Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

◦𝟐𝟎◦

Younghyun hanya mendiamkan diri sejak dari tadi lagi. Enjin kereta yang tidak dihidupkan membuatkan Yunho mengibas bajunya kerana kepanasan. Hampir 5 minit kawannya begitu. Kalau betul pun hendak berfikir sekurang-kurangnya hidupkanlah enjin agar penghawa dingin dapat berfungsi.

"Woi, Hyun. Kau kenapa? Aku panggil kau tak menyahut pun. Dah ke alam lain ke apa?" Sindir Yunho lalu membuang pandangan ke luar.

Younghyun mendecit perlahan lalu menyandarkan kepalanya pada kerusi yang mana membuatkan Yunho menarik nafas dalam. "Kita tukar tempat sekarang, biar aku drive."

"Seriuslah kau tak hairan kenapa Yongbok datang ke kedai tu, bukannya Chan?" Younghyun akhirnya bersuara.

"Aku hairan tapi, sekurang-kurangnya bincanglah di pejabat. Barulah aku boleh berfikir dengan baik. Kalau dah kepanasan macam ni, kepala pun jammed." Yunho menggulingkan bola matanya lalu keluar dari kereta.

Tangan Younghyun ditarik menyuruh lelaki itu pergi ke tempat penumpang. Enjin dihidupkan dan suhu yang dingin sedikit menyamankan hatinya. Selepas memakai tali pinggang keledar, pedal minyak ditekan perlahan lalu kereta mula meninggalkan perkarangan kedai itu.



"Kenapa Yongbok?" Soal Younghyun yang masih lagi tidak puas hati. Kedua tangannya meraup rambut manakala otak tidak memberi kerjasama untuk berfikir ketika itu. Dia telah memberikan kepercayaan sepenuhnya pada Yongbok namun perkara ini pula yang terjadi.

"Pada pandangan aku, memang Yongbok yang beli alat pengesan tu tapi kita tak ada bukti yang dia bunuh Ahn Sera. Lagipun cuba kau fikir logik, kenapa dia nak buat macam tu sedangkan Hyera pun dia tak ambil kisah apatah lagi Sera yang langsung tak ada kaitan dengan dia," ujar Yunho yang mana membuatkan Younghyun melabuhkan punggung di kerusi.

"Psikopat tak perlukan sebab untuk bunuh orang, Yunho," bantahnya.

"Hyun, Chan duduk serumah dengan Yongbok jadi, tak mustahil pun kalau Chan curi alat tu dari dia. Kau rasa macam mana?" Yunho membuat andaian.

"Habis tu, kenapa pula Yongbok nak beli alat pengesan. Dia nak stalk siapa?" Soal Younghyun tidak mahu mengalah.

"Ya lah.. senang cerita, kita call Yongbok dan minta penjelasan daripada dia. Okey?" Cadang Yunho. Tidak bersuara, Younghyun mengangguk setuju. Hanya itu saja cara untuk mengetahui kebenarannya.

●○●○●○●○

Chan memerhatikan Yongbok yang ketika itu sedang ralit menonton filem di ruang tamu. Kelakuan sahabatnya tidak berubah dan sama saja seperti sebelum ini tetapi kenapa jejaka itu menyelongkar barangnya tanpa pengetahuannya.

Kaki mengorak langkah menuju ke arah Yongbok. Dia tidak mahu terus berteka teki dengan perasaannya sendiri jadi lebih baik jika dia bertanya.

Jejaka berambut panjang paras telinga itu berpaling sekilas apabila Chan berdiri di sebelah sofa yang menjadi tempatnya menyelesakan diri. "Eh, tak pergi lagi?"

Soalan Yongbok dibiarkan tidak berjawab lalu dia mengambil tempat di sofa yang sama. Beg galasnya diletakkan ke atas riba terlebih dulu. "Kenapa kau sentuh barang aku?  Tak kan lah cari pengetip kuku dalam almari baju?"

Tatapan mata redup milik Chan membuatkan Yongbok sedikit gerun. Bagaimana dia boleh terlupa personaliti Chan yang mementingkan kesempurnaan dan akan menyedari jika barangnya terusik sedikit pun. Pernafasan cuba dikawal sebelum dia bersuara.

"Ha.. aku lupa nak beritahu kau. Aku buka almari sebab nak simpan baju kau yang aku tolong lipat. Pagi tadi aku angkat baju kau yang dah kering sebab nak jemur baju. Aku minta maaf sebab buka almari kau tanpa izin. Patutnya aku letak je atas katil," jelas Yongbok walaupun itu bohong semata-mata.

Chan serta merta tersenyum seraya mengusutkan rambut Yongbok. "It's okay... Terima kasih sebab tolong lipatkan baju aku. Tak apalah kalau macam tu, aku pergi dulu."

"Satu lagi, aku lupa nak beritahu yang Hyunjae dah sedar hari ni, kau tak nak datang melawat?" Tanya Chan memandangkan Yongbok juga tidak melakukan apa-apa di rumah.

"Ouh yeke? Nanti aku pergi tapi bukan hari ni lah sebab nak habiskan movie," ujar Yongbok tanpa menoleh ke arah Chan kerana sibuk menumpukan perhatiannya pada skrin televisyen.

"Sure... See ya." Chan akhirnya meninggalkan rumah. Yongbok memegang dadanya tanda lega. Nasib baik Chan tidak menyedari penipuannya sebentar tadi. Notifikasi aplikasi WhatsApp mengalihkan perhatiannya lalu telefon yang terletak di atas meja, dicapai.

Membaca pesanan yang dihantar Younghyun, jejaka itu lantas bangun dari sofa. Skrin televisyen bertukar gelap apabila butang merah pada alat kawalan jauh ditekan.

Bunyi ketukan pintu membuatkan Younghyun menoleh sekilas sebelum mengizinkan orang di luar masuk ke pejabatnya. Dia dapat mengagak yang itu Yongbok kerana dia ada menghantar pesanan untuk berjumpa  di situ.

Yongbok menjengah seketika lalu melangkah masuk. Sebaik saja pintu ditutup rapat, dia menghampiri Younghyun yang ketika itu sedang melakukan sesuatu di mejanya. Tidak menunggu dirinya dipelawa duduk, dia terlebih dulu melabuhkan punggung di kerusi.

"Aku dah buat apa yang kita rancangkan sebelum ni. Tadi aku curi-curi masuk bilik Chan untuk cari sesuatu yang mungkin akan membantu siasatan tapi malangnya, aku tak jumpa. Lebih-lebih lagi aku hampir tertangkap dengan Chan," lapor Yongbok tanpa mengetahui maksud sebenar Younghyun memanggilnya ke situ.

"Ha I see... Ke sebab kau bersubahat dengan Chan ataupun kau sendiri pembunuh tu?" Soal Younghyun tanpa berkias yang mana membuatkan jejaka di hadapannya terdiam.

"Maknanya kau masih tak percayakan aku? Hahaha... Kelakar betul. Kalau aku pembunuh tu, kenapa tak tangkap je aku? Dah ada depan mata pun. Dasar lembab," kutuk Yongbok kerana tidak puas hati bila dirinya dituduh begitu. Walaupun sudah memberikan maklumat kepada Younghyun bagi memudahkan siasatan, balik-balik dia pula dipersalahkan.

Terasa dirinya dicabar, Younghyun bangun dari tempatnya lalu kolar Yongbok direntap kasar. Kelakuannya membuatkan jejaka itu hilang imbangan badan namun sempat dia menahan Yongbok dari terjatuh.

"Kau cakap apa tadi?? Kau jangan nak cabar kesabaran aku!" Tengking Younghyun hingga urat lehernya kelihatan.

"Aku rasa kau belum cacat lagi jadi, tak perlu untuk aku ulang balik. Semuanya dah jelas depan mata. Kau nak tunggu Hyera jadi mangsa seterusnya, baru nak sedar?" Soal Yongbok dengan nada bersahaja.

Satu tumbukan hinggap di tulang pipi Yongbok membuatkan dia terjatuh ke lantai. Nampaknya sifat terburu-buru memang sudah sebati dalam diri Younghyun memandangkan itu kali kedua dirinya diserang tanpa diberikan sebarang penjelasan. Adakah ini yang dikatakan dejavu? Yongbok tertawa kecil memikirkan itu.

Sakit hati melihat Yongbok yang seakan-akan memperlekehkannya, Younghyun menumbuk di sebelah lagi pipi jejaka itu. Yongbok bernasib baik apabila Yunho datang untuk meleraikan kekusutan yang berlaku. Jika tidak, mungkin dia akan dibelasah Younghyun secukupnya.

Yunho menarik kawannya sebelum membantu Yongbok bangun. Itulah kekurangan Younghyun, tidak dapat menahan dirinya dari melakukan sesuatu perkara.

"Kau kenapa, Hyun?? Kan aku cakap bincang elok-elok, bukan sampai belasah dia. Dekat balai polis pula tu, apa masalah kau?" Soal Yunho dalam keadaan bengang. Kalau pihak atasan dapat tahu tentang ini, peluang untuk menangkap pembunuh akan hilang begitu saja.

Younghyun menjeling mendengarkan itu. Peduli apa dengan pihak atasan? Selagi tiada siapa yang membuat aduan, selagi itulah orang yang pangkatnya lebih tinggi tidak akan mendapat tahu tentang itu.

"Sekarang jelaskan, kenapa sampai bertumbuk bagai ni?" Tanya Yunho bagi kedua belah pihak. Dia juga perlu mendengar keterangan dari mereka berdua kerana Younghyun tidak akan menyerang tanpa sebab. Kalau tekaannya tidak betul, maknanya Younghyun sudah gila dan perlukan rawatan dengan kadar segera.

"Kau nak soal siasat aku pula sekarang ni? Yunho, yang kau bela sangat tu, pembunuh kau sedar tak? Pembunuh," ujar Younghyun seraya jarinya menunjuk ke arah Yongbok.

"Aku rasa dah jelas kot. Silap aku sebab bekerjasama dengan polis lembab macam ni. Konon paling terbaik dekat jabatan polis, satu habuk pun aku tak nampak," kata Yongbok. Sesungguhnya dia malas hendak berdebat kerana tahu perbuatan itu hanya sia-sia.

Yunho menggaru kepalanya yang tidak gatal. Masing-masing tidak mahu menjelaskan perkara yang sebenar malah sibuk berperang mulut. Tidak mahu membuang masa, Yunho bangun lalu mengambil alat pengesan yang diletakkan ke dalam satu beg plastik sebelum ditunjukkan pada Yongbok.

"Ini kau punya kan?" Soal Yunho tanpa berselindung lagi. Yongbok sedikit terkejut melihat benda kecil itu.

"Mana kau jumpa? Puas aku cari dekat rumah," tanya Yongbok ingin tahu. Riak wajah Younghyun terus berubah mendengarkan soalan Yongbok yang mana sama dengan andaian Yunho.

"Untuk pengetahuan kau, alat pengesan ni ditemukan pada beg Ahn Sera, bos kepada Hyera. Jadi, kami nak penjelasan kau mengenai hal ni memandangkan benda ni dibeli pada malam Hyunjae diserang." Yunho berterus terang seraya melirik ke arah Younghyun. Perkara mudah jangan sesekali dirumitkan.

"Aku beli dengan tujuan untuk jejak langkah Chan tapi tak sempat nak buat macam tu, alat pengesan ni hilang dan aku fikir ada tercicir mana-mana. Tak sangka Chan yang curi," terang Yongbok dengan serius.

"See? Aku dah cakap bawa bersabar... Aduh kau ni, Hyun. Aku sanggup taruhkan nyawa aku yang bukan Yongbok pembunuh kita cari," ujar Yunho bagi mendapatkan semula kepercayaan Younghyun pada Yongbok.

Younghyun akhirnya mengalah mendengarkan itu. Kata-kata Yunho sedikit sebanyak menyedarkan dirinya. "Baiklah... Aku minta maaf Yongbok sebab serang kau dan tuduh kau sembarangan."

"Tak apa, ini bukan kali pertama aku difitnah," kata Yongbok bersahaja namun sangat mendalam maksudnya. Yunho yang berada di situ turut terkedu kerana dia juga pernah menuduh Yongbok sebelum ini.

"Ada apa-apa maklumat tentang Chan?" Yunho mengubah topik perbualan. Alang-alang Yongbok berada di situ, lebih baik berbincang tentang rancangan yang dibuat mereka bertiga.

Yongbok bangun dari tempatnya. Kolar baju yang sedikit besar akibat direntap Younghyun, dibetulkan. "Lain kali saja lah, lepas kena tumbuk tadi hilang semua yang aku nak beritahu. Jumpa lagi, ya?" Sindirnya lalu menapak keluar dari pejabat meninggalkan Younghyun dan Yunho tanpa sempat mereka berdua bersuara.

●○●○●○●○

Hyera tersengih sebaik saja bertentang mata dengan Chan. Sedikit buah tangan dibawa untuk diberikan pada Hyunjae memandangkan dia dimaklumkan teman lelakinya yang jejaka itu sudah sedarkan diri.

"Sayang buat apa tu?" Tanya Hyera lantas memeluk badan teman lelakinya dari belakang.

"Berbual dengan Hyunjae." Chan menjawab sepatah. Pandangan Hyera dihalakan ke arah Hyunjae pula.

"Semoga cepat sembuh... Saya ada bawa sedikit buah-buahan untuk awak. Nanti makan tau," ujar Hyera manakala Hyunjae hanya mengangguk seraya tersenyum nipis.

Telefon yang terletak di atas meja dicapai sebelum jarinya laju menaip sesuatu, membuatkan Chan dan Hyera menumpukan perhatian ke arahnya. Tidak lama kemudian, Hyunjae menunjukkan apa yang ditulisnya.

Aku nak rehat... Korang berdua pergilah luangkan masa dulu. Apa-apa aku call kau.

"Ouh, ye ke? Kalau macam tu, kita orang pergi ambil angin sekejap. Kau rehatlah..," ujar Chan, hanya akur dengan kehendak Hyunjae. Tiada apa yang perlu dirisaukan rasanya kerana mereka berdua sudah membuat kesepakatan.

Hyera mengukirkan senyuman namun Hyunjae cepat-cepat memalingkan wajahnya sebelum kepala dibaringkan ke atas bantal. Gadis itu agak hairan tetapi faham dengan keadaan Hyunjae memandangkan jejaka itu seorang yang peramah.


Suara tawa Hyera membuatkan Chan turut tergelak sama. Seperti biasa, gadis itu akan menceritakan apa saja yang terlintas di kepalanya, termasuklah kisah jiran sebelah rumah. Mereka berdua berhenti melangkah sebaik saja ternampak peniaga yang menjual makanan ringan. Melihatkan itu sangatlah menggiurkan apatah lagi ketika perut kosong. Kek ikan dan beberapa lagi makanan lain dibeli untuk mengisi perut.

"Sayang, Aaaaa...," arah Hyera sambil menyuakan kek ikannya ke mulut Chan. Seperti kanak-kanak, jejaka itu membuka mulut seluasnya namun riak wajahnya bertukar apabila Hyera menarik semula lidi makanan sebelum sempat Chan menjamahnya.

"Alololo, merajuk ke? Okey, cepat. Aaaaaa..." Hyera memujuk seraya tertawa kecil. Terhibur hatinya dapat menyakat teman lelakinya.

Selepas beberapa minit berjalan, mata Hyera melilau mencari sesuatu yang mana membuatkan Chan hairan dengan tingkahnya. "Kenapa?"

"Saya nak ke tandas... Awak tahu dekat mana?" Tanya Hyera lantas Chan mengangguk kecil. Tempat itu bukanlah asing baginya. Langkah diteruskan hinggalah mereka tiba di depan tandas yang terletak betul-betul sebelah tempat parkir kereta.

"Kejap, ya. Awak tolong jaga ni." Beg tangan Hyera disangkut pada bahu bidangnya sementara menunggu gadis itu selesai. Tangan disilangkan sambil memerhati keadaan sekeliling.

Seorang kanak-kanak lelaki yang sedang menangis menarik perhatiannya. Riak menyampah jelas kelihatan pada wajah tampannya. Melihat budak itu, teringat pula kanak-kanak perempuan yang dilanggar kereta di hadapan restorannya tidak lama dulu. Kejadian di mana dia penat bekerja, datang pula budak perempuan lalu melanggarnya tanpa meminta maaf. Sebagai balasan, dia merampas lalu membaling anak patung budak itu ke tengah jalan raya yang mana membuatkan kanak-kanak tidak bersalah itu ingin mengambil semula barangnya sebelum dilanggar sebuah kereta.

Dengar saja suara Hyera, dia terus mengukirkan senyuman manis lantas menghulurkan semula beg tangan gadis itu.

"Jom, kita pusing belah sana pula," ajak Hyera sambil memeluk lengan Chan.

Pasangan itu berhenti di satu tempat untuk mengambil gambar bersama. Selepas melihat kualiti gambar, Chan menyuruh Hyera membuat satu gaya untuk memotret gambar gadis itu pula. Sedang bersedia, seorang remaja yang berbasikal hampir saja melanggar Chan namun dia sempat mengelak daripada dirempuh.

"Ish! Tak ada adab betul. Sekurang-kurangnya berhentilah minta maaf... Ini tidak, pergi macam tu je." marah Hyera apabila teman lelakinya hampir tercedera.

"Biasalah... Budak sekarang mana belajar semua tu. Abaikan dia. Dah, cepat posing. Nak ambil gambar ni," arah Chan. Hyera hanya mengangguk setuju lalu melakukan apa yang disuruh jejaka itu.

Klik! Satu gambar diambil dengan baik sekali. Chan menunjukkan hasilnya kepada Hyera yang mana menyebabkan gadis itu tersenyum girang manakala Chan pula tersenyum sendiri apabila wajah remaja yang hampir melanggarnya tadi, turut digambarkan sekali.

●○●○●○●○

Yongbok yang baru saja selesai mandi,  menuju ke pintu apabila loceng rumah ditekan beberapa kali. Dia tahu yang gerangan di luar rumahnya ketika itu ialah Chan memandangkan kawannya ada memberitahu akan pulang pada waktu pagi.

"Aku ada belikan breakfast, jom lah makan sekali," pelawa Chan seraya menunjukkan plastik yang berisi bungkusan makanan. Yongbok hanya menjawab dengan sekadar mengangguk.

Chan meletakkan sarapan yang dibeli ke atas meja. Dua pinggan yang tersusun rapi, diambil untuk digunakan nanti. Hidangan yang masih panas itu dikeluarkan sementara menunggu Yongbok bersiap.

Pandangannya dialihkan ke arah ruang tamu apabila terdengar deringan telefon milik Yongbok. Tidak
memanggil sahabatnya, Chan mengambil sebelum melihat nama pemanggil.

"Younghyun?" Soalnya kehairanan namun jarinya tidak sempat menekan butang hijau kerana Yongbok sudah pun keluar dari biliknya.

"Aku dah siap... Jom makan," ujar Yongbok sejurus menutup pintu biliknya. Melihat Chan sedang memegang telefonnya, Yongbok menghampiri jejaka itu.

"Macam mana kau boleh ada nombor Abang Hyun?" Tanya Chan ingin tahu. Setahunya, Yongbok tidak mempunyai hubungan rapat dengan abang kepada kekasihnya.

"Lepas soal siasat hari tu, dia minta nombor aku. Untuk apa pun tak tahu, kenapa kau pelik?" Bohong Yongbok.

"Haa.. okey." Chan memulangkan semula telefon Yongbok selepas mendengar jawapan jejaka itu. Baru saja hendak membuka langkah, Chan teringatkan kejadian semalam di mana Yongbok menyelongkar almarinya. Adakah kawan baiknya bersubahat dengan Younghyun untuk mendapatkan bukti?

Belum sempat Yongbok mengambil tempat, Chan menarik bahunya dengan kasar lalu menolak badan jejaka itu ke atas meja makan. Kedua tangannya pula mencekik leher Yongbok hingga menyukarkan jejaka itu untuk bernafas.

"Apa hubungan kau dengan Younghyun??" tanya Chan seraya mengetap gigi, lantas tangan kanannya laju mencapai garfu yang tersedia di atas meja.

Mata Yongbok membulat apabila gigi garfu itu hanya beberapa inci saja dari mencucuk anggota penglihatannya. Chan mencengkam leher Yongbok dengan lebih kuat hingga wajah putih jejaka itu menjadi kemerahan.

"Kau dah lupa ke yang kita janji untuk balas dendam sama-sama?" Soal Chan tidak puas hati.

◉𝙱𝚎𝚛𝚜𝚊𝚖𝚋𝚞𝚗𝚐◉

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro