TSS 12
PUSING ke kiri, kekosongan menjamu mata.
Pusing ke kanan juga sama, tetap terasa kosong.
Bantal peluk berbentuk bunga yang terletak di sisi kiri, aku ambil lalu aku memeluknya. Wajahku dibenamkan ke dalam bantal tersebut seakan aku sedang memeluk orang yang tersayang. Bauan strawberi yang bersisa pada bantal, aku hirup dalam-dalam bagai menenangkan gelora yang membadai dada.
Hujung minggu.
Aku yang sepatutnya kerja hari ini, diberi cuti oleh Ezzat. Apa lagi, mulalah aku membantah kerana aku sangat tidak suka duduk rumah tanpa melakukan apa-apa. Aku bosan. Aku nak kerja tetapi dari awal lagi lelaki itu dah menegah.
Takut sangat dia tengok muka aku yang sudah seperti raksaksa. Aku juga akui betapa peliknya wajah aku ketika ini. Terasa pipi berat sebelah disebabkan oleh balutan itu.
Ah, cakap berkaitan balutan lecuran...
Terdapat tiga jenis lecuran yang aku tahu di mana bagi kes aku ini, lecuran yang terpalit di pipi kiri aku hanyalah lecuran ringan dan tidak terlalu memudaratkan. Senang kata, lecuran aku ini tahap pertama. Proses penyembuhannya lebih kurang dalam tujuh hari.
Bagi tahap kedua, lecuran yang biasanya akibat terbakar. Kulit yang melecur atau terbakar akan menyebabkan kulit bertukar menjadi warna kemerah-merahan berserta coklat. Kulit akan membengkak dan proses penyembuhan mungkin akan menjadi lebih panjang dari tahap yang pertama. Parut-parut juga akan timbul dengan ketara dan terlihat jelas di kawasan tersebut.
Dan untuk tahap yang ketiga pula, lecuran kelihatan lebih teruk daripada tahap pertama dan tahap kedua. Struktur lapisan epidermis kulit pada bahagian bawahnya boleh melibatkan kecederaan tisu saraf, otot dan tulang-belulang. Ini akan menjadikan anggota yang terkena lecuran menjadi warna hitam ataupun hangit.
Aku seriau apabila mengingati kenyataan tersebut. Mujurlah kecederaan aku ini tidak terlalu teruk walaupun kesannya masih bersisa.
"Baik betul Encik Ezzat tu, kan Ammara? Kau nak tahu tak, masa kau pengsan tu... dia yang tolong rawat dan balutkan luka dekat pipi kau tu. Kadang-kadang, aku pun pelik jugak. Selama aku kerja dengan dia, tak pernah aku tengok dia tayang muka risau macam tu sekali."
Fikiranku kembali mengimbas detik-detik perbualan kami di kafe semalam. Bersungguh-sungguh Tiya bercerita pasal Ezzat. Aku cuma mendengar dan sekali sekala hanya menjongket kening.
Sampai macam tu sekali dia jaga aku? Aku tak pernah tahu pun Ezzat mahir dalam bab pertolongan cemas. Dia yang sudi jadi penyelamat aku untuk kali kedua walaupun sedikit lambat. Hati aku bagaikan disentak sesuatu.
Aku tak tahu nak gambarkan perasaan sendiri. Terharu? Serba salah? Semua itu membedil diri aku.
Ting tong!
Tak sempat aku berfikir dengan lebih lanjut, bunyi loceng yang datang dari hadapan menyentakkan aku. Segera aku tolak selimut yang membalut badan sebelum bangkit dari katil. Sempat aku meregangkan badan kemudian langkah ini aku halakan ke muka pintu.
Siapa pula datang tak mahu beritahu ni?
"Suprise!" Buka sahaja pintu, telinga aku dikejutkan dengan suara yang tertampal keceriaan itu. Dia tanpa segan silu terus masuk ke dalam rumah ini bersama sengihan lebarnya.
Aku menggelengkan kepala sambil bercekak pinggang. Ada aje idea minah ini nak terkejutkan aku. Nasib baik jantung tak jatuh tahu! Dalam diam, senyuman kecil aku terbentuk. Terharu dengan keprihatinan yang ditebarkan oleh si dia.
"Tak ada kerja ke datang sini mengganggu ketenteraman orang? Maklumlah, orang tu dah bersuami. Kita ni... tak mahulah kacau isteri orang selalu." Aku berseloroh bersama kaki yang sudah menghala ke sofa.
"Eee... kau ni, Ammara! Tak appreciate langsung kehadiran aku. Aku datang sini nak bermanja dengan kau tau!" Mallysa menjuihkan bibir. Pura-pura berjauh hati namun dia tetap dah selamat melompat atas sofa.
Aduhai kawan aku yang seorang ni! Aku ketawa mengekek.
"Bosan tak?" Mallysa membetulkan duduknya lalu memusingkan badan ke arah aku. Matanya sengaja dikerdip-kerdipkan comel.
"You know me well, don't you?" Aku buat tarian kening tetapi tak mampu mengalahkan versi teragung Ziana Zain. Seperti kerang busuk, bibirku tak berhenti dari ukirkan senyuman lebar. Dah tahu apa yang bakal dia katakan.
"Jom ikut aku keluar he he he..."
Kepala aku laju mengangguk namun menyedari sesuatu, wajahku terus berubah muram.
"Ammara... kenapa ni?" Mallysa menyoal perlahan. Matanya kian berlari di serata wajahku, cuba mencari sesuatu yang tersembunyi di sebalik riak aku itu.
"Keluar dengan muka macam ni? Kau tak rasa orang akan..."
"Orang akan kata macam-macam? Kita tak mampu tutup mulut mereka. Biarlah kalau mereka nak kutuk. Paling penting, aku ada dengan kau okey? Kau cantik macam aku dan jangan sebab kecacatan yang sedikit menghilangkan kecantikan yang sedia ada di wajah kau," balas Mallysa sambil tersenyum lagi-lagi pada ayat terakhir yang sengaja menaikkan saham sendiri.
Dia faham aku sangat. Tak perlu aku jelaskan secara terperinci dan tetap... dia faham dengan apa yang mengganggu fikiran aku.
"Kau tak tanya aku pasal balutan ni?" Tiba-tiba rasa nak tanya Mallysa akan soalan yang satu ini. Pelik juga aku dia tak banyak tanya tentang aku. Selalu macam-macam benda Mallysa nak komen.
"Sebab aku dah tahu. Dari siapa, of course Ezzat Hadif!"
Kening aku terus bertaut. "Kau dengan dia rapat sangat ek?"
"I do smell something fishy here."
"Kenapa?" Balasan Mallysa membuatkan dada aku sendiri mula berdebar. Wajah ini, aku larikan ke arah lain. Tengok bingkai gambar fotografi pun jadilah asalkan tak pandang muka Mallysa. Aku boleh tebak apa yang dia fikirkan.
"Kau... cemburu ke ni?" Mallysa tersengih nakal. Aku terus tepuk paha dia kuat!
"Hello! Tak ada soalan yang lebih bernas ke, Ally? Come on, orang macam aku memang tak akan rasa apa itu cemburu. Lagi-lagi dengan manusia macam Ezzat tu!" Aku sanggah bicaranya dengan cebikan. Naik lelah otak aku bila Mallysa suka mengangkat topik pasal Ezzat.
Apa yang seronok sangat pasal dia pun, aku tak tahu.
"Jangan bermain kata sesedap rasa. Aku tak nak tanggung kalau nanti kau sendiri yang rasa cemburu bila Ezzat jumpa orang baru." Mallysa bersuara penuh tersirat. Misteri betul wajahnya sehinggakan aku mulai ketawa besar.
"Rileks la, takut pulak aku tengok muka kau ni." Wajah aku kembali serius. Tidak betah dengan pandangan Mallysa yang serupa nak tembus tengkorak muka.
"Aku bukan apalah, Ammara. Dia jaga kau elok-elok jadi aku rasa aku patut percayakan dia," luah Mallysa sambil menongkat dagu.
Ezzat nak jaga aku? Senyuman sinis aku terjongket. Memanglah dia jaga aku. Dia jaga aku dengan ayat-ayat 'bom jangka' dia. Tak lama kepala aku yang meletup.
"Merepek kau ni tak sudah! Aku nak pergi mandi dulu. Macam biasa, kalau nak air ambil dekat dapur okey." Aku bangun dari duduk tanpa mempedulikan Mallysa yang masih memandang aku.
Seram betul renungan dia hari ini!
"UIT! Berangan!"
Aku tersentak dengan sergahan itu. Terasa kaki yang aku pijak kembali ke dunia asal saat bahu aku dipegang olehnya. Lebih sepuluh minit menunggu, barulah batang tubuhnya sudah kunjung tiba. Entah apa yang dia buat di dalam tandas lama-lama tu!
Melihatkan gincu yang terpalit di bibir Mallysa, terus aku kuntumkan sengihan untuknya. Faham dengan tingkahnya yang satu itu. Kalau masuk tandas sahaja, gadis itu tidak pernah jika tidak merias kembali wajahnya. Paling kurang pun, Mallysa akan 'tebalkan' sedikit colekan yang luntur di bibirnya. Sangat mementingkan penampilan diri.
"Kita nak pergi mana lepas ni?" Aku menyoal Mallysa yang sibuk mengikat kemas rambut ikal mayangnya yang dilepaskan bebas tadi. Kan dah cakap! Dekat tempat awam pun tidak selesai lagi 'kerja' minah ini.
"Ice skating," balas Mallysa ringkas lalu cepat sahaja tangannya menarik lenganku ke arah kawasan luncur ais yang berjarak kurang 20 meter dari sini. Mendengarkan ayatnya tadi, kepala aku terus tergeleng-geleng lalu segera aku menghentikan langkah.
"Tak nak!" Aku cuba melarikan diri tetapi sedari awal lagi cengkaman kemas Mallysa sudah mematikan langkah ini. Jelingan tajamnya membuatkan aku berdecit perlahan.
Aku tak mahu! Mati hidup semula pun aku tidak akan membenarkan kakiku memijak kawasan lantai yang licin itu. Setelah bertahun-tahun aku tidak menjejakkan kaki ke sini, Mallysa dengan senang hatinya menyeret langkah aku dengan begitu selamba. Aku takut apabila kotak memoriku kian merenggut babak paling menakutkan yang pernah aku rasakan suatu ketika dahulu.
Aku pernah jatuh tergelincir semasa bermain luncur ais sehingga menyebabkan kepala aku terhantuk di situ. Mujur sahaja otak tak bergegar kuat dan masih center sehingga kini. Jika tidak, entah-entah untuk angkat kepala pun perlu menggunakan kekuatan maksima!
"Jangan jadi budak-budak! Kita dah sampai dekat sini dan aku tak akan berpatah balik, Ammara Sakura. We gonna do something fun in here!" Apabila bibir Mallysa sudah menyeru nama penuh aku, itu bermakna dia memang menegaskannya. Bebola mata terus kuangkat pada kawasan sebelah kanan di mana letaknya sebuah tempat untuk meluncur ais.
Berbakul air liur melepasi rengkung yang serasa tersekat. Segera aku palingkan wajah menghadap Mallysa bersama dada yang mulai dipalu debar.
"Something fun apanya? Akan jadi seronok ke kalau aku akan jatuh tergelincir untuk kali kedua?"
"Kau kena positif! Tak cuba, tak akan tahu."
Tanpa mempedulikan aku yang hanya berdiri tegak di situ, Mallysa terus menarik tangan aku usai dia selesai melakukan pembayaran. Mahu tidak mahu, aku tetap juga mengorak langkah dengan wajah tidak bersemangat. Apa tidaknya, muka aku bagaikan tertelan asam kelubi.
Pertama, aku malu sebab aku takut untuk bermain luncur ais.
Kedua, aku bertambah malu saat mengenangkan wajah ini. Sebelum keluar tadi, aku sengaja membuka balutan di pipi dek rasa tidak selesa. Dan kini, aku masih merasakan ada berpasang-pasang mata yang melekat di wajah aku. Entah-entah mereka mengejek wajahku yang berubah seperti itik buruk rupa. Walaupun nampak buruk, aku cuba berwajah tenang dan selamba.
Kena acah jadi cool. Sekejap pun jadilah!
"Pakai kasut. Jangan sampai aku buat drama pula tolong pakaikan." Aku tersentak sebaik sahaja kakiku yang tersarung kasut dihimpap kasut lain yang berat dan boleh tahan besar. Sampainya hati Mallysa lemparkan kasut ini dekat aku!
"Kau main sorang-sorang ek? Aku tak nak main!" Aku kekal berdegil. Kasut itu aku tolak guna guna kaki kanan. Nasib baik tiada orang nampak. Kalau tak, mungkin mulut aku disumbat dengan kasut besar itu gamaknya sebab berkurang ajar dengan barang hak milik tempat luncur ais.
"No, no! Kau kena ikut aku jugak! Mengada-ngada betul, kan kau ni? Meh sini aku tolong." Puas menunggu aku, Mallysa yang tolong tukarkan kasut aku dengan kasut luncur ais ini. Dalam bibirnya yang tidak berhenti membebel, dia juga yang tolong pakaikan sarung tangan pada kedua belah tangan aku. Mujur sahaja tangan kiri aku dah elok.
Apabila kami sudah mempersiapkan semua kelengkapan yang diperlukan, kami sama-sama bangkit dan seperti biasa, Mallysa menarik aku ke gelanggang luncur ais. Berdiri kaku di hadapan pintu masuk gelanggang itu, berkali-kali liur ditolak masuk dalam kerongkong.
Aku takut tengok lantai itu. Aku takut jika aku akan tergelincir dan kalau terkena pipi kiri aku ini...
Freeze!
Beku dan menggigil sehingga mencengkam tulang hitam.
"Sini, aku tolong kau ya..." ujar Mallysa sambil tersengih lebar. Sukalah dia sebab dapat mengenakan aku. Dia tahu yang aku takut bermain luncur ais, makin digiatnya pula. Dasar!
Sebaik sahaja aku meloloskan badan masuk ke dalam gelanggang, jemariku berpaut laju pada lengan kecil gadis itu. Mallysa cuma simpan senyum melihat aku yang memegang erat lengannya bagai tak mahu dilepaskan.
Setakat ini, aku hanya 'bermain' di kawasan tepi gelanggang sahaja. Berpaut pada pemegang yang sedia ada menjadikan debaran aku bertambah dua kali ganda. Acap kali aku cuba memastikan badan aku statik agar tidak tergelincir.
Sesudah itu, bebola mata aku angkat ke belakang. Mencari sesusuk tubuh yang tiba-tiba menghilang dari radar. Wajah aku berderau.
"Ally, kau dekat mana?" Aku mulai bersuara cemas. Akibat rasa yang kekal bermaharajalela dalam jiwa ini, otakku seakan kosong untuk berfikir tindakan seterusnya. Pandangan terasa sedikit kabur dalam denyutan nadi yang kian menggelora. Peluh renik sudah membanjiri serata dahi tanpa aku sedari biarpun tempat ini boleh tahan sejuknya.
"Ally, aku takut..." Itu yang mampu terluah di bibir aku bersama kelopak mata yang telah terkatup rapat. Aku dapat rasakan kakiku tidak berpasak kukuh pada lingkaran ais ini dan itu merisaukan aku.
Apabila kedua kaki ini terasa semakin melorot ke tepi, badan aku mula menggigil hebat. Sekali lagi, aku cuma berserah dengan keadaan yang membedil emosi.
Mungkin sekejap lagi aku akan jatuh dan...
"Sini." Jemariku tiba-tiba dipaut oleh satu jemari yang lain, beralaskan lapisan sarung tangan tebal. Dia menarik aku agar kaki ini dapat distabilkan.
Aku tergamam.
"Kau... kau buat apa dekat sini?" Aku angkat wajah ini menatapnya.
"Well, I come here for you. Untuk tolong kau dari jatuh dan tergelincir," jawab Ezzat dengan wajah tenang. Dia yang berada di atas ais sesekali membetulkan kedudukan kakinya. Tiada kocakan gelisah yang tertampal pada seraut wajahnya.
Tenang.
Dan aku mahu ketenangan itu membalut sekujur tubuh ini.
"Terima kasih." Aku bersuara setelah seminit kami mendiamkan diri. Hanya mata yang saling bertatapan bersama nafas hangat yang tertampar pada wajah. Tiba-tiba mata aku jatuh pada jam tangan yang terselit di celahan sarung tangan kanan yang dipakainya. Cantik pula rupa bentuk itu!
"Kalau takut, jangan tengok bawah. Kita manusia ni, tak mudah untuk kekalkan momentum statik. Kau kena adapt dengan suasana macam ni bila main ice skating." Ezzat perlahan-lahan cuba meleraikan pegangan itu namun aku segera menghalang.
"Jangan... jangan lepaskan!" Wajahku kembali cemas bersama dada yang sudah berombak kencang. Dalam pada Ezzat bersuara tadi, aku baru sedar yang kami ada di tengah-tengah gelanggang.
Oh Tuhan... macam mana aku nak pergi balik ke pintu utama tadi?
"You look so adorable when you scared of something."
"Huh?" Pipi aku berona merah. Segera aku melarikan pandangan mata dari menatapnya walaupun jemari kami masih bersilang. Kalau boleh, nak aje aku lepaskan dari memaut tangannya tetapi apakan daya kalau aku masih memerlukan pautan tangannya untuk memastikan aku tidak jatuh menyembah permukaan lantai ais.
Dan ketika ini, aku tidak tahu ke mana hilangnya Mallysa. Kawasan gelanggang kelihatan sedikit padat dengan banjiran pelbagai lapisan umur yang hadir untuk mencari keseronokan. Namun begitu, mata aku tetap tidak nampak kelibat Mallysa.
"Cuba tengok sana tu..."
Anak mata aku terus mengikut jari telunjuk Ezzat yang dihalakan pada sesuatu.
"Dia lagi berani dari kau. Terlalu berani bila dia selamba main luncur seorang diri aje. Then look at you, macam budak-budak yang takut hilang mak!" Seketika, ketawa kecil Ezzat menyentuh gegendang telinga aku.
Dia kata aku budak-budak? Aku tak berani?
Aku mengetap rahang yang terasa tegang akibat kutukannya. Depan aku pula tu!
"Suka-suka nenek kau je nak kutuk aku. Kalau datang nak sakitkan hati aku, just go away! Berambus dari pandangan mata aku." Jelingan membunuh aku tidak mematikan kata Ezzat di situ sebaliknya lelaki itu kian menjongketkan kening.
"Okay, I think I should go now..." Seiring dengan bicara yang penuh misteri itu, Ezzat segera rungkaikan tautan kami dan di waktu itu air muka aku kembali terusik padu. Wajah aku terus berubah pucat semahunya tatkala lutut aku mulai menggeletar buat kesekian kalinya.
"Ezzat! Ezzat Hadif!" Jeritan kecil aku bergema tanpa langsung mempedulikan pandangan mata orang yang memandang kami. Aku terlalu takut ketika ini dan aku rasa seolah-olah nyawa aku berada di hujung tanduk!
"Apa dia? Aku tak dengar!"
"Tak nak... tak nak jatuh." Aku mengongoi perlahan lalu menutup mata serapatnya, merelakan diri dengan apa yang terjadi. Aku rasa nak menangis tetapi air mata tidak pula merembes. Sakit hati apabila perasaan didera dengan usikan Ezzat dan dalam masa yang sama, ketakutan juga membaluti sekeping hati aku.
"Sorry... aku sengaja je usik kau." Ezzat bersuara serba salah setelah menyedari perubahan di wajah aku.
Dapat aku rasakan ada tangan hangat yang kembali memegang jemariku. Nafas lega aku hela keluar dari bibir. Sekurang-kurangnya aku masih terasa selamat.
"Jangan tinggalkan aku dekat sini," luah aku tanpa sedar tikala Ezzat membantu aku untuk sama-sama meluncur. Setakat ini, hanya Ezzat sahajalah harapan untuk aku terus bergantung. Kalaulah Mallysa tidak mengajak aku ke sini, sudah tentu aku tak perlu takut. Malangnya, aku juga punya fobia yang tersendiri.
"Tak, aku tak akan tinggalkan kau."
"Janji?"
"Janji."
Ternoktahnya sepatah ayat tersebut, aku cuba sematkan janji itu di dalam hati.
***
Well, bab yang ni boleh tahan panjang jugak harap korang yang baca ni tak terasa bosan. Kadang kadang saya selalu janji nak update cepat even tak ramai baca pun tapi saya sengaja simpan banyak banyak draft. Kemudian baru saya pergi update bebanyak biar berpinar mata korang tengok spam ahahaha 🤪
Kadang geram je menulis kemain berjam jam hadap beribu words. Publishnya tak sampai seminit pun kahkah
Done bebel gerak duluuuu~
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro