TSS 15
MANA mungkin aku lupa tentang kejadian yang pernah berlaku itu sehingga nafas terakhir aku direnggut. Cuba beritahu kepada aku, macam mana harus aku lupakan memori yang sudah lama bertapak kukuh di dalam otak aku? Membuang memori itu bermakna aku akan lupakan Bunga Amanda. Tidak, aku tidak akan sesekali berbuat sedemikian.
Tetapi malangnya, aku ini hanyalah seorang manusia biasa.
Peristiwa tiga tahun yang lalu tidak akan pernah berhenti untuk membedil pemikiran aku. Biar berjuta kali aku cuba untuk membuang semua itu, tetap juga aku tidak mampu. Aku dihantui dengan bergunung rasa yang semakin lama semakin kuat mengasak dada.
Aku rasa.... sakit.
Sakit yang teramat sangat menikam empat ruangan yang ada pada jantung aku sendiri. Jika ingin menggambarkan rasa sakit tersebut, ianya seakan kau ditembak oleh sepucuk pistol kemudian kau masih tidak menghembuskan nafas yang terakhir. Itu bermakna kau kekal bangkit untuk menghadapi realiti semua sendiri. Sekalipun jasad aku sudah menjadi kaku, aku rasa aku akan tetap tertanam bersama bicara terakhir si anak.
Amanda sayangkan aku. Aku juga sentiasa menyayanginya.
Bersandar di kerusi kereta, aku tidak tahu apa yang patut aku rasakan ketika ini. Hati ini terasa sakit yang tidak dapat aku luahkan sekadar bermain kata. Aku marah tetapi dalam masa yang sama, aku masih belum boleh mempercayai kenyataan yang terbentang lebar di hadapan mataku sendiri.
Aku perlukan bukti yang kukuh dan lebih jelas. Aku perlu lihat semula menggunakan mata aku sendiri.
Maka, pada hari ini aku dengan selambanya menjejakkan kaki ke dalam kafe ini biarpun aku tahu aku di waktu ini, aku cuti dari bekerja. Hanya sehari sahaja dalam seminggu untuk aku benar-benar bercuti dan merehatkan diri. Malangnya, rasa itu bukan untuk aku. Aku tidak peduli jika aku akan dihalau atau apa sahaja yang penting, aku perlukan kebenaran!
"Eh, Ammara! Kenapa kau datang hari ni? Rajin betul singgah." Ikhwan yang tidak tahu apa-apa langsung menegur aku tetapi aku cuma hiraukan dia yang sudah berkerut sendiri. Tanpa mempedulikan renungannya terhadap aku, aku terus atur langkah ke hadapan.
Masih melangkah dan kekal melangkah sehinggalah aku akhirnya tiba di hadapan pintu bilik Ezzat.
"Come in!"
Belum sempat aku ingin mengetuk pintu, suara yang datang dari dalam mengejutkan aku. Macam mana pula dia tahu ada orang sedangkan aku sahaja belum ketuk pintu itu?
Pintu aku tolak kemudian aku tutup semula bersama langkahan kaki yang cukup perlahan, cukup terdesak dan cukup tersakiti. Aku harap tak ada benda buruk berlaku lagi. Aku mahukan ketenangan tetapi mengapa untuk mencarinya sahaja nampaknya terlalu sukar?
"Kenapa berdiri dekat situ?"
Aku tersentak sebaik sahaja suara Ezzat mengembalikan aku ke alam nyata. Oh, Ammara! Suka sangat kau berangan, ya?
Aku tetap juga melangkah ke arah meja kerjanya yang penuh dengan timbunan kertas. Kertas apa, aku sendiri tidak pasti. Banyak betul sampai berpinar mata aku dibuatnya. Perangai lebih kurang macam CEO aje aku tengok. Heh!
"Duduk." Arahan itu membuatkan aku berdiri keras seperti tiang. Aku menggelengkan kepala, tanda tidak mahu. Aku tak perlukan masa yang lama untuk berada dengannya. Lagipun, aku tak mahu membuang masa menghadap wajahnya lama-lama. Tak tahu kenapa, timbul rasa benci bila mata aku masih kekal merenung wajahnya.
Seandainya aku dapat cucuk biji mata itu, mahu sahaja aku melakukannya.
"Tak, aku tak nak duduk." Aku sebenarnya nak tengok dengan lebih jelas apa betulkah jam itu sama dengan jam yang dipakai si pemandu tempoh hari. Mataku mengintai tangan kanannya namun tiada pula apa yang aku cari. Aku mengeluh hampa.
"Ammara, stop staring at me like that. Kau nak apa datang sini sebenarnya? Kau tahu atau buat-buat tak tahu yang kau cuti hari ni?" Ezzat yang sedang melakukan kerjanya tadi, terus meletakkan pen di sebelahnya. Hilang fokus dengan panahan mata aku yang masih belum berhenti. Matanya kian mencerun tajam pada wajahku bersama beribu persoalan yang masih belum terungkai.
"Tahu." Aku menjawab pendek namun mata masih lagi tercari-cari sesuatu sehingga aku sendiri tidak sedar Ezzat sudah bangun dari kerusi dan berdiri di hadapan aku.
"Jadi?"
"Jadi aku nak tengok jam kau. Jam tangan yang kau pakai hari tu." Aku meminta dengan cara berhemah sambil menghulurkan tangan kanan.
"Untuk apa?" Berdiri berhadapan dengan aku, aku rasa dia juga pelik melihat tingkah aku untuk hari ini. Ezzat berpeluk tubuh bersama pakej keningnya yang terjongket tinggi. Tetapi, huluran tangan aku tadi hanya dipandang sepi.
"Bak ajelah sini!" Aku panas hati bila dia masih lagi bermain kata dengan aku. Aku penat-penat datang ke sini dan itu sahaja yang dia jawab?
"Why should I, Ammara? Tell me, why should I?" Patah itu diulang-ulang sehingga aku rasa semakin sakit hati. Dia masih lagi merenung aku dengan pandangan yang sukar ditafsirkan.
Seketika, aku mengeluh perlahan. Kenapa susah sangat untuk menemui kepastian? Kenapa jalan yang dilorongkan kelihatan susah untuk aku?
"Aku nak balik." Menemui jalan buntu, pintu akhirnya menjadi jawapan terakhirku. Tanpa meminta pamitan, aku terus membuka pintu namun tidak semena-mena pintu ditolak semula oleh sepasang tangan yang lain sehingga badan aku sendiri terundur ke belakang.
"Kenapa tutup? Buka balik pintu tu!" marahku bernada geram. Pelipis aku urut dengan sebelah tangan. Aku sakit kepala, sakit hati dan sakit semua. Tengok muka Ezzat pun aku boleh rasa benci yang teramat sangat. Lagi teruk dari sebelum ini.
"Nope! Kau tak akan keluar selagi tak jawab soalan aku."
"Soalan apa?" Aku melarikan mata dari merenung tampang wajahnya. Aku tak kuat melihat senyuman senget yang tiba-tiba hadir itu. Aku tak mahu jatuh menjunam dengan lebih dalam.
"Apa yang menarik sangat dengan jam aku sampaikan kau nak tengok?" Dia merapatkan jarak antara kami dan dada aku mulai berdebar-debar.
"Sangat menarik sebab tu aku perlukan jam tu," jawab aku bersahaja sambil meliarkan mata ke sekeliling. Bilik yang terang-benderang menjadikan mata aku sedikit silau apabila aku berada di bawah cahaya lampu kalimantang selepas mendongakkan kepala ke atas.
Urgh, aku tengok lampu sahaja pun sudah terasa sakit di hati walaupun nyatanya, lampu itu langsung tak bersalah. Aku rasa nak campak lampu itu jauh-jauh sehingga lampu tersebut retak dan pecah.
Sebelum langkah dia lebih dekat dengan aku, lebih baik aku lari ke meja dia dulu. Ketika itu juga, penerokaan mata aku automatik tertala pada satu item. Aku terpanar. Dahi aku berlapis tebal, sama dengan gerak tangan aku yang sudah mencapai barang tersebut tanpa berfikir panjang. Jam itu aku tilik dalam-dalam tanpa kelipan mata seperti kembali semula kepada babak tiga tahun yang lalu.
Jantung aku berdegup dengan kencang dan tanpa aku sedar, kelopak mata aku tiba-tiba terkatup, bersedia ingin merembeskan mutiara yang bila-bila masa sahaja akan terlepas dari tangkai kesedihan. Aku benar-benar tidak sangka apa yang aku lihat di hadapan mata ini. Aku rasa kecewa. Terlalu kecewa dihimpit realiti yang bakal mendatangkan mimpi ngeri terhadap diri aku lagi.
Aku pusingkan badan ke belakang sambil menunjukkan jam tangan milik lelaki itu yang berada dalam genggaman aku. Tak perlu fikir banyak kali lagi, semua sudah terang lagi bersuluh dan aku tidak mampu untuk menidakkan hakikat tersebut. Dada aku semakin diasak pilu dengan rasa benci yang semakin membuak-buak terhadapnya.
"Kenapa... kenapa kau buat macam ni dekat aku, Ezzat? Sampai hati kau buat aku macam ni. Kau sakitkan aku bila kau sakitkan dia..." Aku bersuara dengan ritma yang cukup perlahan, memadai dengan suara aku yang seakan tersekat di rengkung. Mata aku statik menatap dia yang terkebil-kebil dengan luahan aku.
"Kenapa... apa? Aku tak faham sebenarnya. Kau cakap apa ni, Ammara? Apa maksud kau dengan dia? Siapa dia?" Bertalu-talu soalan Ezzat lemparkan kepada aku.
Mata aku berkaca-kaca. "Kenapa pura-pura tak tahu sedangkan kau yang buat benda tu dekat dia? Kau tergamak sungguh buat dia macam tu. Kalau kau berhenti dan kau nak minta maaf, aku terima. Tapi dah tiga tahun!" Bicara aku terjeda di bawah angin yang semakin mendinginkan hati.
Aku tarik nafas dalam-dalam. Masih lagi menatap wajah dia yang keliru dengan segala luahan aku.
"Tiga tahun... hati ini hancur! Dah tiga tahun aku hilang dia, Ezzat! Dan kehilangan itu semua sebab kau!" Aku meraung pilu. Kali ini, aku tak mampu sorokkan rasa hati yang bagaikan ditikam-tikam dengan belati.
Aku meluru kepada dia. Dengan perasaan marah yang teramat sangat, aku terus memukul badannya tetapi sedari awal lagi dia sudah mengelak. Kedua belah tanganku ditangkap oleh sepasang tangan kasarnya.
"Ammara! Kau gila ke? Aku tak faham. Kau cakap apa ni? Kau merepek apa?" Melihatkan aku seperti orang kerasukan, cepat-cepat Ezzat pegang kedua lengan aku yang berlapiskan baju lengan panjang. Aku meringis sakit bila terasa pegangan itu sedikit kasar dan kuat.
"You are so stupid! Lelaki tak guna! Lelaki yang tak pandai bertanggungjawab dan hanya tahu lepaskan beban macam tu aje. Langsung tak fikir perasaan orang lain!" Aku menjerit di hadapan wajahnya. Tak peduli jika ada suara-suara yang mendengar dari luar. Juga tak peduli kalau orang lain mahu berfikir bukan-bukan.
Yang aku tahu, kemarahan ini harus dilampiaskan kepada orang yang sepatutnya. Ya, orang itu ialah Ezzat Hadif!
Mata aku mencengkam tajam anak matanya. Aku lihat, wajah Ezzat sudah kelihatan memerah mengalahkan aku. Aku tak tahu sama ada dia nak marah aku atau sebaliknya. Yang penting, aku puas hati walaupun masih belum sepenuhnya.
"Kau dah gila... Ammara."
Mendengarkan itu, kening aku terjongket naik bersama senyuman sinis yang tertarik dari hujung bibir. "Kau cakap aku gila? Bukan kau ke yang gila sebenarnya?"
"Ammara, please... aku tak faham. Apa yang aku dah buat dekat kau sampaikan kau tiba-tiba naik angin macam ni?" Dia bersuara lembut sambil melepaskan cengkaman tadi. Dia kemudiannya menarik aku untuk duduk di kerusi.
"Jangan jadi hipokrit la! Perlu ke aku ulang balik cerita tiga tahun lepas supaya mata hati kau terbuka luas-luas?" sembur aku tanpa berfikir panjang. Langsung tak kisah jika dia sakit hati yang penting semuanya berbalas.
Sedikit demi sedikit.
Aku akan pastikan Ezzat merana macam mana merananya Amanda menanggung derita yang bersisa. Itu janji yang aku sematkan di dalam jiwa.
"Ammara, aku dah ulang perkara yang sama. Aku tak tahu dan aku tak faham apa yang kau cakap. Kalau pun kau cakap aku tak bertanggungjawab, kau silap. Kau silap orang." Ezzat cuba menjelaskan secara perlahan. Dia masih boleh bertoleransi lagi sedangkan aku yang duduk di sini semakin sakit dan panas hati.
"Silap orang? Bukti dah ada kat depan mata la. Kau ingat aku bodoh ke boleh lupakan perkara tu? Jam kau ni... boleh pergi mati dengan tuan dia!" Serentak dengan itu, aku terus campakkan jam tangan milik Ezzat. Lelaki itu kelihatannya sedikit tergamam dengan perlakuan tak terduga dari aku.
Mata aku jatuh pada jam yang dibaling kasar ke lantai. Peduli apa aku kalau rosak sekalipun!
Aku lihat, Ezzat dah mengetap rahang. Aku tahu dia marah dan aku rasa puas hati sebab mencabar kesabarannya. Memang itu yang hati aku pinta sedari tadi.
"Pergi balik rumah kalau kau datang sini sekadar nak cari gaduh dengan aku."
"Kau cari gaduh dengan aku boleh pula! Tapi, bila aku yang cari gaduh... aku tak boleh? Mazhab mana yang kau pakai ya?"
"Just go home, Ammara! Pergi tenangkan hati kau. Balik rumah, doa banyak-banyak semoga terbuang segala tompok hitam yang ada dalam hati kau tu. Aku tahu kau penat tapi bukan dengan cara marah macam ni. We are going to discuss about this by tomorrow." Suara Ezzat naik seoktaf.
Aku terkedu kerana aku belum pernah nampak dia dalam versi agak serabut begini. Aku sempat lihat berkali-kali dia meraup wajahnya.
Pun begitu, aku mendengus kasar sebelum keluar dari biliknya. Sengaja aku menghempaskan daun pintu dengan kuat sehingga menimbulkan tanda tanya pekerja yang lain.
Meluat sungguh aku tengok muka dia!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro