Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

TSS 13

SEAWAL jam 6.45 pagi, aku sudah tiba di hadapan kafe dengan wajah bersemangat. Jadual kerja aku hari ini, melibatkan pembukaan kafe ataupun opening jadi aku seharusnya bersiap sedia untuk mengemas, menyusun atur dan melakukan pelbagai persediaan sebelum kafe dibuka pada pukul lapan pagi. Untuk awal pagi ini, akan ada empat orang pekerja yang melibatkan dua orang perempuan dan dua orang lelaki. Pekerja perempuan hanya aku dan Tiya manakala lelaki pula jika tidak silap aku ialah Dhuha dan seorang lagi yang bernama Ikhwan.

Memang sengaja aku datang awal supaya tidak perlulah aku nampak seraut wajah yang sudah lama aku hindari. Sejak tiga hari selepas kejadian 'ketakutan' aku itu, aku selalu menjauhkan diri daripada bertembung dengan Ezzat. Wajah aku terasa panas apabila mengenangkan hal yang lepas.

Ah, memalukan diri sendiri betul aku ini. Siap berjanji segala lagi dengan lelaki itu. Nasib bukan berjanji untuk sehidup semati!

Entah di ceruk mana aku perlu menyorokkan muka aku. Bercakap berkaitan wajah, aku sudah ambil keputusan untuk terus membuka balutan sementelah lecuran itu sudah tidak terlalu perit dirasakan. Sedikit masa lagi mungkin wajah aku akan pulih seperti sediakala. Tentang pandangan orang, aku cuma biarkan.

"Mana kunci ni alahai..." Tiya mengeluh kasar sambil menggeledah beg tangannya untuk mencari kunci yang ditinggalkan. Kerana kami berempat yang dapat bahagian opening untuk minggu ini, Ezzara yang memberikan kunci untuk gadis itu simpan. Malangnya kunci pula seronok menyembunyikan diri di dalam beg tangan comel Tiya yang berwarna hitam keemasan.

"Perempuan... memang lambat betul kalau bab cari barang dalam beg tangan sendiri. Kami yang lelaki ni dah maklum sangat, ada banyak 'khazanah' dekat dalam tu." Ikhwan mencelah sekaligus mengenakan Tiya yang mulai berwajah cemberut. 

Aku dan Dhuha mengekek ketawa. Mujur sahaja Tiya dah ada encik tunang jikalau tidak, mungkin aku akan cuba kenenkan Tiya dengan Ikhwan. 

"Hei, tolong sikit! Dalam ni banyak tau barang penting. Korang lelaki mana nak ambil tahu," sanggah Tiya geram. Kini, kunci kedai sudah dijumpainya lalu segera dia membuka kunci pada pintu kafe.

"Ya Allah, apa benda ni bersepah? Orang closing semalam tak perasan ke ada banyak sampah dekat situ?" Dhuha menggeleng-gelengkan kepalanya sambil bercekak pinggang. 

Aku tebak dia sedang menahan rasa melihatkan wajahnya yang berubah keruh. Fakta yang baru aku tahu, sikap Dhuha dan aku memang serupa kalau melibatkan kebersihan sekitar. Aku akan cepat panas hati mengenangkan sikap manusia yang sewenang-wenangnya membuang sampah di merata-rata tempat.

Tidakkah mereka tahu bahawa satu sampah boleh menyumbang kepada penambahan peratus pencemaran di sekeliling kawasan? Apabila orang lain melihat sampah yang dilempar selamba, mereka juga tidak kurang akan mengikutnya. Bagai tiada perasaan kasih terhadap alam yang kian dicemari tangan manusia. 

Selamba sahaja pelanggan yang entah siapa membuang sampah di celah-celah kerusi yang terlindung. Itu pun, nasib baik mata helang Dhuha lebih pantas menangkap.

Terlebih dahulu, kami menyimpan barang-barang kami di loker yang disediakan. Kemudian, barulah masing-masing membahagikan tugas. Aku menawarkan diri untuk membantu Dhuha di bahagian hadapan memandangkan Ikhwan dari awal lagi mahu ke bahagian dapur dan belakang. Disebabkan itu, mahu tidak mahu Tiya juga yang jadi 'team' Ikhwan. Aku ketawa kecil melihat wajahnya yang kelat. Kena bebel dengan Ikhwan la tu!

"Ammara, apa yang awak tahu pasal cinta?"

Dalam pada aku dan Dhuha sedang membuat kerja mengemas bahagian meja dan kerusi, aku terkedu dengan soalannya itu. Kenapa dia tanya aku berkaitan cinta? 

"Kenapa awak tanya?" Soalannya aku balas juga dengan soalan yang lain. Dahi aku berkerut pelik. Dia dah kena sampuk hantu di awal pagi ke?

"Saja je tanya sebab nak hilangkan bosan. Apa pendapat awak pasal cinta?" Dhuha bertanya lagi tanpa memandang aku. Pun begitu, aku lihat tangannya masih ralit mengutip sampah yang ada di celah-celah kerusi.

"Untuk saya... cinta itu kadangkala akan terlihat indah tanpa kita tahu sudut dalamannya macam mana." Sebagai pembuka kata, aku menyatakan definisi cinta pada pendapat aku sendiri. Aku menarik nafas dalam-dalam. Bersedia untuk memberikan pendapat sendiri sambil melakukan kerja mengelap meja yang terdapat tompok kotoran di sekelilingnya.

"Cinta kadangkala memabukkan manusia. Tenggelam dalam lautan cinta bermakna kau juga mungkin akan... lemas bila tak mampu keluar." Madahan kata ini semua berlapiskan apa yang pernah aku lalui suatu ketika dahulu. Ya, cinta juga boleh membuat kau jadi gila dan hilang punca. Akan ada berjuta emosi yang membanjiri hati seseorang jika cinta sentiasa diletakkan di tempat yang pertama.

Cinta yang pernah aku letakkan di tempat pertama, membuatkan jasad dan jiwaku terasa kosong. Dan... aku masih belum tahu apa sebab sebenar untuk itu.

Dhuha masih diam mendengar dan aku tetap meneruskan bicara sambil menenyeh kain ke meja. Susah pula kotoran nak hilang.

"Cinta juga kadangkala menghancurkan. Dan kehancuran seorang manusia selalu hadir daripada rasa cinta yang selalu menerpa." Aku sendiri tidak tahu mengapa aku boleh berpuitis begini bagai seorang pujangga cinta. Mata aku menangkap anak mata Dhuha yang tiba-tiba dilarikan pada tampang wajah ini.

"What else?" Dhuha kelihatan berminat dengan apa yang aku perkatakan. Dia sudah menarik kerusi yang ada di salah sebuah meja yang aku lap. Aku tidak duduk sama kerana tangan ini masih terus melakukan tugasnya.

"Untuk seorang Sakura..." Di bawah angin kipas yang memutarkan bilah, bicaraku terjeda seiring dengan senyuman pahit yang aku selitkan di hujung bibir.

Dhuha tidak mencelah. Dia diam menunggu butir jawapan yang bakal terlahir dari bibir aku walaupun aku melihat dengan jelas ada kerutan yang mengukir sebahagian dahinya yang terkuak lebar.

"Dia tak mengajar erti cinta." Penuh makna ayat yang aku ucapkan. Entah mengapa, aku betul-betul memaknakan ayat ini dan aku tak peduli jika Dhuha sendiri tidak mengerti.

"Habis tu, Sakura ajar apa?" Meski berasa sedikit keliru, Dhuha teruskan juga soalannya. Melayan segala ungkapan aku yang berlapis-lapis dan penuh signifikan.

"Sakura ajar cara untuk buang hati dari rasa menyukai." Masih lagi tersenyum perih, aku noktahkan ayat itu dengan dada yang berombak lancar. Di setiap 'gelombang' yang pernah menampar aku dahulu kini menjadikan aku lebih menyesali dengan diri. Dan berkali-kali aku ingatkan diri aku agar tidak menjadi bodoh di masa hadapan.

"Saya nak tanya lagi boleh tak?" Dhuha menyengih kecil dan aku dapat mengesan betapa janggal raut wajahnya ketika ini.

"Tanyalah, saya tak makan orang." Aku ketawa kecil. Kelakar aje dia ni malu-malu macam tu. Selalunya jarang aku nampak lelaki malu-malu bila bertanya. Lagipun, aku tiba-tiba rasa selesa untuk berbual dengan dia. Aku nampak Dhuha seorang yang lembut dan baik hati, seperti selalu.

"Kenapa awak panggil Encik Ezzat guna panggilan aku dan kau? Tak nampak kasar?" Soalan padu dan cukup menghentam rengkung tekak aku untuk menelan liur. Aku tidak sangka pula Dhuha pernah mendengar 'bahasa' aku apabila berbual dengan Ezzat.

"Saya dah terbiasa. Sebenarnya, saya ni kawan dia sebab tu perangai pun tak semenggah sangat," jawab aku lancar. Lancar bila berdalih. Pula tu, aku yang kutuk diri sendiri dengan perangai tak semenggah!

Aku dengan Ezzat... kawan ke? Heh!

Walau bagaimanapun, aku tidak pernah terfikir sejauh itu otak Dhuha terlebih berfungsi untuk memikirkan soalan KBAT yang sukar untuk aku jawab. Memanglah awal-awal kerja aku kena bersaya-awak dengan dia tetapi aku rasa tak biasa. Ezzat pun tak ambil kisah dengan 'bahasa' kami. Pelik pun ya sebab dengan Dhuha boleh pula aku jadi lembut dalam berbicara.

"Oh, patutlah! Hari tu saya terdengar awak bercakap dengan dia dekat loker." Jujur sekali Dhuha berkata.

Sebaik sahaja ayat itu berlabuh, aku sengih kelat. Tak jangka Dhuha melihat sketsa kami. Aku yang serupa mabuk dengan minyak wangi Ezzara dan... 

Wajah aku tiba-tiba panas membahang.

"ADA orang nak jumpa kau."

Aku memanggungkan kepala, menatap seraut wajah yang sudah tersengih-sengih di sebalik buku menu yang dipegangnya.

"Siapa?" Apron segera aku lepaskan dari badan dan aku letak perlahan di atas meja.

"Adalah! Tapi, kan... cantik betul dia tu. Mata aku serius tak berkelip tengok dia." Tiya masih belum menghentikan sengihannya. Aku cuma jongketkan bahu, masih belum tahu siapakah gerangan di sebalik wajah yang cantik itu.

Perlahan-lahan aku mengorak langkah ke arah meja yang menempatkan seseorang. Dari belakang tubuhnya, fikiranku seakan menelah sesuatu walaupun kelihatan samar. Apabila aku betul-betul berdiri menghadapnya, wajah si gadis terus berubah ceria.

"Ammara!"

"Ally!" Aku bersuara teruja dan tatkala menyedari sesuatu, mataku jatuh pada serata wajah Mallysa. Inikah kecantikan yang dikatakan Tiya tadi?

"Sorry, aku buat kau terkejut. Aku cakap dengan Ezzat yang aku nak berborak dengan kau sebelum aku pergi jauh dari sini..." Di akhir ayat, aku menangkap suara Mallysa yang berubah sayu. Dia juga sudah menarik aku untuk duduk di sebelahnya.

"Kau nak pergi mana?" Kening aku bertaut. Tidak dapat tidak, aku mulai rasa risau dengan sahabat aku yang satu ini. Takkan dia nak tinggalkan aku?

"Tak, aku tak tinggalkan kau, Ammara. Aku cuma pergi sekejap je dari sini... untuk sebulan dua, mungkin." Mallysa geleng kepala, menepis perkara negatif yang menghasut kotak fikiran aku. Dia menggenggam tangan aku seeratnya bagai mahu menyalurkan kekuatan.

"Tapi kenapa?"

"Akid kena outstation ke luar negara dan aku kena ikut dia dan ada dekat sisi dia."

"Kerja macam mana?"

"Semuanya okey. Bos kasi aku cuti."

Penerangan ringkas Mallysa membuatkan aku mengangguk faham. Tak adil kalau aku menghalang Mallysa kerana perasaan aku yang bakal merindu ini. Mallysa mempunyai keputusan sendiri dan aku harus hormatinya.

"Will be missing you then."

"I will miss you more, Ammara!" Dalam berwajah sendu itu, Mallysa sempat tersengih lebar.

"Yang ni... sejak bila?" Aku menyoal perlahan. Tiba-tiba hati aku berasa tenang melihat penampilan baharu gadis itu. Wajahnya berseri-seri apabila mengenakan shawl berwarna biru.

Ya, Mallysa dah bertudung. Aku rasa gembira untuk dia. Untuk aku, hati aku serasa dihempap batu berat. Entah apa yang menghalang aku untuk berubah seperti Mallysa.

Bila waktu aku akan tiba?

"Beberapa hari ni, aku tercari-cari sesuatu yang tak pernah aku fikir untuk cari. Dan kau tahu, aku tak menyesal bila buat keputusan macam tu. Aku nak berubah, untuk jadi lebih baik." Mallysa tersenyum nipis. Mata kami bertemu dan sepertinya dia memahami gelora hatiku.

Aku hanya mendiamkan diri. Hati seakan dijentik dengan bicara Mallysa yang tenang itu.

"Bagi aku, aurat ni tuntutan agama dan... pelindung dari mata-mata lelaki dekat luar sana. Memanglah orang macam kita dulu, tak adalah pakai seksi mana pun. Pakaian biasa je tapi masih ada mata yang pandang penuh nafsu. Yang aku tahu, dunia hanyalah perhiasan semata dan paling baik perhiasan itu adalah seorang isteri dan wanita yang solehah. Lagipun, Islam itu indah dan mudah. Ada hikmah bila kau ikut suruhan Allah. Lagi-lagi bila melibatkan aurat ni..." Panjang lebar Mallysa berkata kepada aku.

Aku melihat juring matanya yang bergenang. Aku juga tidak mampu menangkis rasa sebak yang bergentayangan dalam jiwa. Aku tidak tahu apa yang aku kesalkan kini. Melihat wajah Mallysa yang penuh dengan air mata, aku faham kedukaan yang ditanggungnya.

"Dulu aku ni jenis tak kisah pasal sekeliling. Macam jahil sangat. Seronok berjimba sampaikan lalai dengan tanggungjawab dekat sana dan mungkin pernah hancurkan harapan ibu yang nak tengok anak dia bahagia." Mallysa bercerita tanpa dipinta. Aku cuma membiarkannya meluah perasaan.

"Tapi bahagia dekat dunia saja, tak memadai. Biarlah menderita di dunia asalkan bahagia dekat akhirat sana..." Penuh tersirat ucapan Mallysa.

Aku seka mutiara jernih milik gadis itu. Riak wajah cuba aku keraskan agar aku dapat menjadi lebih kuat untuk meminjamkan bahu aku kepadanya.

"Ammara."

Mata kami bertaut erat.

"Aku dah jumpa apa yang aku cari. Tolong doakan aku untuk terus istiqamah ya? Aku sayangkan kau sangat-sangat! Sayang sangat sampai rasa sedih untuk tinggalkan kau sorang-sorang!" Dia pula yang mengongoi mengalahkan aku. Tetapi, aku tetap juga rasa sedih mahu berjauhan dengan gadis ini. Aku mengangguk.

"Kita jumpa lain kali. Aku boleh tunggu kau balik." Aku bergurau dalam usaha cuba menceriakan suasana. Kalau selalu diselubungi kesedihan, aku juga yang terseksa.

Mallysa memuncung dan tangan aku selamba menarik muncungnya.

"Oww! Kau ni, kan..." Dia berdecit geram.

"Tapi satu ajelah aku nak pesan dengan kau ni," sambung Mallysa tiba-tiba bagaikan teringat sesuatu.

Dada aku berdebar dengan wajahnya yang kembali serius.

"Tolong jaga diri sebab aku tak akan selalu ada untuk kau. Apa-apa yang terjadi, hanya kau seorang je yang boleh lawan semua tu. Aku akan sentiasa doakan kau dari jauh." Bicara Mallysa berbaur ikhlas.

Hati aku tersentuh bilamana air mataku sudah tumpah di sisinya.

Terima kasih, Mallysa. Kau memang sahabat aku dunia dan akhirat.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro