Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

◦𝟐𝟒◦

Yongbok dapat menangkap bunyi derapan kaki datang dari arah belakang lantas memusingkan badannya. Ssap! Darah mula mengalir lalu menitik ke atas lantai sebelum Chan memandang wajah Yongbok yang sudah kemerahan menahan sakit. Serpihan kaca yang dijadikan senjata itu serta merta dilepaskan dari pegangan tangan.

"Aku tak akan biarkan kau bunuh aku selagi tak balas dendam atas kematian abang aku. Ingat tu, Chan..," ujar Yongbok terketar-ketar. Lengan bajunya terkoyak akibat terkena torehan serpihan kaca tadi. Nasib baik dia sempat mengelak dari menjadi mangsa serangan mengejut Chan.

"Yongbok... Aku-" kata-kata Chan tergantung kerana jejaka itu terlebih dulu meninggalkan rumah dalam tangan yang tercedera teruk. Pintu rumah yang dihempas kuat membuatkan Chan tersentak.



Orang yang lalu lalang memberi pandangan aneh ke arah Yongbok. Mana tidaknya, dengan keadaan yang nampak serabai tambahan pula kesan darah yang ada pada bajunya namun semua itu tidak dihiraukan Yongbok.

Fikirannya entah melayang ke mana manakala badannya hanya mengikut pergerakan kaki yang melangkah. Setelah beberapa minit berjalan tanpa arah, Yongbok menuju ke perhentian bas. Sebaik saja melabuhkan punggung, barulah tangannya berasa pedih.

"Yongbok, buat apa dekat sini?" Suara yang bertanya membuatkan Yongbok mendongak untuk melihat gerangan yang menegurnya. Jelingan kecil diberikan apabila mendapati orang itu ialah Hyera.

Hyera mengemam bibirnya kerana jejaka itu tidak menjawab soalannya. Pandangan mata jatuh pada lengan Yongbok yang tercedera. Menurut pemerhatiannya, luka itu agak dalam dan perlukan rawatan segera. Tanpa berkata apa-apa, Hyera duduk di sebelah Yongbok untuk melihat lengannya secara lebih dekat.

"Teruk luka ni, kenapa awak biarkan je?" Soalnya. Terkejut dengan tindakan Hyera yang menarik tangannya, Yongbok menolak gadis itu hingga terjatuh dari kerusi lantas bangun dari tempatnya. Melihat gadis itu terjelepuk di atas lantai akibat terjatuh tadi, Yongbok mula rasa serba salah lalu membantu Hyera untuk berdiri.

"Saya minta maaf. Jangan beritahu Chan yang kita terserempak," pesan Yongbok sebelum meninggalkan perhentian bas.

●○●○●○●○

Chan menggigit kukunya sambil memikirkan Yongbok. Dia menampar wajahnya sendiri setiap kali teringatkan tindakannya yang hampir membunuh Yongbok. Oleh kerana sahabatnya tidak menjawab panggilannya, menambahkan lagi perasaan cemasnya. Loceng rumah yang berbunyi membuatkan Chan bergegas untuk membuka pintu.

"Yong- eh, Moon... Kenapa kau tiba-tiba datang rumah aku?" Chan segera mengawal riak wajahnya lalu tersenyum kekok dan dalam pada masa yang sama, dia hairan kenapa kawan kerjanya singgah ke rumahnya.

"Sorry, Chan sebab tak beritahu nak datang. Aku baru balik dari melawat Hyunjae tadi... On the way balik dari hospital, saja singgah sebab lama tak berjumpa dengan kau lepas apa yang terjadi dekat restoran. Aku mengganggu ke?" Moon menjelaskan niat sebenarnya datang ke situ seraya bertanya.

"Haah, aku pun baru balik dari hospital tadi. Ingat nak rehat sekejap sebab tak cukup tidur. Kalau kita berbual lain kali boleh? Kau tetapkan satu tempat dan kita berjumpa dekat sana. Boleh lah kita berborak lama sikit. Kan?" Chan mencari alasan. Menerima tetamu dengan rumah dalam keadaan berselerak bukanlah keputusan yang bijak.

"Eh mestilah. Tak apa, nanti aku belanja kau makan sekali. Kalau macam tu, aku balik dulu. Sorry ganggu kau nak rehat. Selamat malam," ujar Moon lalu tersenyum kecil.

"Terima kasih, Moon sebab memahami. Jalan elok-elok," pesan Chan lalu menutup pintu rumahnya sebaik saja Moon masuk ke dalam lif.



Yongbok memandang batu nisan yang terukir nama Lee Minhyuk padanya. Sudah lama dia tidak datang melawat untuk berbual dengan abangnya. Kali terakhir dia ke situ ialah 2 tahun lepas. Tangan kecilnya mengusap batu itu lalu mengukirkan senyuman.

"Yongbok minta maaf sebab tak datang melawat. Mesti Abang tunggu Yongbok, kan?" Ungkapnya dengan nada sebak. Deruan angin perlahan pada malam itu seolah-olah hadir untuk memujuk hati Yongbok.

"Yongbok... Rindukan Abang sangat-sangat dan sekali pun Yongbok tak pernah lupakan Abang. Mesti Abang tertanya-tanya tentang Chan sekarang, kan?" luahnya. Rumput yang menghijau, disentuh perlahan. Lengannya yang berdarah dipandang sekilas.

"Dia hampir bunuh Yongbok. Dalam ramai-ramai orang, kenapa Chan perlu jadi pembunuh? Yongbok dah sayangkan dia macam abang kandung sendiri. Sejak sekolah lagi, Chan bantu Yongbok hadapi semuanya dan berkorban demi Yongbok tapi susah untuk Yongbok terima yang semuanya hanya lakonan dia semata-mata. Yongbok bodoh ke sebab percayakan dia?" Ceritanya dalam keadaan tersedu sedan. Setelah lama memendam perasaannya sendirian, akhirnya dia dapat meluahkan segalanya meskipun Minhyuk tidak mampu memujuknya.

"Kalau accident tu tak terjadi, mesti Chan akan jadi lelaki yang baik dan kita orang akan jalani kehidupan yang lebih indah," tambah Yongbok lagi. Jika hendak mempersoalkan segalanya sekarang, sudah tidak berguna lagi kerana waktu tidak akan berputar kembali. Masa berlalu begitu pantas hingga dia tidak sedar yang waktu sudah pun hampir pukul 11 malam.

"Okeylah... Yongbok balik dulu dan akan datang semula selepas dapatkan keadilan untuk Abang," ujarnya. Belakang baju ditepuk bagi membuang rumput yang melekat pada baju.

●○●○●○●○

Sepanjang jalan, Yongbok meringis kesakitan kerana luka yang belum dirawat. Darah juga masih mengalir tetapi tidaklah seteruk awal tadi. Malas hendak pulang ke rumah, Yongbok menukar haluannya ke hospital. Alang-alang mendapatkan rawatan, boleh dia menemani Hyunjae malam itu.

Hyunjae yang masih berjaga, terkejut menerima kehadiran Yongbok. Dia melihat jam di dinding dan sudah menunjukkan pukul 11.45 malam yang mana waktu melawat juga sudah lama tamat. Tangan Yongbok yang berbalut dilihat sebelum matanya memandang wajah jejaka yang kelihatan agak sembap.

"Aku hampir jadi mangsa Chan seterusnya. Boleh aku bermalam dekat sini?" Beritahu Yongbok sebelum jejaka itu mengajukan soalan. Mendengarkan itu, Hyunjae mengangguk faham.

"Jangan risau, aku tak akan apa-apakan kau," ujar Yongbok. Telefon dikeluarkan dari poket seluar dan ada lebih 5 panggilan yang tidak berjawab dari Chan. Dia mendongak sedikit apabila Hyunjae menepuk bahunya.

Kenapa Chan cuba bunuh kau? Luka tangan kau, teruk ke?

Yongbok mengukirkan senyuman sebelum bersuara. "Psikopat tak perlukan sebab untuk membunuh. Pasal tangan aku pula, tak teruk mana... 5 jahitan sebab luka agak dalam," beritahunya.

"Aku doakan kau cepat sembuh supaya kau boleh beri keterangan tentang apa yang Chan dah buat pada kau malam tu. Aku harap kau terus kuatkan diri sebab nak hadap pembunuh gila, bukan perkara yang mudah. Itulah apa yang aku buat selama 6 tahun duduk serumah dengan Chan. Kau tak perlu tunjukkan ketakutan kau pada dia," nasihat Yongbok manakala Hyunjae pula sudah menunduk.

"Hmm, aku tidur dulu. Mengantuk. Apa-apa yang kau perlukan, kejutlah aku," kata Yongbok lalu menyandarkan badannya pada kerusi sebelum melelapkan mata tanpa mempedulikan Hyunjae yang memandang ke arahnya.

●○●○●○●○

Chan mengerutkan wajah apabila cahaya matahari mula menerangi ruang tamu. Dia menggosok matanya lalu menggeliat sebelum bangun dari pembaringannya.

Telefon yang terletak di atas meja, terus dicapai. Tiada panggilan dari Yongbok melainkan satu mesej. Jari terus mengetik aplikasi KakaoTalk untuk membaca pesanan yang dihantar.

Yongbok

Aku tak akan balik buat masa ni

Jangan call aku lagi

Chan menggaru kepalanya yang tidak gatal. Untuk memenuhi kehendak Yongbok, terpaksalah dia mempercepatkan rancangan yang sudah diatur. Tarikh pada skrin dilihat dan barulah dia teringat yang hari itu merupakan hari makan malam bersama keluarga Hyera.

"Kalau itu yang kau nak, aku akan buat malam ni juga," getusnya dalam hati.


Hyera tersenyum lebar di depan pagar rumahnya sebaik melihat Chan yang sudah tiba di perkarangan rumahnya. Dia mengajak teman lelakinya keluar petang itu kerana hendak membeli kek sebelum pulang untuk makan malam bersama.

"Amboi, belum sampai dah tersenyum sampai ke telinga," sakat Encik Kang yang ketika itu sedang membasuh keretanya di halaman depan rumah.

"Ish, Papa ni... Janganlah tegur macam tu. Malu Hyera," marahnya namun tidak mampu menghilangkan senyumannya tambahan pula Chan sudah berhenti di pagar rumahnya.

"Selamat petang, Pakcik... Cuti ke hari ni?" Ramah Chan apabila ternampak Encik Kang yang menyembur air paip ke arah kereta yang sudah disabun.

"Selamat petang... Haah. Birthday anak teruna, saja ambik cuti... Lagipun pakcik yang masakkan makan malam. Chan join sekali, ya?" Ajak Encik Kang penuh mesra.

"Eh, mesti. Okeylah pakcik.. kami pergi dulu." Chan mengakhiri perbualan sebelum memakaikan topi keledar di kepala Hyera.

"Ha ya lah... Hati-hati bawa motor tu. Jangan wheely pula," seloroh Encik Kang yang mengundang tawa Chan. Hon dibunyikan dan pasangan itu mula meninggalkan perkarangan rumah.

●○●○●○●○

Younghyun menyusun fail kes Hangyeol ke dalam kotak yang dikhususkan untuk kes pembunuhan bersiri yang ditanganinya. Sepanjang dua bulan bertugas, hampir setiap minggu kertas kes akan bertambah yang mana membuatkannya mengeluh perlahan.

"Macam mana dengan majlis pengebumian Hangyeol?" Soal Younghyun sebaik saja Yunho menampakkan bayang. Selalunya mereka berdua akan memberi penghormatan terakhir kepada keluarga mangsa bersama-sama tetapi hari itu dia agak sibuk, terpaksalah Yunho pergi seorang diri.

Yunho melonggarkan tali leher yang dipakainya sebelum melepaskan penat di sofa. Minuman di atas meja disambar tanpa bertanya terlebih dulu. "Semuanya berjalan lancar. Dengar cerita, Hangyeol anak tunggal dan tak ada ayah. Dia tinggal dengan mak dia je. Tak dapat bayangkan perasaan mak dia, kan?"

Younghyun termenung sejenak mendengarkan khabar itu. Teringat pula hari di mana dia bercakap dengan ibu Hangyeol di tempat kejadian. Wajah wanita itu jelas kelihatan berharap yang anak dia masih hidup.

"Kau dah soal siasat kawan-kawan dia?" Tanya Younghyun memandangkan dia serahkan hal itu kepada kawannya.

"Dah dan diorang cakap Hangyeol tak ada masalah dengan sesiapa. Sebelum dibunuh, rantai basikal dia tercabut jadi diorang buat keputusan untuk balik rumah terlebih dulu memandangkan rumah Hangyeol tak jauh dari taman tu. Lagipun dia dah biasa pulang seorang diri. Semua kenyataan yang diberitahu kawan-kawan Hangyeol, sedikit pun tak bercanggah. Mereka semua ada di majlis pengebumian tadi." beritahu Yunho.

"Seperti yang diharapkan. Aku tak dapat nak bayangkan kalau remaja sebaya diorang, membunuh dengan kejam. Sekarang kita perlu fokus pada kerja seterusnya supaya tak ada pembunuhan yang berlaku. Aku tak akan serahkan kes ni pada orang lain," ujar Younghyun dengan bersemangat manakala Yunho mengangguk setuju. Tidak semudah itu untuk pasukan lain akan mengambil alih tugas mereka selepas bersusah payah mengerah tenaga.

"Hari ni aku kena balik awal sikit, Hyera tak habis-habis paksa aku suruh balik awal. Siap ugut aku lagi minah tu. Kalau ada urgent, call aku terus... Jangan mengada-ngada nak handle sendiri," pesan Younghyun sementara Yunho tergelak kecil.

"Hmm, ya lah," jawabnya sepatah.

●○●○●○●○

Chan memimpin tangan Hyera sambil mencari bakeri yang ada menjual kek yang ingin dibeli teman wanitanya. Rasanya semua bakeri sama saja tetapi memandangkan Hyera seorang perempuan, mungkin citarasa berbeza.

"Papa awak kelakar juga, kan?" Chan membuka topik perbualan. Kekok pula jika hanya mendiamkan diri.

"Memanglah Papa tu. Kadang-kadang saya sendiri tak faham dengan lawak Papa. Ketawa je lah sebab nak jaga hati. Hahaha," ujar gadis itu lalu tertawa sendiri.

"Awak sama dengan Papa lah maksudnya," kata Chan lalu Hyera mendongak memandang teman lelakinya dengan kehairanan. "Apa yang sama?"

"Suka buat lawak hambar lepastu ketawa sendiri," beritahu Chan. Geram dengan apa yang dikatakan jejaka itu, Hyera memukul lengan teman lelakinya. Suka betul menyakitkan hatinya.

"Alololo, saja je. Bergurau pun tak boleh. Saya rasa kita dah lalu semua kedai, yang mana satu awak nak pergi sebenarnya, Hyera? Limited sangat kek Abang Hyun sampai sekarang tak jumpa lagi," tanya Chan sambil memandang sekeliling.

"Dekat hujung sana, exercise lah sikit," balas Hyera seraya menjeling kecil.

Selesai membeli kek, pasangan itu berjalan menuju ke satu tempat memandangkan waktu masih awal. Tidak mahu kek yang dibeli cair, Hyera meminta penjual untuk menyimpan kek di situ terlebih dulu. Chan pula terpaksa menebal muka melayan kerenah Hyera yang selamba itu.

"Nak aiskrim tu!" Jari telunjuk dihalakan ke arah kedai kecil yang menjual pencuci mulut. Tidak membantah, Chan hanya mengikut saja kehendak gadis itu.

Chan memberi teman wanitanya pandangan kosong bila melihat Hyera sedang menikmati aiskrim. Dia membuka mulut setiap kali gadis itu menyuakan aiskrim kepadanya.

"Teringat pula first time kita jumpa bila makan aiskrim ni," ujar Hyera.

"Ouh, hahahaha. Waktu awak kotorkan baju saya dengan aiskrim tu? Sebenarnya masa tu, saya marah gila sebab baju kesayangan saya kotor tapi bila tengok awak cantik, terus tak jadi nak marah," beritahu Chan yang terselit dengan penipuan. Kejadian itu sememangnya sudah dirancang terlebih dulu untuk mendekati Hyera, anak pemandu yang bertangungjawab dalam kemalangan.

"Ouh, kalau hodoh... Awak marahlah?" Hyera membulatkan matanya seraya mencebik.

"Tak juga. Lagi satu, sebab awak minta maaf pada saya. Siap offer ganti baju baru lagi," tambah Chan yang mana membuatkan Hyera tersipu malu.

"Okeylah, saya jujur. Sebenarnya saya sengaja je offer beli baju baru. Saya fikir dengan cara tu, bolehlah jumpa awak lagi dan tak sangka cara saya berkesan. Hehe," ungkap Hyera lalu mengalihkan pandangannya ke arah lain sewaktu mengatakan hal itu.

"Pandai, ya... Ni mesti banyak tengok drama," usik Chan seraya mencuit hidung gadis itu.

"Mana ada. Memang pandai sejak lahir lagi," balas Hyera. Chan mencebik mendengar gadis itu memuji dirinya sendiri.

Tepat pukul 6.30 petang, mereka berdua meninggalkan tempat itu sebelum pergi ke bakeri tadi semula untuk mengambil kek.

Hyera mula kehairanan apabila Chan melalui kawasan yang berbeza dari jalan yang selalu digunakan untuk ke rumahnya. Dia melihat wajah Chan melalui cermin motosikal dan kelihatan jejaka itu mempamerkan riak bersahaja.

"Sayang, kita nak ke mana ni?" Tanya Hyera dengan nada suara yang sedikit ditinggikan.

"Adalah... Rahsia," jawab Chan sebelum tersenyum sendiri.

Sebaik tiba di destinasi, Hyera memandang kawasan sekeliling yang mana dia sendiri pernah ke situ. Chan membantu teman wanitanya menanggalkan topi keledar.

"Kenapa awak bawa saya ke sini? Takutlah," beritahu Hyera. Bulu romanya serta merta berdiri tegak sebaik saja Chan memarkir motosikalnya di hadapan salun rambut, tempat Hyera bekerja dulu. Tidak mahu jalan berasingan, Hyera memeluk lengan jejaka itu.

Chan membuat muka menyampah lalu menepis kasar tangan teman wanitanya. Hyera tercengang apabila diperlakukan begitu. Sepanjang perkenalan mereka, tidak pernah sekali pun Chan berkata kasar padanya apatah lagi menyakiti dirinya.

"A-awak, kenapa ni?" Tanya Hyera. Jantungnya mula berdegup kencang melihat mata Chan yang memandang tajam ke arahnya ketika itu.

"Rimas tau tak? Tempat kerja sendiri pun nak takut," marah Chan. Hyera terdiam di tempatnya. Bibirnya terkatup rapat kerana terkejut dengan perubahan sikap teman lelakinya. Ke mana pergi sifat penyayang yang selalu ditunjukkan Chan padanya?

"Kenapa senyap? Ouh, mesti kau pelik kan tapi ni lah diri aku yang sebenar, Hyera," beritahu Chan manakala tangannya menyeluk saku baju yang dipakai dan anak mata Hyera memandang tempat yang sama.

Hyera mula rasa tidak sedap hati dan akhirnya dia membuat keputusan untuk melarikan diri namun Chan lebih tangkas dengan mengejarnya. Baru beberapa langkah, gadis itu terus rebah tidak sedarkan diri apabila Chan menyerangnya dari arah belakang.

●○●○●○●○

Yongbok kembali semula ke wad selepas membeli makanan untuk dimakan. Dia hanya membeli untuk dirinya kerana doktor ada berpesan supaya tidak memberikan Hyunjae hidangan yang sebarangan. Lagipun, pihak hospital sudah menyediakan makanan untuk pesakit.

"Aku beli buah sikit untuk kau... Lepas makan malam nanti aku potongkan untuk kau," kata Yongbok sebelum meletakkan bungkusan plastik ke atas meja.

Hyunjae sekadar mengangguk sementara matanya ralit memandang tangan Yongbok yang menyusun barang-barangnya. Bibir diketap perlahan seraya bermain dengan jarinya sendiri. Entah dia patut beritahu atau tidak kepada Yongbok tentang perkembangan dirinya. Perasaan ragu-ragu masih ada namun selepas layanan baik yang diberikan, membuatnya percayakan Yongbok. Nafas ditarik dalam sebelum menepuk perlahan lengan jejaka itu.

"Yongbok..," akhirnya Hyunjae bersuara.

◉𝙱𝚎𝚛𝚜𝚊𝚖𝚋𝚞𝚗𝚐◉

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro