Bab 14
AMSYAR berjalan perlahan menghala ke bilik tidurnya. Dari arah bilik Nenek Timah, dia mendengar neneknya sedang mengalunkan ayat-ayat suci. Dia menutup pintu bilik perlahan-lahan, kemudian meletakkan beg di atas katil. Dia buka baju dan seluar lalu mencampakkannya ke dalam bakul pakaian kotor. Dengan mengenakan tuala sahaja, dia duduk di tepi katil. Telefon bimbit di dalam beg kecil berwarna hitam itu digagaunya. Matanya menjeling ke aplikasi WhatsApp.
Dia buka aplikasi WhatsApp dan mencari nama Jasmeen. Jasmeen tidak membalas perbualannya yang terakhir lewat petang tadi. Amsyar menaip kata-kata lalu dihantar kepada Jasmeen. Dia letak telefon bimbit kemudian bergegas ke bilik air.
Selepas isyak, dia kembali memeriksa telefon bimbitnya. Jasmeen hanya membaca tetapi tidak membalas kata-katanya. Namun Amsyar tidak putus asa. Dia sudah nekad ingin memikat Jasmeen. Dia yakin, Jasmeen punya perasaan padanya cuma wanita muda itu tidak mudah menunjukkan perasaannya yang sebenar. Mungkin dia malu. Apa yang jelas, Jasmeen tidak membencinya. Itu sudah cukup untuk Amsyar meneruskan niat yang terpendam dalam hati.
Nenek Timah mengetuk pintu bilik Amsyar.
"Makan," kata Nenek Timah sepatah sambil terus berjalan ke dapur.
Amsyar mengekori neneknya ke dapur. Makanan sudah pun terhidang di atas meja dan ditutupi tudung saji. Saat Amsyar membuka tudung saji, dia lihat banyak sekali lauk yang disediakan neneknya untuk makan malam.
"Banyaknya lauk macam nak makan sepuluh orang," komen Amsyar.
"Orang bagi," kata Nenek Timah sambil tersenyum.
"Siapalah orang tu?" tanya Amsyar pura-pura tidak tahu.
Nenek Timah senyum sahaja sambil meletakkan nasi yang masih panas di hadapan Amsyar. Dia duduk di hadapan cucunya sambil berkata dengan nada lembut; "Orang yang nenek berkenan sangat hendak buat cucu menantu."
"Hah, jangan mulakan nanti hilang selera Am nak makan lauk-pauk yang sedap ni," jawab Amsyar sengaja meremeh-remehkan kata-kata neneknya.
"Nenek betul-betul sukakan Aini," kata Nenek Timah lagi sambil mencapai sudu lalu mencedok lauk daging salai masak lemak yang dicampur dengan belimbing buluh. Lauk itu dihantar Aini petang tadi, bersama dengan semangkuk kangkung goreng belacan dan sambal tempe.
"Bukan Am sorang cucu nenek. Kan cucu-cucu nenek masih ramai lagi yang belum kahwin."
Nenek Timah cebirkan bibir kemudian memandang tepat ke wajah Amsyar.
"Amsyar, nenek ada jumpa barang di bawah katil kau masa nenek kemas bilik kau pagi tadi."
"Barang?" Dahi Amsyar berkerut.
Nenek Timah mengangguk.
"Barang apa?"
"Sebentuk cincin permata delima merah. Kau beli cincin tu? Tapi kenapa kau letak bawah katil?" soal Nenek Timah.
Dahi Amsyar berkerut. Dia teringat sesuatu. Cincin itu adalah cincin milik Jasmeen yang tercicir di dalam lif. Amsyar terlonjak lalu terus berdiri.
Kenapa dia boleh terlupa pada cincin itu? Rupa-rupanya ia jatuh di bawah katil.
"Mana cincin itu, nek?" tanya Amsyar dengan rasa tidak sabar.
"Ada, nenek simpan. Boleh jadi cincin pertunangan kau dengan Aini nanti," kata Nenek Timah selamba.
"Tak boleh, nek! Cincin tu orang lain punya."
"Siapa punya?" tanya Nenek Timah sambil mendongak memandang wajah Amsyar. Amsyar masih berdiri, dia kelihatan gelisah sambil tangan menguak rambut.
"Orang punya! Bukan Am yang beli," kata Amsyar dengan tegas.
"Habis, kenapa ada di bawah katil kau, macam barang yang tak berharga?" tanya Nenek Timah lagi.
"Nek! Tolonglah pulangkan cincin tu."
"Makanlah dulu. Nanti nenek ambil."
Amsyar kembali duduk di kerusi namun seleranya sudah pun hilang. Dia makan sedikit sahaja. Hatinya sudah tidak sabar ingin memegang cincin Jasmeen. Cincin itu akan menjadi 'senjata' untuk dia menawan hati Jasmeen.
Selepas makan, Nenek Timah menyerahkan cincin yang ditemuinya di bawah katil Amsyar. Nenek Timah lihat wajah Amsyar bukan main berseri-seri saat cincin itu sudah berada di dalam genggaman. Amsyar terus masuk ke dalam bilik, menutup pintu serapat yang mungkin. Dia terus mencapai telefon bimbitnya yang terletak damai di atas meja.
- Sayang, kita ini dah ditakdirkan berjodoh.
- Apa? Awak dah gila cakap pasal jodoh pula?
Balasan daripada Jasmeen datang begitu cepat, seolah-olah gadis itu menunggu Amsyar menghubunginya. Walaupun kata-katanya itu seperti terkejut, Amsyar tersenyum sahaja.
- Kenapa abang kata kita berjodoh? Sebab kita sebenarnya sudah lama ada hubungan halus yang kita tak sedar.
- Awak jangan merepek, Encik Amsyar.
- Alamak! Janganlah panggil abang Encik Amsyar.
- Kalau awak merepek, memang saya akan panggil awak encik.
- Sayang, abang ada sesuatu yang berharga milik sayang.
- Agh, malas saya layan awak. Selamat malam.
Jasmeen terus keluar dari aplikasi WhatsApp. Amsyar hanya tersenyum. Kemudian dia merenung cincin di hadapannya. Cantik sekali cincin itu. Sudah tentu mahal harganya. Dia cuba menyarung cincin itu di jarinya. Hanya separuh muat di jari kelingkingnya sahaja. Dia bangun lalu menyimpan cincin itu sebaik-baiknya di dalam sebuah kotak kecil. Kotak itu diletakkan di dalam laci meja tulis di biliknya itu.
Sampai masa dan ketikanya, dia akan memberikan cincin itu ke tangan Jasmeen. Tetapi bilakah masa yang sesuai?
JASMEEN merengus perlahan. Dia berbaring di katil sambil mata merenung siling. Kata-kata yang tertulis di WhatsApp kembali bermain di ruang fikir. Apa sudah jadi dengan si Amsyar itu? Dah gila ke dia? Semakin merepek kata-katanya. Jasmeen tidak mudah cair dengan panggilan sayang yang diungkapkan Amsyar. Dia rasa panggilan itu begitu janggal.
Mesti lelaki itu jenis lelaki playboy, buaya darat! Sebab itulah mudah sangat mengucapkan kata sayang dan cinta. Selepas itu membahasakan dirinya 'abang'. Aduh!
Jasmeen menggigit bibir. Entah mengapa terasa manis pula apabila Amsyar menyebut dirinya abang. Ah! Kau jangan mudah terpedaya dengan kata-kata manis lelaki, Jasmeen! Lelaki playboy memang gitulah! Kata-katanya lembut aje... manis bergula. Hatinya memarahi diri sendiri.
Tapi ini pertama kali orang panggil aku sayang... bahasakan dirinya abang. Aduh, manisnya, bisik hati Jasmeen yang satu lagi.
Sebelum ini Jasmeen fikir, panggilan abang kepada seorang lelaki yang bukan ahli keluarga, adalah satu panggilan yang istimewa. Hanya untuk lelaki yang bergelar suami ataupun lelaki yang benar-benar dicintai. Panggilan itu bukan boleh sembarangan diberikan kepada semua lelaki yang lebih tua daripadanya. Jasmeen tidak akan berbuat demikian. Sedangkan dengan sepupu-sepupu lelakinya yang berpangkat abang pun dia tidak pernah memanggil dengan panggilan istimewa itu. Dia lebih gemar memanggil nama mereka sahaja.
Seperti panggilannya pada Mithtaff Hakimi. Ah, gelilah kalau panggil Mithtaff Hakimi tu abang. Tapi Amsyar... Abang Amsyar. Hati Jasmeen terdetik untuk menyebut panggilan itu.
Tiba-tiba dadanya sedikit bergetar. Abang Am? Kenapa dengan aku? bisik hati Jasmeen. Getaran itu dia rasakan semakin kuat. Jodoh? Dah sampaikah jodoh yang selama ini menjadi tanda tanya dan benarkah orang itu adalah Amsyar? Tak! Tak... Kau jangan jadi gila! Jangan percaya pada kata-kata manis Amsyar. Ingat! Dia tu sama saja dengan lelaki kat luar sama. Kebanyakannya penipu! Jasmeen mengingatkan dirinya sendiri.
Amsyar itu lelaki kota yang banyak pengalaman dengan perempuan. Kau jangan mudah tergoda dengan dia! Kau jangan mudah cair dengan panggilan sayang yang tidak membawa sebarang erti bagi dia. Sayang itu hanya panggilan untuk menyedapkan bicara sahaja! bentak hati Jasmeen lagi. Hati yang mulai berada di persimpangan antara penafian dan kebenaran.
Jasmeen mengeluh lagi sambil meletakkan tangan di atas dahi. Kemudian dia bingkas bangun dan mencapai telefon. Semua perbualan antara dia dan Amsyar sebentar tadi dibacanya semula. Jasmeen tersenyum sendiri. Ini semua hanyalah taktik lelaki! bisik hati Jasmeen yang masih keras dan tidak percayakan cinta. Hati yang lembut sejenak tadi sudah tiada lagi, kini diganti fikiran yang lebih rasional.
Tidak mungkin jatuh cinta semudah ini. Semudah ABC! Sudahlah Amsyar! bentak Jasmeen sambil mencampakkan telefon bimbitnya ke atas katil. Dia bergerak ke pintu, mencari ibunya. Jasmeen menjenguk di kamar tidur ibunya. Dia lihat Puan Nazirah sedang sibuk berchatting dengan seseorang di halaman sesawang. Puan Nazirah sudah punya teman dan tidak akan melayani Jasmeen berbual malam itu.
Keesokan hari, sebaik sahaja melihat meja penyambut tetamu, Syamila menghulur jambangan bunga di dalam raga kecil yang comel.
"Siapa bagi?" tanya Jasmeen.
"Boyfriend Kak Meen lah. Kak Meen ni diam-diam saja dah ada boyfriend," usik Syamila.
"Mana ada!" Jasmeen menafikan. Dia membelek-belek kad yang diselitkan di tengah jambangan bunga daisi kuning itu.
Tersenyumlah sayang, seperti bunga kembang pagi. I love you.
Amsyar.
Jasmeen tercebik tetapi bunga itu tetap dibawanya ke meja. Bakul comel itu menghiasi sudut meja yang kemas. Terasa sayang hendak membuangnya ke dalam bakul sampah. Pasti Amsyar beria-ia membelikan bunga itu pada awal pagi. Bunga segar itu masih berbau harum dan bagaikan ada titisan air dicelah-celah kelopaknya.
"Cantik bunga!" tegur Rose yang muncul tiba-tiba sahaja di tepi meja Jasmeen.
"Hmmm..."
"Kau dah sarapan? Nak pergi beli di seberang jalan?"
"Malas. Aku nak bancuh Nescafe, makan biskut aja."
"Tak nak makan nasi lemak sambal sotong? Kau nak berdiet ke? Badan dah helok dah aku tengok," usik Rose sambil kenyit mata.
"Bukanlah. Aku tak ada selera pagi ini. Kerja aku banyak menimbun. Kau tengok fail-fail tu!" kata Jasmeen sambil memuncungkan mulutnya.
"Yalah. Aku pergi sorang ajelah. Kau tak nak kirim apa-apa?" balas Rose sambil tersengih.
"Nak kirim apa?"
"Kirim salam sayang. Mana tahu kot-kot aku jumpa Amsyar kat restoran tu nanti."
"Kau ni, Rose!"
Rose ketawa sambil meninggalkan meja Jasmeen.
Jasmeen benar-benar terlupa hendak menjamah sebarang makanan ataupun minuman. Apabila dia sudah tekun dengan kerjanya, semua hilang dari fikiran. Sehinggalah perutnya mulai berkeroncong dan tangannya menggigil sedikit ketika menaip.
Oh, aku betul-betul lapar! bisik hati Jasmeen sambil bangun dan mencapai beg tangan. Dia mengintai ke meja Rose tidak jauh darinya. Rose tidak kelihatan. Mungkin temannya itu ada mesyuarat sebab Rose tidak akan keluar makan tanpa mengajaknya. Jasmeen mencapai telefon bimbit, ingin menghubungi Rose tetapi ada mesej Amsyar yang baru masuk ke WhatsApp.
- Sayang, abang dah hantar makanan. Makan, ya! Jangan tak makan, nanti sakit.
Alamak! Tunjuk prihatin pula dia, rungut Jasmeen sendiri. Ketika itu juga dia nampak Syamila datang dari ruang hadapan menghala ke mejanya sambil membawa bekas makanan.
"Nah, Kak Meen! Makanan tengah hari dah sampai. Tepat pada masanya," kata Syamila.
Jasmeen sekadar mengangguk. Dia terus membawa bungkusan makanan itu ke pantri. Dia duduk menghadapi tingkap cermin yang memaparkan bandar raya Kuala Lumpur yang sentiasa sibuk.
Perlahan-lahan dia membuka bekas berisi nasi. Ada ayam masak merah, sayur lemak petola, ulam daun selom dan sambal belacan. Terus terbuka luas selera Jasmeen yang benar-benar kelaparan. Dia makan perlahan-lahan sambil menikmati pemandangan di luar tingkap. Tidak sedar sudah habis tidak bersisa nasi dan lauk-pauk di dalam bekas.
- Sedap ke lauk pilihan abang? Harap Meen suka.
Mesej daripada Amsyar tiba di penatapan.
- Terima kasih. Meen suka.
Jawab Jasmeen tanpa sedar mengungkapkan kata-kata berbaur mesra.
- Baguslah. Ayam masak merah itu juga kegemaran abang.
- Ya?
- Ya, sayang.
"Oi! Bersayang-sayang dah kau dengan dia!" Bahu Jasmeen ditepuk Rose dengan kuat dari belakang. Terkejut tidak terkira Jasmeen dibuatnya sehingga dia melatah.
"Oi, emak kau, aku tepuk!"
"Aku yang tepuk kau... Bukan kau tepuk mak aku," kata Rose sambil tergelak besar.
Rupa-rupanya sudah lama Rose berada di belakang dan sempat membaca mesej yang baru diungkapkan Amsyar. Merah wajah Jasmeen apabila diusik begitu. Dia tidak dapat mengelak dari Rose.
Jasmeen mengeluh.
"Dia tu yang miang panggil aku sayang dan berbahasa abang. Mana aku ada balas pun panggilan tu."
"Dia dah jatuh cinta dengan kau," kata Rose sambil duduk di sebelah Jasmeen lalu membuka bungkusan nasinya.
"Kau pergi beli sorang-sorang tadi?"
"Tak. Aku kirim dengan Syamila. Aku baru habis mesyuarat."
Jasmeen mengangguk sahaja, kemudian meminta diri untuk menunaikan solat zohor.
Petang itu sebaik habis kerja, dia terus beredar pulang. Sepanjang hari dia kepenatan bertungkus lumus menyiapkan kertas kerja. Dia ingin pulang awal. Semasa turun ke ruang lobi, Amsyar ada di situ seperti menunggunya. Jasmeen tiada jalan lain untuk keluar bangunan itu melainkan melalui pintu utama.
"Hai!" tegur Amsyar.
"Hai," balas Jasmeen sambil matanya memerhati beberapa orang staf di pejabatnya yang baru keluar dari lif dan mereka sempat memandang ke arah dia dan Amsyar.
"Kenapa datang sini?"
"Abang nak jumpa Meen."
"Hmmm, sekarang dah jumpa," jawab Jasmeen sambil berharap Amsyar akan segera beredar.
"Jom kita borak kejap."
"Nak borak apa?" tanya Jasmeen tidak senang kerana mereka sudah jadi tumpuan orang yang keluar dari pejabat. Dia tidak suka orang bergosip tentang dirinya.
"Macam-macam. Kita pergi minum," cadang Amsyar.
"Sekejap aje," pinta Amsyar bersungguh-sungguh.
"Kita pergi minum dekat restoran seberang jalan."
"Tak naklah. Saya nak balik," kata Jasmeen menolak dengan tegas.
"Okey. Hati-hati memandu."
Jasmeen terus beredar. Amsyar memerhati sahaja. Eh, dia menolak dan pergi macam tu saja. Aku dah penat tunggu hampir satu jam. Takkan aku nak lepaskan dia pergi! Amsyar merengus perlahan. Dia mengejar Jasmeen yang sudah pun berada berdekatan dengan kereta.
"Meen!" Dia memanggil dengan lembut.
Jasmeen berpaling dan memandang lembut wajah Amsyar.
"Apa lagi?" tanya Jasmeen tidak senang.
"Tak apalah. Sorry, kalau abang... er saya mengganggu."
Jasmeen mengangguk.
"Tapi kan... saya... err, abang ada perkara nak cakap dengan Meen."
"Apa dia?"
"Meen ada hilang sesuatu tak?"
Jasmeen diam sejenak. Dia hanya merenung sahaja wajah Amsyar, cuba mencari makna di sebalik kata-kata Amsyar itu. Mungkin dia sengaja nak perangkap aku ni! bisik hati Jasmeen.
"Tak ada. Saya tak pernah hilang apa-apa."
"Okeylah kalau gitu," kata Amsyar sambil berpaling pergi.
Jasmeen memerhati Amsyar yang menuju ke keretanya kemudian memandu pergi dengan laju. Sepanjang jalan pulang hati Jasmeen semakin libang-libu, teringat semua ungkapan Amsyar yang berakhir dengan cepat seperti angin senja yang lewat seketika cuma.
Tiba di rumah dia melihat kereta ibunya ada di porch. Puan Nazirah juga pulang awal. Sebaik pintu dibuka, dia mendengar suara Puan Nazirah memberi arahan pada seseorang. Suara itu datangnya dari bilik tidur bersebelahan dengan ruang tamu. Bilik tidur yang menjadi bilik kesukaan Puan Sri Mariam, ibu kepada Puan Nazirah yang sangat cerewet.
"Mama!" panggil Jasmeen sambil bergerak ke bilik tidur.
"Buat apa dalam bilik nenek?" tanya Jasmeen sambil menjenguk ke bilik itu. Dia lihat ada seorang pembantu wanita sedang memegang penyapu.
"Meen! Awal kau balik."
"Ya."
"Kenapa kemas bilik nenek?"
"Nenek kau nak balik sini tiga hari lagi," kata Puan Nazirah sambil mengajak Jasmeen ke dapur.
"Dah selesai dah nenek round satu Eropah pergi rumah anak cucunya?"
"Dah jemu. Katanya dia rindukan makanan Melayu dan suasana panas di Malaysia. Sana sejuk. Dia dah tak tahan sampai rasa macam nak demam."
Jasmeen tersenyum kecil.
"Nampaknya, kita harus ubah kebiasaan kita, mama. Malam mama harus memasak makan malam. Rasa suspens pula bila nenek nak balik ke sini."
"Kalau suspens saja tak apa, Meen. Jangan sampai stres," kata Puan Nazirah.
"Yalah," balas Jasmeen.
"Mama relaks sahaja, jangan stres. Biar Meen yang hadap semua kerenah nenek tu," kata Jasmeen sambil menepuk bahu Puan Nazirah dengan lembut.
"Kau dan Mith cucu kesayangan dia. Kau orang layanlah dia nanti."
"Alamak! Minta-minta dia tak akan sebut pasal Meen dan Mith," kata Jasmeen sambil mengangkat tangannya ke atas memanjatkan doa kepada Tuhan.
"Eh, mama dah lama tak nampak cincin permata delima merah tu. Kau dah tak pakai lagi? Bising nenek kau nanti," kata Puan Nazirah sambil memegang jari tangan kiri Jasmeen.
Jasmeen tiba-tiba jadi teringat pada cincin yang sudah hilang dari simpanannya. Dia sedikit menggelabah apabila teringatkan cincin itu hilang tanpa kesan. Lantaran neneknya akan pulang dalam beberapa hari sahaja lagi, jadi tidak sempat untuk dia membuat tempahan cincin yang sama bentuk. Lagipun cincin itu cincin lama yang mempunyai bentuk rekaan yang unik, yang sudah tiada lagi pada zaman kini.
Lebih-lebih lagi Jasmeen tidak ingat lagi reka bentuknya. Apa yang harus dia lakukan? Neneknya pasti kenal jika cincin itu diganti.
"Mana cincin tu?" tanya Puan Nazirah.
"Ada... Ada!" jawab Jasmeen menyembunyikan wajah gelisah di sebalik senyuman.
"Habislah kau kalau cincin tu hilang. Panjang berjela-jelalah leteran nenek kau macam jalan highway," kata Puan Nazirah sambil menunjukkan wajah bimbang.
"Ada, mama," balas Jasmeen cuba meyakinkan Puan Nazirah biarpun hatinya sudah mulai risau.
"Dimanakah kau, cincin?" soal hati Jasmeen.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro