Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

TSS 9

RAMBUT yang terjuntai di hadapan dahi, aku sebak hingga ke belakang. Yang mana terasa serabai, aku rapikan menggunakan sikat. Kemudian, bebola mata diangkat. Tegak merenung pantulan sendiri pada cermin yang berkilat. Anak mata terhenti pada seutas rantai yang membalut leher.

Aku tak sedar sehinggalah tangan menyentuh biji loket. Rasa sebak hadir tanpa dipinta. Sukar untuk terzahir apa yang aku rasakan ketika ini. Dan terasa bodoh bila hatiku mula berharap...

Akan ada sekujur tubuh ibu di belakang. Terlayar di ruangan mata, bagaimana indahnya ibu memelukku. Dia salurkan kekuatan yang tak pernah mampu aku gapai dulu.

"Rindunya dekat ibu..." Bibirku berbisik sendiri. Juring mata kian memanas dan tatkala menyedarinya, aku segera menahan sebak. Satu saat, nafas ditarik dalam-dalam lalu aku hembuskan perlahan. Rasa ini harus dibuang jauh-jauh.

Kerana seorang Ammara tak boleh tunjukkan kelemahannya sendiri.

Dia kena tunjukkan pada orang yang dia kuat.

Ya, dia itu aku.

Perlahan-lahan aku bangun dari kerusi. Aku harus turun untuk bersarapan. Hari ini kena kerja dan kalau boleh, aku mahu rasa senang. Tak akan ada perkara yang boleh mengganggu emosiku lagi.

Aku cuba melakar senyuman sambil merenung cermin. 

Bangun. 

Jangan jadi lemah.

Ya, jangan jadi lemah kerana...

Perkataan lemah itu bukan sepatutnya untuk aku.


SYIF aku hari ini, bermula dari awal pagi sehingga petang. Rasanya tak perlu terkejar-kejar mahu balik kerana aku masih punya waktu. Walau bagaimanapun, kesan geseran pada tapak tangan masih terasa sehingga sekarang. Nasib baik ubat itu sudah menunjukkan keberkesanannya.

Pagi tadi, rasa mahu meraung jugalah aku semasa menyapu ubat pada kesan luka. Sebelum ini, tak pernah lagi tangan aku kena begitu. Ini kalau aku ceritakan dekat Mallysa, agaknya lagi kecoh setaman. Mujur aje Mallysa tinggal bersama Akid.

Kalau gadis itu masih tinggal dengan aku, entah apa-apalah benda yang dia nak bebel lagi. Mulut macam bertih jagung!

Pintu loker bernombor tiga aku buka untuk menyimpan barang. Selesai, aku tutup dan kunci baik-baik. Kalau cuai sedikit, takut aku yang merana nanti.

Badan yang mahu berpaling terus terhenti secara sendiri. Bau wangian yang menerobos ke dalam rongga terasa menenangkan. Tak sedar, mata aku terkatup sendiri. Menghirup nyaman bau yang terasa melekat di hati.

"Awak pakai minyak wangi apa ni, Zara? Bau dia mengasyikkan. Macam dekat taman bunga pun ada..." Aku bertanya tanpa memandang belakang. Masih lagi berdiri tegak menikmati aroma yang menenangkan jiwa.

Tanpa kuduga, ada tawa kecil yang menghiasi belakangku.

"Mengasyikkan sangat ke bau yang aku pakai ni?"

Mata aku lantas terbuka luas.

"Apa yang..."

"Sakura."

Keningku langsung terangkat apabila disapa suara garau itu. Dah kenapa sebut nama aku pula? Aku berdebar namun tetap juga degil mahu pusingkan badan ke belakang.

"Kau tahu tak minyak wangi ni baunya macam mana?" Mata kami bertaut seketika.

"Cherry Blossom. Tapi... bukan ke itu untuk perempuan? Kenapa kau pakai pula?" Aku bertanya kepadanya. Agak pelik sebab aku tak rasa lelaki biasa akan pakai bau yang macam ini.

Jadi... Ezzat ni manusia luar biasa ke?

Tawanya kembali menyapa pendengaranku.

"Budak Zara punya kerja. Dia sengaja calit minyak wangi dia dekat tangan dengan baju aku. Tak pasal-pasal orang ingat perempuan mana pula lalu bau wangi semacam." Dalam dia menjawab itu, sempat pula melemparkan perlian kepada aku.

Aku menggulingkan bebola mata ke atas tanda menyampah walaupun sebenarnya aku akui ada benar juga kata-katanya itu. Tetapi, aku pun pelik kenapa aku terlalu sukakan bau itu. Rasanya seperti sebati dalam diri.

Ah, aromanya terlalu membuaikan sekeping hati kecil aku!

"Kau pergilah buat kerja. Tapi sebelum tu..." Mata Ezzat kian melorot pada tangan kiri aku yang berbalut. Selepas itu, matanya naik pada wajah aku pula bersama dahi yang tertampal kerutan.

"Kenapa tangan tu?"

"Tak ada apa-apa pun. Biasalah, dah nama pun sakit. Dah takdir, nak buat macam mana lagi..." jawab aku mudah tanpa memandangnya.

Boleh tak jangan tanya apa jadi dekat tangan aku? Memanglah nak tunjukkan prihatin, tetapi aku pula rasa rimas. Nanti orang cakap aku penat ataupun lemah jadi boleh ambil cuti. Kalau boleh, aku tak mahu Ezzat bersimpati dengan aku. Bukan sakit sangat pun. Setakat ini, aku mampu bernafas lagi.

Tak adalah teruk sangat pun, kan?

"Takdir apa kebendanya? Kalau kemalangan tu nak berlaku... memang akan berlaku. Paling tak pun, mesti sebab kau cuai. Mata tu sorok dekat mana sampai tak pandai tengok kiri kanan?" Ezzat bercekak pinggang. Macam marah pun ada.

Aku ketawa kecil dengan reaksi yang cuba ditunjukkannya.

"Sebab takdirlah... benda tu berlaku. Lagipun, cuai atau tak ni dari diri kita sendiri. Kadang, kita sendiri dah elak tapi benda nak berlaku nak buat macam mana lagi, kan? Takkan nak bunuh diri kut?" Aku tembak dia dengan soalan baharu. Biar Ezzat terkedu kemudian tutup mulut dia serapatnya.

Kalau banyak bunyi pun susah juga. Ingat aku akan mengalah kalau kerja satu bumbung dengan dia? Heh, memang tidak akan!

"Aku tahu kau balik dari kafe pukul berapa semalam. Siapa tolong kau masa kejadian tu?" Soalan yang dilemparkannya langsung mematikan langkah aku yang berura-ura untuk beredar.

"Siapa tolong aku, bukan satu hal besar sekarang ni. Dan aku anggap dia adalah kiriman Tuhan yang sudi nak bantu aku dari hampir nak kena langgar." balas aku sambil membuka pekung berkaitan hal semalam. Tapi, aku tidak sentuh nama Dhuha. Nanti mulalah Ezzat nak buat 'perkaitan' lagi. Tahu-tahu pula Ezzat, pukul berapa aku balik.

"Cuai betulkan kau ni? Lain kali tolong hati-hati. Tengok kereta betul-betul." Amboi, sedap mak nenek Ezzat sahaja nak meleterkan aku. Ingat dia ibu aku ke apa? Maaflah, aku malas nak melayan. Lebih elok aku teruskan kerja.

"Hari tu hampir nak kena tikam. Semalam, hampir nak kena langgar pula! Lain kali... kalau dah tahu diri tu tak pandai berhati-hati, elok duduk rumah jelah goyang kaki."

Mataku mencerun tajam ke arah Ezzat. Rahang aku terketap rapat. Silap masa ada penumbuk mengena wajah itu. Aku pun tidak mengerti dengan sikap Ezzat ini. Menyampah tahu tak bila sibuk nak ambil tahu hal aku!

Tak boleh ke dia berambus dari sini?

Aku menarik nafas dalam-dalam. Untuk menghadapi manusia seperti ini, perlulah ada kesabaran yang tinggi. Seperti membentuk kanak-kanak menjadi remaja seterusnya memasuki alam dewasa. Untuk lelaki ini, aku kena banyak bersabar sebab yang berkuasa dekat sini, mestilah Ezzat.

Kalau lelaki itu nak tendang aku hari ini pun, aku rasa dia lebih daripada mampu.

"Aku tahu, aku seorang yang cuai. Walaupun kejadian macam tu aku tak minta, tapi aku akan pastikan benda macam ni tak berlaku lagi. Dan... aku akan pastikan yang kau takkan rasa susah lagi dengan apa yang berlaku dekat aku." Aku menjawab tenang.  Semoga cepat-cepat aku boleh pergi dari sini.

Aku risau jantung aku yang meletup kalau penat berbalah dengan orang.

"Janji tu... jangan hanya tabur dekat bibir. Janji... simpan dan lekat dalam hati."

Sejurus itu, dia terus pergi meninggalkan aku yang masih terkedu di sini akibat hentaman ayat tersebut. Seketika, helaan berat dari bibir terlepas jua.

Apa itu satu keperluan untuk Ezzat bersikap prihatin terhadap aku?

Aku sendiri tidak pasti.


AKU perasan ada sepasang mata yang kerap melirik ke arahku. Sepertinya, dia menjeling aku dengan rasa tidak puas hati dari dalam sana sehinggakan kening aku terus tersimpul rapi. Tanpa menghiraukannya, aku terus menyambung kerja yang tertangguh. Kawasan belakang dapur aku sapu dengan cermat dan penuh teliti kerana aku sejenis yang tidak suka meninggalkan habuk walau sedikitpun.

Mata aku agak sakit melihat sampah-sampah yang bertaburan di sisi lantai simen itu. Semuanya aku kutip lalu membuangnya ke dalam tong sampah yang disediakan. Mungkin orang dapur tidak sempat kemas semalam sebab itulah bersepahnya lain macam.

Selesai semua, kedua belah tanganku terus ditongkat pada lutut. Lelah tetapi sebenarnya aku tidak kisah. Juraian peluh yang menuruni dahi, aku lap menggunakan  kain baju pada lengan sebelah kiri.

"Ammara."

Badanku terus tegak. Aku berpaling ke belakang, telus anak mata kuangkat memandangnya.

"Dhuha? Kenapa ada dekat sini?" Aku terus bertanya kepadanya. Bukan ke dia ada kerja yang harus dilakukan di dapur? Dia nak buang sampah ke apa?

Mataku jatuh pada jemarinya yang kosong tanpa apa-apa.

"Sepatutnya saya yang tanya awak. Awak buat apa tu? Awak tahukan, tangan awak masih sakit lagi? Ini kerja lelakilah, Ammara. Elok awak tinggal je semua tu. Nanti saya boleh buat." Dhuha menadahkan tangannya di hadapanku.

Dahi aku berkerut, tidak mengerti.

"Bak sini penyapu."

"Ala, tak payahlah. Dah nak siap dah pun ni. Tak payahlah." Aku menolak perlahan sambil menggelengkan kepala. Kadang, aku sendiri tidak faham dengan perangai aku. Sepatutnya aku jadi seorang yang kasar dan sombong, lagi-lagi untuk seorang lelaki seperti Dhuha ini.

Tetapi aku pun tidak tahu kenapa...

Aku rasa senang berbual dengannya. Mungkin kerana dia sudi membantu aku semalam dan mungkin juga kerana perwatakannya yang lembut berbicara. Jauh berbeza dengan Ezzat Hadif yang kukenali.

Ah, lelaki itu. Pertemuan pertama aku dan dia nampak elok sahaja. Bila selalu bertemu dengannya setiap hari, sudah terasa aku ini kucing dan dia pula anjing. Ada sahaja nak cuit hati aku dengan masalah!

"Awak sepatutnya tak payah datang hari ni kalau tangan tu sakit sangat. Saya tengok pun saya tahu, awak tak selesa buat kerja dengan tangan macam tu." Tanpa menunggu balasan daripada aku, Dhuha dengan pantas merampas penyapu yang aku pegang.

Mataku terus terbuntang.

"Apa yang awak buat..."

"Wah, wah... seronok betul buat kerja ya? Kalau nak dating, silakan! Tapi jangan sampai masa tengah kerja pun sibuk jugak nak tangkap cintan. Kalau macam tu, elok aje angkat kaki dari sini, kan?"

Dua pasang mata terus terangkat pada suara yang tiba-tiba mencelah itu. Mata aku dan... Dhuha.

Aku telan liur yang tersekat di rengkung. Dada mula berkocak debaran dengan kemunculannya yang tidak diduga. Wajah Ezzat yang berpeluk tubuh sambil menyandar di sisi pintu menyapa aku.

Aku lihat, ada senyuman sinis yang terjongket di bibirnya.

Tak pasti sama ada dia mengejek atau mentertawakan aku dalam hati. Tetapi yang pasti, kenyataan yang terlepas dari bibir itu tidak lain tidak bukan, mesti akan menyakitkan hati aku di akhirnya.

"Apa yang Encik Ezzat cakap tu... semuanya salah. Kami tak dating dekat sini. Saya cuma nak tolong ringankan beban Ammara. Cuba encik tengok tangan dia tu..." Dhuha pantas menjawab. Matanya terpanah dalam kaca mata Ezzat yang terlempar tajam.

Aku yang berdiri di tengah-tengah terasa seakan ada satu aura yang menjerat tubuh. Kalaulah waktu ini boleh angkat kaki, memang aku angkat seratus batu jauh!

"Masing-masing ada tugas sendiri, kan? Lain kali... kalau kerja sendiri belum siap, jangan pandai-pandai nak tolong orang lain. Faham atau tidak?"

Aku pelik apabila mata Ezzat melekat pada wajah aku walaupun dia sebenarnya sedang bercakap dengan Dhuha. Ada apa-apa ke dekat muka aku ini? Ada tahi burung ke yang melekat?

"Faham, encik. Saya sambung kerja dulu. Maafkan saya sebab cetuskan onar." Dhuha menunduk sedikit. Selepas itu, dia terus beredar ke dapur. Sempat aku tangkap jelingan yang Ezzat hadiahkan kepadanya.

Sejurus itu, mataku tiba-tiba jatuh merenung lantai simen. Aku menunduk tanpa langsung arahkan mata ke atas. Hari kedua kerja, entah berapa 'strike' aku dah dapat.

Muncul rasa menyesal kerana menerima tawaran kerja di sini. Entah berapa bulan aku harus menghadap perangai sebenar Ezzat yang baru sahaja aku tahu yang dia...

Sangat komited dalam bekerja. Dia menjadi lebih tegas pada hal-hal yang melibatkan kafenya. Dengan mudah sekali aku dimarahi olehnya walaupun cuma sekecil-kecil masalah.

Jujurnya, aku tak marahkan Dhuha. Dia berniat baik dan sudi nak menolong aku cuma mungkin dia silap waktu. Tak pasal-pasal tertangkap oleh Ezzat.

Padahal kami bukan buat apa pun.

"Pandang aku."

Aku masih tidak memandangnya walaupun suara Ezzat nyata berbaur ketegasan. Jemari terasa sedikit menggigil dek buaian angin yang menampar diri. Sedikit masa lagi, agaknya hujan akan turun kerana aku dapat rasakan kesejukan daripada angin sepoi kian mencengkam tubuh.

"Ammara, please..."

"Apa dia?" Aku bertanya dalam nada berkadar rendah. Takut-takut kena tengking atau terus dibuang kerja. Manalah tahu hari ini mood Ezzat menjunam jatuh.

"Dia ke yang aku nampak semalam?"

Mataku terus terlempar pada wajahnya.


***

Dia? Siapakah dia tu yaaa?

Sabar jelah kalau Ezzat dah start jadi singa. Garang jugak tu! XD

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro