Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

◦𝟖◦

Yongbok berjalan di sekitar kawasan restoran sambil mengambil angin. Niatnya hendak berjumpa Chan tergendala selepas melihat sahabatnya tergesa-gesa kerana sudah lambat untuk menghantar pesanan pelanggan. Harap-harap, orang yang memesan itu merupakan penyabar jika tidak mahu menjadi mangsa seterusnya.

Langkah kaki bertukar perlahan sebaik saja menyedari seseorang sedang memerhatikannya dari jauh. Bagi tidak terlalu nampak ketara, Yongbok kekal bersahaja lalu meneruskan langkah manakala matanya mencari tempat untuk menyembunyikan diri. Sebuah kedai yang menjual baju dipandang sebelum dia pergi ke situ.

Yunho mendecit perlahan apabila gagal mengikut pergerakan Yongbok. Dia melihat sebuah kedai baju berhampiran dan mengagak yang Yongbok berada di situ. Tidak melengahkan masa, Yunho terus menuju ke kedai pakaian tadi.

Masuk saja ke dalam bangunan itu, Yunho berpura-pura sedang memilih baju sambil matanya tetap mencari kelibat Yongbok. Dia menarik nafas lega apabila melihat bayang jejaka yang diekorinya berdiri di rak baju barisan depan.

Earbud yang dipakai pada telinga ditekan perlahan sebelum Yunho melaporkan situasi. "Sekarang Yongbok ada di kedai baju. Tiada apa-apa yang mencurigakan setakat ni."

"Bagus, terus perhatikan dia. Boleh jadi yang dia berlakon. Aku nak kau hati-hati... Jangan sampai terkantoi."

"Baik." Yunho menjawab sepatah. Dia memandang semula ke tempat yang sama namun Yongbok sudah pun menghilangkan diri. Menyedari hal itu, Yunho meramas kasar rambutnya sebelum disapa dari belakang.

"Detektif Yunho kan?" Tegur Yongbok dengan ramah. Senyuman kecil turut kelihatan pada wajahnya.

"Eh... Yongbok buat apa dekat sini?" Yunho berbasa basi. Sekarang ini, dia perlu menahan diri supaya tidak gementar. Dia tidak mahu Yongbok tahu yang dia sedang memerhatikan langkah jejaka itu.

Yongbok menunjukkan sehelai hoodie berwarna kelabu di tangannya. "Beli baju. Detektif, cari baju apa? Biar saya tolong pilihkan."

"Tak payahlah panggil detektif, panggil Yunho saja. Sebenarnya saya datang ke sini nak tengok-tengok dulu," bohong Yunho. Nada suaranya juga turut dikawal seperti biasa.

Yongbok mengangguk perlahan lalu memandang tepat ke arah anak mata lelaki di hadapannya. "Tengok baju ke tengok orang?"

Air liur yang ditelan terasa pahit. Nampak gaya, Yongbok menyedari yang dirinya diekori. Peluh mula kelihatan di dahi Yunho. "Macam mana kau tahu?"

Yongbok tersengih mendengar soalan Yunho. Sangkanya lelaki itu akan menafikan tuduhannya tetapi sebaliknya. Dia mengangkat tangan sebelum menepuk bahu Yunho perlahan.

"Tak payahlah perhatikan aku... Buang masa. Kalau aku pembunuh, siang bukan waktu yang sesuai. Disebabkan kau jujur, aku tak akan buat aduan tentang ni lagipun Chan kenal kau. Jadi, tak selesalah pula kalau aku lapor polis kan? Okeylah, rasanya tak ada apa-apa lagi kot. Aku nak pergi restoran ni, lapar." Ujar Yongbok lalu meninggalkan Yunho di situ.

Yunho menggenggam buku limanya menahan geram. "Hyun, misi kita gagal."

"Aku dengar semuanya... Mungkin bukan sekarang tapi aku yakin kita akan dapat dalam masa terdekat. Kau baliklah semula ke balai."

Setelah mendengar arahan kawannya, Yunho mematikan panggilan. Yongbok yang sudah keluar dari kedai itu hanya mampu dilihat dari jauh saja. Lelaki itu terlalu licik dalam hal begini.

●○●○●○●○

Jarum jam sudah menginjak ke angka 9. Semua pekerja sedang berkemas sebelum pulang ke rumah kecuali Chan yang masih tidak kelihatan kerana membuat penghantaran. Mungkin jalanraya sesak memandangkan waktu itu merupakan para pekerja pulang dari pejabat.

"Minseok, kau tak balik ke?" Soal salah seorang pelayan restoran apabila melihat tukang masak itu masih mengemas di bahagian dapur.

"Aku tunggu Chan... Lagipun, bos bagi aku pegang kunci restoran," beritahunya.

Pelayan itu mengangguk faham lalu meminta diri, meninggalkan Minseok sendirian. Periuk dan kuali yang masih belum dibasuh dipandang. Mungkin pekerja di bahagian mencuci pinggan, terlupa. Minseok mengangkat kuali dahulu sebelum diletakkan ke dalam sinki. Tidak mengapalah dia melakukannya, sementara menunggu Chan bolehlah dia menghilangkan bosan. Lengan baju disinsing dan kerja membasuh dimulakan.



Peluh dahi dilap menggunakan hujung baju. Nampaknya tugas membasuh lebih sukar daripada memasak. Lengannya sudah lenguh-lenguh kerana menyental kotoran pada kuali. Minseok mengurut perlahan tangannya lalu menarik kerusi untuk melepaskan penat.

Telefon yang tersimpan di dalam saku apron, diambil apabila satu panggilan masuk. Melihat nama si pemanggil, Minseok tersenyum lalu butang hijau ditekan.

"Kenapa call ni? Rindu aku ea..." Minseok berseloroh lalu tertawa. Dia diam sejenak memberi ruang untuk orang yang menelefonnya berbicara.

"Aku ada dekat restoran ni, tunggu Chan. Ha? Nak datang sini? Boleh! Lagipun aku sorang je ni," beritahu Minseok. Selepas berbual beberapa minit, panggilan ditamatkan.

Loceng yang berbunyi sedikit sebanyak memeranjatkan Minseok. Seorang lelaki berpakaian serba hitam berdiri di muka pintu restoran.

"Maaf... Restoran dah tutup." Minseok bersuara namun gerangan itu tidak berkata apa-apa dan tidak berganjak di tempatnya.

Minseok mengerut dahi melihat reaksi jejaka itu. Ada masalah pendengaran kah? Kemudian dia memberanikan diri untuk menghampiri lelaki tadi. Mana tahu, dia perlukan bantuan.

"Minta maaf..," ujarnya. Mendengarkan itu, Minseok mematikan langkahnya. Perlahan-lahan dia mengundur ke belakang.

"Siapa kau? Apa yang kau nak buat sekarang ni??" Soal Minseok manakala tangannya sudah mencapai sebilah pisau.

Lelaki misteri itu tersenyum senget. Tangan kanannya sudah menyeluk saku baju lalu dia mengeluarkan senjata yang selalu dibawa setiap kali pembunuhan akan berlaku.

"Minta maaf!" Jeritnya lalu berlari laju ke arah Minseok. Tidak sempat mengelak, mereka berdua rebah ke lantai. Pisau yang dipegang Minseok tadi sudah tercampak ke tepi. Memandangkan pembunuh berada di atas badannya, agak sukar untuk Minseok bergerak.

Playar muncung tirus diangkat tinggi lalu dihalakan tepat ke arah wajah Minseok. Tukang masak itu bernasib baik apabila sempat menahan tangan pembunuh dari mencederakannya. Disebabkan tiada senjata, Minseok cuba menumbuk namun pembunuh itu dapat mengelak dan dia pula yang menyerang wajah Minseok.

Satu tumbukan tepat mengenai bahagian pipi. Minseok mula mengerang kesakitan. Badan pembunuh cuba ditolak tetapi tidak berhasil.

Hoodie yang dipakai pembunuh ditarik ke belakang hingga menampakkan wajah pembunuh. Minseok tercengang sebaik saja mukanya terdedah kerana pernah dilihat gerangan itu sebelum ini.

"Kau-" Tidak sempat bersuara, pembunuh menikam perutnya menggunakan pisau. Darah mula membasahi baju putihnya. Kesakitan itu membuatkan Minseok tidak mampu membuka mulut selain mengerang kesakitan.

Tidak cukup dengan menikam perut tukang masak itu, pembunuh mengheret pula mangsa menuju ke dapur. Minseok yang sudah lemah akibat kehilangan banyak darah, tidak dapat melakukan apa-apa. Tiba di dapur, pembunuh menyandarkan badan Minseok ke dinding. Sebuah periuk diambil lalu dia mengisi air sebelum diletakkan di atas dapur gas.

Sementara menunggu, pembunuh memandang ke arah Minseok sambil tersenyum puas. Setiap perbuatan akan dibalas semula, tidak kira sengaja atau bukan disengajakan.

"Ke- kenapa.. ka- kau buat ma- macam ni?" Soal Minseok dalam keadaan lemah. Tangannya pula menekan di bahagian luka bagi mengelakkan lebih banyak darah keluar.

Pembunuh itu mencangkung di hadapan Minseok lalu mencengkam wajahnya dengan kuat. "Apa yang kau buat akan dibalas semula. Itu pun tak tahu ke?"

"Ap- apa ya- yang aku dah b-buat?"

"Kau buat apa kau tanya?? Siang tadi tu apa?? Dan apa yang paling menyakitkan hati aku nak tahu? Kau... Tak... Minta... Maaf!!!" Satu penampar melayang ke bahagian tepi wajah Minseok membuatkannya terteleng ke tepi.

Dengar saja bunyi air menggelegak, pembunuh bangun dari tempatnya. Dapur gas dimatikan kemudian air panas dituang ke dalam satu bekas. Penutup bekas tadi diambil namun tidak ditutup rapat. Pembunuh mencari plastik lalu satu laci kecil ditarik. Dia tersenyum lebar apabila barang dicarinya ada di situ. Sebelum meletakkan bekas ke dalam plastik, dia sempat membocorkan bahagian bawah plastik itu.

"Okey, hidangan siap!" Ujarnya seraya meletakkan plastik yang berisi makanan di hadapan Minseok. Senyuman serta merta menghilang apabila Minseok hanya melihat bungkusan tadi.

"Tunggu apa lagi? Ambil lah plastik tu!" Arahnya dalam keadaan berang. Minseok terpaksa mengikut sebelum dirinya diperlakukan lebih teruk. Sejurus dia memegang plastik, air panas di dalam bekas itu tumpah lalu keluar melalui lubang kecil yang sengaja ditebuk pembunuh. Akibatnya, air mengalir hingga ke pangkal lengan yang mana membuatkan Minseok menjerit kesakitan lantas melepaskan bungkusan itu.

Pembunuh gelak sepuas hatinya melihat kesengsaraan lelaki di hadapannya. Selepas memastikan perbuatan Minseok dibalas secara adil, playar pula dikeluarkan dari poket lalu dia mengepit hujung kuku Minseok sebelum menarik sedikit demi sedikit. Jeritan lelaki itu diiringi dengan tawanya. Setiap kali dia mencabut kuku mangsa, setiap kali itu jugalah dia berasa puas hati.

"M-maaf..." Minseok merintih tidak berdaya. Luka tikaman ditambah lagi dengan kukunya yang dicabut, membuatnya tersangat lemah hingga tidak mampu lagi untuk dia mengeluarkan suara.

"Huh, semua orang yang aku bunuh... Dah nak mampus baru reti nak minta maaf. Awal-awal aku suruh, tercengang macam orang bodoh," ujarnya dengan nada menyampah.

Pandangan Minseok mula kabur. Cahaya lampu juga sudah samar-samar kelihatan. Kepala yang menyandar pada dinding, jatuh ke tepi sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Pembunuh menepuk-nepuk pipi Minseok namun tiada sebarang tindak balas. Dua jari diletakkan pada leher Minseok dan tahulah dia yang lelaki itu sudah tidak bernyawa lagi. Matanya beralih pula ke arah baju Minseok yang dipenuhi darah sebelum mendecit perlahan.

"Aku tikam dalam sangat ke? Tak syok betul mati macam tu je," rungutnya lalu menyimpan semula playar ke dalam saku baju. Kemudian, dia bangun sambil memandang Minseok yang sudah mati sebelum melangkah pergi.

Motosikal yang dibawa Chan masuk ke tempat parkir restoran. Topi keledar dicabut lalu diletakkan di atas motor. Beg makanan yang berada di belakang, diambil untuk dibawa masuk ke dalam restoran. Lampu dapur yang masih menyala membuatkan Chan tersenyum. Tidak sangka Minseok sanggup menunggunya pulang. Pintu restoran ditolak ke dalam sebelum langkahnya terhenti.

Setahunya, pekerja akan mengemas terlebih dahulu sebelum balik ke rumah namun apa yang dilihatnya sekarang, beberapa buah meja tidak tersusun rapi. Jantungnya mula berdegup kencang tetapi dia cuba berfikiran positif.

"Minseok?" Panggil Chan. Beg makanan diletakkan ke atas meja berhampiran. Kaki diteruskan melangkah menuju ke arah dapur. Dalam perjalanan ke situ, kesan darah membuatkan Chan terkaku. Apakah yang berlaku ketika dia tiada di situ tadi?

"Mi- Minseok? Kau jangan main-main dengan aku... Kau tahu kan, aku lemah dalam benda macam ni." Chan masih berbaik sangka.

Tangannya terketar-ketar untuk memulas tombol pintu dapur. Sungguh, dia tidak pernah berasa takut sebegitu sekali dalam hidupnya.
Pintu ditolak dan ketika itu jugalah tubuh Minseok terjelepuk ke atas lantai, tepat di depan kaki Chan. Melihat keadaan kawannya yang berlumuran darah, Chan terus terduduk lalu menjauhkan dirinya dari pintu dapur. Airmata mula mengalir manakala mulutnya terkunci rapat.

Saku seluar diraba sebelum mengeluarkan telefon. Dalam keadaan terketar-ketar, Chan mendail nombor kecemasan.

"Hel- hello... Ada orang tercedera. Tol- tolong hantar bantuan segera," ujar Chan dalam ketakutan. Selepas memberitahu alamat, Chan termenung sendiri. Wajah Minseok dipandang sayu. Dia memeluk lututnya manakala mata tidak beralih dari memandang kawannya.

"Minseok.. jangan mati. Aku tak nak kehilangan kau..." Chan merayu perlahan. Baru siang tadi mereka berdua meluangkan masa bersama, tidak mungkin Minseok sudah pergi meninggalkannya pada hari yang sama.

Chan mengalihkan perhatian ke laluan pintu belakang restoran  apabila merasakan ada seseorang berada di situ. Sangkaan dia betul namun gerangan tadi telah pun melarikan diri sebaik saja bertembung mata dengannya. Tidak mahu mengalah, Chan mengejar orang tadi tetapi tidak berjaya kerana lelaki yang dikejar sudah pun menghilangkan diri. Bunyi hon kereta membuatkan dia menoleh. Chan sempat mengelak dari dilanggar kereta namun dia terjatuh ke tepi hingga kepalanya terhentak di jalan sebelum pengsan.

●○●○●○●○

Tiba di restoran, Younghyun terus menuju ke dapur. Keadaan di situ diperhatikan hinggalah dia terpandang ke arah bekas makanan yang dibungkus plastik. Sarung tangan dipakai lalu Younghyun membuka plastik untuk melihat isi di dalam. Alisnya bertaut sebaik saja mengetahui kandungan dalam bekas makanan itu ialah air kosong.

"Younghyun, kau dapat teka ke apa yang berlaku sekarang ni?" Soal Yunho lalu menggaru hujung keningnya. Apa pula yang pembunuh itu mahu balas dendam dengan air kosong yang dituang ke dalam bekas bukannya, botol minuman.

"Entahlah... Mungkin kita patut tanya Chan. Mana tahu dia syak apa-apa memandangkan mangsa ialah kawan dia sekaligus merangkap tukang masak di sini. Chan cedera teruk ke?" Younghyun bertanya minta kepastian. Haraplah jejaka itu tidak mengalami cedera parah.

"Chan bernasib baik. Petugas Cho beritahu yang dia cuma cedera ringan dan sudah sedar sekarang." Younghyun menarik nafas lega mendengarkan itu.

Jam tangan dilihat lalu Younghyun bangun berdiri. "Sekarang ni kita ke hospital. Urusan lain, kita selesaikan selepas Chan beri keterangan."

Yunho mengangguk faham lalu mereka berdua meninggalkan restoran, membiarkan pasukan forensik melakukan kerja mereka.

●○●○●○●○

Chan yang bersama Yongbok ketika itu, menoleh apabila pintu wad dibuka. Younghyun dan Yunho melangkah masuk lalu segera menghampiri Chan. Mata Yunho sempat melirik ke arah Yongbok yang meninggalkan bilik sejurus mereka sampai.

"Chan, macam mana keadaan awak?" Tanya Younghyun sebaik saja melihat kepala jejaka itu berbalut.

"Saya tak apa-apa, doktor cakap saya pengsan sebab terkejut... Tak ada kesan dalaman," jelas Chan.

Younghyun mengangguk perlahan mendengarkan itu sebelum memandang Chan semula, begitu juga dengan Yunho. "Saya dengar yang awak tercedera sebab kejar pembunuh tu. Awak nampak muka dia?"

Chan serta merta mengalihkan pandangan apabila mendengar soalan itu. Dia meramas jarinya seraya mengemam mulut, seakan-akan berat untuk dia mengeluarkan suara. Melihat reaksi Chan, Yunho memujuk.

"Aku tahu yang kau masih trauma tapi, ini semua untuk Minseok juga. Kalau kau beritahu kami perkara sebenar, kematian Minseok dapat dibela secara adil..." Yunho diam sejenak sebelum menyambung katanya.

"... Walaupun pembunuh tu kenalan rapat kau. Jadi, beritahu kita orang siapa yang kau kejar sampai kau tercedera."

Chan mengelap air mata yang mula bergenang di tubir mata. Nafas ditarik dalam sebelum dia bersuara.

"Orang tu... Lee Hyunjae."

◉𝙱𝚎𝚛𝚜𝚊𝚖𝚋𝚞𝚗𝚐◉

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro