Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

TSS 14

SEMINGGU selepas itu, hidup aku masih berjalan seperti biasa. Tiada yang pelik dan sama sahaja seperti hari-hari sebelumnya. Cuma itulah, aku agak sedih kerana Mallysa sudah meninggalkan bumi Malaysia. Tapi tak mengapalah, itu pilihan dia dan aku kena kuat di sini. Jujurnya, aku pasti akan merindui gelak tawa dan kenakalannya biarpun gadis itu sudah bergelar isteri orang.

Hubungan aku dengan Ezzat?

Ada pasang dan ada surutnya. Perangai angin monsun dia akan datang semula ketika dia dalam mood yang tidak berapa elok mengalahkan perempuan PMS. Kadang-kadang dia jadi baik dengan aku dan tentu, sekali sekala dia akan cari pasal dengan aku. Dia suka usik aku sampaikan aku rasa mahu sudahkan wajahnya dengan penumbuk sulung ini.

Sabar sahajalah wahai hati!

Kami pun agak jarang bertemu disebabkan kekangan yang sedia ada. Kadangkala, aku nampak lelaki itu sibuk berkejaran ke sana sini tanpa aku tahu apa sebabnya. Biarlah, aku malas nak ambil tahu kerana itu bukan satu kepentingan untuk aku.

Yang aku tahu... Ezzara kata Ezzat tak masuk kerja jadi gadis itu yang menggantikannya buat hari ini. Hati aku kembali bersorak riang. Tidak perlulah aku susah-susah mahu fikir cara untuk menjauhkan diri dari dia lagi.

Mendapat ketenangan semasa bekerja pun sudah memadai untuk aku. Waktu rehat yang senggang ini aku isikan dengan berborak bersama rakan-rakan yang aku mulai selesa. Terbit rasa bersyukur dalam hati kerana ada lagi yang masih baik hati dan peramah, yang sudi mendekati aku.

Jauh beza dengan kafe Wen dahulu.

Aku mengeluh perlahan. Mengingati kafe itu sahaja dah membuatkan aku rasa rindu. Sepertinya, banyak kenangan yang aku kecapi semasa berada di sana. Separuh dari jiwa aku bagaikan tertinggal di sana tanpa aku tahu apa sebabnya. Bila aku bekerja di situ, hati aku dekat pada sesuatu walaupun aku tahu manusia di dalamnya kian menjauh.

"Korang cuba tengok ni... comel sungguh dia, kan? Pipi dia gebu sangatlah rasa nak gigit-gigit je!"

Fokus aku teralih pada Tiya. Kepala aku tertinjau-tinjau ke arahnya yang tiba-tiba tersengih sendiri. Kami duduk di dalam bentuk bulatan. Hanya ada empat orang iaitu aku, Tiya, Dhuha dan Ikhwan. Salah satu kelebihan kafe ini, terdapat ruangan rehat yang disediakan khas untuk staf dan aku sangat sukakannya.

"Apa benda kau tengok ni sampai berfangirling sorang-sorang?" Ikhwan terlebih dahulu membalas. Dia kelihatan agak terganggu dengan suara bising Tiya. Aku lihat, dia sudah meletakkan telefonnya di atas lantai.

Siapa tak tahu Tiya orang macam mana? Mestilah gadis itu riang ceria, juga punya sekeping hati yang luhur dan ikhlas.

"Comelkan budak ni? Nama dia Alisha dan dia ni anak sepupu aku," jelas Tiya tanpa disuruh. Dia menghalakan paparan skrin telefonnya kepada aku, kemudian Dhuha dan diakhiri dengan Ikhwan.

Bibir aku membentuk senyum spontan. Sama seperti Dhuha dan yang lainnya. Masing-masing terpegun melihat wajah gadis kecil yang memiliki tampang wajah yang comel. Macam anak orang Arab.

"Umur dia berapa?" Dhuha berminat ingin tahu lebih lanjut tentang gadis kecil itu.

"Umur Alisha sekarang... tujuh tahun! Sepupu aku kata, Alisha suka pergi pantai dengan abi dia. Dia suka bertanya pasal awan dengan hujan. Itu memang kegemaran dia."

Penjelasan Tiya menyentakkan dada aku. Perkataan pantai, awan dan hujan itu seolah-olah mengingatkan aku kepada sesuatu. Fikiran aku kembali mengimbas detik sewaktu aku duduk seorang diri di buaian yang lebih kepada melayan perasaan. Aku pernah mendengar perbualan Alisha dengan abinya di pantai yang sama aku bercuti!

Mereka berbicara tentang perkara yang sama. Berkaitan awan dan hujan.

"Tujuh tahun? Kenapa cerita Alisha teringatkan aku tentang seorang budak perempuan ni yang aku rasa umur tujuh tahun jugak?" Ikhwan yang mendiamkan diri tadi, tiba-tiba mengajukan persoalan yang menjengah mindanya.

Fokus kami semua terarah pada wajah Ikhwan yang mulai berubah serius. Aku betulkan duduk, terasa tidak sabar mendengar ceritanya itu.

"Pasal apa?"

"Aku pernah nampak sendiri guna mata dan kepala aku, ada seorang budak perempuan dengan reben warna kuning... kena langgar oleh satu kereta. Masa tu, aku nak tolong tapi tak dapat sebab terkejar-kejar jenguk mak aku yang sakit." Mukadimah Ikhwan membuatkan jantung aku bagai dihentak sesuatu. Ketika itu, matanya bolehkan terarah pada wajah aku dan aku dapat rasakan air muka aku berubah keruh.

Langgar...


"SAYANG ibu... jangan main jauh-jauh ya? Ada orang call ibu untuk tanya pasal pastri yang ibu pernah buat dulu..."

"Ala, nak manja dengan ibu..." Gadis kecil yang memeluk pinggang aku, merengek tidak puas hati. Dia menyembamkan wajahnya di paha aku dan aku tahu dia mahu aku manjakan dia.

Senyuman manis aku ukirkan untuk dia. Rambut lurusnya aku usap-usap dengan penuh kasih. Kepalanya aku angkat untuk menatap wajah ini.

"Sekejap je, sayang. Ibu janji... lepas habis ibu call dengan dia, kita pergi makan aiskrim." Aku menyuakan jari kelengkeng aku di hadapan wajahnya.

Gadis kecil itu cuma tayang muncung besar. Tawa kecilku terlepas melihat tingkahnya. Comel betul anak aku ni, siap dengan reben atas kepala lagi!

"Ibu janji cuma sekejap?" Dalam muncungan itu, dia satukan juga jari kelengkeng kecilnya dengan jari kelengkeng aku yang besar.

Good girl!

"Ya, cuma sekejap! Apa kata Amanda pergi main dekat taman sana sementara tunggu ibu telefon dia? Nanti Amanda bosan pula duduk sini..." Aku menyuarakan pendapatku dan disambut baik dengan sengihan yang aku lihat terbentuk di bibir merah itu.

"Okey ibu, Amanda nak pergi main dekat sana. Amanda sayang ibu tau. Muahhh!" Amanda ketawa senang. Dia kemudiannya menjengketkan kaki lalu mendaratkan kucupan hangatnya di kedua belah pipi aku.

Aku membalas semula kucupan itu di dahinya. Rambutnya yang berbau wangi aku hirup lama. Terasa ketenangan padat mengisi seluruh ruangan jiwa.

Aku memandang kelibat Amanda yang sudah berjalan ke hadapan dengan senyuman yang mewarnai bibir sebelum kembali kepada tugas asal. Nak telefon pelanggan perempuan yang suka dengan pastri aku itu!

Beberapa minit aku menyangkut panggilan telefon bersamanya, gegendang telinga aku dikejutkan dengan jeritan kuat yang datang dari arah belakang. Aku terus berdiri lalu memalingkan badan dan tatkala anak mataku terarah pada satu tempat, telefon di tangan aku terus jatuh menghempas bumi.

Tak... tak mungkin itu terjadi!

Berkali-kali aku menggeleng, menidakkan tanggapan buruk yang mendominasi seluruh minda aku buat masa ini. Jantung aku seperti mahu meletup disebabkan denyutan nadi yang kuat dan tidak sekata, tambahan lagi dengan apa yang aku lihat di hadapan mata.

Bersama lutut yang mulai menggeletar, aku berlari ke arah seseorang yang sudah terdampar di atas jalan raya. Kepalanya penuh dengan darah merah yang pekat membasahi hingga ke permukaan lantai bertar itu.

Mata aku tertancap pada tingkap kereta yang terus ditutup dan kereta tersebut memecut laju ke hadapan tanpa berpaling ke belakang lagi. Tergamak dia... tergamak sungguh dia langgar dan langsung tidak kembali ke sini. Dia biarkan aku dengan rasa penyesalan yang tiada hujungnya.

"Amanda! Amanda anak ibu..." Aku ketap bibir, untuk menahan air mata daripada membanjiri pipi namun apakan daya bila air mata tetap mahu menderhakai tuannya. Tangan yang menggigil, aku lekapkan pada pipinya yang dipenuhi cecair likat itu.

"Bangunlah sayang, please! Tolong... tolong jangan tinggalkan ibu sorang-sorang dekat sini!" Aku menatap wajah Amanda yang langsung tiada reaksi. Masih senyap dan tidak membalas kata-kata aku.

Amanda sayang ibu...

Bagaikan terngiang-ngiang sebaris ayat terakhir itu di telingaku. Air mata yang turun mencurah-curah, aku cuma biarkan tanpa ada niat untuk mengesatnya. Jemari aku didaratkan di pangkal leher Amanda, mahu merasai sesuatu.

Nadi Amanda berhenti berdenyut. Tangan aku ditarik dari lehernya bersama raungan yang melepaskan diri dari sangkar kesedihan yang menghambat emosi.

Dada aku terlampau sakit menanggung rasa ini. Rasa padat dengan kehilangan yang amat sangat terhadap gadis kecil yang sudah aku jaga dengan lama.

"Amanda tinggalkan ibu. Amanda tinggalkan ibu dengan rasa macam ini. Ibu minta maaf... janji ibu untuk jaga Amanda terlerai hanya kerana satu kecuaian ibu..." Teresak-esak aku menangis dan saat itu aku dapat merasakan bahu aku dipegang lembut dari belakang.

"Lepaskan dia dengan reda. Lepaskan dia untuk selamanya." Wanita itu menyalurkan sedikit kekuatan dengan memeluk aku. Aku dapat rasakan suasana sekeliling menjadi berpusing dan segalanya kian bertukar kegelapan.

KELOPAK mata aku terus terbuka luas. Merenung tiga raut wajah yang masih memandang aku dengan riak sedikit terkejut, aku turut sama terkejut. Lagi-lagi saat menyedari ada setitis mutiara yang turun dari juring mata aku sendiri.

"Kau okey tak ni, Ammara? Kau menangis ke?" Soalan Ikhwan menyedarkan aku tentang ceritanya tadi. Aku perlukan Ikhwan untuk mengetahui apa yang aku tidak tahu.

"Ikhwan, masa kejadian tu... kau nampak tak siapa yang langgar budak tu?" Soalan Ikhwan yang tadi, aku cuma abaikan. Aku tidak boleh berhenti daripada memikirkan sesuatu.

Aku yakin cerita Ikhwan ini adalah serpihan kejadian yang pernah aku lalui beberapa tahun terdahulu. Aku tidak pernah lupa dengan kejadian itu sehingga kini. Tak mungkin kebetulan.

Dan adakah cerita Ikhwan itu memberi aku petunjuk lain tentang siapa pelakunya?

Ikhwan berkerut pelik dengan soalan tidak terjangka aku itu. Begitu juga dengan Dhuha dan Tiya yang masih senyap, menantikan bicara yang bakal meniti dari bibir Ikhwan.

"Aku sempat nampak orang yang langgar budak tu masa dia turunkan tingkap kereta. Masa tu, dia pakai kaca mata hitam dan seluruh mata dia memang aku tak nampak. Tengok pada tangan dengan badan dia, kan... hati aku macam terfikirkan seseorang." Walaupun pelik dengan tingkah aku, Ikhwan tetap menyambung penceritaannya.

"Siapa?" Kami bertiga serentak menyoal Ikhwan akibat rasa terlalu ingin tahu.

"Sejujurnya, aku tak nak tuduh sesiapa. Tapi..."

"Tapi apa, Ikhwan?" Aku mulai hilang sabar dengan ayat yang sengaja dijedakannya. Dada aku semakin berkocak deras dan masih menanti jawapannya.

"Gaya dia nampak serupa macam... Encik Ezzat. Jam yang dia pakai tu sama. Aku tak tak lupa bentuk jam yang selalu aku lihat."

Ternoktahnya ayat itu, jantung aku bagaikan mahu luruh dari tangkainya. Segera aku cuba mengingat kembali detik-detik berdarah itu, yang mana aku sempat mengklasifikasi ciri-ciri si pelaku sebelum dia menutup tingkap.

Badan dia... tak gempal. Sederhana tegap tetapi tidak terlalu tegap. Aku ingat dengan jelas pergelangan tangannya yang dililit seutas jam tangan yang sama yang pernah aku nampak di tangan itu ketika kami berada di gelanggang luncur ais.

"Ish, tak mungkin la apa kau cakap semua tu. Kau ni pandai-pandai ajelah, Ikhwan. Tak elok tau tuduh sembarangan!" marah Tiya, menangkis apa yang dikatakan Ikhwan selepas dia perasan wajah aku bertambah keruh.

"Betul kata Tiya tu. Mengarutlah kau ni cakap macam tu, tak pasal-pasal kena buang kerja karang!" Dhuha bersetuju dengan pernyataan Tiya. Ikhwan ditarik untuk bangun sekali.

"Aku cuma cakap je, kan? Entah-entah tak betul pun. Tak payah pening kepala fikirkan pasal tu. Bukan hal kita jadi jangan sibuk jaga tepi kain orang." Ikhwan sempat membela diri sebelum mengikut langkah Dhuha.

Waktu rehat sudah tamat dan kini tinggal aku dan Tiya sahaja yang belum bangun dari duduk.

"Kau okey?"

"Aku okey, jangan risau." Aku menarik Tiya untuk bangkit bersama-sama. Senyuman aku tertampal di bibir untuk menyedapkan hati Tiya walaupun apa yang aku katakan tadi sungguh tidak seiring dengan hati sendiri.

Seluruh fikiran aku buntu dan... tak akan pernah okey.

***

Kalau korang nak tahu, Bunga Amanda ni pernah diceritakan dekat Prolog. Selain tu, betul ke apa yang Ikhwan cakap tadi? Make sense ke tidak? 😲

Dan...

Adakah Ezzat yang langgar Amanda? Dia jadi pembunuh?  😱😱

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro