TSS 28
TEKAK aku terasa haus. Kepala aku terasa berat kerana selepas pertemuan dengan Kak Jena, aku tak menjamah sebarang makanan. Ketika makan malam, ada mama dan Eirman di meja makan. Mama sempat lihat aku mahu meniti anak tangga dan menahan aku.
Aku tersengih kambing. Menggeleng kepala tanda menolak pelawaan mama untuk makan malam dengan mengatakan aku penat. Mama sedia maklum tentang kepulangan Ezzat yang lewat kerana sibuk menguruskan kafe.
Dengan rasa mamai, aku bangkit tergesa-gesa dari katil dan terus meluru ke pintu. Pintu aku buka lalu aku turun tangga tanpa langsung berniat melihat sekeliling. Lantaklah!
Tujuan aku hanya ke dapur.
Aku haus dan aku lapar! Aku tahu aku buat benda bodoh dengan tak makan malam tadi. Semuanya gara-gara mengikut perasaan serupa orang nanar. Hilang selera makan, lalu aku abaikan keperluan yang satu itu. Sedangkan kalau aku skip makan, tentulah aku akan kena gastrik.
Kaki aku menapak laju hingga sampai ke dapur. Aku hanya membiarkan lampu dapur yang tidak terpasang. Aku bimbang sekiranya buka lampu, penghuni rumah akan terjaga. Walaupun kedengaran kurang logik, tetapi aku malas fikirkan tentang itu. Ada benda penting yang harus aku buat.
Aku berdiri di hadapan singki. Paip aku buka lalu aku basuh wajah ini dengan tadahan tangan. Segarnya!
Setelah selesai minum segelas air, aku buka peti ais pula. Aku mencari sesuatu dan menjangkakan ianya ada namun aku diulit kecewa. Lauk malam tadi habis semua ditelan oleh Eirman ke?
Wajah aku berubah muram. Aku terasa mahu menangis mengenangkan semua itu. Aku tak rasa mahu penat masak sekarang ini. Kabinet atas aku geledah namun aku tidak menjumpai makanan yang boleh dibuat kudapan. Mama lupa beli barang dapur agaknya.
Jam kecil di pintu peti ais aku tatap. Pukul tiga pagi. Gila apa aku nak masak beria-ria? Memang tak boleh tidurlah jawabnya! Akhirnya aku termenung di atas kerusi. Kepala aku labuhkan di atas meja. Tak tahu apa yang patut aku rasa ketika ini.
"Kenapa kau tak makan malam tadi?"
Bahu aku terangkat ketika gegendang telinga aku memproses satu suara. Terus aku angkat kepala dan menatap wajahnya dengan tajam. Kus semangat! Aku urut dada perlahan.
"Kau buat apa dekat sini? Pergilah naik atas," halau aku. Aku masih berjauh hati mengingatkan sikap aku macam tunggul semata-mata menunggu lelaki itu.
"Tak nak, malas!" Ezzat jelirkan lidah pada aku. Melihatkan aku yang masih membatu di kerusi, dia tarik kerusi dan melabuhkan duduk di sebelah aku. Matanya meneliti wajah aku. Pipi aku dipagut.
Aku menghela nafas perlahan. Apa lagi yang dia nak buat ni?
"Hmmm... Kenapa ada bengkak kat bawah mata ni? Kau menangis eh?" Ezzat buat serkap jarang. Dia melepaskan tangannya dari pipi aku namun matanya masih lagi kekal pada wajah aku.
"Entah." Aku menjawab malas. Ketika itu, baru aku perasan bahawa lampu telah dihidupkan. Patutlah dia nampak sesuatu di mataku. Namun sedikitpun wajahnya aku tidak pandang. Sebaliknya mata aku terhala lurus ke hadapan. Termenung tengok sofa. Bukan sofa boleh bagi aku makanan pun.
"Macam mana semalam? Kak Jena okey tak?" Ezzat masih lagi cuba mencari cara untuk aku berbual-bual dengannya.
Aku angguk, sekadar mematuhi syarat menjawab soalan. "Okey."
"Okey je?" ujar Ezzat tidak puas hati. Sesaat kemudian, dia bangun daripada kerusi yang didudukinya. Tubuhnya lantas menghilang dari pandangan mata ini.
Aku tergemap. Dia marah aku sekali lagi ke? Mata aku meliar mencari sosok tubuhnya. Aku bangkit dari kerusi dan berdiri termangu-mangu di dapur.
Betul ke Ezzat marah aku? Dia marahkan aku kerana aku bersikap seperti orang yang tidak matang. Aku juga dah salahkan dia macam-macam dan cuba nak hancurkan kafe dan kariernya. Sudah tentulah dia marah sungguh-sungguh pada aku, kan? Ah, bencinya aku pada overthinking!
"Duduklah Sakura, aku masakkan untuk kau sekejap. Aku tahu kau tak makan sejak malam tadi." Ezzat tiba-tiba bersuara. Dia datang dengan beberapa jenis bahan-bahan untuk memasak. Tangan kiri dan kanannya penuh membawa item berbeza.
Aku terkebil-kebil. Masih memproses segala butir bicaranya. Wajahnya yang santai itu buatkan aku beriak tak percaya. Sejak bila pula dia baik hati mahu menawarkan untuk masakkan aku yang lapar ini?
Ezzat yang perasankan aku masih berdiri statik di situ, segera meletakkan barang-barang di atas meja. Pergelangan tangan aku ditarik lembut lalu dia dudukkan aku kembali di atas kerusi. "Duduk."
"Kau tak marah aku?" tanya aku tiba-tiba. Jari aku bersulam sesama sendiri. Hati aku berdebar-debar. Soalan yang aku tanya seperti soalan bodoh tetapi aku tidak dapat menahan bibir dari bertanyakan sesuatu kepada Ezzat.
"Kenapa?" Ezzat bertanya kembali. Wajahnya berkerut pelik.
"Kenapa kau tak marah aku, Ezzat? Kenapa?" Aku tunggu kau marah aku, tapi tak ada sekelumit pun tindakan yang tunjuk kau marah pada aku. Selebihnya aku menyambung di dalam hati. Minda sempat lagi berteka-teki dengan pertanyaan yang aku sendiri reka di dalam hati.
"Nak marah kenapa pula ni?"
"I'm serious okay! Jangan buat-buat tak faham boleh tak?" Bibir aku mencebir geram. Hujung mata sempat menjeling perilaku Ezzat yang berdiri membelakangi aku. Sekali-sekala dia akan bergerak mencari sesuatu di bawah kabinet. Keadaan sedemikian agak membatasi aku untuk meneka apa yang bersarang di lubuk hatinya.
Soalan aku hanya terbiar sepi.
Beberapa minit keadaan menjadi hening tanpa suara. Aku sengaja mendiamkan diri walau hakikatnya bebola mata aku tidak lepas daripada memerhatikan tingkah laku Ezzat di dapur.
Pertama kali aku melihat dia memasak dengan cara begini. Nampak versatile dan menawan pula di mata aku. Sebab selama aku bekerja di kafe dahulu, kerjanya tahu mengarah aje! Jarang benar aku nampak dia turun memasak di dapur.
Setiap gerakan jarinya menghiris bawang dan halia, aku perhatikan sahaja. Kerja yang dilakukan cekap. Tangkas dan teliti pun ya. Tidak buang masa walau sesaat. Hingga sedar-sedar sahaja, sudah terhidang sepinggan nasi goreng di atas meja. Berkepul-kepul asap naik ke udara. Bau yang enak lantas mencengkam hingga ke lohong sukma.
Aku teguk liur.
"Baca doa dulu okey..." tegur Ezzat perlahan. Aku tersengih malu lalu menadah tangan. Ezzat juga melakukan perkara yang sama. Membaca doa lalu aku aminkan dengan semangat. Bercahaya mata aku melihat makanan di hadapan tanpa aku sedari sisi wajah aku diperhatikan.
Satu senyuman terbit di bibir aku kala nasi goreng sudah selamat menuruni ke perut. Aku makan dengan berselera. Langsung tak control ayu depan Ezzat. Ah, biarlah dia yang penting aku kenyang!
"Sedap tak?" tanya Ezzat. Dia menopang dagu sambil memerhatikan aku makan dengan penuh nikmat.
"Bolehlah, biasa-biasa aje." Aku balas juga. Kali ini sengaja aku buat wajah serius. Sengaja mahu menyakitkan hati Ezzat.
"Iya ke? Nak rasa jugak, boleh la tahu biasa-biasa ke luar biasa." Serentak dengan itu, sudu yang terletak elok di dalam pinggan dirampas oleh lelaki itu. Mata aku terbuntang apabila melihat Ezzat menyudu nasi goreng yang aku makan tadi. Selamba sangat!
"Mana boleh share sudu aku. Kumanlah nanti, eee!" Aku berbisik keras.
Suara aku diperlahankan, takut orang lain terjaga. Sudahlah aku ini terbangun pagi-pagi buta. Tak sangka pula Ezzat akan menyertai aku. Aku ingatkan nasib aku akan berakhir dengan kembali tidur tetapi aku dapat rasa air tangan buatan Ezzat. Sedap je sebenarnya!
"Apa hal pula tak boleh kongsi? Habis tu, kita kongsi katil tu sama-sama elok aje? Besar pula katil tu, sama la besar macam pinggan ni," jawab Ezzat tidak mahu kalah. Dia ukir senyuman mengusik.
Wajah aku menebal. Rasa macam kena baling dengan tomato busuk! Aku larikan mata daripada menatap wajahnya. Geramnya aku! Rasa macam nak baling selipar saja!
"Tu sebab terpaksa okey! Aku tak inginlah nak duduk sekatil dengan kau tahu tak? Ter. Pak. Sa. Kalau pindah bilik lain, nanti mama fikir bukan-bukan pula."
"Dan satu lagi, mulut kau tu boleh tak jangan nak cakap kuat-kuat? Nak bagitahu satu dunia ke apa?" Aku beri amaran diselitkan bebelan kepada Ezzat. Aku tahu yang dia tak akan dengar cakap aku juga di akhirnya.
"Kenapa tak boleh cakap kuat-kuat? Oh my cherry blossom, why are you blushing so hard? Aku salah cakap eh?"
"Ezzat, stop it!" Mata helang aku seakan mahu membaham langkah Ezzat yang telah dibuka menjauhi aku. Tak buang masa lagi, aku terus buka langkah mengejarnya mengelilingi dapur.
Tengah-tengah pagi buta saling berkejaran seperti kanak-kanak riang? Gila!
ENTAH apa yang merasuk aku, semangat bekerja aku hadir tanpa dipinta. Kedatangan aku pagi itu mengejutkan kawan-kawan aku yang sedang bekerja di kafe. Tiya terkedu merenung wajah aku. Dulang di tangan Tiya hampir sahaja terlepas ketika dia meluru mendapatkan aku dengan riak wajah yang sukar aku gambarkan.
"Ammara! Kenapa kau datang sini?" Tiya menarik aku ke ruangan rehat kafe. Serata ruangan rehat itu diperhatikan. Apabila yakin tiada sesiapa melainkan aku dengan dia di sini, barulah Tiya membuka mulut.
"Kau tak patut datang hari ni dan hari-hari mendatang!" bisik Tiya ke telinga aku. Bisikan kerasnya seakan merenjat tubuhku.
Dah kenapa pula minah ni? Dia dah ubah skop bencinya kepada aku pula ke?
"Suka hati akulah nak datang kerja hari ni. Kau halau aku ya, Tiya? Sampai hati kau..." Aku berlelucon. Pura-pura berjauh hati dengan Tiya. Tetapi aku tidak faham apa yang membelit minda Tiya ketika ini. Rusuh sahaja wajahnya.
"Weh! Kau sumpah ke tak tahu ke apa yang dah jadi lepas kau kahwin dengan Encik Ezzat? Dia orang semua dah gila!"
Wajah Tiya aku renung dengan keliru. "Aku tak faham. Apa yang kau nak cakap Tiya?"
"Semua staf dah tahu yang kau tu dah kahwin dengan pemilik kafe ni! Entah malaun mana nampak kau keluar dengan dia lepas tu cakap benda bukan-bukan. Kau tengah jadi buah mulut orang, Ammara. Mereka cakap entah siapa-siapa kau ni. Selalu bergaduh dengan Encik Ezzat tapi rupanya masuk office dia sebab kau nak goda dia. Tahu-tahu nanti habis harta Encik Ezzat kau kikis!" Beria-ria Tiya bercerita. Satu pun tak tinggal.
Bibir aku melopong. Dua ayat terakhir Tiya buatkan aku mengetap rahang.
"Gila la dia orang ni! Aku tak pernah punlah terfikir nak kikis dan goda pemilik kafe kesayangan dia orang tu." Aku geleng kepala. Aku ingatkan perkahwinan sembunyi kami akan tertutup dari pandangan mata orang lain, tetapi lain pula yang berlaku.
"Sebab itulah aku cakap, bahaya kau datang sini. Kau tak tahu ke perempuan yang famous dengan gelaran Lisa Lobster tu duk syok-syok kat Encik Ezzat tapi sampai sekarang hasrat dia tak kesampaian. Hahaha! Aku perasan kut dia selalu jeling kau tak puas hati." Tiya menambah lagi. Riak wajahnya penuh realisik. Macam pelakon hebat abad ke-21 ini!
"Nak takut apa? Biarlah dia kalau nak suka kat Encik Ezzat tu. Aku tak boleh halang, kan?" Bibir aku mencebir. Bukan aku tak perasan Lisa selalu jeling-jeling aku. Dia tidak puas hati tetapi tidak pula cuba nak tegur aku.
"Hei, kau pun dah gila ke nak biarkan perempuan tu rapat-rapat dengan suami kau. Suami kau! Hello, Ammara. Kau mesti lupa yang kau dah ada suami, kan?" Tiya tak sudah-sudah menembak aku.
"Satu lagi... Kau lupa ke yang kau pernah hantar surat berhenti dekat laki kau dulu? Now, aku baru faham kenapa. Sebab Encik Ezzat tak nak kau bebankan diri kerja sungguh-sungguh betul tak? Tak sangka betul, gaduh-gaduh akhirnya jatuh cinta!" Tiya ketawa mengilai.
Bibir aku melorek senyuman pahit. Kepala aku tunduk merenung jemari sendiri yang dihiasi cincin pemberian lelaki itu.
Kawan-kawan aku selalu nampak aku bergaduh dengan Ezzat. Mereka kata... Kami ini seperti anjing dengan kucing. Tetapi mereka tak pernah tahu apa yang selalu buatkan kami bergaduh. Semuanya pasal arwah anak angkat aku itu. Setiap kali kami bergaduh, pasti aku akan menyalahkan dirinya. Nama Amanda pasti akan kupetik sekali.
Ya, Tiya tak tahu tentang itu. Dan aku tak terfikir untuk menjelaskan apa yang dah berlalu. Kebenaran telah pun terbukti bahawa Ezzat tak bersalah. Hanya aku yang selalu paranoid dengan diri ini.
Selepas aku berjaya mengejar Ezzat pagi tadi, aku berikan alasan mahu buat kerja sebelum tidur. Kerja apa? Kerja termenung.
Ezzat yang mengantuk hanya mengangguk. Kemudian dia menghilang masuk ke bilik. Wajahnya tidak bermaya, mungkin penat dengan kerja yang tak habis-habis.
Aku larikan diri dari bertemu muka dengannya. Kebetulan waktu itu Ezzara tiada di rumah kerana dia sedang bercuti dengan kawan-kawannya. Aku mengambil kesempatan untuk menyelinap masuk ke dalam bilik Ezzara tanpa sesiapa tahu. Ya!
Pukul empat pagi, mata aku masih belum dapat dilelapkan. Pelbagai hal aku fikir seolah-olah aku ini ketua di sesebuah negara pula. Walhal memikirkan masalah hidup yang memberat buatkan dada aku lebih diasak perih.
Hingga aku tak sedar aku dah terlelap di atas sofa kecil milk Ezzara. Dan pagi tadi, lelaki itu bergegas ke kafenya. Tanpa beritahu apa-apa, dia tinggalkan aku begitu sahaja. Walaupun aku sedar kala mata ini tercelik, aku berada di biliknya.
"Tiya, aku rasa aku nak mulakan hidup baru. Aku nak cuba untuk tak nak benci siapa-siapa. Aku nak cuba berlapang dada," ujar aku tiba-tiba. Entah Tiya faham atau tidak apa yang aku katakan, tetapi aku selesa meluah padanya.
"Aku terharu sebab kau buat benda yang betul, Ammara. Aku akan sokong dan berdiri di belakang kau. Kalau kau rasa sendiri, ingat. Kami... Sentiasa ada untuk kau."
Dan aku, terharu.
Persahabatan ini kecil. Tapi penuh bermakna. Buatkan dunia aku yang hilang pelangi kembali lengkap dengan adanya mereka.
TANGAN aku mengetuk pintu bilik yang selalu aku jejaki semasa aku bekerja di sini. Cukup tiga kali ketukan, aku tidak mendapat sebarang sahutan dari dalam. Aku menggali nafas dalam-dalam, sekadar mahu menenang gelojak hati yang dihambat gelisah.
Betul ke apa yang aku mahu lakukan pada ketika ini? Sudah cukup ke kekuatan yang aku kumpul selama ini?
Ibarat manikin, aku berdiri lama merenung pintu. Entah apa yang menariknya, aku pun tidak mengerti. Mahu berundur, rasanya aku seperti orang yang pengecut pula.
Jemari aku singgah di tombol pintu. Saat aku ingin menarik tangan aku daripada memulasnya, suara yang aku nantikan sejak awal pagi lagi, kian bergema dari dalam bilik tersebut. Keluhan kecil terlepas dari bibir.
Tak, ini bukan masanya untuk aku larikan diri. Aku kena jadi tenang supaya tak ada lagi perkara teruk berlaku.
"Nak masuk ke tidak yang berdiri dekat luar tu?" jeritnya. Suaranya tegas bak halilintar. Mungkin dia tidak betah menanti 'insan' yang seringkali membuang masanya seperti aku. Lambat-lambat, aku pulas juga tombol pintu itu.
Seperti biasa, aku mengerti dengan perilakunya yang berbeza setiap kali dia masuk bekerja. Pernah suatu ketika aku bekerja dahulu, aku melihat seorang pekerja dimarahi teruk oleh lelaki itu. Padahal dia tak buat salah yang teruk pun.
Ezzat dan angin. Dua perkataan yang berbeza tetapi aku sinonimkan dua perkataan ini dalam satu bait yang sama. Kadangkala, dia boleh hadir bersama badai. Kadangkala, dia juga boleh hadir seperti redupnya pohon yang tumbuh melata. Kadang-kadang, aku juga keliru dengan kedua-duanya.
Kepala aku terjengul di balik pintu. Aku tutup pintu rapat-rapat seiring dengan kaki ini melangkah mara ke hadapan. Dengan selamba, aku melabuhkan duduk di atas kerusi roda yang berada setentang dengan meja kerja Ezzat.
Anak mata ini, aku lempar tepat pada wajah lelaki itu. Riak wajahnya lebih tenang daripada hati aku, jelas tidak terkejut dengan kehadiran aku di kafenya ini. Apa mungkinkah dia memang dapat mengagak bahawa aku akan datang serang kafe pada pagi ini?
"I want to talk something serious. Tentang kita berdua." Aku mulakan perbualan tanpa madah mukadimah. Liur aku telan seraya membasahkan tekak yang terasa kering.
"Tentang kita?" Ezzat menyoal aku. Nadanya berubah sarkastik seakan mahu menyakiti hati aku. Wajah aku ditatap serupa mahu ditelan sahaja. Membuatkan punggung aku jadi panas untuk duduk dengan lebih lama lagi.
"Aku dah tahu banyak benda tentang Amanda lepas jumpa Kak Jena semalam. Aku dah tahu yang kau tak bersalah. Secara tak langsung, kau juga sebenarnya mangsa keadaan, tiga tahun lepas," beritahu aku.
"So?" Ezzat berpeluk tubuh. Suara dia mendatar seperti tidak mahu melayan perbualan aku. Ya, dia nampak macam malas nak layan aku ketika ini.
"So je yang kau boleh cakap?" Aku tidak puas hati. Mulalah darah kembali mahu mendidih. Ya Tuhan, tolong sabarkan hati aku. Aku tak mahu cetuskan apa-apa 'peperangan' lagi. Aku tak mahu buat 'gelanggang perbicaraan' ini dipenuhi dengan darah pula.
Kenapa aku dapat rasakan Ezzat sedang marahkan aku tanpa sebab yang kukuh walaupun dia tak cakap secara terang-terangan? Kejadian pagi tadi terimbau kembali ke dalam memori aku. Dia seolah-olah mengembalikan paku buah keras.
"So, what do you want me to do? Kalau tak ada apa-apa lagi, silakan keluar dari bilik ini." Usai mengatakan itu, Ezzat mencapai buku notanya di tepi meja. Pen diambil lalu lembaran buku nota itu ditulis dengan sesuatu. Sedikit pun dia tidak menatap wajah aku. Beberapa minit berlalu, dia masih sibuk dengan kerjanya yang satu itu!
Hati aku mendongkol dibawa satu rasa. Tidak dapat tidak, bibir aku memuncung. Kenapa dia tiba-tiba jadi dingin dengan aku? Sedangkan pagi tadi kami baik-baik sahaja. Dia buat-buat sibuk sedangkan aku mahu mengajaknya berdamai.
"Baru semalam abu jadi tunggul, sekarang ni tengah cakap dengan tunggul jugak rupanya." Bibir aku menggetus perlahan. Bebola mata aku campak meneroka bilik ini. Sejujurnya, dah lama aku tak masuk ke ruangan ini. Mata aku akhirnya terhenti pada bingkai gambar kecil di hujung sudut. Dari jauh aku tahu gambar itu... Gambar kahwin kami.
Aku terkedu. Sampai begitu sekali Ezzat abadikan memori perkahwinan kami dan meletakkannya dalam bingkai gambar yang cantik itu. Dalam gambar itu, Ezzat duduk rapat di sebelah aku dan aku mengukirkan senyuman. Senyuman plastik bagi menutup hati ini. Kerana perkahwinan ini, bukan kehendak aku sejak dari awal lagi.
Aku sangat malas untuk menyerabutkan kepala ketika ini. Aku mahu follow the flow. Aku mahu masa depan tentukan segala-galanya untuk aku.
"Why don't you question that?" Suara Ezzat menjengah perhatian aku. Pen kembali diletakkan di tempat asal. Kemudian, ekor matanya turut sama bergerak mengikut arah mata aku.
"Why should I?"
"You loathe me. You hate every single thing about me. You even try to avoid me earlier."
Mendengarkan itu, nafas berat yang aku kumpul akhirnya terlepas jua. Tampang wajah Ezzat aku amati tanpa lepas. Aku rapatkan tubuh ke hadapan mejanya. Kedua-dua tangan aku letakkan di atas meja seraya diramas sesama sendiri. Bahasa tubuh aku apabila merasa gelisah dengan diri sendiri.
"I'm really sorry, for everything. Aku sedar aku silap sebab buat tuduhan yang tak berasas dekat kau. Hari tu kau dah jelaskan semuanya tapi aku yang tak nak dengar. Aku butakan mata dan pekakkan telinga. Aku tahu aku dah keterlaluan. Setiap kali kita bergaduh, semuanya sebab aku. Aku yang tak peka dengan perasaan orang." Luahan jujur aku akhirnya dilepaskan dari bibir.
Malangnya, aku tidak mendapat sebarang balasan daripada Ezzat. Hanya bunyi kipas yang berputar-putar laju menakutkan aku seperti kipas itu turut menyimpan amarah kepadaku.
"Could you please say something, Ezzat? Aku tak bercakap dengan batu kerikil, kan?"
"Kau tak peka dengan perasaan aku ke, Ammara? Ada kau kesah perasaan aku?" balas Ezzat masih dingin. Dia seperti tidak mahu bertentang mata dengan aku. Setiap kali aku cuba menemukan pandangan kami, setiap kali itulah juga dia larikan matanya.
Dia jijik sangat ke dengan aku?
Telinga aku dapat menangkap nama aku yang disebutnya tadi. Ammara. Bila dia sebut Ammara, memang dia angin dekat aku. Panggilannya tidak mesra seperti selalu. Seperti yang pernah dia buat sebelum ini.
"Aku minta ma..."
"Kata maaf tak cukup untuk kembalikan segala yang dah berlaku, Ammara..." Bicara aku dicantas olehnya.
"Okey, aku mengaku aku tak peka dengan perasaan kau, Ezzat. Aku tak pernah kesahkan perasaan kau. Aku tak peduli dengan apa-apa yang melibatkan kau. Kau nak aku buat apa lagi supaya kau maafkan aku?" Aku hilang sabar. Rasa kecil sangat diri ini. Aku tahu aku dah buat salah besar, tetapi adilkah jika aku dihukum dengan kedinginannya?
Aku datang untuk membetulkan keadaan, malah sebaliknya pula berlaku. Aku ketap bibir. Aku risau seandainya bibir ini menuturkan sesuatu yang teruk. Aku cuba tahan sebab aku tak mahu berubah kasar dan lepas laku seperti aku yang dulu.
"I'm not avoiding you, Ezzat. Aku perlukan masa untuk berterus-terang. Kau patut kenal macam mana sikap aku. Tak mudah aku nak berubah. Nak buka hati dan minta maaf... Sangat susah. Tapi aku cuba demi kau. Malam semalam, aku tunggu kau balik tapi kau tak muncul-muncul pun!" Bibir aku terbuka lagi. Tak betah aku berdiam diri. Biar dia hadam semuanya.
"Kau tunggu aku?" tanya Ezzat terkejut. Barulah matanya dilarikan menjamah serata wajahku.
Aku sengaja mendiamkan diri buat beberapa detik. Mindaku ralit termenung mengenangkan penantian aku yang sia-sia. Aku tak rasa aku boleh berada di dalam sini lama-lama. Dia dah halau aku tadi maka haruslah aku sedar diri.
"It's a waste of time talking to me, kan? I should go home now." Nada suara aku rendah. Aku berura-ura untuk bangkit namun tidak semena-mena, pergelangan tanganku direngkuh oleh Ezzat. Aku tidak sedar Ezzat telah berpindah duduk di kerusi yang kosong di sebelahku. Tarikannya cekap sehingga roda kerusi bergerak rapat bertentangan dengannya.
Aku telan liur saat lutut kami berlaga. Spontan, mata kami berdua bertemu. Dan aku, terkunci di dalam renungan itu.
"Aku dah lama maafkan kau. Jangan risau." Kepala aku dibelai lembut. Juring bibir Ezzat ternaik membentuk senyum kecil.
"Serius?" Aku menyoal seperti tidak percaya.
Ezzat mengangguk. Dan aku, sangat lega ketika itu. Seakan beban berat yang menimpa tubuhku, hilang serta-merta. Dadaku terasa lapang!
"Aku pun minta maaf sebab buat kau tertunggu semalam. Boleh tak kau maafkan aku?"
"Okey. Aku pun lupa nak cakap terima kasih sebab masak untuk aku." Tak sedar, aku ketawa senang hati. Aku juga tidak mengerti dengan hati sendiri. Adakah ini merupakan ketenangan yang telah lama aku cari?
"Hmmm... Apa kata, kita mulakan hubungan kita dengan... Kawan?" Idea daripada kotak fikiran tiba-tiba terpacul dari bibir aku.
"Hubungan kita? Kawan?" Dahi Ezzat berkerut. Aku yang memerhatikan sedari tadi, turut berkerut pelik. Entah apa yang ada di fikirannya saat itu.
"Yup! Kawan. Friend. Chingu. Nak tak?" Sepatah demi sepatah aku menjawab. Kelopak mata aku terkedip-kedip comel setelah tersedar aku sebut satu perkataan daripada Bahasa Korea. Wah, tak sangka aku masih mengingatinya!
"Mesti ke kena jadi kawan?"
"Yelah! Kalau kita jadi kawan, kau tolong aku, aku tolong kau. Win win situation, kan?" Entah bernas atau tidak cadangan ini tetapi aku hampir sahaja melepaskan tawa. Ada sesuatu yang mencuit hati aku. Bila aku dah berdamai dengan Ezzat, aku rasa hidup yang aku jalani tidaklah seteruk mana yang pernah aku sangkakan.
Aku hulurkan tangan kanan ke arahnya. Kening aku terangkat, menantikan jawapannya.
"Fine. Ammara Sakura 'kawan baik' Ezzat Hadif. Puas hati?" Ezzat akhirnya mengalah. Tangan kanannya dibawa ke arah aku lalu jari-jemari kami bersulam. Balasan itu disambut dengan satu senyuman spontan di bibir aku.
_______
Ammara jadi kawan Ezzat? Ini mimpi ke realiti sebenarnya? Betul ke Ammara dah boleh terima Ezzat dalam hidup dia? Hihi.
Terima kasih yang masih baca dan tunggu update TSS! This update is for you. There you go, my love! See you in the next part okie! :D
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro