◦𝟏𝟓◦
Kotak bijirin diambil dari almari makanan lalu diisi ke dalam mangkuk yang bersaiz kecil. Susu segar dituang sebelum mangkuk tadi dibawa ke ruang tamu. Alat kawalan jauh dicapai dan skrin televisyen mula memaparkan siaran berita terkini.
Chan menceduk sesudu bijirin tadi lalu disuapkan ke dalam mulut. Mata fokus memandang televisyen yang menyiarkan berita pagi. Yongbok yang baru keluar dari bilik terus melangkah ke arah Chan.
"Seorang jururawat yang berkhidmat di Hospital Seoul menemui ajalnya dalam perjalanan pulang dari bekerja malam semalam.
Dalam kejadian kira-kira pada pukul 9.30 malam, mangsa yang berusia 26 tahun itu dipercayai mati dibunuh apabila polis menjumpai kesan tikaman pada bahagian perut.
Difahamkan mangsa terbunuh ketika sedang mencari anjing kepunyaan seorang wanita yang melarikan diri ke arah semak berhampiran."
Kunyahan terhenti sebaik saja gambar Hyojin ditayangkan. Yongbok menoleh sekilas ke arah Chan yang duduk di sebelahnya. "Kenapa kau buat muka macam tu?"
"Itu nurse yang selalu jaga Hyunjae. Kau pun ada masa dia tukar beg IV Hyunjae semalam. Kenapa dunia sekarang kejam sangat? Apa salah Hyojin sampai kena bunuh macam tu sekali?" Chan mengeluh tidak puas hati.
"Aku rasa kes dia ni ada kaitan dengan Hyunjae. Macam kau cakap, dia yang jaga Hyunjae di hospital. Baik kau hati-hati, Chan," pesan Yongbok.
Tidak bersuara, Chan bangun menuju ke dapur sambil membawa mangkuknya tadi. "Aku nak pergi hospital ni... Lepas kau cakap macam tu, aku risaukan Hyunjae. Nanti kau datanglah."
Yongbok hanya membuat tanda 'ok'. Saluran ditukar ke rancangan yang lebih menarik. Kadang-kadang dia tidak faham dengan Chan, suka benar menonton rancangan membosankan seperti itu.
●○●○●○●○
Younghyun termenung memikirkan sesuatu. Mayat Hyojin yang ditutupi dengan kain hitam dipandang lama. Baru semalam dia terserempak dengan gadis itu di hospital. Kain tadi diselak sedikit untuk melihat kesan tikaman pada perutnya. Sayu hatinya apabila melihat Hyojin yang masih berpakaian jururawat.
Yunho yang baru tiba di lokasi, terus menghampiri kawannya. Riak wajahnya sedikit terkejut sebelum dia mengawal reaksinya. "Apa yang kau jumpa setakat ni?"
"Ni bukan kes ragut sebab beg Hyojin masih ada. Beg dompet juga tidak terusik. Kalau kau tengok kesan tikaman ni, pembunuh gunakan objek tumpul," ujar Younghyun seraya menunjuk ke arah perut mangsa.
"Maknanya, ada kaitan dengan kes Hyunjae ke? Tapi apa kena mengena dengan nurse yang tak tahu apa-apa?" Soal Yunho kehairanan.
Younghyun mengangguk tanda mengiyakan andaian Yunho. "Mungkin ada sesuatu kita tak tahu dengan apa yang berlaku belakang kita. Apa-apa pun, tambah lagi 2 orang polis untuk kawal wad Hyunjae. Jangan beri sesiapa masuk kecuali kenalan rapat Hyunjae. Tak mustahil kalau dia mangsa seterusnya."
"Aku cadangkan jangan beri sesiapa masuk? Sekarang ni kita tak tahu siapa yang serang Hyunjae." Yunho memberi pendapat.
"Yunho, sekarang ni suspek kita cuma seorang saja iaitu Yongbok walaupun tak ada bukti menunjukkan dia yang serang Hyunjae. Dengan adanya Chan berjaga dari dalam, dia tak akan dapat buat apa-apa. Kau arahkan saja supaya kawalan diperketatkan," bantah Younghyun.
"Tapi... Hmm, okeylah kalau kau cakap macam tu." Yunho tidak jadi menyambung katanya sebaik saja teringatkan wajah Yongbok. Telefon dikeluarkan sebelum menelefon polis yang berjaga di wad sekarang ini. Seperti yang diarahkan, 2 orang lagi pegawai polis akan bertugas di hospital demi keselamatan Hyunjae.
Younghyun bangun dari tempatnya lalu berjalan di sekitar situ. Tiada kesan seretan kelihatan seperti yang pernah terjadi dalam kes sebelum ini.
"Lagi apa yang makcik tu cakap?" tanya Yunho.
"Dia beritahu yang dia minta tolong Hyojin untuk cari anak anjing tapi bila aku selidik, rupanya tu bukan anjing dia. Makcik tu pun mengakulah yang dia menipu dan ada seorang lelaki bayar, suruh cakap macam tu. Maklumlah, gelandangan kan, senang buat kerja." terang Younghyun.
Langkah diteruskan hingga dia ternampak bekas tapak kasut yang tidak jauh dari situ. Kakinya diletakkan sebelah untuk mengukur saiz. Lebih kecil dan sama seperti tapak kasut yang ditemui di restoran.
Younghyun mengetap giginya menahan marah. Yongbok sengaja menggunakan cara lain untuk membunuh supaya tidak menjadi perhatian polis. "Yunho, kau ikut aku sekarang. Ada benda kena settle."
Mendengar intonasi suara kawannya sedikit berbeza, Yunho terus mengekori langkah sebelum dirinya dimarahi. Tanpa memberitahu hendak ke mana, Younghyun terus memecut kereta meninggalkan kawasan.
"Sehoon, beritahu aku lokasi Yongbok sekarang," pinta Younghyun melalui panggilan telefon.
Yunho sudah resah mendengarkan itu. Hendak beritahu perkara sebenar tetapi Yongbok sudah memberinya amaran. Mahu tidak mahu, terpaksalah dia mengunci mulut. Janganlah Younghyun melakukan kekerasan. Pemanduan yang agak laju membuatkan Yunho menelan air liur perlahan.
●○●○●○●○
Tuala putih diperah dengan air suam lalu Chan mengelap tangan dan wajah Hyunjae secara lembut. Memandangkan keluarga Hyunjae tiada di Seoul, dialah yang mengambil tanggungjawab untuk menjaga kawannya dengan baik.
"Sayang..." Chan tersenyum apabila Hyera datang melawat. Memang waktu itu merupakan waktu Hyera datang singgah sebelum pergi ke tempat kerja. Sandwic sardin yang dibeli di kafe bawah, diletakkan ke atas meja.
"Tak payahlah beli makanan lagi. Saya dah makan dekat rumah tadi, simpan duit tu," marah Chan. Hampir setiap hari Hyera akan membawa makanan untuknya setiap kali datang melawat Hyunjae.
"Berapa sen sangat sandwic tu. Pagi memanglah awak dah makan, tengahari nanti? Ingat saya tak tahu awak tu macam mana?" Hyera menjawab, tidak mahu mengalah.
"Hmm ya lah. Terima kasih." Chan menyerah yang mana membuatkan Hyera tersenyum menang.
"Ouh ya... Dekat luar ada 4 orang polis berjaga, kenapa?" Soal Hyera ingin tahu.
Chan bangun dari kerusi lantas menarik tangan teman wanitanya, menjauhi katil. Dia tidak mahu Hyunjae mendengar apa yang akan diberitahunya nanti.
"Nurse yang selalu jaga Hyunjae, mati kena bunuh lepas balik kerja malam semalam. Abang Hyun ada beritahu saya yang kemungkinan kes ni ada kaitan dengan kes serangan Hyunjae. Sebab tulah, dia tambah lagi 2 orang polis sebagai langkah berjaga-jaga," jelas Chan panjang lebar.
"Awak tak tengok berita ke pagi tadi?" Soal Chan. Rasanya kematian Hyojin telah dilaporkan pihak media dan sudah menjadi tumpuan orang awam.
"Mana sempat nak buka tv. Seriuslah? Apa yang tak puas hati sangat dengan Hyunjae? Dia tak ada hutang kan tapi, kalau hutang pun tak kan lah sampai nak membunuh." Hyera menggaru belakang kepalanya.
Chan mengangkat bahu kerana dia juga buntu. Hyunjae bukanlah seorang yang suka meminjam kecuali terdesak. Itupun dia akan meminjam dari kenalan rapat, bukan dari sebarangan orang.
"Tak apalah... Awak kena berhati-hati, Hyera. Nanti nak balik, biar saya yang jemput awak. Jangan balik seorang diri. Bukan kata perempuan, lelaki pun dah tak selamat zaman sekarang ni." Chan mengingatkan Hyera.
"Okey... Jomlah duduk. Penat berdiri, hehe," ajak Hyera sambil tersengih. Chan menyuruh gadis itu pergi ke kerusi terlebih dulu kerana hendak mengambil sesuatu.
●○●○●○●○
Kereta yang dipandu Younghyun masuk ke perkarangan sebuah kedai, di mana Yongbok dilaporkan ada di situ. Sebaik saja enjin dimatikan, Younghyun terus keluar lalu meluru masuk ke dalam kedai yang menjual aksesori.
Yongbok yang ketika itu sedang melihat barang, menarik nafas terkejut apabila kolar bajunya ditarik dengan kasar. Pandangan orang ramai tidak dipedulikan. Younghyun sudah tidak dapat menahan dirinya lagi. Lelaki itu perlu diajar secukupnya hingga dia mengakui semua tuduhan.
"Kenapa kau tarik aku??" Yongbok melawan kerana tidak puas hati. Younghyun terus berdiam tanpa mengeluarkan suara. Dia mengheret badan kecil Yongbok menuju ke belakang bangunan.
Yunho yang menyaksikan semua itu, segera keluar dari kereta. Dia sudah dapat mengagak yang kawannya akan menggunakan kekerasan oleh kerana tempoh hari tindakannya dihalang. Sempat dia mengunci kereta sebelum berlari ke mana Younghyun membawa Yongbok pergi.
Yongbok mengerutkan wajah saat badannya ditolak secara kasar. Belum sempat bersuara, satu tumbukan hinggap di pipi yang membuatkan jejaka itu terjatuh ke tanah.
"Dekat balai, aku akan dapat hukuman kalau pukul suspek. Luar balai? Aku rasa tak apa kot," ujar Younghyun sebelum satu lagi tumbukan diberikan.
Darah di bibir dilap menggunakan jari seraya tersenyum sinis. "Suspek? Yakin betul kau."
Sekali lagi kolar baju direntap kasar. "Beritahu aku, kenapa kau bunuh orang-orang yang tak bersalah tu?? Dasar psikopat!"
"Kau tak patut cakap macam tu pada psikopat... Sebab perkataan tu boleh mengundang kemarahan dia," kata Yongbok seraya menatap mata Younghyun.
"Tapi... Jangan risau sebab bukan aku psikopat tu..," ujarnya lagi dengan nada mengejek.
Rantai perak yang tergantung di leher Yongbok, dipandang sebelum tangannya laju menarik hingga terputus dua. Bengang barang kesayangannya dirampas begitu saja, Yongbok bangun lalu menyerang Younghyun.
"Bagi balik rantai aku!!" Jerit Yongbok sekuat hatinya. Air mata mula bergenang kerana mahukan semula rantainya.
"Jadi, ni lah rantai yang Hyunjae nampak? Kau anggap benda ni berharga sedangkan nyawa orang kau ambil macam tu je!" Bentak Younghyun. Memikirkan kemungkinan Yongbok menyembunyikan sesuatu di dalam loket, dia membukanya lalu tergamam apabila melihat gambar Yongbok bersama seorang lelaki yang sangat dikenalinya.
"Lee Minhyuk?" Soalnya tidak percaya. Tidak sempat mengangkat kepala, Yongbok terlebih dulu menyerangnya dari tepi maka terjadilah pergelutan kecil antara mereka berdua.
"Younghyun! Yongbok! Sudah!" Jerit Yunho yang melihat dua orang itu sedang bergumpal sesama sendiri. Tidak mahu perkara lebih buruk berlaku, dia segera menghampiri Younghyun dan Yongbok.
Rantai peraknya kembali ke tangan semula. Walaupun rantai itu sudah putus, Yongbok tetap bersyukur kerana loketnya masih dalam keadaan baik.
"Sia- siapa kau sebenarnya?" Tanya Younghyun.
●○●○●○●○
Chan mengeluarkan satu kotak kecil berwarna biru sebelum dihulurkan kepada Hyera yang ketika itu sedang bermain telefonnya.
"Apa ni?" Soal Hyera dalam keadaan terpinga-pinga.
"Hadiah... Ambil lah." Chan menarik tangan Hyera lalu meletakkan kotak tadi di atas tapak tangan teman wanitanya.
Satu klip rambut berwarna ungu dikeluarkan dari kotak dengan senyuman lebar. Tidak sangka pula Chan akan memberinya hadiah memandangkan hari lahirnya lagi beberapa bulan.
"Cantiknya... Awak belikan untuk saya?" Tanya Hyera teruja.
"Saya buat sendiri. Sorry kalau tak memuaskan. Maklumlah first time belajar, itupun tengok YouTube." Chan tertawa perlahan seraya memegang telinganya yang sudah kemerahan kerana malu.
Tidak berkata apa-apa, Hyera terus memeluk badan Chan. "Terima kasih, Sayang..."
Lesung pipit mula kelihatan di tepi bibirnya lantas tangan mengelus lembut rambut Hyera. Pelukan dileraikan, kini mereka berdua saling berpandangan. Klip rambut tadi diberi kepada Chan.
"Pakaikan untuk saya," minta Hyera lalu mengelipkan matanya beberapa kali.
"Hahaha... Okey." Chan menyelak sedikit rambut teman wanitanya sebelum memakaikan klip rambut di bahagian tepi. Sempat dia melihat semula, memeriksa kedudukan klip rambut tadi.
"Ish, buruk! Tak payahlah pakai," rungut Chan lalu menanggalkan semula klip rambut tadi. Hyera membulatkan mata dengan tindakan spontan Chan lalu memukul tangan jejaka itu.
"Siapa cakap buruk?? Saya sukalah. Pakaikan balik sebelum saya merajuk." Hyera mengugut. Berialah dia semangat, tiba-tiba Chan mengambil semula hadiah yang diberikan kepadanya. Dasar buruk siku.
Dengan rasa terpaksa, klip rambut itu dipakaikan semula di tempat yang sama. Chan menutup mukanya seraya tergelak kecil. Tidak puas hati dengan reaksi teman lelakinya, Hyera mengeluarkan bedak kompak yang selalu dibawanya untuk melihat klip rambut tadi lalu tersenyum puas.
"Cantiklah... Mana ada buruk. Thanks." Sekali lagi Hyera mengucapkan kata-kata itu.
●○●○●○●○
"Si- siapa kau sebenarnya?" Soal Younghyun. Dia pasti yang dia tidak tersalah lihat gambar yang diletakkan di dalam loket tadi.
"Younghyun, bukan Yongbok yang membunuh selama ni. Masa Hyojin dibunuh malam semalam, Yongbok ada dengan aku. Kita orang keluar sama-sama," jelas Yunho. Dia terpaksa mencelah di antara pergaduhan supaya tidak berlaku salah faham lagi.
"Kalau bukan dia, siapa?" Younghyun masih lagi belum faham dengan apa yang dikatakan Yunho. Semua bukti pembunuhan tertuju kepada Yongbok dan Yunho juga berkongsi pendapat dengannya. Kenapa kali ini kawannya memihak kepada lelaki itu pula?
"Aku tahu kau tak akan percaya tapi pembunuh yang kita cari sebenarnya ialah..."
●○●○●○●○
Hyera memakai sedikit bedak pada wajah. Gincu berwarna merah jambu dioles sebelum merapatkan kedua bibirnya untuk meratakan sapuan gincu.
"Tak boleh cuti ke?" Tanya Chan sambil mencebik. Dia tidak puas lagi menghabiskan masa bersama gadis itu.
"Tak boleh, Sayang. Memang saya nak ingat nak ambil cuti tapi, faham je lah bos saya tu macam mana. Selagi tak pengsan depan dia, selagi tu lah dia tak bagi cuti. Tunggu hujung minggu ni, kita keluar sama-sama.. okey??" Pujuk Hyera sebelum mencubit kedua pipi Chan hingga kemerahan.
"Okey..." Chan menjawab sepatah. Bukan apa, dia berasa agak sunyi bersendirian di wad. Harapkan Yongbok, entah datang atau tidak.
Memandang wajah Hyunjae, membuatkan air mata bergenang tanpa disedari. Sejujurnya, dia sangat merindui celoteh Hyunjae yang selalu menggembirakan hatinya sebelum ini. Selepas pemergian Minseok, dia juga hampir kehilangan Hyunjae. Memikirkan itu, membuatkan dia takut bersendirian.
"Sayang... Kenapa menangis ni?" Soal Hyera dengan nada terkejut. Adakah semua ini kerana dia hendak pergi bekerja?
"Eh tak ada apa... Tadi kata nak pergi kerja, kenapa ada kat sini lagi? Nanti bos awak marah pula datang lewat." Chan mengalih topik.
Hyera tidak mengendahkan kata-kata Chan. Dia tahu lelaki itu cuba menyembunyikan perasaan sebenar darinya. "Sayang... Jangan sedih lagi, please? Awak kena kuat kalau nak Hyunjae cepat sembuh."
"Entahlah, tiba-tiba je perasaan sebak tu datang. Semua yang berlaku sedikit sebanyak buat saya rasa takut. Takut untuk melepaskan sesiapa pergi termasuk awak. Mula-mula, Minseok sekarang Hyunjae yang jadi mangsa. Saya tak nak perkara yang sama berulang sekali lagi," Chan meluahkan isi hatinya.
Hyera memeluk erat tubuh Chan. Dia sudah agak itu yang dirisaukan kekasihnya hingga sedih begitu sekali. "Saya janji, saya tak akan tinggalkan awak. Petang ni kita jumpa, ya? Kan awak dah janji nak ambil saya.."
Chan mengangguk seraya tersenyum tawar. "Sorry buat awak risau. Dah pergi kerja. Nanti lambat pula."
"Ingat, awak kena kuat..," pesan Hyera sebelum melangkah keluar diiringi teman lelakinya.
Pintu wad ditutup kemudian Chan menyandarkan badannya pada pintu. Senyuman yang diukirkan sebentar tadi perlahan-lahan menghilang. Airmata yang mengalir, dikesat menggunakan hujung bajunya lalu memutarkan bola matanya ke atas tanda menyampah.
"Penat betul berlakon," rungut Chan seraya memandang ke arah Hyunjae.
◉𝙱𝚎𝚛𝚜𝚊𝚖𝚋𝚞𝚗𝚐◉
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro