Bab 12
SETELAH pertemuan singkat dengan Datuk Rahim, Amsyar tidak kembali ke pejabat. Dia tiada mood hendak meneruskan kerja yang masih bertimbun di meja. Ada beberapa berita yang perlu dia sunting. Berita yang akan dimuatkan pada keesokan harinya sudah pun diberikan kepada pekerja bawahannya awal pagi tadi.
Amsyar memberhentikan keretanya di tepi jalan. Dia tidak tahu hendak ke mana, namun dia memang tiada keinginan kembali ke pejabat. Dia mencapai telefon bimbit dan membuka aplikasi WhatsApp. Dia nampak nama Jasmeen sedang online.
- Salam. Awak free hari ini? Saya ingin ajak awak makan tengah hari.
- Maaf. Saya dah ada rancangan lain.
Amsyar membaca balasan daripada Jasmeen dengan hati yang agak kecewa. Dia memandu tidak menentu. Jalan yang dilalui semakin jauh dari pejabat. Tiba-tiba Datuk Borhan pula menelefon, mengajak Amsyar makan tengah hari.
"Di mana?" tanya Amsyar ingin tahu.
"Kat tempat biasa, kari kepala ikan di tepi sungai berhampiran WTC."
"Baik," jawab Amsyar ringkas.
Amsyar sampai lebih awal daripada Datuk Borhan. Dia duduk sendirian di kerusi, berdekatan dengan tebing sungai. Dia leka memerhati Sungai Klang yang keruh airnya, kekuningan seperti teh di dalam muk di atas mejanya. Dia sengaja minum perlahan-lahan sambil menunggu kedatangan Datuk Borhan.
Hampir pukul satu, Datuk Borhan datang. Dia terus berjalan ke arah meja Amsyar. Dia bukan sendirian. Bersamanya ada Jasmeen dan Mithtaff Hakimi. Datuk Borhan memperkenalkan Mithtaff Hakimi pada Amsyar.
"Dah kenal," beritahu Mithtaff Hakimi ringkas.
Jasmeen tidak berkata apa-apa. Dia duduk dengan tertib di hadapan Amsyar. Mithtaff Hakimi duduk bersebelahan dengannya agak rapat. Amsyar rasa Mithtaff Hakimi memang sengaja berbuat begitu dan Jasmeen pula membiarkan sahaja. Hati Amsyar jadi benar-benar tidak senang apabila Mithtaff Hakimi mempamerkan kemesraannya dengan Jasmeen.
Datuk Borhan memesan makanan. Sepanjang waktu makan, Datuk Borhan banyak bercerita tentang rancangannya sementara Amsyar, Jasmeen dan Mithtaff Hakimi hanya menjadi pendengar. Kemudian mereka mulai bercerita tentang dunia politik tanah air. Mithtaff Hakimi yang baru sahaja pulang dari luar negara nyata tidak mengetahui apa-apa perkembangan politik. Lantaran itu dia cepat bosan kerana tidak tahu hendak menyampuk.
Dia kenyit mata pada Jasmeen dan memberi isyarat mengajak gadis itu beredar dari situ. Jasmeen angguk dan senyum.
"Papa, kami pergi dulu. Saya nak teman Jasmeen shopping di Sunway Mall."
"Okey," balas Datuk Borhan sepatah.
Jasmeen dan Mithtaff Hakimi beredar. Mereka saling berpandangan dan tersenyum kemudian beriringan berjalan keluar dari restoran. Dari jauh Amsyar terdengar kedua-duanya tertawa. Entah apa yang melucukan, dia tidak tahu. Hatinya bertambah kesal. Dia merasakan Jasmeen dan Mithtaff Hakimi punya hubungan yang istimewa. Diam-diam hatinya disapa rasa cemburu.
Entah mengapa dia harus mencemburui mereka berdua. Bukankah mereka punya hubungan kekeluargaan? Sudah tentulah kemesraan antara kedua-duanya sudah terjalin lama sedangkan hubungan dia dengan Jasmeen belum pun bermula.
Tanpa sedar Amsyar memerhati mereka berdua bergerak sehingga dia hilang suara beberapa minit. Datuk Borhan perasan Amsyar memandang Jasmeen sehingga gadis itu dan Mithtaff Hakimi tidak kelihatan lagi.
"Kau sukakan Jasmeen?" tanya Datuk Borhan tiba-tiba.
Wajah Amsyar terus berubah jadi merah padam kerana malu. Dia menggeleng lembut.
"Ramai lelaki sukakan Jasmeen. Dia ada daya penarik yang tersendiri."
"Yaaa..." balas Amsyar lembut, tidak menafikan kelebihan yang ada pada Jasmeen. Dia sendiri jatuh hati pandang pertama pada Jasmeen.
"Dia tak percayakan lelaki," tambah Datuk Borhan sambil tertawa kecil.
"Tapi dia percayakan Mithtaff."
"Oh, come on! Dia orang sepupu. Dah kenal sejak kecil. Mestilah Jasmeen percaya pada Mithtaff. Dah macam adik-beradik mereka tu," kata Datuk Borhan.
"Kalau kau betul-betul sukakan dia, masuklah meminang. Mana tahu diterima. Tapi kau hati-hatilah dengan mak mentua aku. Dia cerewet," kata Datuk Borhan.
"Semakin takut saya nak masuk meminang Jasmeen, nanti kena tolak mentah-mentah," balas Amsyar.
"Kita ni sebagai lelaki macam pemburu. Kalau sukakan seseorang, kejar sampai dapat."
Amsyar senyum kecil. Dia mengangguk.
Datuk Borhan segera mengalih topik perbualan kepada perkara lain. Amsyar ingin sekali menyentuh tentang peristiwa yang berlaku kepadanya malam semalam tetapi dia merasa tidak wajar pula. Dia tidak tahu perhubungan antara Datuk Rahim dan Datuk Borhan harmoni ataupun tidak. Tetapi mereka memang kenal antara satu sama lain.
"Datuk Rahim melarang saya untuk menulis tentang politik terutama tentang rasuah dalam kalangan orang-orang atasan," kata Amsyar tidak dapat membendung lagi rasa ingin menyampaikan berita kepada Datuk Borhan.
"Saya diberi amaran oleh Datuk Rahim agar memadamkan artikel yang saya tulis pagi tadi. Hanya beberapa jam sahaja berada di media, sudah saya padamkan."
"Aku belum buka dan baca portal berita syarikat kau hari ini," kata Datuk Borhan.
"Artikel tentang apa yang buat dia marah?" tanya Datuk Borhan ingin tahu.
Amsyar senyum kecil. Dia tidak berniat hendak bercerita.
"Cerita murahan saja," kata Amsyar sedikit kesal.
"Pada tanggapan Datuk Rahim berita itu bakal mengaibkannya walaupun saya langsung tidak sebut nama sesiapa."
Datuk Borhan mengangguk.
"Kalau kau ada buat suatu kesalahan, jadi kau akan berfikir bahawa setiap perkara yang tertulis itu ditujukan pada kau walaupun sebenarnya tidak. Itulah manusia yang ada masalah mental dan berfikiran jumud," kata Datuk Borhan.
"Pandangilah sesuatu itu dengan skop yang luas bukan menyempitkannya," tambahnya lagi.
"Ya, saya setuju. Kadang-kadang berita yang penuh dengan kebenaran dianggap mengaibkan. Jadi kita lebih suka pada sesuatu yang penuh kebohongan tetapi tidak mengaibkan."
Mereka berpisah sekitar jam dua petang. Amsyar kembali ke pejabat dengan langkah yang lemah. Dia tiada semangat untuk meneruskan kerja-kerja yang ditinggalkan. Kata-kata Datuk Rahim masih terngiang-ngiang di telinga. Dia rasa tercabar benar. Jika diikutkan hati dia memang ingin mengarang surat peletakan jawatan.
Namun begitu dia tidak boleh terburu-buru dalam membuat keputusan. Jika dia berhenti kerja kerana menurut hati yang marah, dia juga yang akan rugi. Dia perlu memburu kerja lain yang pastilah sukar dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu. Sanggup ke dia hilang kerja? Sanggup ke jadi penjual pisang goreng di tepi jalan? Tidak. Justeru itu dia terpaksa akur pada telunjuk Datuk Rahim.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro