Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

4 | gratitude to god.

"Namjoon, kamu dah bersedia?" soal lelaki pertengahan umur yang mengiringi Kim Namjoon di sisi. Dia kini berada di hadapan gerbang Rumah Suci. Rancangan untuk melarikan diri serta-merta terbatal apabila sekumpulan jiran tetangga datang ke rumah untuk menyambutnya semasa senja tadi.

Mereka telah menyiapkan satu set baju kemeja berwarna putih. Khas untuk dirinya yang bakal dijadikan korban kepada ritual gila mereka. Dia terlalu buntu untuk memikirkan alasan disebabkan kehadiran mengejut orang kampung. Akhirnya, Kim Namjoon terpaksa akur saja mengikuti jiran tetangga ke Rumah Suci.

Kim Namjoon menoleh ke sisi. Tidak jauh daripada tempat dia berdiri, terdapat seorang gadis berpakaian gaun putih hingga paras betis. Di sebelah gadis itu pula kelihatan seorang wanita pertengahan umur yang mengiringinya. Namjoon yakin, dia adalah gadis yang terpilih untuk dijadikan bakal korban.

Namun, wajah gadis itu tidak kelihatan kerana ditutupi dengan kain viel. Malah, bahagian bawah wajahnya juga ditutup dengan sehelai kain. Ia sememangnya perlu dipakai oleh seorang gadis yang terpilih bagi memelihara kesucian wajah sehinggalah tiba pada hari ritual.

Apabila dilihat sekali imbas, mereka berdua kelihatan seperti mempelai. Itu membuatkan Namjoon berasa tidak selesa apabila memikirkan Yeonha mungkin berada di dalam Rumah Suci dan melihat Namjoon berpakaian persis pengantin lelaki bersama gadis yang langsung tidak dikenali.

"Hei, kamu tak apa-apa?" teguran itu membuatkan Namjoon tersentak. Sedari tadi lelaki pertengahan umur disebelahnya sedang memerhati dirinya yang termenung jauh.

"Ah? Ya, saya okey cuma gementar sikit." palsu. Sekali lagi, Kim Namjoon menuturkan kata-kata palsu hanya untuk menyelamatkan diri sendiri.

"Jangan risau. Semuanya akan berjalan dengan lancar. Dewa ada bersama kita." kata-kata lelaki itu dijeda seketika apabila bunyi dentingan alat muzik sebanyak tiga kali dari dalam. Namjoon tahu apakah maksud bunyi tersebut. Itu adalah petanda kepadk para korban untuk masuk ke dalam Rumah Suci.

"Mari kita masuk." Namjoon mengangguk lalu melangkah dengan berat hati. Melalui pandangan sisi, Namjoon merasakan gadis itu juga turut melangkah di sisinya diiringi dengan wanita pertengahan umur sebentar tadi.

Gerbang Rumah Suci dibuka seluas-luasnya bagi mengalu-alukan kedatangan mereka. Tepukan gemuruh daripada penganut Iremía mula kedengaran. Mereka bangkit daripada tempat duduk sambil memandang ke arah Namjoon dan gadis tersebut yang berjalan di antara dua barisan.

Perlahan-lahan Namjoon mengayunkan kaki. Sangat perlahan sehingga detak jantungnya dapat menyaingi kelajuan langkahnya. Sungguh, pada saat itu jantungnya berdetak hebat sehingga nafasnya terasa sesak. Buku lima digenggam bagi mengumpulkan kekuatan.

Namjoon mengangkat kepala yang sejak tadi menunduk. Iris matanya memandang ke arah semua penganut Iremía yang sedang bertepuk tangan bagi menyambut kehadiran dia. Tidak lama kemudian, pandangannya terhenti pada satu arah. Dari kejauhan, Yeonha sedang memandang ke arahnya dengan pandangan yang sukar ditafsirkan.

Pandangan itu seakan membawa maksud bahawa teman wanitanya sedang terkejut. Juga, cecair jernih yang perlahan-lahan turun dari tubir mata menunjukkan bahawa Yeonha sedang sedih. Namjoon yakin teman wanitanya pasti terkejut mengetahui bahawa dia masih berada di kampung ini.

Perkara itu tidak dapat dielakkan oleh Namjoon kerana dia sendiri tidak jangka akan semua ini. Masa seakan berjalan dengan sangat perlahan. Sepasang mata berbentuk badam itu bertemu dengan sepasang mata bundar milik seorang gadis yang amat dia cintai.

Kim Namjoon benar-benar berharap agar dia dapat berlari ke arah Yeonha dan memeluk gadis itu seerat-eratnya. Sedar bahawa air matanya bagaikan mahu terjatuh, Namjoon pantas memejamkan kelopak mata dengan bibir yang dikatup rapat. Sangat rapat seperti ingin mengawal emosi yang bersarang di dada.

Tanpa disedari, kakinya telah melangkah hingga tiba di atas platform. Namjoon berdiri menghadap khalayak ramai bersama seorang gadis di sisi. Lelaki dan wanita pertengahan umur yang menjadi pengiring mereka telah mengambil tempat di barisan bersama-sama penganut Iremía yang lain.

"Pada malam yang penuh berkat ini, kita akan mengadakan majlis kesyukuran bagi meraikan kejayaan dua orang insan yang bertuah di hadapan ini kerana telah terpilih untuk dijadikan korban." Father memulakan kata-kata ucapan di atas podium.

"Saya percaya, Dewa Rion memilih mereka untuk menyerahkan nyawa secara rela kerana mereka mempunyai keistimewaan pada diri masing-masing. Keistimewaan itulah yang bakal membawa mereka ke tempat yang paling agung di sisi dewa. Tahniah saya ucapkan." kata-katanya diiringi dengan bunyi tepukan gemuruh daripada para hadirin.

Selesai sahaja Father memberikan kata-kata ucapan, semua penduduk Desa Bezuch memulakan upacara berdoa. Namjoon dan gadis yang masih tidak diketahui identitinya itu berdiri menghadap lambang agama Iremía yang digantung pada dinding.

Bentuk lambang agama Iremía adalah sebuah sayap besar dengan sebilah pedang yang terdapat di tengah-tengah melambangkan kerelaan penganut Iremía untuk menyerahkan nyawa masing-masing.

Pada malam itu, Kim Namjoon, satu-satunya warga Desa Bezuch yang tidak mempercayai kewujudan tuhan telah mewakili semua penganut Iremía untuk berdoa kepada dewa yang langsung tidak wujud bagi pandangannya.

Selesai sahaja upacara berdoa, semua penganut agama Iremía berehat seketika di bilik rehat yang terdapat di Rumah Suci. Ada juga yang pulang ke kediaman masing-masing untuk mempersiapkan diri ke upacara seterusnya.

Suasana di Rumah Suci semakin lenggang. Hanya terdapat beberapa orang sahaja yang masih berada di situ dan Namjoon adalah antara orang yang tidak terkecuali. Lelaki itu masih kekal berdiri dan diam membisu sambil kepalanya mendongak memandang simbol agama Iremía yang digantung pada dinding.

"Tahniah." sebaris perkataan ucapan itu serta-merta mematikan lamunannya. Namjoon menoleh ke sisi memandang seorang gadis yang mengenakan gaun putih. Individu tersebut adalah Bae Jungna.

Semasa dia mendapat tahu bahawa Bae Jungna adalah gadis yang terpilih untuk menjadi korban ritual, Namjoon agak terkejut. Dia tidak menyangka gadis itu akan terpilih. Tapi sudah tentulah, Jungna dan neneknya akan menganggap ini merupakan berkat daripada kesungguhan berdoa siang dan malam.

"Tahniah juga untuk awak." terbit ucapan palsu itu dari bibirnya.

"Oh ya, aku minta maaf sebab berkasar dengan kau tempoh hari. Memandangkan hari ni merupakan hari yang paling bertuah dan bahagia untuk kita, aku nak berbaik dengan kau." gadis itu menghulurkan tangan tanda permaafan.

Namjoon teragak-agak seketika sebelum menyambut tangan Jungna yang dilitupi dengan sarung tangan berwarna putih. "Saya dah maafkan awak, Jungna." ujar Namjoon lalu meleraikan tangannya.

Sejujurnya, Namjoon langsung tidak menyimpan dendam kepada Jungna walaupun gadis itu dan neneknya telah menuduh perkara yang bukan-bukan. Tetapi, apa yang Namjoon kesalkan adalah keluarga kecil itu begitu taksub kepada agama sendiri sehingga tidak kisah jika nyawa digadaikan sekalipun.

"Baguslah, kau tak berdendam. Kalau boleh aku tak nak ada sekelumit dosa aku yang tertinggal kat dunia ni. Biar semua dosa aku terhapus macam debu yang berterbangan." kata-katanya kedengaran bersungguh-sungguh.

"Kenapa?"

"Supaya aku dapat pergi dari sini dengan tenang. Aku juga nak tunjukkan kepada dewa yang pemilihan aku sebagai insan mulia bagi wakil perempuan adalah selayak-layaknya. Tak ada insan yang lebih baik dan layak dari aku."

Kata-kata Jungna yang penuh dengan rasa riak dan angkuh itu membuatkan Namjoon berasa meluat. Dia jijik dengan keangkuhan gadis di sebelahnya ini yang terlalu yakin bahawa dirinya adalah paling suci dan alim daripada orang lain.

"Namjoon, kau nak tahu tak apa yang aku tengah fikirkan sekarang?"

Namjoon mengangkat alisnya sedikit ke atas. Kepalanya digelengkan tanda tidak tahu.

"Aku rasa kau ni macam tak gembira bila terpilih oleh dewa. Uh, bukan 'macam' tapi memang jelas terpapar perasaan tak suka kat muka kau tu."

Kata-kata Jungna itu membuatkan Namjoon gugup. Dia bukannya tidak cuba untuk mempamerkan reaksi bersahaja, dia sudah cuba. Tetapi nampaknya, Namjoon gagal mengawal reaksi wajah akibat terlalu ikutkan rasa hati.

"Kau diam ni maksudnya betullah apa yang aku cakap?"

"Oh, bukan macam tu. Saya cuma rasa gementar sebab ini merupakan kali pertama saya rasa pengalaman macam ni." Namjoon cuba berdalih.

"Cara kau cakap macam aku ni dah berpengalaman dijadikan korban. Kita berdua ni berada dalam bot yang sama, kau tahu? Ini bukan kali pertama untuk kau seorang, tapi untuk aku juga. Cuma kau kenalah pandai kawal emosi. Cuba fikirkan perkara yang membahagiakan untuk buang rasa takut tu."

"Perkara yang membahagiakan?"

"Ya, macam ganjaran yang kita akan dapat di syurga nanti. Kita akan dapat tempat terpuji di sisi dewa. Semua orang akan menyanjungi kita. Oh, fikirkan pasal tu pun dah buatkan aku tersenyum lebar." bersungguh-sungguh Jungna menyatakan perasaannya. Gadis itu tersenyum sendiri sambil memegang dadanya dengan kedua belah tangan.

Namjoon merasakan semakin lama dia berbual dengan Jungna, semakin lemas dirinya dalam ajaran karut itu. Dia hampir mati akal kerana tidak tahu bagaimana lagi ingin memberi reaksi terhadap kata-kata gadis di hadapannya ini.

"Ya, saya akan cuba buang rasa gementar ni. Terima kasih."

Mujurlah perbualan mereka terhenti di situ sahaja kerana semua penduduk Bezuch perlu ke dataran untuk upacara seterusnya termasuklah mereka berdua yang memainkan peranan penting pada malam itu.

Tepat pada pukul 10 malam, semua penduduk beransur meninggalkan Rumah Suci dan menuju ke dataran secara beramai-ramai untuk menjalankan upacara seterusnya.

Bae Jungna telah ke dataran bersama-sama dengan wanita yang mengiringinya semasa awal upacara tadi. Manakala Kim Namjoon mengambil kesempatan itu untuk berjumpa dengan Yeonha di bilik rehat yang terdapat di Rumah Suci secara senyap.

Itulah satu-satunya cara untuk dia bertemu dengan kekasihnya tanpa diketahui oleh orang ramai. Dia yakin pada waktu sebegini semua penduduk telah pergi ke dataran.

Beberapa minit dia menunggu kehadiran si buah hati, akhirnya Min Yeonha memunculkan diri. Sebaik sahaja pasangan kekasih itu bersua muka, mereka terus berpeluk erat.

"Yeon."

"Apa yang dah berlaku? Awak kata awak nak larikan diri daripada kampung ni. Macam mana awak boleh ada kat sini lagi?" bertubi-tubi soalan yang keluar daripada mulut Yeonha. Terpancar jelas kerisauan di wajahnya.

"Maaf, Yeon. Saya tak sangka semua orang akan berkumpul kat rumah saya untuk persiapan ritual masa senja tadi. Sebab tulah saya langsung tak sempat nak larikan diri." jelas Namjoon.

"Nampaknya, diorang memang langsung tak bagi peluang untuk awak ke mana-mana." Yeonha menjeda ayatnya seketika untuk berfikir. Tidak lama selepas itu, dia kembali bersuara.

"Kita dah tak ada masa. Jom, kita bertindak sekarang. Awak kena larikan diri daripada sini sekarang juga, Joon." lengan Namjoon dipegang erat oleh Yeonha. Namjoon hanya membiarkan Yeonha menariknya ke pintu kerana dia sendiri sudah buntu untuk berfikir. Hanya teman wanitanya itu sahaja yang dapat membantunya sekarang.

Ketika Yeonha ingin memulas tombol pintu bilik rehat, kedengaran bunyi tapak kaki menuju ke kawasan itu membuatkan kedua-dua pasangan itu tersentak. Namjoon dan Yeonha saling berpandangan apabila menyedari bahawa mereka sedang berada dalam situasi genting.

Bila-bila masa sahaja pintu itu akan dibuka dan keberadaan mereka berdua di bilik rehat pasti akan mengundang tanda tanya kepada semua penduduk.

"Apa yang kita nak buat ni?" tanya Yeonha dalam nada berbisik. Bimbang jika suaranya didengari oleh individu disebalik pintu tersebut.

Resah memikirkan cara yang paling selamat untuk menyelamatkan diri, akhirnya Namjoon temui satu cara. Tanpa berlengah, dia menarik tangan Yeonha menuju ke almari yang menempatkan makanan ringan dan air mineral.

Yeonha disembunyikan di sebalik almari tersebut. "Tunggu kat sini."

Namjoon melangkah mendekati pintu. Bunyi derapan kaki semakin menghampiri, jelas indera pendengarannya menangkap bunyi pulasan tombol dari luar. Debaran di dada semakin terasa apabila memikirkan gerangan di sebalik daun pintu itu.

"Oh, Namjoon. Penat saya cari kamu." ternyata individu tersebut adalah lelaki pertengahan usia yang mengiringinya sebentar tadi. Namjoon berasa sedikit lega kerana tanggapannya terhadap gerangan di sebalik pintu adalah Father. Ternyata, dia salah. Mujur bukan ketua agama Iremía itu yang ke sini.

"Apa kamu buat kat sini? Kita kena pergi ke dataran sekarang. Upacara seterusnya akan mula beberapa minit saja lagi." sudah dijangka akan soalan yang diajukan, Namjoon segera menjawab.

"Saya nak minum air sekejap. Tekak dah kering sebab terlalu lama berdoa tadi. Maaf, sebab tak bagitahu ahjussi dulu."

"Oh, tak apa. Lagipun ini kali pertama kamu memimpin kami semua, kan? Ahjussi tumpang gembira dengan kamu sebab dapat lakukannya dengan baik. Pasti appa kamu bangga, kan?" Namjoon hanya mengangguk sambil tersenyum. Mujur sahaja alasan yang diberikan oleh Namjoon itu dapat menutup penipuan yang cuba disembunyikannya.

"Terima kasih. Ahjussi nak air?" Namjoon mempelawa lelaki di hadapannya dengan menghulurkan sebotol air mineral. Dia perlu berlagak biasa supaya tidak tertangkap sedang menipu.

"Tak apalah. Lagipun kita kena bergerak ke dataran sekarang. Tak elok biarkan jiran tetangga menunggu lama. Mari, Namjoon."

Bahu Namjoon ditepuk perlahan kemudian lelaki itu menadah tangan kanan tanda menyuruhnya untuk berjalan terlebih dahulu. Agak lama Namjoon tenggelam dalam telaan fikiran sehingga dia tidak sedar akan namanya diseru.

"Namjoon? Mari pergi segera."

Namjoon tidak boleh berbuat apa melainkan akur dengan kata-kata tersebut. Dia sedar akan kesungguhan lelaki itu mengajaknya ke dataran. Seolah-olah lelaki itu tahu akan keengganan Namjoon untuk menjejakkan kaki sana.

Sebelum kakinya melangkah keluar dari bilik rehat, dia sempat menoleh memandang Yeonha yang bersembunyi di sebalik almari.

Teman wanitanya itu kelihatan sedang tersenyum pahit sambil mengangguk perlahan tanda dia rela akan pemergian Namjoon.

Namjoon sempat membaca gerak-geri bibir Yeonha yang mengatakan "Selamatkan diri awak." ketika itu, sepasang mata milik Yeonha tampak berkaca.

Hatinya remuk memikirkan bahawa dia dan teman wanitanya mungkin tidak dapat bertemu lagi selepas ini kerana dia perlu melarikan diri jauh daripada Desa Bezuch.

'Semoga kita berjumpa lagi, Yeonha.' desis hati Kim Namjoon.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro