◦𝟗◦
Yonghyun dan Yunho bergegas ke rumah Hyunjae sebaik saja Chan memberi alamat. Mereka berdua bersama dua orang anggota polis yang lain mula mengepung kediaman jejaka itu. Selepas berada di posisi masing-masing, Younghyun membuat kiraan lalu merempuh masuk pintu depan.
"Lee Hyunjae, anda ditahan atas tuduhan membunuh Joo Minseok. Sila serahkan diri!" Younghyun memberi arahan dengan lantang sekali.
Kini muncung pistol dihalakan ke arah sebuah pintu yang dipercayai bilik Hyunjae. Tidak lama selepas itu, pintu itu dibuka dari dalam. Hyunjae mengangkat tangannya paras dada, tanda menyerah.
"Tua- tuan bukan saya-" Tidak diberi peluang untuk membela diri, pergerakannya sudah dikawal pihak polis.
"Awak berhak untuk berdiam diri dan beri segala penjelasan di balai polis nanti. Awak juga dibenarkan menghubungi peguam," ujar Yunho sambil menggari pergelangan tangan Hyunjae.
Jejaka itu hanya akur tanpa mengingkari arahan yang diberikan Yunho. Kemudian, dia diiringi masuk ke dalam kereta polis. Younghyun yang berjalan di belakang, menyentuh dagunya. Ada yang tidak kena sekarang itu.
"Akhirnya, dapat juga kita tangkap pembunuh tu. Ahh, leganya rasa..." Yunho mengurut bahunya seraya meregangkan tangan.
"Aku tak rasa Hyunjae pembunuh. Dia sikit pun tak cuba melawan sebaliknya hanya menyerah diri. Pasti ada salah faham yang terjadi. Lagipun, Chan ada sebut nama Hyunjae sebagai orang yang rapat dengan dia selain dari Yongbok. Jadi, jangan yakin dulu." Younghyun mengutarakan pendapatnya. Yunho yang mendengarkan itu, mencebik. Menyesal pula kerana terlalu teruja. Selepas Younghyun berkata begitu, barulah dia tersedar.
Hyunjae memandang dinding kosong sebelum menunduk semula. Bilik itu tiada apa-apa melainkan sebuah meja, dua kerusi dan cermin yang tertampal pada dinding bilik. Bunyi pintu dibuka membuatkan dia mengangkat kepala. Yunho masuk ke dalam bilik siasatan seperti yang diarahkan Younghyun. Kerusi jenis banquet ditarik lalu dia mengambil tempat. Kini Yunho berhadapan dengan Hyunjae untuk sesi soal siasat.
Younghyun hanya melihat keadaan dari luar. Sengaja dia menyuruh Yunho yang mengambil tugas itu kerana dia ingin memerhatikan tingkah laku yang kemungkinan ditunjuk Hyunjae tanpa sedar.
"Lee Hyunjae, lebih kurang pukul 10 malam semalam, awak ada dekat mana?" Yunho memulakan perbincangan.
"Saya dalam perjalanan ke restoran." Hyunjae menjawab dengan yakin. Yunho mengangguk perlahan sebelum meneruskan siasatan.
"Kenapa awak bunuh Joo Minseok? Awak ada rasa tak puas hati dengan mangsa dan sebab itu awak bunuh dia malam tadi? Macam tu?" Yunho memberi soalan bertubi-tubi membuatkan Hyunjae resah.
"Saya tak bunuh dia bahkan hubungan kita orang tak ada sebarang masalah." Hyunjae membantah tuduhan yang diberikan kepadanya.
"Kalau betul, kenapa awak ada di tempat kejadian masa Chan balik dari hantar makanan?" Yunho meminta kepastian.
"Saya telefon Minseok untuk tanya khabar selepas dua hari kami tak jumpa. Oleh kerana kesihatan saya dah pulih, saya buat keputusan untuk jumpa dia dan kebetulan masa tu dia ada di restoran. Jadi, sebab itu saya ada dekat sana," jelasnya dengan bersungguh.
Yunho masih tidak puas hati. Masih banyak persoalan yang bermain di fikirannya. "Kalau macam tu, terangkan kenapa awak lari semasa Chan nampak awak dekat situ? Bukan ke awak patut beritahu perkara sebenar kepada dia dan disebabkan perkara tu, dia hampir dilanggar sebuah kereta."
Hyunjae mula menahan tangis. "Sebab saya terlalu panik dan takut Chan mungkin salah faham. Saya lalu di pintu belakang untuk buat kejutan pada Minseok tapi, tak sangka pula perkara ni terjadi dan saya menjadi saksi untuk kes pembunuhan kali kedua. Tuan, percayakan saya... Bukan saya yang bunuh Minseok." Hyunjae merayu.
Yunho memandang cermin bilik itu manakala Younghyun yang melihat segalanya, memikirkan sesuatu sambil memeluk tubuh. "Yunho, kau boleh keluar dulu."
"Younghyun, aku tak rasa Hyunjae dalang di sebalik pembunuhan selama ni," ujar Yunho sebaik saja keluar dari bilik siasatan.
"Aku pun... Panggilan terakhir Minseok memanglah nombor Hyunjae tapi, tu semua seperti yang dijelaskan Hyunjae tadi. Mereka nak berjumpa. Lagipun dia masih cuti semalam jadi dia tak tahu apa yang terjadi siang tu..," kata Younghyun.
"... Dan satu lagi, Hyunjae tiada ciri-ciri seorang psikopat," sambungnya lagi.
Yunho mengangguk tanda setuju. Kali ini apa yang dia fikirkan sama dengan kawannya. Selepas semua bukti tidak berhubung dengan Hyunjae, Yonghyun membebaskan lelaki itu dari sebarang tuduhan. Sebelum Hyunjae pulang, dia sempat berjumpa dengan Younghyun untuk mengucapkan terima kasih kerana mempercayainya.
"Sama-sama... Saya pun minta maaf atas kesilapan yang berlaku. Lepas ni, awak nak ke mana?" Tanya Younghyun.
"Ingat nak melawat Chan di hospital tapi tak tahulah. Rasa serba salah pula bila dia tercedera sewaktu kejar saya," luah Hyunjae seraya mengeluh perlahan.
Younghyun menyimpulkan senyuman kecil lalu memegang bahu lelaki yang lebih muda darinya itu. "Saya tak rasa macam tu... Baik awak jelaskan apa yang berlaku pada dia supaya tak ada salah faham antara korang dan jangan lupa untuk minta maaf."
"Baiklah kalau Tuan cakap macam tu. Terima kasih sekali lagi... Saya minta diri dulu." Hyunjae mengakhiri perbualan lalu meninggalkan balai polis.
●○●○●○●○
Chan terasa sebak apabila menonton berita tentang kematian Minseok. Kalaulah lelaki itu tidak menunggunya, sudah tentu dia masih selamat dan bekerja seperti biasa. Yongbok yang baru sampai, melihat sahabatnya lalu skrin televisyen dipandang sekilas.
Tanpa memberitahu apa-apa, Yongbok mematikan televisyen yang mana membuatkan Chan menoleh ke arahnya. Tidak menunggu jejaka itu bertanya, dia terlebih dulu mengambil tempat di kerusi pelawat.
"Jangan tengok perkara yang berkaitan dengan Minseok. Aku tak suka tengok kau sedih macam ni. Dari kau melayan perasaan, baik kau makan," kata Yongbok selamba. Mangkuk bubur diambil lalu menggaul supaya panasnya hilang.
Chan memandang kosong mangkuk yang dipegang kawan baiknya. "Yongbok, kau rasa Hyunjae ke yang bunuh Minseok?"
Soalan Chan membuatkan Yongbok berhenti menggaul. Mangkuk diletakkan ke atas meja untuk memberi perhatian kepada Chan. "Aku tak boleh nak bagi pendapat sebab baru jumpa dia sekali. Lagipun, kau lebih kenal Hyunjae macam mana secara peribadi. Jadi, terserah pada kaulah nak fikir macam mana. Sekurang-kurangnya aku bersyukur bukan kau yang jadi mangsa."
Dua sahabat itu tidak mempedulikan ketukan pintu kerana memikirkan jururawat yang datang ke situ untuk buat pemeriksaan. Selepas mendengar suara, barulah mereka berpaling serentak. Chan sedikit terkejut apabila melihat Hyunjae ada situ.
"Chan... Aku datang nak minta maaf atas apa yang berlaku pada kau. Aku dibebaskan selepas terbukti tak bersalah. Kau percayakan aku, kan?" Tanya Hyunjae dengan penuh harapan.
Tidak menunggu lama, Chan mengangguk. Melihat jawapan jejaka itu, Hyunjae terus menghampiri kawan kerjanya lalu mereka berpelukan. Yongbok yang ada di situ hanya memerhatikan saja tanpa mencelah.
"Aku pun minta maaf sebab tuduh kau sebagai pembunuh," kata Chan selepas meleraikan dakapan. Hyunjae menggeleng lantas duduk di hujung katil. Dia faham apa yang dirasakan Chan. Jika dia berada di tempatnya, dia juga akan berfikir perkara yang sama.
"Kau dah makan?" Yongbok bertanya. Dia yakin Hyunjae belum menjamah makanan kerana sibuk disoal siasat walaupun bukan dia pelaku yang sebenarnya.
"Belum lagi... Korang makan je lah. Nanti waktu balik aku singgah kedai beli makanan." Hyunjae menjawab pertanyaan Yongbok seraya tersenyum.
"Tak payah mengada. Makan sekali dengan kita orang. Lagipun Yongbok bukan habis makan sorang nasi tu." Chan memaksa Hyunjae untuk menyertai mereka sekali.
Mendengarkan itu, Hyunjae tidak mampu menolak lagi. Pinggan kosong yang disediakan di dalam almari kecil wad, dibawa keluar. Yongbok membahagi nasi dan lauk dengan Hyunjae sebelum mereka bertiga mengisi perut bersama.
Petang itu, Chan sudah boleh pulang ke rumah. Dia yang sedang bersiap-siap, terkejut dengan kehadiran Hyera. Siapa pula yang memberitahu gadis itu tentang keberadaannya. Mahu tidak mahu, terpaksalah dia menadah telinga mendengar bebelan kekasihnya itu.
"Sayang! Kenapa tak beritahu yang awak masuk hospital?? Sampai hati tak cakap benda penting macam ni pada saya!" Marah Hyera. Chan pula tersengih dan sudah berdiri tegak di tempatnya seperti dalam barisan perhimpunan sekolah.
"Korang settle dulu ya masalah ni. Aku pergi ke kaunter ubat dulu," Yongbok meminta diri terlebih dulu sebelum dia menjadi tempat Hyera melepaskan marah.
Chan memeluk bahu teman wanitanya untuk menenangkan hatinya terlebih dulu walaupun gadis itu terlambat sehari. "Saya okey lah... Dah boleh discaj pun."
Lengan Chan yang melingkar di bahunya ditolak lalu mencebik. "Kalau Abang tak beritahu, memang tidaklah saya tahu perkara ni."
Abang Hyun rupanya yang bocor rahsia.
Pipi digaru sambil memikirkan jawapan yang akan diberikan. "I'm okay, Honey. Jangan risau lah. Lagipun saya hampir kena langgar, bukan kena langgar."
"Agaknya kalau kena langgar pun awak tak beritahu saya. Sedar-sedar hilang ingatan lepastu cari perempuan lain." Hyera mula berfikir jauh di luar sangkaan.
Hampir saja Chan tertawa namun ditahannya. "Memang pun."
Hyera membulatkan matanya mendengarkan jawapan selamba Chan. Satu tamparan hinggap di lengan lelaki itu hingga dia menjerit perlahan. Nampak saja tangan gadis itu kecil namun sekali ditampar, rasanya perit sekali.
"Betul lah, dah saya kan accident. Kalau accident mestilah tak sedar jadi macam mana nak beritahu awak, kan?" Sengaja Chan memanaskan lagi hati Hyera.
"Eleh, saya tanya Abang... Werk!" Hyera menjelirkan lidahnya ke arah Chan.
"Abang awak uruskan kes pembunuhan bukan kes accident... Werk!" Balas Chan semula. Disebabkan geram dengan perangai Chan, Hyera mencubit geram.
"Ehem... Drama ni dah habis belum? Kalau tak, sila sambung dekat tempat lain sebab orang lain nak masuk wad ni pula," sindir Yongbok seraya menggelenh. Boleh pula pasangan itu bertepuk tampar di tempat awam sebegitu.
"Tak habis lagi, sambung esok." Chan berseloroh lalu tergelak. Belum sempat Hyera bersuara, dia menarik tangan gadis itu keluar dari wad.
●○●○●○●○
Younghyun dan Yunho tiba di restoran untuk meneruskan siasatan yang ditangguh semalam. Bermula dari pintu utama, setiap perkara diperhati secara teliti.
Tiada tanda-tanda pecah masuk memandangkan ketika kejadian berlaku, restoran masih belum ditutup. Younghyun memandang ke arah lantai dan ada kesan tapak kasut. Kakinya diletakkan di sebelah tanda itu untuk mengukur panjang kaki.
"Lagi kecil," getusnya di dalam hati. Kasut Yunho dilihat sekilas lalu dia menggeleng. Sudah terang-terang, kaki Yunho lebih panjang memandangkan badannya yang tinggi.
"Yunho, aku rasa ketinggian pembunuh ni antara 169 hingga 172 sentimeter kalau ikut ukuran tapak kasut." Younghyun bersuara.
"Hmm, betul tu. Masalah sekarang ni ramai je yang ketinggian sama. Macam mana?" Yunho menyoal.
Younghyun menggeleng seraya mengeluh perlahan. Nampaknya kali ini fikiran mereka tidak sama kerana Yunho bertanya begitu.
"Kita tak payahlah fokus pada orang lain... Tumpu pada orang yang kita syak sekarang ni. Yongbok... Ketinggian dia bersamaan dengan kesan tapak kasut ni. Tinggi aku 180 dan Yongbok lebih kurang antara paras bahu dengan telinga aku. Jadi, mungkin tinggi dia 171 sentimeter," jelas Younghyun panjang lebar.
Yunho tercengang mendengarkan itu. Betapa terperincinya maklumat yang keluar dari mulut Younghyun. Kemungkinan otak dia penat bekerja siang malam hingga tidak mampu berfikir secara jelas.
"Sayangnya, tiada bukti untuk tahan dia. Sebab itu kita kena cari sampai dapat," ujar Younghyun bersungguh. Mereka melangkah masuk ke dalam restoran. Semua tempat makan berada dalam keadaan sempurna kecuali dua buah meja yang berantakan.
Younghyun dapat merasakan yang mangsa dan pembunuh sempat bergelut. Dia berpaling ke arah Yunho yang melihat keadaan sekeliling sebelum bersuara.
"Yunho, kau pula bagi pendapat tentang ni," kata Younghyun dan lelaki itu mengangguk faham. Yunho pergi semula ke arah pintu yang mana membuatkan Younghyun tersenyum sendiri. Akhirnya, sel-sel otak Yunho kembali berhubung.
"Pada pandangan aku, pembunuh berdiri di muka pintu ni sebab mustahil dia serang terus kan? Mungkin lelaki gila tu ada cakap apa-apa dulu pada Minseok dan bila Minseok tak bagi respon... Dia pun berlari lalu terjah ke arah Minseok yang berdiri tak jauh dari sini. Maka terjadilah pergelutan kecil antara diorang sampai meja teralih dari tempat asal. Aku teka yang pembunuh tu tahan pergerakan Minseok kemudian dia tikam guna pisau. Okey, seterusnya kau sambung." Yunho melepaskan lelah. Mana tidaknya, Younghyun menyuruh beri pandangan sahaja tetapi dia siap buat demonstrasi kejadian itu pula.
Younghyun menepuk tangan, tanda bangga dengan apa yang disampaikan Yunho. Sangat sama seperti yang difikirkannya. Dia yang berdiri di sebelah meja, membuka langkah menghampiri kesan darah yang ada di lantai.
"Lepas kena tikam, Minseok mesti dah tak berdaya sebab hilang banyak darah jadi... Psikopat tak guna tu heret badan Minseok menuju ke dapur lalu sandarkan pada dinding, di mana Chan jumpa mayat dia terjatuh depan pintu." Kini mereka berdua berada di dapur untuk membaca kejadian yang kemungkinan berlaku di situ.
"Selepas dia letak Minseok dekat sini, dia ambil pula periuk untuk menjerang air di dalamnya. Sampai situ je aku dapat teruskan. Selebihnya, aku dah buntu. Motif dia masak air kosong kemudian isi ke dalam tupperware yang digunakan untuk makanan. Kau? Ada apa-apa yang kau fikirkan pasal tu?" Younghyun memandang wajah Yunho namun kawannya itu hanya menggeleng. Mereka berdua sama-sama mati akal ketika itu.
Yunho termenung memandang bekas makanan yang sempurna dibungkus plastik itu lalu segera dia bersuara. "Hyun, kau ingat tak doktor yang bedah siasat tu Minseok ada beritahu pada badan dia ada kesan melecur dari pergelangan tangan hingga ke pangkal lengan. Aku rasa aku dah dapat jawapan dia," ujar Yunho dengan penuh yakin.
Dia melangkah kecil lalu mengambil plastik yang menjadi bahan bukti itu. Sarung tangan tidak lupa dipakai supaya bukti itu tidak terjejas. Bahagian bawah bungkusan dilihat dan dia perasan ada kesan tebuk pada plastik tadi. Bekas yang terletak di dalam diperhati dan penutup tidak ditutup sepenuhnya.
"Pembunuh paksa Minseok ambil plastik ni kemudian air yang dituang ke dalam bekas tertumpah memandangkan penutup tidak ditutup kemas. Oleh sebab itu, air panas terkena tangan Minseok sebab pembunuh bocorkan plastik ni," Yunho menepuk tangannya sendiri kerana sudah mendapat jawapan.
"Cuma kali ni, pembunuh tak memukul kepala Minseok seperti mangsa sebelum ini. Mungkin kerana Minseok terlebih dulu mati akibat kecederaan dalam pada abdomen," sambung Younghyun dan Yunho mengangguk setuju.
Lukisan bulatan yang kelihatan pada dinding dapur itu dipandang lama.
"Kau tunggu Yongbok..," ujar Younghyun sendiri.
◉𝙱𝚎𝚛𝚜𝚊𝚖𝚋𝚞𝚗𝚐◉
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro