Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

2 | blood moon ritual.

Seminggu selepas itu, penduduk di seluruh dunia berpeluang menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh. Fenomena tersebut merupakan kejadian di mana bulan kelihatan lebih besar daripada biasa. Ia juga dipanggil sebagai Blood Moon kerana warna bulan tampak kemerah-merahan persis warna darah.

Hari itu juga merupakan Hari Berdoa untuk seluruh penganut Iremía. Hari Berdoa merupakan upacara peribadatan, di mana suatu komuniti ataupun suku berhimpun bersama-sama untuk menunaikan ibadat.

Penganut Iremía percaya, fenomena tersebut merupakan satu anugerah daripada Dewa Rion kerana dikatakan bahawa malam bulan berdarah merupakan waktu paling mustajab untuk berdoa.

Maka, semua penduduk Bezuch telah berkumpul di dewan Rumah Suci untuk berdoa secara beramai-ramai. Pada malam itu mereka telah dipimpin oleh Father.

Masing-masing mengangkat tangan ke udara sambil berdoa dengan nada yang lantang. Suara yang dilontarkan kedengaran begitu terdesak dan menjerit-jerit. "Berdoalah kalian! Sesungguhnya, Sang Dewa mendengar apa yang dihajati!"

"Wahai dewa, pilihlah anak kami!"

"Pilihlah kami!"

"Bawa aku ke tempat paling terpuji di sisimu, Tuhanku!"

"Bawalah aku!"

Doa mereka diselangi dengan suara ibu bapa, suara garau milik golongan teruna bahkan suara lunak para gadis yang bersungguh-sungguh meminta hajat daripada tuhan mereka. Ada yang menjerit sambil menangis teresak-esak.

Di barisan terakhir, kelihatan Namjoon sedang duduk melutut. Kedudukannya agak terpinggir daripada jiran-tetangga yang lain. Sejujurnya, dia tidak mahu berada di situ namun Father telah mewajibkan kedatangan semua penduduk jadi dia terpaksa mengikuti upacara yang telah diadakan.

Iris matanya memerhati setiap penganut Iremía yang sedang berdoa. Hanya dia seorang saja yang diam membatu. Bulu romanya meremang mendengar suara pekikan jiran-tetangga di situ. Walaupun Namjoon sudah kerap kali melihat mereka berdoa, namun situasinya amat berbeza setiap kali menjelang Hari Berdoa.

Pada Hari Berdoa, penduduk Bezuch akan berdoa dengan bersungguh-sungguh seperti hilang akal sehingga akhirnya mereka kehabisan tenaga. Bahkan, ada juga yang tidak mahu pulang ke rumah apabila waktu berdoa telah tamat. Mereka akan berdoa sehingga mentari terbit pada hari keesokannya.

Ketika Namjoon sedang melayan perasaan seorang diri tiba-tiba, dia dikejutkan dengan bunyi seperti seseorang kesesakan nafas. Bunyi itu kedengaran sungguh jelas. Dalam kebingitan suara manusia di situ, Namjoon cuba mencari dari arah mana datangnya bunyi tersebut.

Ternyata, ada seorang wanita tua telah rebah di barisan hadapan. Namjoon tidak tunggu lama. Dia bergegas meluru ke arah wanita tersebut.

"Halmeoni, bangun!" Namjoon cuba menggerakkan lengan wanita itu tetapi hampa, tiada sebarang reaksi. Dia buntu tidak tahu apa yang perlu dilakukan. "Tolong-"

Saat kepalanya mendongak ingin meminta pertolongan, hatinya bagaikan disentak kasar apabila melihat tiada seorang pun yang ambil peduli terhadap keadaan wanita tua itu.

Jiran-tetangganya sengaja membutakan mata seperti tiada apa yang berlaku bahkan mereka masih tetap khusyuk berdoa walhal Namjoon dan wanita tua itu berada tepat di hadapan khalayak ramai.

Namjoon memalingkan wajahnya ke belakang. Ternyata, lelaki yang bergelar Father itu juga langsung tidak ambil peduli. Akhirnya, Namjoon membuat keputusan untuk mengangkat wanita tua itu lalu dibawa ke bilik rehat.

Bilik rehat terletak di bahagian belakang dewan Rumah Suci. Tempat tersebut memang sudah tersedia untuk semua penganut Iremía. Di situ, mereka dibenarkan untuk berehat selepas berdoa dengan sepenuh tenaga. Keluasan bilik itu tidaklah begitu besar dan tidak sempit tetapi cukup untuk memuatkan 30 orang dewasa.

Perabot di situ tidak banyak, hanya cukup dilengkapi dengan keperluan asas untuk berehat seperti beberapa buah katil bujang, kerusi. Setibanya di bilik rehat, Namjoon membaringkan wanita itu dengan penuh berhati-hati.

Dia melonggarkan pakaian wanita tua itu terutamanya pada bahagian yang tertutup. Namjoon membuka satu-persatu butang pada bahagian leher baju yang mungkin mengganggu saluran pernafasannya.

Saat itu, tumpuan Namjoon beralih pada sekeping risalah yang terbiar di atas meja bersebelahan dengan katil. Dicapai risalah itu lalu dikibas-kibaskan ke arah wanita tua dihadapannya bagi membenarkan kehadiran angin.

Wajah tua itu ditatap dengan senyap. Sungguh, dia berasa simpati. Wanita itu kerana terlalu gigih berdoa sehingga kehilangan tenaga dan menjadi lemah sampai begini sekali.

"Joon." kedengaran satu suara yang tidak asing dari arah pintu bilik. Pergerakan Namjoon yang sedang mengipaskan wanita tua itu terhenti. Badannya berpusing ke belakang.

Seperti yang dijangka suara itu milik teman wanitanya, Min Yeonha. "Macam mana awak boleh ada kat sini?"

"Tadi, saya nampak awak dukung seseorang tapi saya tak sempat kejar. Mujurlah saya terdetik nak datang ke bilik rehat. Apa yang dah jadi?"

"Halmeoni ni tiba-tiba pengsan. Saya cuba minta pertolongan daripada jiran kita tapi mereka langsung tak kisah. Jadi, saya terpaksa bawa dia ke sini. Awak tahu tak siapa ahli keluarga dia?"

Yeonha berjalan mendekati katil yang menempatkan wanita tua itu. Buat beberapa saat, raut wajah Yeonha seperti sedang cuba mengenal pasti identiti wanita itu.

"Ini halmeoni Bae Jungna. Rakan sekelas kita masa sekolah menengah dulu."

Namjoon cuba mengimbas kembali empunya nama yang disebutkan oleh Yeonha. Samar-samar saja wajah Bae Jungna terlayar di minda. Sememangnya, Namjoon sukar untuk mengingati seseorang lebih-lebih lagi jika kenalan yang tidak rapat.

"Sekejap, biar saya cari dia. Mungkin dia ada kat depan." kata-kata daripada Yeonha membuatkan Namjoon kembali ke alam nyata. Apabila kepalanya diangkat ternyata Yeonha sudah pun berada di muka pintu.

"Tak payahlah, Yeon. Sekarang bukan masa yang sesuai. Awak pun tahu macam mana keadaan kat luar sana tu."

Seperti yang diketahui oleh Namjoon, pantang larang yang paling utama di Rumah Suci adalah mereka tidak boleh mengganggu orang lain ketika sedang beribadat mahupun berdoa. Jika hal tersebut mustahak sekalipun, penganut Iremia tetap tidak suka jika doa mereka diganggu.

"Okey, kalau macam tu kita tunggu sampai halmeoni bangun." Yeonha melabuhkan punggung bersebelahan Namjoon.

"Aunty awak mana?" soal Namjoon.

"Dia tengah berdoa. Jangan risau, dia takkan cari saya." Namjoon mengangguk tanda mengerti. Dia amat berhati-hati terhadap hubungan mereka berdua kerana bimbang diketahui oleh mak saudara Yeonha.

Mak saudara Yeonha memang tidak gemar jika mereka berdua bercinta. Dia menganggap Namjoon dan Yeonha sudah putus hubungan setahun yang lalu. Namun pada hakikatnya mereka masih kekal bersama sehingga kini.

Suasana sepi ketika itu tidak kekal lama apabila suara erangan seseorang memecahkan kesunyian. Suara itu datang daripada wanita tua yang pengsan tadi.

"Awak, halmeoni dah sedar." ujar Yeonha. Mereka berdua serentak bangun lalu mendekati wanita tua itu.

"Kenapa aku ada kat sini?" dengan payah, wanita tua itu cuba bangun daripada pembaringan. Raut wajahnya kelihatan bingung. Mungkin sedang cuba memproses apa yang telah berlaku.

Namjoon membantu wanita tua itu untuk duduk bersandar di kepala katil. "Halmeoni pengsan semasa berdoa jadi saya bawa ke bilik rehat. Halmeoni tak apa-apa? Sekejap, biar saya ambilkan air mineral."

"Eh, tak payah. Bawa aku ke dewan semula. Aku nak berdoa." terbantut perbuatan Namjoon yang ingin ke rak makanan. Dia kembali berpusing ke arah wanita tua itu.

"Tapi keadaan halmeoni masih lemah." lembut dia menuturkan kata. Yeonha di sebelahnya juga mengiyakan tanda bersetuju.

"Aku kata bawa aku ke depan! Aku perlu pastikan Jungna dipilih oleh dewa. Kau tahu tak dah berapa kali aku berdoa untuk perkara yang sama? Kali ini, cucu aku perlu dipilih tak kira apa pun. Ke tepi!" herdiknya.

Namjoon tidak sangka sampai begitu sekali ketaksuban wanita tua itu ingin menjadikan cucunya sendiri sebagai korban ritual. Dia tetap cuba menghalang wanita tua itu daripada meninggalkan bilik rehat walaupun badannya ditepis berkali-kali.

"Halmeoni? Kenapa halmeoni ada kat sini?" kedengaran satu suara dari arah pintu masuk. Serentak itu, mereka menoleh. Kelihatan seorang gadis bergaun merah paras lutut sedang berdiri di hadapan pintu.

"Jungna, tolong halmeoni. Mereka cuba halang halmeoni daripada berdoa!"

Barulah Namjoon sedar bahawa gadis itu merupakan Bae Jungna iaitu cucu kepada wanita tua seperti yang dikatakan oleh kekasihnya.

"Tak, bukan macam tu. Sebenarnya, halmeoni awak pengsan. Saya tolong angkatkan dia dan bawa ke sini memandangkan saya tak tahu siapa penjaga dia." Namjoon menjelaskan perkara sebenar kepada Bae Jungna.

"Oh ya, tadi aku pergi ke tandas sekejap. Korang jangan risau, halmeoni aku memang mudah pengsan." kata-kata Jungna terhenti disitu hanya sekadar untuk memerhati Namjoon dan Yeonha secara bersilih-ganti.

"Tapi aku pelik kenapa korang halang dia? Lagipun, dia dah sedar sekarang jadi aku rasa perkara tu tak menghalang halmeoni aku daripada pergi ke dewan untuk berdoa." kata-kata Bae Jungna itu membuatkan Namjoon terpempan. Begitu juga dengan Yeonha.

"Keadaan dia masih lemah, Jungna. Lebih baik kau bawa dia balik. Aku risau kalau dia pengsan lagi sebab keadaan terlalu sesak kat dewan tu." kali ini Yeonha pula cuba untuk memujuk.

"Ah, mengarut. Aku dah kata aku tak apa-apa!" wanita tua itu cuba menafikan.

"Dengar tak tu? Dia tak apa-apa. Atau korang sebenarnya memang sengaja tak benarkan halmeoni aku berdoa?"

"Apa?" soal Namjoon, tidak mengerti.

"Yalah, malam ni kan malam paling mustajab untuk berdoa. Mungkin korang nak kaut semua peluang supaya terpilih oleh dewa? Oh, bila difikirkan semula korban ritual tu hanya dua orang yang terpilih. Lelaki dan perempuan. Ciri-ciri yang tepat untuk korang berdua."

Kata-kata Bae Jungna itu benar-benar membuatkan Namjoon mati kata. Dia tidak sangka sampai begitu sekali dirinya dituduh walhal dirinya ikhlas membantu. Lagipun, Namjoon bukanlah penganut Iremía yang mengamalkan kepercayaan karut sehingga sanggup mati kononnya ingin berkorban demi Tuhan.

"Jungna, aku tak sangka kau kata macam tu. Sekurang-kurangnya berterima kasihlah sebab Namjoon dah tolong." pesan Yeonha namun masih terselit nada lembut dalam bicaranya.

"Ya, saya ikhlas menolong dan tak mengharapkan apa-apa balasan sekali pun."

"Tiada siapa yang tahu niat sebenar kau. Hanya Dewa Rion saja yang mengetahui keikhlasan seorang hamba-Nya."

"Betul. Kalau cucu aku tak terpilih oleh dewa nanti, memang sudah terang lagi bersuluh siapa penyebabnya." kini, wanita tua itu pula yang menyerkap jarang.

"Sudahlah, halmeoni. Buang masa bercakap dengan diorang. Mari kita ke dewan."

Diam. Diam tidak terkata pasangan kekasih itu apabila Bae Jungna dan neneknya berlalu pergi. Siapa sangka, mereka dituduh dengan begitu teruk selepas melakukan sesuatu yang benar-benar ikhlas dan tulus dari hati.

Dalam kesunyian itu, Yeonha mendengus tanda tidak berpuas hati. Mana tidaknya, mereka hulurkan sejambak bunga tapi dibalas pula dengan najis. "Kita ikhlas tolong diorang tapi apa yang kita dapat? Kena tuduh macam-macam pula. Jungna dan halmeoni dia tu dah melampau."

Namjoon tersenyum hambar. "Saya pun tak sangka sampai macam sekali tanggapan diorang kat kita. Tapi tak apalah, lebih baik memaafkan daripada keruhkan lagi keadaan."

"Joon, cukup-cukuplah dengan sifat pemaaf awak tu. Kadang-kadang, orang macam diorang tu layak diberikan balasan yang setimpal."

"Apa yang saya boleh buat, Yeon? Takkan awak nak saya bakar rumah diorang pula?"

"Kalau boleh, apa salahnya."

Namjoon serta-merta menggelengkan kepala. "Yeon, api jangan dibalas dengan api. Sebaliknya, api marak itu perlu disiram dengan air supaya ia terpadam." nasihatnya dilapik dengan kata-kata tersirat. Itu merupakan salah satu prinsip hidup Kim Namjoon ; menegur dengan penuh tertib dan beradab agar tidak mengguris hati pendengar.

"Joon, sekarang bukan masa yang sesuai untuk bersastera dengan saya."

Namjoon tersenyum geli hati saat melihat Yeonha menggulingkan biji mata ke atas. "Saya tahu awak faham maksud saya."

"Ya, saya faham. Tapi bukan semua api boleh terpadam dengan air. Diorang tu sejenis api neraka. Kalau disimbah pun takkan terpadam." akhirnya tawa Namjoon terletus jua. Kekasihnya benar-benar sedang marah dan itu membuatkan dia terhibur melihat gelagat Yeonha.

"Sudahlah, Yeon. Jangan terlalu fikirkan apa yang terjadi. Saya kan dah pesan beberapa kali supaya kawal kemarahan tu. Bahaya kalau terlalu ikutkan hati dan perasaan. Nanti termakan diri sendiri."

Akhirnya, Yeonha mengangkat tangan tanda mengalah. Dia memang akan kalah kalau berbahas dengan Namjoon. Lelaki itu sangat pandai dalam berkata-kata membuatkan dirinya selalu mengangkat bendera putih terlebih dahulu.

"Okey, saya mengaku apa yang saya cakap tu salah. Awak je betul."

Namjoon menghamburkan tawanya. Pepatah manusia pada zaman sekarang selalunya ada mengatakan bahawa perempuan sentiasa betul namun bagi mereka berdua, pepatah itu perlu diterbalikkan. Namjoon selalu menang dan Yeonha pula selalu kalah.

Upacara berdoa telah pun selesai tepat pada pukul 12 malam. Semua penganut Iremía beransur pulang ke rumah masing-masing tetapi ada juga yang masih berada di Rumah Suci untuk berdoa.

Di depan pintu masuk, Kim Namjoon sedang berpeluk tubuh sambil menunggu kekasihnya keluar. Niatnya hanya ingin melihat Yeonha sebelum pulang ke rumah. Tetapi kelibat dia masih belum kelihatan. Mujurlah beberapa minit kemudian, susuk tubuh Min Yeonha akhirnya muncul.

"Lama ke tunggu?"

"Bolehlah. Saya sempat tengok semua orang balik, baru awak nak keluar." ujar Namjoon dalam nada menyindir. Matanya berpura-pura melihat pergelangan tangan seolah-olah memakai seutas jam.

Yeonha tertawa kecil. "Maaflah, saya sibuk pujuk aunty tadi sampai terlupa pasal awak. Puas saya pujuk tapi dia tetap tak nak balik."

"Aunty awak tak penat ke? Saya risau kalau dia jadi macam halmeoni tadi."

"Saya pun risau juga. Cara dia berdoa tu terlalu bersungguh-sungguh sampai saya jadi takut kalau dia pengsan sebab terlalu penat. Macam mana ni?" jelas terpancar raut kerisauan pada wajah Yeonha.

Namjoon melepaskan keluhan berat. "Saya rasa lebih baik teman aunty awak sampai dia puas berdoa. Kalau dia masih tetap tak nak balik, nampaknya awak kena bermalam kat bilik rehat."

Yeonha mengangguk tanda bersetuju. "Baiklah, saya akan teman dia. Oh ya sebelum saya terlupa, awak dah tahu bila pengumuman korban diadakan?"

Namjoon mengeluh berat lalu kepalanya menggeleng. "Belum lagi."

"Father kata keputusan ritual korban tu akan diumumkan dalam dua hari lagi. Saya tahu awak tak suka bila perkara ni dibangkitkan tapi saya cuma nak pesan, lebih baik awak berhati-hati. Kita tak tahu apa yang bakal terjadi."

Namjoon menundukkan kepalanya. Ya, dia memang tidak suka jika perkara itu dibahaskan. Keyakinannya mula luntur dan digantikan pula dengan perasan takut bersulam risau apabila Yeonha berkata sedemikian.

"Pergilah masuk. Sejuk kat luar ni." Namjoon tidak memberikan jawapan untuk kata-kata Yeonha sebaliknya, dia cuba menukar topik. Kardigan yang tersarung pada tubuh Yeonha dibetulkan. Berpura-pura seperti dia tidak mendengar apa-apa.

"Joon." suara Yeonha kedengaran serius. Namjoon mengangkat wajahnya yang sejak tadi cuba mengelak. Kelihatan Yeonha sedang memandangnya penuh pengharapan.

"Ya, saya dengar."

"Lebih baik kita fikirkan perkara yang positif daripada asyik dibelenggu rasa takut sebab tunggu keputusan tu. Saya yakin semuanya akan baik-baik saja." sejujurnya, Namjoon amat berharap agar ayat terakhir itu diucapkan oleh teman wanitanya.

Bukankah itu lebih baik dengan mengatakan bahawa semuanya akan baik-baik saja daripada mengingatkan dirinya untuk berhati-hati? Namjoon tahu dia perlu beringat. Tipulah kalau dia tiada rasa takut. Kata-kata Yeonha itu sedikit sebanyak telah membuat keyakinannya goyah.

"Saya patut balik sekarang. Pergilah masuk." ujar Namjoon seraya menamatkan perbualan di situ.

Yeonha kelihatan seperti berat hati ingin melangkah ke dalam dewan. "Awak tak nak saya hantarkan?"

Namjoon tersenyum hambar. "Tak apa, saya lelaki. Awak tu pergi jaga aunty awak."

"Okey. Jangan lupa sampaikan salam saya pada appa awak. Selamat malam, Joon."

"Selamat malam."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro