Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

TSS 19

AKU pegang pemegang tangga dengan kuat agar memastikan badan aku tidak jatuh tersembam tangga. Entah mengapa, terasa lantai tangga yang aku pijak ini licin atau kaki aku yang bermasalah sebenarnya. Namun, aku tetap turun dengan perlahan-lahan, sehinggalah kepalaku terdongak tatkala diseru satu suara lembut.

"Ammara hati-hati, ya. Mama minta maaf sebab tak sempat keringkan lantai tangga tu. Dia basah sikit sebab mama baru lepas mop tadi," ujar wanita itu yang sedang tersenyum manis.

Aku rasa serba salah sebab buat wanita itu risau. Pun begitu, terdetik juga pujian dalam hati aku. Rajin betul wanita ini melakukan kerja rumah. Kalau kira dengan diri aku, aku sendiri tak larat nak mop lantai.

"Makcik..."

"Mama. Panggil mama saja." Wanita itu terlebih dahulu memintas, membuatkan aku sendiri terkedu.

"Ammara tak biasa la panggil makcik dengan nama mama. Mama, kan bukan ibu mertua Ammara..." Aku jelaskan dengan jujur lalu menggarukan kepala yang tidak gatal. Memang tipikal seorang ibu mudah sangat jatuh selesa dengan gadis yang baru dia temui? Aku pula yang gerun sebab rasa tidak selesa sangat.

Aku tahu wanita ini ibu kepada Ezzat kerana wajah dia persis seperti lelaki itu. Kalau Ezzara, aku dapat rasakan wajah gadis itu sama seperti rupa paras ayahnya. Selain itu, ibu dia sungguh peramah. Dia tak perkecilkan aku malah layanan yang dia tebarkan seperti aku ini anak kandungnya sendiri.

Telinga aku menyambut ketawa kecil yang diselangi dengan jawapannya.

"Jujur sangat kamu ini. Tapi tak apa, mama memang suka perempuan yang berterus terang. Panggil mama saja, ya?" Nada suara yang penuh pengharapan membuatkan hati aku tidak sanggup menolak. Sudahnya, kepala aku terangguk-angguk setuju. Tak mahu menghampakan wanita baik seperti ini.

"Okey, mama."

Ketika aku mahu turun dan membantu wanita itu untuk menyediakan apa yang patut, tiba-tiba mindaku dijentik satu persoalan. Ayah dia mana ya? Tak nampak pula turun ke bawah. Ataupun ayah dia pergi mengopi dengan kawan?

"Emm... mama. Nak tanya sikit boleh tak?" Aku bertanya takut-takut. Aku risau jika wanita itu tak selesa dengan soalanku. Kadang-kadang orang tak suka sebab aku ini sejenis yang lepas laku dan suka cakap dengan jujur.

Lagipun, buat apa nak menipu sangat? Bukankah lebih baik menelan yang pahit di awalnya daripada menerima manis di hujungnya? Kerana, pahit sebuah kebenaran akan mengurangkan kemanisan penipuan di akhirnya.

"Tanya banyak pun boleh, sayang." Wanita itu ketawa lagi. Wajahnya berseri-seri sahaja. Seperti wanita awet muda. Aku yang melihatnya turut terpegun.

"Suami mama memang tak turun sekali ke? Dia pergi mana?"

"Dia memang tak akan turun dah. Dia pergi jauh... sangat. Dia dah tak ada, meninggal dunia masa Ezzat umur 14 tahun," jawab wanita itu dengan senyuman kecil.

Hati aku seperti jatuh dihempap batu berat. Walang dirasakan kerana tanpa sedar kata-kata ini dah membuatkan wanita itu sedih. Bahunya aku usap lembut dengan riak serba salah.

"Maaf, tak sangka soalan Ammara ni..."

"Tak apa, sayang. Mama tak marah. Apapun, kalau kamu nak tahu, nama mama Kamilia." Wanita itu memperkenalkan dirinya. Sambil dia melangkah ke hadapan, langkahnya aku ikut ke dapur.

"Cantik nama mama," puji aku ikhlas. Tak tahu kenapa, sejuk sahaja telinga aku didendangkan dengan nama tersebut. Senyuman aku terbentuk sendiri secara spontan. Kami sudah sampai ke dapur akhirnya.

"Ammara dah lama kenal Dif?" tanya Puan Kamilia yang sibuk mahu memindahkan pinggan ke meja makan. Aku segera membantunya dengan menghulurkan tangan. Pinggan itu aku letak dengan cermat di atas meja makan dan seterusnya, mengambil alih kerja wanita itu dengan mencari cawan yang tersusun di tepi rak.

"Dalam sebulan dua kalau tak silap Ammara." Aku menjawab ringkas selepas membuat perkiraan. Cepat sungguh masa berlalu tanpa aku sendiri sedari. Semasa aku kerja di Creme aku tidak perasan dengan semua itu. Bila wanita ini mengajukan persoalan, barulah aku perasan apa yang aku tak ambil tahu.

"Oh! Maknanya Ammara dah berjayalah."

"Maksud mama?"

"Ada seorang bekas pekerja Creme, seminggu saja dia kerja dekat situ dan dia memang tak tahan dengan perangai Dif. Dia terus bagi alasan nak berhenti sebab tak boleh carry dengan perangai anak mama tu. Orang cakap, dekat kafe dia memang tegas gila. Mama pun terkejut dengar sebenarnya selepas Zara yang cerita." Penjelasan Puan Kamilia membuatkan aku terangguk-angguk.

Betul ke aku berjaya tahan dengan perangai Ezzat? Hati aku menyoal ragu. Ikutkan hati, mahu sahaja aku ceritakan hal yang sebenar dekat mama dia ini tetapi aku rasa macam tak perlu. Masalah ini antara aku dengan dia jadi biar aku sahaja yang selesaikan apa yang patut aku selesaikan. 

Tak mungkin aku mahu lukakan hati mama dia yang baik seperti ini. Tak mungkin juga aku toreh hati Puan Kamilia dengan kenyataan anaknya merupakan seorang pembunuh. Aku masih sakit hati kerana Ezzat bermain tarik tali. Aku bengang kerana dia tak mahu berkata jujur denganku.

Apa susah sangat nak mengaku? Kenapa dia lebih suka buatkan aku bertambah benci kepadanya?

"Mama rajin ke datang kafe? Ammara tak pernah pula nampak mama selain Ezzara." Aku lontarkan wajah aku menatapnya. Masih menanti jawapan dari seulas bibir merah milik Puan Kamilia. Sambil itu, aku telangkupkan beberapa buah cawan untuk aku tuang air kopi panas. Sementara menunggu penghuni rumah turun, elok juga aku meringankan tulang dalam membuat kerja.

"Dulu memang kerap mama jenguk kafe. Sekarang ni, nak keluar pun malas. Mama lebih senang duduk di rumah saja, bebas untuk buat apa yang mama suka." Puan Kamilia ketawa kecil. Sambil itu, belakang tengkuknya yang lenguh diurut perlahan.

Aku yang melihatnya mulai jatuh simpati. Kaki aku melangkah mendekatinya kemudian tangan aku singgah mengurut lembut batang leher wanita itu. "Sakit dekat sini ya, mama?"

"Ammara tahu?" Puan Kamilia sedikit terkejut dengan tindakan aku. Namun tidak pula dia menolak tangan aku yang menyentuh lehernya, sebaliknya dia cuma tersenyum nipis.

"Arwah ibu selalu mengadu lenguh dekat leher. Masa kecil dulu, Ammara akan urut leher ibu sampai ibu tersandar lega," jawabku jujur sambil turut ukirkan senyuman.

Entah mengapa, rasa mahu mengingat kembali memori yang satu itu. Memori di mana aku akan jadi tukang urut khas untuk arwah ibu. Setiap kali badannya sengal atau lenguh di bahagian sendi, akulah yang akan membantunya. Setiap kali aku selesai memberi urutan percuma untuknya, dia akan hidangkan aku pastri yang dia buat sendiri.

Agaknya gen membuat pastri aku turun dari arwah ibu. Kerana itu, aku tekad mahu belajar lebih lagi berkaitan pastri dan makanan.

"Mesti arwah ibu kamu sayang sangat dekat kamu." Tangan aku berhenti mengurut selepas aku yakin Puan Kamilia merasa sedikit lega. Aku sambung kembali tugas yang tergendala. Mangkuk yang berisi mi goreng aku bawa ke meja.

Aku anggukkan kepala.

Menjadi anak tunggal, mungkin orang akan ingat itu suatu keseronokan tetapi tidak kepada aku. Aku rasa terlalu sunyi sementelah aku akui, kawan aku bukan ramai yang mahu mendekatiku. Kalau ada pun, ramai yang tidak ikhlas dan cuma mahu ambil kesempatan. Sudahnya, aku biarkan sahaja diri aku yang sendiri. Itu lebih baik dari aku terus-terusan menyakiti hati aku dengan semua itu.

"Bertuah sungguh kamu. Kalau mama dulu, tak sempat nak buat benda lain, suara anak-anak dah bising satu rumah. Kadang tak ubah macam anjing dengan kucing. Ezzara tu suka cari gaduh dengan abang dia, tapi dalam masa yang sama, kalau datang mood baik dia, memang kamceng terus dengan Dif. Yang seorang lagi, entah bilanya nak jejak kaki kat rumah. Belajar aje semedang."

Ketawa yang terlahir dari bibir Puan Kamilia turut terlahir dari bibir aku sendiri tanpa sedar. Seronok hati aku mendengar cerita wanita ini. Sememangnya, selain bercerita, dia juga tidak lokek berkongsi ilmu baharu dengan aku. Macam-macam aku dapat bila berbual dengannya.

"Tak bertuah pun, mama! Senyap seorang diri lepas tu duduk tepi dinding macam tunggul kayu," tutur aku bersama sengihan. Rasa nak gelak sahaja sewaktu mengungkap kisah sendiri. Dengan Puan Kamilia, aku terus selesa mahu meluah lebih lagi malah aku anggap dia ini seperti ibu aku sendiri.

"Ada kelebihan Ammara jadi anak tunggal. Tak adalah bercakaran dengan adik beradik lain. Lepas tu, tak ada timbul isu pilih kasih dengan yang lain. Semuanya Ammara sendiri saja." Puan Kamilia masih rajin bersuara.

Kerja kami sudah selesai. Tinggal tunggu mereka turun sahaja. Itu pun setelah beberapa minit tunggu pun, masih juga belum kunjung tiba. Sudahnya aku yang tawarkan diri jadi tukang panggil. Ezzara lambat turun kerana rakannya menelefon gadis itu. Kalau Ezzat, memang aku sengaja tak nak panggil dia turun.

Diakan orang yang bijak pandai. Maka, pandai-pandai dialah untuk guna kaki dan turun sendiri.

KAKI aku terus terhenti dari mahu melangkah sebaik sahaja mata mengimbas seraut wajah yang kelihatan suram dari kejauhan. Kebetulan, aku mahu membuang sampah ke dalam tong sampah tetapi aku nampak seseorang yang duduk termenung di situ.

Aku memanggilnya tetapi dia langsung tidak mengangkat muka. Serta-merta aku lajukan langkah seusai membuang sampah serta membuka pintu belakang.

"Makcik... makcik tak apa-apa?" Aku terus menyoal dia yang masih lagi memakukan wajah pada jalan bertar itu. Aku tundukkan kepala, cuba untuk mengintai wajahnya tetapi dia lantas menyorokkan muka.

"Makcik, boleh makcik pandang saya? Saya janji saya tak akan sakiti makcik." Aku bersuara lembut sambil mendekatinya dengan lebih rapat. Aku kasihan melihat dia. Aku rasa dia ini seseorang yang perlu aku bantu.

Wanita itu kelihatannya menyeringai sedikit. Aku lihat, kayu yang ada di tepi jalan itu dikutip sebelum dia acukan kepada aku. Dengan automatik kaki aku terundur sendiri. Semakin cemas tatkala wanita itu sudah bangkit lalu menerpa ke arahku.

Tangan aku singgah ke wajah angkara tersentak. Melalui jemari yang separuh terlihat, wanita itu cuba untuk menghayunkan kayu itu kepada aku sebelum ada seseorang yang menghalang.

"Makcik, jangan!"

Aku dapat rasakan suara itu memang orang yang aku kenali. Cepat-cepat aku turunkan tangan dan berdiri di belakang tubuh lelaki itu dengan wajah risau. Aku juga takut jika Dhuha yang terkena libasan wanita itu.

"Pergi... pergi dari sini!" halau wanita itu bersama tangan yang masih lagi menghayun objek tersebut. Mukanya kelihatan garang dengan amarah penuh menerpa dada.

Kami berdua terus berudur beberapa tapak.

Minta-mintalah semoga kami berdua tidak terkena libasan kayu itu. Aku takut ditimpa luka untuk kesekian kalinya. Aku risau jika kejadian akan berulang lagi. Namun, mujur sahaja waktu kerja sudah habis. Tak perlulah aku bersoal jawab dengan majikan yang aku benci itu.

"Makcik, boleh tak makcik letak kayu tu dekat lantai? Makcik boleh percayakan kami berdua. Kami takkan buat sesuatu yang boleh sakitkan makcik. Percayakan kami dan kami akan tolong makcik." Perlahan-lahan Dhuha bersuara. Matanya dihalakan pada aku dengan isyarat mata seperti kami berteleportasi melalui hati.

Aku mengangguk, mengiakan. "Betul, makcik. Saya dengan kawan saya, sedaya upaya untuk bantu makcik apa yang patut."

Jauh jugalah jarak kami dengan wanita itu. Aku mahu menapak ke hadapan tetapi wanita itu yang memulakan dahulu. Dia berlari ke arah kami dan terus memeluk aku. Seketika kemudian, ada esakan halus yang berjurai dari hujung tubirnya.

"Makcik takut! Ada orang bawa pisau... kejar makcik..." Pertuturan wanita itu kedengaran tidak jelas di telingaku tetapi aku dapat menangkap sedikit demi sedikit. Badannya menggigil dalam pelukan aku. Dadanya turun sama naik turun dan berombak kencang. Untuk menghilangkan gundahnya, aku usap belakang badannya dengan lembut.

"Alhamdulillah, mujur makcik dapat larikan diri," ujar Dhuha kemudian matanya melingas ke kiri dan kanan.

Aku turut berbuat yang sama. Mujur juga tiada sesiapa di sini melainkan kami. Rasanya lelaki yang bawa pisau itu dah pergi.

"Makcik kenal orang yang kejar makcik?" Aku kembali menalakan mata pada wanita itu selepas pelukan kami terlerai. Tudungnya yang serabai, aku rapikan sedikit supaya nampak lebih kemas.

Pertama kali terserempak dengan wanita yang ketakutan seperti ini, hati aku tetap tersentuh. Walaupun aku rasa aku bukanlah baik mana, tetapi wanita ini tetap perlukan pertolongan. Dan itu menjadi satu tugas aku untuk membantu dan melindungi orang yang memerlukan.

"Tak. Dia... dia memang gila dan tak waras. Perangai dia macam orang yang sakit jiwa. Macam orang mabuk."

Aku dan Dhuha berpandangan sebelum kami sama-sama mengangguk. Mungkin orang yang lalu tepi jalan kerana aku sendiri pernah melihat suatu ketika dahulu. Kalau bernasib baik, memang akan terselamat. Jika nasib buruk, haruslah buka langkah seluas lautan supaya tidak menjadi habuan dia yang seterusnya.

"Makcik tinggal dekat mana, ya? Saya boleh tolong hantar makcik pulang. Lagipun, waktu ni dah lewat kalau makcik seorang diri." Dhuha tersenyum nipis sambil menghulurkan pertanyaan.

Aku lihat jam di telefon aku. Dah petang dan hampir menginjak pukul tujuh. Tak mungkin kami biarkan dia keseorangan menempuh duri baharu. Aku juga risau jika lelaki berpisau itu datang semula ke sini.

"Tak... makcik tak ada tempat tidur. Rumah makcik... jauh." Suaranya agak tenggelam dengan kesayuan. Hati aku jadi rapuh seperti turut merasai kesedihan yang dirasainya.

"Pasal itu, makcik jangan risau. Saya memang tinggal seorang diri dekat rumah sewa. Beberapa hari, makcik boleh tumpang rumah saya dulu." Aku pantas menyuarakan cadangan. Tak sampai hati untuk membiarkan dia sendiri. Wanita ini perlukan tempat perlindungan.

Wanita itu terus menggeleng. "Makcik tak suka susahkan orang."

"Tak susah, makcik. Makcik ikut kawan saya, berehat dulu di rumah dia, ya? Nanti saya bincang dengan dia apa yang patut untuk kami tolong makcik." Dhuha yang tolong jawab bagi pihak aku.

"Makcik tak mampu kata apa-apa lagi. Makcik hanya mampu ucap... terima kasih banyak-banyak."

Aku semakin sayu mendengar tangisan itu. Hati aku terpaku pilu. Jemarinya aku raih dan kuusap lembut. Semoga wanita cekal ini akan beroleh ketenangan di akhirnya. Kerana aku tahu, dia memiliki sekeping hati yang tabah dan berani.


***

Assalamualaikum and hi everyone! Sorry kalau bab ni hambar sangat hshshs

I think this story need to 'tacap-tacap' sikit at some part hahah but rn I think tak ada masa sangat nak edit semua tu. Im in dilemma either I should sambung semula story ni atau biarkan dia tergantung atau tak akan update dah.

But my mind says no. Saya saaaayang story ni tapi I need time to write TSS sebab vibe dia berlainan dengan story lain yang saya pernah tulis. Rasa tu tak sama macam dulu huhu sebab I wrote TSS tahun lepas (probably pada penghujung Sept 2020) so yah.

Cerita ni emosi dia agak berat jika nak dibandingkan dengan TFD. Dan saya sangat risau kalau tak dapat sampaikan dengan betul :')

In the meantime, ada beberapa bab yang dah siap tau sebenarnya tapi saya belum update lagi. Ada la around 4-5 bab, saja nak peram. Kalau ada idea, ada la tu.

Korang nak saya update selalu ke?

By the way, nak ucapkan terima kasih juga dekat readers or even writers lain yang sudi singgah dan baca cerita ni. I really appreciate and notice every single of you.

♥️ Arigatou and tysm! ♥️

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro