◦𝟏𝟏◦
Chan menunggu Yongbok yang masih bersiap. Ada lagi setengah jam sebelum majlis pengebumian Minseok dimulakan. Beberapa minit kemudian, Yongbok keluar dari bilik.
"Maaf lambat. Aku lupa nak seterika baju semalam," beritahu Yongbok walaupun Chan tidak berkata apa-apa.
"It's okay... Jom, takut nanti jalan jammed pula." Chan terlebih dulu menuju ke pintu. Yongbok mengerutkan dahinya kerana hairan dengan tingkah Chan yang agak lain pada pagi itu.
Tidak mahu sahabatnya menunggu, Yongbok mengabaikan saja tanggapannya lalu segera menyarungkan kasut.
Chan menyapa beberapa orang di tempat pengebumian. Hyunjae yang tiba lebih awal dari mereka, datang menghampiri. Yongbok pula hanya berdiri di sisi Chan tanpa bersuara. Selepas berbual seketika, Chan dan Hyunjae bertemu ibu kepada Minseok. Tidak dapat menahan rasa sebak, Chan serta merta menangis dalam pelukan ibu Minseok.
"Maafkan saya, Makcik sebab tak dapat selamatkan Minseok," ujar Chan dalam tangisnya. Wanita separuh usia itu mengusap belakang kepala, menenangkan pemuda itu.
"Bukan salah kamu, Chan... Sebaliknya Makcik bersyukur sebab kamu tak jadi mangsa sekali. Makcik dah redha dengan pemergian dia. Janganlah salahkan diri sendiri," pujuk ibu Minseok.
Hyunjae yang menyaksikan babak sedih itu, turut mengalirkan air mata. Sebagai orang yang berada di tempat kejadian, dia juga faham dengan apa yang dirasakan Chan. Kemudian, giliran Hyunjae pula memeluk tubuh ibu mendiang kawannya.
Yongbok yang berdiri tidak jauh dari mereka, sekadar memerhati. Lebih tepat, matanya tertumpu ke arah Hyunjae yang bersebelahan Chan. Selepas apa yang diberitahu sahabatnya malam tadi, dia terus memikirkan lelaki itu hingga kekurangan tidur.
Selang beberapa jam, Younghyun dan Yunho tiba di situ untuk memberi penghormatan terakhir. Selepas berjumpa dengan keluarga mangsa, dia terpandang Yongbok lalu jejaka itu tersenyum kecil seraya menundukkan kepala kepadanya. Younghyun membalas dengan anggukan walaupun rasa hairan dengan tingkah laku Yongbok. Seingatnya, kawan Chan itu tidak bersikap peramah begitu pada kali pertama mereka berjumpa di restoran tempoh hari.
Yunho menghulurkan secawan kopi kepada Younghyun. Melihat rakannya seperti mengelamun, Yunho menyinggung lengan lelaki itu.
"Jauh termenung... Fikir apa?" Soal Yunho sebaik saja Younghyun mengambil minuman yang dibawanya tadi.
"Yongbok, dia senyum dekat aku," beritahu Younghyun sebelum menghirup kopi.
"Habis tu kenapa kalau dia senyum dekat kau? Jangan cakap jatuh cinta sudah," seloroh Yunho lalu tertawa sendiri.
"Bukanlah... Senyuman tu aku pernah nampak sebelum ni..." Younghyun menjelaskan sebab dirinya mengelamun tadi. Yunho membuat muka hairan mendengarkan itu.
"Hyun, dekat dunia ni... Bukan Yongbok sorang je yang senyum macam tu. Berjuta-juta kot rakyat dekat negara ni tambah pula kau berjumpa ramai orang. Jadi, tak peliklah kalau pernah nampak..," ujar Yunho bersungguh.
"Hmm... Betul lah tu. Ouh ya, lepas ni aku nak jumpa Chan dengan Hyunjae... Nak ikut ke kau nak pergi settle benda lain dekat balai?" Younghyun mengubah topik.
"Disebabkan kau tinggal aku semalam, hari ni aku nak ikut." Yunho sengaja mengungkit. Betapa sedih hatinya apabila Younghyun pergi tanpa mengejutnya terlebih dulu.
Younghyun tergelak apabila Yunho menyebut tentang itu. "Tak payah lah nak ungkit balik. Aku kesiankan kau penat sangat sampai tidur ternganga semalam... Itu yang aku tak kejut kau."
"Ya lah... Kau menang. Pukul berapa nak jumpa. Takkan nak jumpa dekat sini kot?" Soal Yunho sambil matanya melilau mencari kelibat Chan dan Hyunjae yang tidak kelihatan sejak mereka tiba di situ. Mungkin sibuk membantu ibu Minseok melayani tetamu yang datang ke majlis pengebumian.
"Chan cakap petang ni, dekat kafe yang aku jumpa dia semalam," beritahu Younghyun lalu Yunho mengangguk faham.
●○●○●○●○
Yongbok melambai perlahan sebelum mengambil langkah di jalan yang bertentangan. Chan menarik nafas lega kerana kawan baiknya tidak banyak tanya apabila dia beritahu ingin berjumpa Younghyun. Sebaik saja bayang Yongbok hilang dari pandangan, barulah mereka berdua melangkah ke perhentian bas.
"Kau cerita dekat Yongbok ke apa yang aku beritahu kau semalam?" Soal Hyunjae.
"Haah tapi tak tahulah dia dengar ke tak sebab dia sibuk tengok tv masa aku cerita tu. Tak payah risau lah.. Yongbok jenis tak bergaul dengan orang." Chan menenangkan Hyunjae.
"Tulah... Aku tengok dia pun jenis pendiam. Memang dari dulu ya dia macam tu?" Sengaja Hyunjae bertanya sementara menunggu bas.
"Haah sampai orang pulaukan dia. Entah apa-apa kan? Dari luaran memang nampak Yongbok tu sombong tapi, sebenarnya dia tak pandai berinteraksi melainkan dah selesa dengan orang tu." Chan menjelaskan salah faham yang selalu terjadi.
"Hmm, kesian juga. Eh, tu bas dah sampai." Hyunjae menunjuk ke arah bas yang dalam perjalanan ke perhentian bas.
Chan dan Hyunjae mengambil tempat sebaik saja sampai di kafe. Nampaknya mereka tiba lebih awal oleh kerana Younghyun masih belum kelihatan.
"Kau rasa, apa yang aku beritahu ni boleh tangkap ke pembunuh Minseok?" Tanya Hyunjae. Dia agak ragu-ragu dengan keputusan yang dibuatnya.
"Untuk tangkap pembunuh tu, aku tak pasti tapi kalau untuk siasatan... Ya. Sekecil-kecil maklumat pun dah banyak membantu," ujar Chan sekaligus menyumbang keyakinan untuk Hyunjae.
Sedang leka berbual, perhatian mereka teralih sebaik saja Younghyun dan Yunho sampai. Tidak perlu dipanggil, dua jejaka itu sudah pun nampak kedudukan Chan dan Hyunjae.
"Kita orang datang lambat ke ni? Air korang pun dah separuh gelas." Younghyun mengusik yang mana mengundang tawa kecil dua pemuda itu.
"Eh tak lah... Kami yang sampai awal. Alang-alang balik dari kubur tadi, terus singgah ke kafe," jelas Chan sebelum menjemput pasangan detektif itu duduk.
Hyunjae sempat melirik ke Chan dan selepas kawannya mengangguk kecil, barulah dia bersuara. "Tujuan saya nak jumpa Tuan berdua sebab nak beritahu apa yang saya nampak pada malam Minseok dibunuh."
Younghyun tidak menunjuk sebarang respon manakala Yunho sudah mengerutkan dahinya mendengarkan itu. Apakah Hyunjae tidak jujur ketika sesi soal siasat dilakukan? Reaksi wajahnya terus mendatar apabila Younghyun menendang perlahan kakinya.
"Saya tahu sepatutnya semasa disoal siasat, saya perlu beritahu segala yang saya saksikan tapi, disebabkan nervous.. saya terlupa. Jadi saya buat keputusan untuk beritahu sekarang atas nasihat Chan sendiri. Saya minta maaf." Hyunjae berdiri lalu menundukkan kepala sebagai tanda maaf. Tindakannya tidak lama apabila Younghyun memegang bahu, menyuruhnya duduk semula.
"Tak apa, Hyunjae. Kami sebagai detektif sangat faham situasi awak apatah lagi kes macam ni. Ajak berjumpa pun dah cukup membantu. Jadi, awak boleh beritahu kami sekarang," ujar Younghyun.
Dengan kata sokongan yang diberikan Younghyun, Hyunjae tersenyum. Kemudian dia menceritakan semula apa yang terjadi pada malam kejadian sepertimana yang diberitahu kepada Chan.
"Awak nampak bentuk loket ataupun apa-apa selain dari tu?" Tanya Yunho minta kepastian.
"Tak... Lagipun masa tu keadaan gelap dan hanya lampu dapur saja yang terbuka. Rantai tu saya nampak ketika pembunuh heret Minseok menuju ke dapur tapi saya pasti yang pembunuh tu pakai rantai silver." Hyunjae meyakinkan dua orang detektif di hadapannya.
Younghyun meraut dagu. Maklumat yang diberikan Hyunjae membantu cuma itu tidak cukup untuk pihak polis memberkas pembunuh psikopat yang dicari selama ini. Chan yang duduk di sebelah Hyunjae dipandang sekilas. Lelaki itu tidak bersuara sepanjang mereka di situ seolah-olah sedang memikirkan sesuatu.
"Chan... Awak ada tahu apa-apa ke pasal rantai yang dikatakan Hyunjae?" Soal Younghyun yang mana membuatkan Chan tersentak.
"Sorry... Abang Hyun tanya apa tadi?" Chan memegang telinganya seraya tersengih malu.
"Saya tanya... Awak ada tahu apa-apa ke pasal rantai tu?" Tanya Younghyun untuk kali kedua.
Chan menggeleng. Gelas minuman dicapai lalu dia menyedut jus yang dipesan tadi, cuba untuk berlagak biasa.
"Okeylah... Kalau dah tak ada apa-apa, kami minta diri dulu. Terima kasih sebab beritahu pasal ini. Pasukan saya akan cuba sehabis baik untuk cari pembunuh dengan semua maklumat yang ada termasuklah rantai tadi," kata Younghyun.
Chan dan Hyunjae hanya menyimpulkan senyuman. Selepas berjabat tangan, Younghyun dan Yunho meninggalkan kafe.
Chan mencari Yongbok sebaik saja menapak masuk ke dalam rumah. Langkah diteruskan menuju ke ruang tamu dan kelihatan sahabatnya sedang tidur di atas sofa. Sut hitam yang dipakai ketika majlis pengebumian juga belum ditukar. Chan tersenyum sendiri melihat Yongbok yang lena diulit mimpi.
"Bukan Yongbok orangnya..," ujarnya yakin. Tidak mahu mengganggu, Chan terus masuk ke dalam bilik untuk membersihkan dirinya.
Lebih kurang 25 minit kemudian, Chan keluar dari tandas. Pintu bilik dibuka separuh untuk mengintai jika sahabatnya sudah terjaga belum. Nampaknya Yongbok masih tidur apabila kaki kecilnya kelihatan di sebalik sofa.
Tuala disidai di tempat yang disediakan sebelum Chan membuka laci almarinya. Kotak kecil dikeluarkan lalu jejaka itu tersenyum sendiri. Penutup kotak dibuka dan di dalam itu, ada satu klip rambut yang masih belum siap sepenuhnya. Chan membuatnya sendiri untuk mengisi masa lapang. Semua itu dipelajari melalui YouTube dan Chan ingin memberikan klip rambut itu sebagai hadiah buat Hyera nanti.
Pewarna diambil dari laci berlainan. Satu botol yang berisi cecair ungu menjadi pilihan Chan memandangkan itu warna kegemaran kekasihnya. Berus kecil dicelup ke dalam botol itu sebelum mewarnakan klip rambut yang dibuatnya sendiri.
Yongbok memerhati Chan dari pintu yang sedikit terbuka. Melihatkan jejaka itu sedang melakukan hal sendiri, dia segera menukar baju sebelum meninggalkan rumah.
●○●○●○●○
Hyunjae mengambil sebungkus mi segera dan sebekas kimbap. Kalau diikutkan dia malas hendak memasak tetapi disebabkan makanan di rumah sudah habis, terpaksalah dia keluar juga kerana kelaparan.
Beberapa keping duit dihulurkan kepada juruwang sebelum plastik bertukar tangan. Sebaik saja membuka pintu kedai, Hyunjae memandang langit. Nampaknya hujan akan turun tidak lama lagi. Tidak mahu dibasahi hujan, Hyunjae segera keluar sebelum dia terlanggar seseorang yang membuatnya hampir terjatuh.
"Sorry... Saya nak cepat sampai tak perasan ada orang," ujar Hyunjae lalu mengambil plastik yang terjatuh tadi. Dia tercengang bila melihat orang lelaki yang dilanggarnya tadi.
"Yongbok? Kau buat apa dekat sini?" Tanya Hyunjae. Matanya memandang sekeliling mencari jika Chan turut bersama jejaka itu.
"Ouh, aku saja jalan-jalan lagipun 7E dekat rumah aku tutup," jelas Yongbok.
Hyunjae berasa hairan mendengar kenyataan Yongbok. Jarak rumahnya dengan rumah Chan agak jauh jika berjalan kaki. Lebih kurang 5 kilometer jauhnya. Mustahil Yongbok datang ke situ semata-mata hendak membeli barang tambahan pula 7Eleven merupakan kedai yang beroperasi selama 24 jam.
"Mesti kau pelik kan dengan alasan mengarut tu. Sebenarnya, aku nak pergi rumah kau tapi dalam perjalanan ke sana, ternampak kau baru keluar dari kedai. Itu yang aku singgah sini." Hyunjae mengeras di tempatnya apabila mendengar suara garau Yongbok.
"Ouh yeke? Jumpa esok jelah sebab aku nak cepat lagipun hari nak hujan ni, nanti macam mana kau nak balik." Hyunjae mula rasa tidak sedap hati namun cuba mengawalnya.
"Aku nak beri kau amaran, Lee Hyunjae. Kau pernah buat Chan hampir kena langgar dengan kereta tapi disebabkan kau minta maaf, kau selamat. Jadi, kalau kau tak nak mati... Sila... Jauhkan... Diri... Dari... Chan. Faham?" Ugut Yongbok sambil memegang bahu jejaka itu.
"Apa yang kau cakap ni, Yongbok? Aku-" percakapanya terhenti sebaik saja ternampak rantai yang dipakai Yongbok ketika itu. Rantai perak yang sama seperti dilihatnya pada malam kematian Minseok.
Tidak meneruskan katanya, Hyunjae terus melarikan diri dari Yongbok. Dia yakin rantai itu yang dipakai pembunuh Minseok. Buat masa sekarang, dia tidak mampu berfikir dengan baik dan langkahnya juga entah menuju ke mana.
Yongbok memandang rantai leher yang dipakai sebelum mengetap giginya. Apa yang diceritakan Chan kepadanya membuatkan dia berasa kesal. "Hyunjae... Kenapa kau lari?"
Langkah kaki dibuka luas untuk mengejar Hyunjae walaupun jejaka itu sudah hilang dari pandangan.
Bunyi guruh berdentum beberapa kali dan tiada bintang kelihatan di langit malam menandakan hari akan hujan. Bulan pula hanya terlihat separuh saja oleh kerana diselimuti awan mendung yang berarak perlahan.
Dalam samar-samar cahaya lampu jalan dan sinar bulan, Hyunjae berlari tidak tentu arah hinggalah kakinya berhenti melangkah apabila menemui jalan mati. Rambut diramas kasar lalu dia memarahi dirinya sendiri. Lorong itu bukanlah jalan yang selalu digunanya untuk pulang ke rumah. Anak mata hitamnya melilau mencari tempat untuk menyembunyikan diri. Tanpa membuang masa, Hyunjae terus berlari ke arah kereta yang kebetulan ada berhampiran lalu menyorok di sebalik kereta tadi.
Kepala disandarkan pada dinding sambil mengawal nafasnya yang tidak stabil akibat berlari tadi. Nasib baiklah badannya dapat memasuki ruang yang tidak terlalu luas antara kereta dan dinding. Rasa penat tidak dihiraukan lalu segera dia mengeluarkan telefon dari poketnya. Nombor Chan tertera di bahagian panggilan terakhir, terus ditekan. Hanya itu saja cara yang terlintas di benak fikirannya.
Telefon ditekapkan pada telinga, menunggu Chan menjawab panggilannya sementara sepasang matanya mengintai di sebalik tingkap, kalau-kalau Yongbok ada berkeliaran di situ. Tiba-tiba, dia mendengar bunyi derapan kasut yang menghampiri membuatkan Hyunjae menahan nafasnya sendiri kerana ketakutan.
"Chan, Tolonglah jawab..," rayunya perlahan apabila panggilan yang dibuat terus masuk ke peti suara. Sekali lagi, jarinya mendail nombor Chan dengan harapan kawannya akan menjawab.
Nafas lega dilepaskan apabila Yongbok semakin menjauh dari kereta yang menjadi tempat persembunyiannya itu. Tidak lama kemudian, telefonnya berdering semula lantas jari menekan butang hijau sebaik melihat nama Chan.
"Hello, Hyunjae... Sorry lah tadi telefon aku mati. Kenapa call?"
"Ch- Chan... Tol- tolong aku... Ada pembunuh kej-" kata-katanya tergantung apabila seorang lelaki berdiri di sebelahnya dengan senyuman yang kelihatan di bibir.
"Jumpa pun..," ujarnya dengan santai. Seperti yang biasa dilakukan sebelum ini, tangan menyeluk saku baju untuk mengeluarkan playar muncung tirus yang mana merupakan alat membunuhnya.
Mulut serta merta tertutup rapat tanpa mengeluarkan suara sebaik saja memandang senjata di tangan lelaki itu. Telefon pada tangannya juga terlepas tanpa meneruskan kata. Seolah-olah tahu nasib yang akan terjadi kepadanya malam itu, Hyunjae memejamkan mata sebelum kepalanya dihentak beberapa kali dengan objek keras tadi.
Hyunjae rebah ke tanah dan darah kepalanya mula mengalir perlahan di atas jalan. Pandangan mula kabur diiringi rasa sakit yang teramat akibat hentakan kuat di kepala.
"Aku buat semua ni sebab kau dah tahu rahsia aku..," ujarnya lalu tertawa perlahan. Senjata yang berdarah itu segera dilap pada baju sebelum disimpan semula ke dalam poket.
Telefon yang terbiar di atas tanah dipandang sayu. Tiada lagi kudrat yang tersisa untuk mengambil telefonnya. Harapan untuk meminta bantuan nampaknya tidak kesampaian. Suara Chan yang sayup kedengaran di hujung talian, membuatkan air mata Hyunjae mengalir perlahan. Kelopak mata mula terasa berat. Dia melihat bayang lelaki yang memukulnya tadi semakin menjauh sebelum pandangan berubah gelap sepenuhnya.
◉𝙱𝚎𝚛𝚜𝚊𝚖𝚋𝚞𝚗𝚐◉
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro