Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 5

SEJAK dia membuat pesanan tadi lagi, dia nampak Ammara macam hilang entah ke mana. Jasadnya masih di situ, namun mana fikiran Ammara melayang.

"Air kau ni..."

Ammara masih diam. Tak beri reaksi.

"Ammara?!" seru Ina sedikit keras.

"Kau dengar tak ni?"

"Hah? Apa?"

Ina tarik muka. Orang kemain nak cakap dengan dia, dia boleh pula berangan. Haih.

"Mana kau hilang, hah?"

"Eh, hilang mana? Ada depan kau aje ni..." Wajah Ammara tersengih-sengih cuba menyembunyikan rasa canggung.

Dahlah ajak kawan lepak, berangan pula. Siapa tak marah?

"Aku dengarlah kau cakap tadi. Aku fikir pasal kerja. Thanks air..." Ammara terus mengacau dan menyisip minuman kegemarannya. Minuman yang dirasakan boleh memberikan dia tenaga setelah penat bekerja.

Ina terus memandang wajah Ammara. Rasa sayu muncul setiap kali memandang wajah indah ini. Biarpun Ammara sedikit gempal, tapi tidaklah gemuk. Wajahnya bersih dan berkulit putih. Pipinya ada sedikit kesan jerawat tapi tak ketara sangat. Ammara suka ketawa dan sejak mula berkawan dengan Ammara bertahun-tahun dulu, tak pernah sekalipun dia lihat Ammara menangis biarpun sedang lalui kesedihan yang tak tergambar olehnya sendiri.

Ammara tabah sewaktu hilang ayah.

Ammara tabah bila cinta yang dirasakan cinta sejati itu, menipu dia akhirnya.

Ammara bangkit tanpa mempersoalkan sepatah pun.

Cuma sekarang, bila dia sendiri sudah mahu berumah tangga, rasa sebu mula menyerang bertubi-tubi. Atas sebab yang dia sendiri tak mampu ungkapkan dengan kata-kata.

Sedangkan mereka telah berjanji untuk tua bersama-sama. Tapi itu janji manusia. Kehendak Tuhan berbeza dan itu adalah yang terbaik.

"Kau kenapa pandang aku?" tanya Ammara.

Pelik. Bila Ina tak puas memandang dia. Buatnya orang nampak, orang boleh salah faham akan hubungan mereka. Ya, kasih sayang antara mereka adalah kerana Allah. Keikhlasan dia dan Ina dalam persahabatan mereka rasanya tak mampu diganggu-gugat oleh sesiapa.

"Aku risau dekat kau," jawab Ina. Jujur.

"Atas sebab apa kau nak risau dekat aku?"

Ina diam. Rasanya tak perlu dia cakap kerana Ammara sentiasa dapat membaca fikirannya. Atau boleh jadi Ammara sengaja buat-buat tak tahu.

"Kalau kau tak bagi aku kahwin, aku tak kahwin..."

"Masya-Allah, Afina... Kenapa kau boleh cakap macam tu pula? Kan kau dah sedia. Nanti apa pula kata Shah? Kau orang berdua dahlah sebatang kara dalam dunia ni. Kau orang hanya ada diri masing-masing. Dah sampai jodoh kau, kau terima aje. Lagipun, Shah sayangkan kau. Dia akan jaga kau dengan baik..."

"Tapi..."

"Takkan sebab kita dah janji nak grow old together, kau tak nak kahwin? Biarpun jodoh dah sampai?" soal Ammara memotong kata-kata Ina.

Bibir Ina mengoyak senyum. Mengangguk tanda faham.

"Aku memang risau dekat kau bila aku dah kahwin nanti. Aku tak akan ada masa macam ni dengan kau..."

"Hei, Ina..." Tangan Ina dipegang kemas.

"Aku kenal kau dan Shah dengan baik. Shah pun tahu kita memang kenal dah lama, memang kawan baik. Kau hanya ada aku dan aku pun hanya ada kau untuk tempat aku meluah. Kita tak akan terpisah. Cuma kita tambah ahli keluarga..." pujuk Ammara lembut.

Mata Ina basah. Ammara memang sentiasa menang dalam berbicara. Padanlah menjadi seorang penulis.

Ammara koyak senyum lebar. Dia sendiri, agak merasa kehilangan tapi dia tumpang bahagia kerana dia tahu, Ina akan bahagia. Apa salahnya dia mendoakan yang terbaik buat sahabatnya?

"Kau pula macam mana?"

"Tak faham..." Ammara mencebik seraya menggeleng.

"Aku harap kau pun jumpa teman hidup."

Ammara ketawa.

"Aku? Hei... Jangan risaukan aku. Aku dah umur dua puluh lapan tahun ni. Aku tahu jaga diri aku..."

"Itu lagi buat aku risaukan kau, Ara..." Ammara pernah jatuh cinta di awal usia dua puluhan namun ditinggalkan begitu saja. Memang langsung tak nampak kesannya. Ammara tak tunjuk langsung. Tapi, tidakkah bersendirian selama ini itu sudah cukup jadi bukti yang Ammara sedang menjaga hati sendiri dengan begitu ketat?

"Jangan risau, Ina. Aku akan sentiasa okey..." Belakang tangan Ina ditepuk perlahan sebelum dia kembali menyisip Iced Caramel Macchiato di depannya.

Wajah risau Ina dipandang. Telah berkali-kali dia katakan pada Ina, yang sahabatnya itu adalah anugerah terbaik yang telah Tuhan hantarkan buat manusia tercela sepertinya.

Entah apa kebaikan yang telah dia kerjakan, hingga Tuhan hantar Ina untuk terus bersamanya hingga hari ini. Biarpun telah hampir sedekad, Ina masih setia bersamanya. Usah kata di saat senang, kala dia lalui saat paling getir pun... Ina tetap setia.

Kesetiaan Ina dalam persahabatan mereka terbukti lagi. Ina memang gila jika nak batalkan pernikahannya andai dia bantah. Dia pula, mahu lihat Ina hidup sempurna setelah sekian lama Ina hidup sebatang kara sebelum bertemu dengannya.

Ammara larikan mata. Melilau ke sana sini hingga akhirnya terpandang seraut wajah di kaunter yang melambai padanya. Tiba-tiba. Dia hanya memandang. Tak faham. Kemudian, dia pandang Ina.

"Kau ada oder selain air ke?"

"Oh, yalah. Aku oder sandwic tuna yang kau suka tu. Aku tahu kau tak makan lagi."

"Laaa... Patutlah budak tu lambai dekat aku. Aku ingat dia nak mengurat aku tadi..." Ammara ketawa kecil.

"Kau duduk. Biar aku pergi ambil." Tubuh diangkat dan saat melalui kaunter, matanya sekali lagi berlaga pandang dengan barista yang nampak sibuk dengan pelanggan. Tak sedar, dia senyum sendiri dan bila kembali ke tempat duduk, matanya terus terpaku pada wajah itu.

Lembut dan menenangkan.

Apa yang pasti... Senyuman yang terukir pada wajah tampan itu, membuatkan dia turut sama tersenyum.

"Eh, Ara... Dah buang tabiat kau ni? Senyum sorang-sorang?" Ina tepuk tangan Ammara sedikit kuat.

"Kau pandang apa tu?" Ina menoleh.

Damn! Jangan cakap...

"Kau pandang budak tu ke, Ara?"

"Hah?" Sekali lagi, Ammara tunjuk wajah terpinga-pinga.

"Jangan buat muka tak bersalah. Kau pandang dia sejak tadi, kan?"

Senyuman terukir pada bibir Ammara. Cukup tipis dan nampak membahagiakan.

"Dia kacak, kan?"

"Ammaraaa..." Ina tepuk dahi.

"Budak lagi tu. Aku rasa baru awal dua puluhan tu. Baru habis belajar. Tu part-timer dekat sini. Takkanlah dengan budak barista tu pun..."

"Eh, aku tak kata aku nak dialah. Aku cuma suka tengok dia."

"Masalahnya, tiba-tiba aje. Kau ni mana pernah pandang orang selama ni. Aku ini ajelah kawan kau. Sejak aku kenal kau, kau ni memang tak pernah layan orang. Kenapa tiba-tiba pula? Padahal ni bukan kali pertama kita lepak sini. Sebelum ni tak pernah pula kau tengok dia. Itu yang aku pelik sangat dengan kau ni..."

"Hei... Relaks." Ammara rasa nak aje dia tekup mulut Ina. Meletup macam bertih jagung. Dia sengih. Sesekali, merenung wajah yang jelas di matanya.

"Sebelum ni, aku tak perasan kut wujud muka dia kat sini."

"Dia dah lamalah kerja kat sini. Kita selalu kat sini, aku perasanlah dia."

"Kenapa aku tak perasan?" Ammara tanya soalan bodoh.

"Kan aku dah cakap tadi, kau tu mana pernah ambil tahu pasal orang. Yang kau tahu, air kau kena sedap. Itu aje. Tapi..." Ina turut menoleh ke kaunter.

"Tak boleh cakap tidaklah sebab dia kacak. Ada rupa. Tapi dia budak-budak kut."

"Tak boleh, ya? Kalau muda daripada aku?" Ammara gelak. Menyembunyikan rasa segan.

Takkanlah jatuh cinta pandang pertama? Gila. Dengan budak pula tu.

"Bukan tak boleh, tapi entahlah..." Ina pandang Ammara.

"Kau main-main aje, kan?" Pertanyaannya kedengaran serius.

Beberapa saat berlalu, Ammara ketawa lagi. Mengangguk.

"Aku saja cuci mata. Jangan risaulah. Dia budak lagi. Aku takkan pilih yang lebih muda daripada akulah. Lagipun, aku bahagia dengan diri aku sekarang. Tak perlu nak pening-pening. Aku boleh buat apa saja aku suka, aku boleh pergi mana saja yang aku suka. Betul tak?" Air disisip lagi. Namun, ekor mata tak boleh untuk tidak pandang pada wajah bersih itu.

Ina di depan hanya mampu kerutkan dahi tanpa berkata apa. Dia kenal siapa Wan Ammara yang sebenarnya. Seorang perempuan yang sentiasa tekad dengan keputusan sendiri. Malah, yang langsung tak menitiskan air mata di depannya bila cinta yang dibina selama lima tahun, punah begitu saja.

Ammara... Ada masanya sangat tegas. Lebih-lebih lagi dengan diri sendiri.

Setelah sekian lama, ini pertama kali Ammara labuhkan pandangan mata pada seorang lelaki. Agak sukar untuk dia percaya. Dia pandang lagi wajah Ammara tanpa kawan baiknya itu sedar.

Jangan risau kau tu, buat aku bertambah risau, Ammara. Hati Ina mengeluh. Namun, tiada apa yang mampu dia lakukan.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro