Bab 9
PELUKAN mak membuatkan dia yakin yang dia telah benar-benar kembali ke pangkuan keluarga. Rasa lapang dan tenang. Terbang segala penat setelah hampir dua puluh empat jam penerbangan. Itu pun dia berkeras nak balik sendiri. Dia ada tempat nak singgah. Menelusuri kembali kenangan lama pada saat zaman jahiliahnya.
Zaman jahiliah? Hatinya ketawa sendiri. Sepertinya dia benar-benar telah berhijrah menjadi seorang yang baik. Hakikatnya, perjalanannya ke arah itu masih terlalu panjang.
Sebaik saja mak regangkan pelukan, wajah tua itu tersenyum lebar. Mata mak nampak basah. Boleh jadi mak terlalu gembira dengan kepulangannya. Dia dulu, pernah menjadi anak yang derhaka. Yang sering menyakiti hati orang tua serta kakak dan abangnya. Tapi sekarang, dia benar-benar telah menjadi orang baru.
Dia ada ilmu yang mana dia pernah tolak dulu atas alasan dia tiada minat untuk belajar. Dia tak sama dengan abang dan kakaknya. Dia lebih suka atur hidup sendiri. Dia pernah melakukan kerja separuh masa demi kepuasan sendiri dan sedikit pengalaman. Dia lebih suka begitu biarpun gaji tak seberapa. Dia seronok menjadi perhatian. Dia bangga dengan wajah tampan miliknya dengan susuk tubuh yang sempurna.
Tapi, itu dulu... Sekarang dia dah berbeza.
"Am dah balik, mak," bisiknya sedikit beremosi.
"Mak ingat Abang Wan yang pergi jemput..."
"Dia yang tak nak, mak. Wan dah cakap dekat dia. Kebetulan pula, Wan ada mesyuarat penting hari ni. Dah dia kata tak payah, Wan pun malas nak bergegas terus ke Bangi ambil kereta. Wan tinggal kereta dekat ofis pagi tadi risau tak sempat masuk miting. Itu pun, lambat..." cerita Eqwan.
Karang mak salahkan dia pula tak pergi jemput budak ni. Tapi adiknya benar-benar berbeza. Tubuh yang dulu sedikit kurus sekarang sudah nampak sasa dan tegap. Malah, sudah pandai menyimpan janggut dan kumis tipis di wajahnya. Tak seperti suatu waktu dulu. Dia lebih suka wajahnya bersih. Kerana ramai perempuan yang tergila-gilakannya. Sukakan wajah dia begitu melainkan seorang saja yang mengatakan dia lebih segak bila menyimpan janggut dan kumis tipis. Cuma rambutnya saja masih dengan gaya sama.
"Tak penat ke balik sendiri, Am?" soal mak sebaik saja mereka sama-sama duduk di tengah ruang tamu.
Dia gelak.
"Mana ada penat, mak. Am selesa aje sepanjang penerbangan tu. Lagipun, semua barang-barang Am, Am lelong aje. Am hanya bawa balik satu beg galas itu aje..." Dia tunjuk pada beg galas Deuter miliknya.
Tak rajinlah nak heret beg tarik. Leceh.
"Lima tahun kau dekat sana, satu beg itu aje kau bawa balik?" tegur Enita, tak percaya.
"Yalah. Itu ajelah yang Am ada. Kan dah cakap, yang lain Am jual. Buku-buku pun tak banyak yang Am bawa balik. Itu pun, Am pos pakai kargo aje buku-buku yang Am nak. Yang lain, Am sedekah aje dekat sesiapa."
"Habis tu, hadiah untuk akak dengan Aqeef mana?"
Dia tepuk dahi. Sehari dua lagi hari lahir Aqeef. Matilah Kak Enita bebel.
"Alamak... Baru teringatlah." Dia cuit Aqeef yang dah tak lekat nak pegang. Maklumlah, dah enam tahun. Nak hampiri dia pun, takut-takut. Lain sangat dengan Aqeef yang dia tinggalkan lima tahun dulu.
Masa dia pergi dulu, Aqeef baru saja menginjak setahun. Terlalu lama dia tinggalkan keluarga dan tanah air sendiri hinggakan anak saudaranya ini sudah begitu besar. Tapi, Kak Enita tak tambah anak ke?
"Eh, Kak Ita tak tambah anak ke? Rugilah... Ingatkan Am balik lepas lima tahun, adalah dua tiga orang lagi. Kutlah Abang Wan ke..." Dia gelak mengekek. Lama tak usik kakak dan abang. Lari daripada topik hadiah sebenarnya. Karang, bernanah telinga kena bebel dengan Kak Enita.
"Abang tak ada lagi ke? Ingatkan bila balik ni, adalah kakak ipar..." Dia masih tak puas mengusik abangnya.
"Kau jangan buat-buat tanya. Tahun lepas abang singgah jenguk kau dekat Manchester tu, kalau abang ada steady... Abang bawa dah tunjuk dekat kau..." Eqwan rasa nak luku aje kepala adiknya.
Sampai di rumah aje, terus soal semua orang itu ini.
"Kau ingat tambah anak ni kerja akak?" Mata Enita terjegil.
"Ala... Gurau pun tak boleh akak ni. Makin tua, makin cepat sentap pula." Dia mencebik sambil terus mencuit pipi Aqeef yang masih nampak takut-takut dengannya.
"Nantilah akak tanya Abang Asri bila dia balik nanti..."
"Oh, ya... Sebut pasal Abang Asri, ke mana pula dia kali ni?"
"Macam biasalah dia. Kerteh. Biarlah dia. Haaa... Yang kau ni, kenapa baru sampai? Kata landing tengah hari. Kau pergi transit mana-mana ke?"
"Yalah, Am. Am pergi mana baru balik? Mak dah risau sangat dah."
"Am singgah tempat kerja lama Am, mak..."
"Putra Mall?" Enita dan mak menyoal serentak.
Dia hanya angguk. Tersenyum pahit. Dia memang ada di situ tadi untuk sejam. Saja. Cuba mengimbau kembali tempat pertama dia mencari rezeki dan pengalaman dengan orang yang berbeza sama sekali. Cuma tadi... Ada seseorang yang telah menarik pandangan matanya saat dia duduk di suatu sudut di mana, seseorang itu pernah singgah. Suatu waktu dulu yang telah dia lupakan. Tapi kembali menyelak semula memorinya.
Nampak lain tapi naluri lelakinya yakin, itu adalah orang yang sama. Tapi rasa mustahil sangat. Sedangkan lima tahun dia tak pernah ingat, takkanlah sekarang pula? Untuk apa? Entah mimpi atau realiti... Dia tak pasti.
"Kut ya pun, baliklah dulu. Mak tunggu. Situ, esok-esok pun kau boleh pergi," marah Enita.
"Maaf, mak." Bahu mak dipeluk manja.
"Am saja tadi singgah sekejap. Teringat. Orang kata tempat jatuh lagi dikenang, mak. Ini kan pula tempat Am cari rezeki buat pertama kalinya." Dia koyak senyum. Senyuman keletihan. Letih berlari daripada bayang sendiri.
"Kau teringat dekat tempat tu ke dekat orang yang kau pernah jumpa dekat situ?" usik Enita dengan senyuman meleret.
Namun, wajah adiknya nampak kosong. Sepertinya bidikan itu tepat mengena. Senyum namun seperti tak bermakna. Am hanya tunduk bermain dengan jari-jemari sendiri. Buatkan dia pula serba salah. Lama dia memerhati. Benarlah kata-kata Eqwan, adik mereka benar-benar telah berbeza.
Mak memandang Enita. Enita jongket bahu. Kemudian mencari jawapan pada wajah Eqwan. Anak keduanya itu juga sama. Tak pernah tahu apa-apa yang bermain dalam fikiran Am.
Am tahu, tiga pasang mata sedang merenungnya dan dia sedang buat-buat sibuk mengusik anak saudaranya. Biarpun fikirannya bukan di situ. Ingatannya benar-benar melayang entah ke mana. Pelbagai persoalan yang timbul serentak.
Benarkah apa yang matanya nampak?
Jasad yang sedang berdiri kaku itu; manusia atau sekadar bayangan kerana di situlah bermula segalanya? Atau boleh jadi kerana rasa bersalah yang selama ini tak pernah wujud pun dalam hatinya.
Tak... Semua tu bukan salahnya seorang.
Perempuan itu pun turut bertanggungjawab sama. Perempuan yang dirasakan sangat menjengkelkan bila tak sudah-sudah mengejarnya padahal bukan sekali dia berikan tanda yang dia tak suka. Dia ada banyak pilihan lain yang jauh lebih bagus. Perempuan itu yang cari penyakit. Gali kubur sendiri.
Jadi, tak salah bila dia pergi begitu saja.
Cuma, yang menjadi persoalan... Kenapa wajah itu yang membayangi pandangan sebaik saja dia kembali?
Ia seperti satu mimpi.
Mimpi yang amat ngeri.
SYUKURLAH Amaris dah kembali pulih dan aktif seperti biasa. Penat dia kemas rumah, tapi sudahnya anak dara ini juga yang kembali sepahkan. Sudahnya, dia hanya membiarkan saja. Selagi Amaris suka, dia juga turut sama bahagia.
"Mama, nak susu," pinta Amaris. Comel.
"Eh, tadi dah susu..." Ammara redupkan mata bila anak itu memanjat ke atas ribaannya.
"Susu inilah..." Amaris cuba selak bajunya tapi dia tahan tangan halus itu dan tertawa lepas.
"Aris, mama dah tak ada susu sejak Aris umur tiga tahun lagi tau. Kan dah lama Aris minum botol. Haaa... Tengok, tengok..." usik Ammara.
Amaris ketawa. Seperti faham dengan amaran yang Ammara berikan tapi kenyataannya tidak. Dia tahu, Amaris hanya mahu bermanja. Pada dia. Dia hanya ada Amaris dan pada anak ini juga sama. Dialah ayah dan dialah ibu.
"Jom tidur..." Ammara bangkit dan mendukung tubuh itu masuk ke dalam bilik.
Diletak di atas katil dan ditepuk perlahan. Dia berlagu perlahan. Berzikir dan memuji kebesaran Ilahi untuk menemani lena anak suci ini.
Tuhan... Jauhkan segala keburukan daripada anak ini. Usah biarkan kesilapan hamba membebaninya. Biarkan segala dukanya menjadi milik hamba dan Kau gantikan bahagia hamba untuknya. Moga dia membesar menjadi anak yang solehah. Yang sentiasa mengingati-Mu.
Tanpa sedar, air mata Ammara mula bertakung lagi. Mujurlah dalam gelap. Amaris tak nampak air matanya sedang menitis dan terus menitis dalam memuji Tuhan yang satu.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro