Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

TSS 3

AKU menghalakan kaki ke luar bilik usai sahaja selesai membersihkan diri dan menukar pakaian. Hujan di luar sana sudah semakin perlahan, berganti dengan langit yang kian membisik kegelapan. Pada waktu malam seperti ini, kawasan resort ditemani oleh bunyi siulan nakal si unggas.

Tangan digosok sesama sendiri. Sejuk masih terasa namun aku cuma biarkan. Aku suka duduk di luar. Menatap jelas kegelapan yang berada di atas sana. Dengan langsung, kotak fikiranku kembali mengimbas memori beberapa jam yang lalu.

"Kau kena hati-hati dekat kawasan sini. Banyak orang dengan perangai pelik. Yang lelaki tadi tu, aku rasa dia jadikan kau mangsa rawak dia. Tapi itulah, siapa tahu kalau bahaya nak datang?" Dia bersuara dengan tenang. Mata setia menatap aku yang diam membisu.

"Lepas ni... kau tak keluar pun tak apa. Duduk je dalam bilik diam-diam." Dia berpeluk tubuh.

"Kau siapa nak suruh aku duduk dalam bilik? Kau ingat aku jenis yang 24 jam menatap benda bosan?" Aku mendengus. Rasa panas hati bila kena arah buat itu dan ini. Hidup aku, bukan hidup dia. Suka hati akulah nak duduk dalam resort ke, nak duduk luar resort ke.

"Aku cuma bagi cadangan. Tak suruh pun kau terima ke tak." Dia menjawab selamba. Dapat aku lihat bibirnya terjongket sedikit. Tidak pasti sama ada tersenyum biasa ataupun tersenyum sinis.

Selang sesaat, matanya menatap aku tanpa lepas, sama seperti mataku yang tiba-tiba bolehkan terarah padanya. Aku terdiam sendiri. Tak tahu kenapa bibirku seakan digam dengan gam yang paling kuat.

Aku... tersentak dalam renungan itu.

Aku tidak pasti sama ada mataku tersalah lihat atau sebagainya tetapi meneroka pupilnya, seolah-olah aku pernah melihat sebelum ini.

Aduhai, Ammara!

Jauh betul berfikir. Mungkin hati aku rasa terganggu sebab itulah macam-macam perasaan timbul. Aku memujuk hati sendiri. Aku yakin aku salah orang.

"Lama termenung. Fikirkan apa? Pasal tadi?" Dia bertanya prihatin, sekaligus merentap dan mengembalikan aku ke dunia realiti. Pandangan kami langsung terputus.

"Apa dia?"

"Kau masih fikirkan kejadian tadi?" Dia mengulang semula.

"Kalau fikir semula pun, tak boleh ubah mindset dia. Bila dia dah lari macam tu, apa akan jadi untuk masa akan datang? Dia masih nak membunuh ke..." Dihujung ayat, suaraku terselit dengan perlahan. Aku simpati dengan nasibnya namun dalam masa yang sama, tiada apa yang boleh aku lakukan.

"Membunuh tu... hanya jiwa yang gelap je sanggup lakukannya. Kalaupun dia nak membunuh, mesti ada sebab yang buatkan dia cenderung ke arah itu. Aku tak cakap aku sokong apa yang dia buat tapi, kita tak tahu punca dia. Mungkin dari keruntuhan institusi keluarga atau dari pengaruh kawan-kawannya?"

Aku tertawa sinis. Dasar lelaki kuat berfalsafah. Mindaku membayangkan siapa yang bakal menjadi teman hidupnya kelak, pasti akan menadah telinga mendengar fakta demi fakta yang menyusup masuk dalam gegendang telinga. Silap hari bulan boleh cair tahi telinga!

"Dah lewat ni. Aku kena pergi. Ambillah ini sebagai salam perkenalan kita." Dia mengeluarkan sesuatu dari dalam kocek seluarnya sebelum item itu dihulurkan kepadaku bersama senyuman.

Aku teragak-agak namun tak mahu membiarkan dia berada di sini lama-lama, aku ambil juga item tersebut dengan hati separuh rela. Beberapa saat selepas dia mempamit, kelibatnya aku pandang dari jauh sehingga tubuh itu semakin menghilang dari pandangan mata.

"Ezzat." Aku menyebut sebaris nama itu dengan perlahan, tanpa rasa istimewa. Dia memberikan aku sebatang pen yang terukir namanya sendiri.

Tapi, buat apa dia beri barang kepunyaannya kepada aku? Baik pula hati dia ni, monologku sendirian.

SEHARI selepas kejadian tersebut, aku dapat menghirup udara dengan tenang. Tiada gangguan lain dan hanya aku sahaja yang seronok menyelusuri kawasan resort ini.

Aku tidak berapa tahu keluasannya berapa hektar tetapi keluasan itu sudah lebih daripada cukup untuk membuatkan kaki aku berasa lenguh jika terus berjalan dan berjalan. Kalau tidak silapku, berdekatan dengan tempat aku berdiri ada sebuah gerai yang menjaja beberapa jenis makanan ringan. Aku biasa beli apam balik kemudian makan seorang diri sambil menatap keindahan pantai!

"Memang seorang saja ke, adik? Kenapa tak bawa peneman? Tak bahaya ke jalan seorang diri kat tepi-tepi pantai macam ni?"

Selang beberapa minit menunggu apam balik siap dibungkus, seorang pekerja yang aku anggarkan dalam lingkungan 30-an datang menyapaku bersama beg plastik di tangan. Plastik berisi apam balik dihulurkan kepadaku. Aku dah bayar awal tadi.

"Tak apa, kak. Saya dari dulu lagi memang biasa sorang-sorang jadi kalau tak ada orang teman pun tak kisah sangat. Cuma itulah, saya risau je kalau berlaku benda yang tak diingini. Dunia sekarangkan banyak manusia yang rela buat jahat?" Aku menatap wajah wanita itu. Tak tahu kenapa, wajahnya seakan pucat tak berdarah.

Aku tak pasti sama ada kata-kataku terlalu 'bombastik' sehingga wajah pekerja itu boleh berubah.

Seperti berada dalam ketakutan tetapi tidak mampu terluah dari bibir.

"Akak okey ke ni? Akak nampak siapa sampai jadi pucat macam ni?"

Wanita itu masih berdiam dan hatiku semakin panasaran. Aku lihat, matanya langsung tak berkelip merenung sesuatu. Bila aku pusingkan badan ke belakang dan cuba mengintai apa-apa yang mencurigakan, tiada pula.

"Akak!" Suaraku yang bernada separa lantang terus mengejutkan wanita itu daripada lamunannya.

Bibir wanita itu terkumat-kamit membicarakan sesuatu namun aku tidak dapat mendengarnya dengan lebih jelas.

"Akak cakap apa?" Aku bertanya laju. Manalah tahu kalau wanita itu ingin membuka mulut dan bercerita.

"Tak ada apa-apa. Jangan risau, akak okey." Wanita itu melemparkan senyuman nipis seraya menggelengkan kepala. Nada suaranya bergaul dengan kesungguhan, langsung mematikan niatku untuk bertanya lebih lanjut.

Aku tak adalah jahat sangat sampai nak paksa orang. Mungkin dia tidak selesa dan aku tak mahu jadi seorang yang suka mendesak.

Usai berbual dengan wanita itu, aku terus melangkah bersama plastik apam balik di tangan. Tak jadi mahu makan disebabkan selera sudah direnggut oleh seraut wajah tadi. Masih kekal terimbas di kotak mindaku saat melihat dia ketakutan.

Lewat ekor mata, aku juga perasan keadaan badannya sedikit menggigil. Nak kata angin sejuk atau mahu hujan, tiada pula tanda-tanda untuk itu. Suasana pada hari ini agak cerah dan panas dek terik matahari yang tidak lelah menyimbahkan cahaya terangnya.

Bunyi jeritan nada dering telefon yang menjerit dari dalam poket seluar lantas mematikan otak aku untuk terus berfikir berkaitan isu tadi. Aku menggagau tangan di dalam poket kemudian menyeret ke atas bagi mengangkat panggilan telefon.

"Ammara! Aku ada benda nak beritahu kau ni."

Sebaik sahaja suara itu bergema, aku segera jauhkan telefon dari telinga. Aduhai, minah seorang ini tak pernah kalau tak memekakkan telingaku. Nasib baik kawan. Kalau tak dah lama aku ajak bertomoi!

"Ya, Ally. Apa dia?" Aku menjawab malas. Susah sangat ke nak direct to the point? Perlu ke nak bersimpang-siur segala? Sambil kaki melangkah, bibirku terjuih dengan sendiri.

"I'm getting married. Dalam masa terdekat ni."

Suara di corong telefon berdendang dengan sangat jelas di telingaku. Aku tersentak dengan pernyataan Mallysa namun dalam masa yang sama, timbul juga rasa kecewa. Aku tak dapat menolak rasa seperti dibelakangkan oleh teman rapat sendiri.

"Before you overthink, I'm telling you this. Aku minta maaf, Ammara. Aku sebenarnya nak beritahu kau, tapi... bakal suami aku suruh aku rahsiakan dulu. Takut perancangan terdekat tak berhasil," pujuk Mallysa. Dia kenal perangai aku bagaimana. Dia boleh tahu apa yang aku fikir.

Kalau aku menangis tanpa suara pun dia boleh tahu, inikan pula hatiku. Jujur aku katakan, Mallysa merupakan seorang kawan yang baik. Tak pernah sekalipun dia cuba pijak atau ambil kesempatan ke atas aku. Dia berkawan dengan aku secara ikhlas. Bukan kerana rupa, harta mahupun perkara lain. Sebab itulah, aku sangat sayangkan dia. Bila dia kata dia nak kahwin, tipulah kalau aku tak rasa kehilangan.

"Dia okey ke?"

"Siapa? Bakal suami aku tu?" Soalan dibalas dengan soalan.

"Ya. Dia... jaga kau dengan elok ke? Dia rapat dengan kau tak ada sebab yang pelik-pelikkan? Kau percayakan dia ke?" Nada suaraku yang kelihatan sedikit sinikal dibalas dengan keluhan kecil yang dapat aku dengari dari bibir Mallysa.

"Ammara... we already talked about this. Kau percayakan aku atau tidak? Kau kenal dengan aku dah berapa lama?" tanya Mallysa perlahan bagaikan membisik pada angin.

"Mestilah aku percayakan kau. Lagipun, kita kawan dah lebih dua tahun," jawabku. Mana mungkin aku tak percayakan Mallysa sementelah gadis itu yang selalu ada buatku.

"Then? Apa yang buat kau ragu? Kalau aku boleh percayakan bakal suami aku, kenapa kau tak boleh percayakan aku?" Suara Mallysa sedikit serak namun tegas. Aku tak tahu apa yang terjadi di sana. Tak dapat mengagak air muka Mallysa. Mungkin gadis itu marahkan aku.

Entahlah, aku tidak mampu membuang rasa paranoid dalam hati biarpun rasa itu melibatkan orang terdekat yang berada di sekelilingku. Aku sejenis yang teliti dan tak mudah percayakan sesuatu. Aku mahu mataku dihidangkan dengan bukti yang nyata. Kalau cuma terluah dari bibir sahaja, aku tak rasa semudah itu aku boleh menghadamnya.

"Ammara, are you still there? Jawab pertanyaan aku." Mallysa kelihatan terdesak dengan jawapan.

"Ally, kau yakin ke dengan keputusan kau?"

"Ammara..." Mallysa terjeda. Lelah denganku yang tak mahu berhenti mengulas topik ini.

"Aku nak yang terbaik untuk kau. You know... dunia aku cuma kecil. Tak ramai yang rapat dengan aku sebab itulah aku cepat jadi macam ni. Aku takut kalau bakal suami kau tu..." Belum sempat aku ingin menghabiskan butir bicara, Mallysa segera mencantasnya.

"Bakal suami aku apa? Seorang yang jahat, ego, panas baran, perengus atau apa saja yang kau tengah fikirkan tu?"

Aku dapat mendengar lantunan suara yang tinggi di sebelah sana. Kaki aku terus berhenti melangkah, diselangi dengan helaan nafas yang menderu perlahan. Aku cuma biarkan Mallysa yang sudah berubah tingkah itu. Segala amukannya aku hadam dengan jelas dan tepat.

Dia memang macam tu kalau tengah marah.

"Apa perasaan kau kalau orang sekat kau untuk ada perasaan dengan orang lain? Apa yang kau rasa kalau orang yang kita sayang, yang kita percaya... tak sokong apa yang kita buat dan ragu-ragu dengan pilihan kita? Paling teruk, dia tuduh tentang perkara yang dia tak pernah tahu pun?"

Di setiap satu soalan yang terlempar dari bibir Mallysa itu menghentak setiap pembuluh darahku. Aku mengigit bibir sendiri. Sedar bahawa aku dah menyakiti hati seorang gadis yang sentiasa ada denganku. Nyatanya, memang tak salah apa yang Mallysa cakap. Kriteria itu semua ada pada aku. Soalan-soalannya semua menghempap batang hidung sendiri.

"Ally, aku..."

"Aku tahu, kali ni aku agak keterlaluan tapi aku tak minta banyak. Sikit pun jadilah. Cuma percayakan aku. Percayakan pilihan aku," potong Mallysa. Di akhir kata, suaranya sudah berubah rentak. Tidak tegas seperti tadi tetapi aku dapat menangkap nada pilu yang diselitkan antara itu.

"Sebab kau pernah kecundang dalam percintaan, tak semestinya kau kena keraskan hati kau tu. You don't need to tell me every single thing. Aku faham sangat perasaan kau. He was your past and you deserves happiness. Jangan tutup hati kau serapatnya atas perkara yang dia dah buat. Sekarang, masa untuk kau cari kebahagiaan sendiri."

Aku menggelengkan kepala walaupun aku tahu Mallysa tidak dapat melihat gelengan aku itu. Jarang sekali Mallysa ungkit topik yang aku tak suka. Satu topik yang menggemapkan seluruh ruangan minda.

Hanya setahun. Pencapaian yang mungkin boleh buat orang lain berbangga.

Setahun itu... cukup lama untuk aku ubat luka di hati sendiri. Perasaan cintaku kepadanya sudah habis dan tiada meninggalkan baki walau sedikitpun. Impak daripadanya, aku berubah menjadi lebih kasar dan keras menjunjung ego. Hatiku jadi meluluh bila mengingati kenangan lama. Dia yang pertama mencuri hatiku, dia juga yang pijak kepala aku.

Dia buat aku menerimanya kemudian, dengan sewenang-wenangnya kaki itu melangkah pergi dari hidupku.

Dan aku yang bodoh kerana telah menyimpan perasaan terhadapnya.

"Lupakan dia, Ammara. Tak cukup ke setahun kau bazirkan untuk move on?"

"Aku dah tak cintakan dia."

"Apa yang kau buat tu betul. Okeylah, aku nak letak telefon dulu. Ibu suruh aku tolong angkat barang dapur."

Seusai telefon ditutup, aku mengeluh lagi untuk kesekian kalinya. Penat akal dan jiwa bila berlawan dengan masalah.

***

Dah sampai bab 3 ni so far, apa pendapat korang?

Untuk story kali ini, saya akan cuba update dengan kerap sebab banyak masa terluang sebelum lepas ni makin busy pulak 🤣

Musim covid masih lagi kena berwaspada, korang jaga diri okay ❣️

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro