuk ke dalam kereta.

"Lama ke tunggu?"

"Setengah jam lebih kurang," kata Jasmeen.

"Ke mana kita?"

"Pusing-pusing kota. Kalau lapar nanti kita singgah makan," kata Amsyar.

"Atau sayang nak makan sekarang? Kita pergi makan dulu kalau sayang lapar."

Jasmeen menggeleng.

"Meen dah makan salad tadi."

"Kenyang ke dengan hanya makan salad?" tanya Amsyar sambil tertawa kecil.

"Kenyanglah," jawab Jasmeen sambil menjeling lelaki di sisinya.

Amsyar memandu meninggalkan kawasan rumah Jasmeen. Dia tekun memandu tanpa sebarang suara. Jasmeen pula yang gelisah apabila Amsyar diam sahaja.

Ke mana dia nak bawa aku pergi? Jangan-jangan dibawanya aku ke tempat yang bukan-bukan lepas tu buat perkara tak baik? Mati aku! Ahhh... Mana pula telefon bimbit aku tadi? Jasmeen meraba-raba poket seluar jeansnya.

Aduh, handphone tertinggal di meja kopi.

"Sayang cari apa?" tanya Amsyar.

"Handphone Meen tertinggal kat rumah."

"Meen nak call siapa? Guna saja abang punya."

"Tak..." jawab Jasmeen sepatah.

Oh yes! Aku nak telefon polis kalau kau ingin lakukan sesuatu yang tak baik, bisik hatinya sedikit curiga.

"Kita nak ke mana?"

"Ikut sajalah. Sayang percaya pada abang?"

Soalan itu tergantung lama. Jasmeen tidak tahu sama ada dia percaya ataupun tidak pada Amsyar. Dia merasakan dirinya seperti terperangkap, tiada sebarang pelindung sekarang. Benar-benar terdedah kepada bahaya. Begitu rendah nilai persen kepercayaannya pada Amsyar.

Amsyar membawa Jasmeen ke satu taman yang indah. Ada lampu berwarna-warni. Ada jambatan yang bercahaya merintangi sebuah tasik kecil. Ramai pasangan yang bersiar-siar di taman itu. Mereka kelihatan gembira berjalan-jalan sambil berbual di taman yang meriah dan indah itu.

Angin bertiup perlahan, membelai wajah mereka ketika Amsyar dan Jasmeen berjalan seiring menghala ke jambatan. Cantik jambatan berbumbung melengkung seperti kubah, setiap saat lampunya berubah warna. Di langit juga cerah dengan kerlipan bintang dan bulan.

"Sayang pernah ke sini?" tanya Amsyar.

Jasmeen menggeleng. Memang dia tidak pernah ke situ dan tidak tahu kewujudannya.

"Abang juga pertama kali ke sini. Tapi selalu melintas saja dengan kereta kalau balik dari kerja malam-malam," cerita Amsyar.

"Ya ke? Entah-entah abang pernah datang dengan perempuan lain."

"Mana ada. Abang tak pernah serius dengan sesiapa," jawab Amsyar.

Hatinya senang mendengar Jasmeen mulai memanggil dirinya abang.

"Tapi abang nak serius dengan sayang. Sungguh-sungguh," kata Amsyar sambil merenung Jasmeen yang sedang berjalan di sisinya.

Jasmeen berhenti melangkah. Amsyar juga berhenti. Mereka berdiri saling berhadapan, saling merenung. Kemudian Jasmeen memandang jauh ke langit.

"Meen belum bersedia. Kita baru saja kenal."

"Tapi abang rasa macam dah lama kenal sayang."

"Ya ke?"

Amsyar mengangguk.

Mereka kembali melangkah. Semakin jauh mereka berjalan merentasi jambatan sehingga tiba di seberang tasik. Ada bangku kosong yang baru ditinggalkan. Berdekatan bangku itu ada lampu yang terang. Mereka duduk sejenak. Kemudian kembali melangkah merentasi jambatan semula untuk kembali ke kereta.

Waktu berjalan begitu cepat. Jasmeen melihat jam tangannya. Hampir sebelas malam.

"Kita pergi makan. Malam ini abang belum makan sebenarnya," kata Amsyar.

Jasmeen mengangguk sahaja biarpun dalam hatinya dia ingin Amsyar terus menghantarnya pulang. Namun apabila Amsyar memesan makanan dan memaksa dia makan, Jasmeen tidak dapat menolak. Kemudian beria-ia pula dia menghabiskan tomyam campur yang terasa begitu sedap di lidahnya.

"Sedap?" tanya Amsyar.

"Sedap sangat. Boleh makan lagi di sini lain kali."

"Boleh saja. Asalkan dengan sayang," jawab Amsyar sambil tersenyum kecil.

"Sayang, abang nak tanya sayang sesuatu."

"Apa dia?" tanya Jasmeen. Dadanya mulai berdebar-debar apabila Amsyar memandangnya dengan mata tidak berkelip.

Amsyar sedang menyeluk poket jaket hitamnya lalu mengeluarkan sebentuk cincin.

"Cincin ni sayang punya?"

Jasmeen terpegun. Dia terkejut melihat cincin permata delima merah itu berada di tangan Amsyar. Dia terus mencapai cincin itu lalu membeleknya. Benar, cincin itu adalah cincin permata delima merah pemberian Puan Sri Mariam yang hilang itu. Air mata Jasmeen berlinangan. Dia terharu dan gembira. Tidak disangka-sangka cincin itu kembali ke tangannya.

"Ya... Ya, ini cincin Meen. Mana abang jumpa?"

Amsyar tersenyum kecil. Dia memberitahu Jasmeen cincin itu ditemui di lantai lif. Kemudian dia terlupa tentang cincin itu apabila ia jatuh ke bawah katil sehingga ditemui Nenek Timah.

"Malunya Meen bila teringat peristiwa Meen jatuh depan abang."

"Nak malu apa, Meen. Sebab Meen jatuh abang dapat kenal dengan Meen."

"Terima kasih, abang. Kebetulan nenek Meen akan pulang dua hari lagi. Nasib baik cincin ni jumpa semula. Kalau tak, matilah Meen kena marah dengan dia."

"Meen tak akan matilah. Abang kan ada," kata Amsyar.

"Abang akan sentiasa lindungi Meen dan Meen lindungi abang."

Jasmeen tersenyum sahaja mendengar kata-kata Amsyar. Tidak perlu dia membalas kata-kata itu. Hatinya masih berbelah bahagi namun begitu cincin permata delima merah sudah pun kembali kepadanya dengan selamat. Dia amat mensyukurinya.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro