Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 2

MALAM yang dirasakan sangat dingin. Biarpun dah beberapa hari tak hujan. Ammara mundar-mandir. Serba-serbi tak kena. Dia tak mampu nak ada di dalam rumah sendiri sekarang. Dia keresahan. Ketakutan.

Telefon dicapai. Berkali-kali dia cuba menelefon Ina, namun tidak berjawapan. Ina dah keluar negeri beberapa hari atas urusan kerja. Dia masuk ke dalam bilik Amaris. Anak itu lena tanpa sebarang gangguan. Namun entah mengapa, comelnya wajah Amaris tidak dapat menenangkan hatinya kini.

Panggilan bersambung lagi. Ammara mula mahu menangis bila panggilannya masih tak bersambut. Terus ke peti suara.

Please, Ina. Aku perlukan kau sekarang.

Air mata Ammara bercucuran ke pipi. Dia sepertinya mahu meraung. Tapi ditahan. Hidupnya kini, bukan hanya untuk diri sendiri tapi untuk orang lain juga.

Nombor Ina didail sekali lagi. Lama... Kali ini, panggilan itu bersambung.

"Ya, Ara? Kenapa?" Suara Ina kedengaran sedikit terjerit.

"Aku takut, Ina..."

"Kau cakap apa? Aku tak dengar..." Ina terus menjerit.

"Aku mimpi, Ina. Aku mimpi benda tu lagi lepas sekian lama. Aku rasa macam baru semalam benda tu jadi, Ina. Aku mandi berkali-kali. Aku sental berkali-kali. Tapi kenapa aku masih rasa semua tu tak hilang daripada tubuh aku?" Ammara mula menangis.

Tangis yang bukan sekadar tangis, tapi sudah menjadi esakan. Sekujur tubuhnya benar-benar menggigil. Peluh kecil mula merenik pada dahinya. Mundar-mandir sendiri di ruang tamu. Bayangan itu hadir membidik tenangnya. Daripada pelbagai arah dan sudut. Dia dah tak boleh nak elak. Serangan itu bertalu-talu. Emosi dan perasaannya sedang terseksa.

"Ara, kau tenang dulu. Kau ambil wuduk, solat... Doa banyak-banyak. Aku tak dapat dengar sangat suara kau ni. Sini hujan lebat. Aku tengah drive ni. Aku lupa bawa earphone. Aku loudspeaker aje. Shah tidur. Penat katanya. Kau WhatsApp ajelah. Nanti aku berhenti dekat mana-mana stesen minyak. Sekarang, aku kat tengah-tengah highway ni." Seboleh-bolehnya dia bersuara agar Ammara dapat dengar.

Tapi hujan terlalu lebat.

"Aku nak kau temankan aku, Ina. Macam dulu..."

"Ara, kau tahu aku akan sentiasa temankan kau, kan? Lagipun, Amaris ada dengan kau. Kau kena kuat, Ara. Aku on the way balik ni. Aku terus ke rumah kau nanti biar macam mana lewat pun aku sampai. Kau sabar, ya?" pujuk Ina.

Dia mula tak tenang. Keretanya mula perlahan bila hujan kian lebat hingga tak nampak apa-apa. Wiper sepertinya sudah tidak berfungsi dengan baik. Penglihatannya kian terbatas.

Namun, fokusnya berubah pada Ammara yang sedang teresak-esak. Kenapa setelah sekian lama, Ammara jadi seperti ini lagi? Di mana silapnya?

"Araaa..." Suara Ina kedengaran resah. Apa dia perlu buat sekarang ni, dia sendiri tak tahu.

Padanya, Ammara adalah yang terbaik yang pernah hadir dalam hidupnya. Yang membuatkan dia rasa dia penting dan sangat diperlukan pada saat semua orang tidak pernah memandang akan dirinya.

"Ammara, kau dengar ni... Aku sampai kejap lagi aku terus jumpa kau. Kau tenang dulu..." Suara Ina mula tersekat. Bukan kerana sebak tapi kerana talian yang mula terganggu.

"Ina... Aku takut. Macam mana kalau-kalau dia..."

"Ammara!" Ina menjerit tiba-tiba.

Suami di sisi buka mata. Namun, tak sempat bersuara bila air mata isterinya gugur ke pipi dengan pandangan yang cukup sayu.

MATA Ammara terbuka bila mendengar esak tangis Amaris. Peluh membasahi seluruh tubuhnya. Mimpi ngeri itu hadir lagi menjadi tetamu lenanya. Dia berlari laju ke bilik sebelah. Lampu dibuka dan Amaris sedang menangis teresak-esak.

"Kenapa, sayang?" Tubuh Amaris ditarik ke atas riba dan dipeluk erat.

Susuk kecil itu sedikit menggigil. Ketakutan. Seperti dapat merasai mimpi yang baru sekejap tadi dia alami.

"Ya Allah, Amaris... Anak mama. Kenapa ni, nak?" Belakang itu diusap perlahan. Naik ke kepala dan dia labuhkan bibirnya tepat ke tengah ubun-ubun Amaris.

"Aris?" Diseru nama itu perlahan namun keadaan tetap sepi.

Lama dia mengusap belakang Amaris dan akhirnya, Amaris kembali terlelap. Ammara hela nafas lega. Disapu air mata sendiri yang mengalir sejak tadi. Sejak dalam tidur lagi bila mengenangkan apa yang telah terjadi.

Rasa begitu berat beban yang sedang dia tanggung tapi mana mungkin dia campak ke tepi. Dia akan galas ujian itu selamanya. Dia akan bertahan hingga ke akhir masa. Dia tak akan salahkan sesiapa. Kerana dia tahu, dialah punca atas derita yang sedang dia tanggung sekarang.

PAGI itu, Ammara bangkit dengan semangat yang sedikit luntur. Apatah lagi Amaris demam. Boleh jadi kerana semalam. Tak tahulah Amaris bermimpi apa. Nak ditanya, apalah anak seusia Amaris tahu.

Sesekali, dia berasa lelah.

Bukan kerana Amaris. Tapi kerana dia sepertinya benar-benar telah penat berlari daripada masa lalu. Pernah dia cuba hadapi, tapi bila segalanya begitu bercelaru untuk dihadap... Dia pilih untuk mengelak. Persoalannya, sampai bila?

"Anak mama nak susu?" soalnya sambil menggoncang botol susu Pureen itu di depan Amaris.

Tak menjawab, putingnya disumbat ke mulut. Dihisap susu itu perlahan tanpa berkata apa. Tidak seperti biasanya. Hati Ammara yang sudah sedia lelah, kian luluh. Amaris jarang demam. Namun, setiap kali dia dilanda mimpi sebegitu, kesannya pasti melekat pada Amaris.

"Kejap lagi, mama bawa pergi klinik, ya?"

Amaris tetap diam. Hanya menatap mata mamanya. Dia tidak lagi menangis dan tidak lagi merengek. Sesekali, bibir merahnya koyak dengan senyuman tipis. Comel. Membawa senyuman pada wajah mama.

"Hari ini, Aris tak sekolah ke?"

"Aris nak pergi sekolah ke? Kan demam ni..."

"Aris dah sihat. Mama ambillah yang cucuk dekat telinga tu..."

"Apa yang cucuk dekat telinga pula ni, sayang oiii?" Hai... Pening dia dengan ayat Amaris.

"Yang mama selalu letak dekat telinga kalau Aris demam tu..."

"Oh, termometer ke?" Ammara capai termometer yang ada di dalam bekas ubat di sisinya.

"Yang ini ke?"

"Haaa... Yang itulah..." Amaris suakan telinganya pada Ammara.

Bila Ammara letak dan menekan punat sehingga bunyi beep kedengaran, Amaris ketawa. Kedengaran tak jelas bahana botol susu yang tersembul di mulut.

"Oh... Yalah. Anak mama dah tak demam ni. Dah baik. Bolehlah pergi sekolah. Mama pergi kerja..." Ammara ketawa kecil.

"Yeah... Nak pergi sekolah."

"Okey, kejap..." Ammara kemaskan sila. Diangkat tubuh itu duduk di atas riba bila susu sebotol sudah habis diminum.

"Mama nak tanya, apa yang seronok sangat dekat sekolah tu? Ramai kawan?"

Aris angguk.

"Dekat sekolah ada kawan."

"Tak suka mama ada dekat rumah?"

"Suka tapi mama kan cakap mama kena kerja nak cari duit untuk Aris. Nanti mama nak belikan Aris Play-Doh. Betul tak?"

Tak semena-mena, Ammara ukir senyum. Dikucup pipi itu bertalu-talu. Entah bila Aris membesar dan sebegini bijak. Rasa macam baru semalam dia pangku bayi yang masih berbungkus dengan sehelai lampin di hospital. Tapi kini...

Begitu pantas masa berlalu. Entah tak berapa lama lagi, Aris boleh jadi dah jauh daripada dia mengejar cita-cita barangkali. Kerana itu, dia tak mahu berenggang dengan Aris. Namun apakan daya, menjadi ibu tunggal pada Amaris adalah sesuatu yang agak mencabar setelah kepergian ayah pada anak ini. Pergi untuk selamanya.

"Kalau macam itu, mama hantar Aris ke taska, ya? Hari ini mama cuba jemput awal sikit..." Dia pun banyak kerja sebenarnya. Kerja semalam masih banyak berbaki dan dia perlu siapkan dengan segera.

"Jom bangun... Mama mandikan..." Tubuh halus itu didukung dan saat memeluk Amaris, rindunya pada Ina tidak dapat lagi dia gambarkan dengan kata-kata melainkan air mata saja yang sedang berbicara.

Aku terlalu rindukan kau, Ina.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro