
Bab 12
KEPALA tertoleh ke belakang bila Auntie Safiah sepertinya sedang menyambut seseorang. Kelibat seorang lelaki muncul bersama wajah penat namun di wajahnya tetap bergaris sejalur senyum manis yang nampak menenangkan.
"Kereta siapa dekat luar pagar, mak?" Suara lelaki itu menegur.
Ammara hanya diam. Tak sempat nak menoleh sepenuhnya. Sekadar terbias di mata. Dia tunduk memandang jari-jemari sendiri. Baru saja dia nak berlalu, tapi anak Auntie Safiah tiba.
"Kereta kawan mak..."
Eqwan redupkan mata.
"Sejak bila mak ada kawan ni? Entah-entah mak keluar senyap-senyap ke? Tak cakap dekat Wan?" soal Eqwan penuh syak.
Auntie Safiah ketawa. Dia pandang Ammara.
"Anak kedua auntie. Eqwan..." Auntie Safiah angkat badan bila didekati tubuh si anak. Dipeluk erat. Usah kata nampak mesra, tapi dia sendiri boleh merasai kemesraan itu.
Saat kepala itu hinggap pada bahu Auntie Safiah, mata mereka bertentangan. Dahi Ammara berlapis kerutan. Dahi Eqwan juga. Pelukan dileraikan. Dia terus duduk di sisi mak. Memandang tepat ke wajah di depan mereka sekarang.
"Kita kenal, kan?" soal Eqwan dengan senyuman yang tak dapat dia selindung lagi.
Fuh... Ammara rasa nak aje buka langkah seribu. Betullah. Dia benar-benar rasa dunia dia semakin kecil dan terus mengecil. Kerana itu dia jumpa lagi lelaki ini dan di rumah keluarganya pula. Aduhai... Hatinya terpaksa mengeluh.
"Wan kenal Ammara ke?"
"Ammara?" Eqwan menoleh pada mak. Kemudian pada Ammara. Kiranya, betullah. Wanita ini orang yang sama?
"Wan Ammara, kan? Atau mata saya salah ni..." Kutlah pelanduk dua serupa. Buat malu aje nanti. Tapi nama tu dah sama.
"Ya, saya... Encik Eqwan. Jumpa lagi kita, ya..." Sengih Ammara nampak janggal.
"Saya ingatkan jumpa lagi tu, dekat ofis Hajah Najihah. Tapi rumah keluarga saya rupa-rupanya. Macam mana awak boleh jadi kawan mak saya?" Eqwan redupkan pandangan pada mak.
Sejak bila mak berkawan dengan orang muda ni? Menimbulkan syak betullah.
Dia hampir pengsan pada awal tadi bila wajah itu menoleh tadi. Terkejut. Ingatkan dia yang khayal. Kemaruk sangat nampaknya! Tapi realiti.
"Saya tumpangkan Auntie Safiah balik. Itu aje. Ini, saya nak balik dah ni."
"Eh, awak balik mana? Jalan sesak sangat lagi ni. Tadi ada insiden dekat area Masjid Negara tu. Kutlah awak lalu situ ke?"
Ammara diam seketika. Yalah. Dia akan lalu situ kalau dari Seputeh nak balik Batu Caves. Kan dah mendapat.
"Saya dah biasa hadap jammed. Lagipun, ada jalan lain tu."
"Tapi tak bergerak langsung tadi. Saya dengar info trafik tadi, katanya mahu dekat satu jam lebih tu. Sebab melintang jalan. Dan memang semua jalan sesak sebab banyak lencongan." Bukan dia nak adakan cerita, tapi kenyataan.
Dah pula... Ammara nampak susah hati.
"Duduk ajelah kejap. Mungkin kejap lagi, lenganglah tu sikit," pujuk Auntie Safiah pula. Dia tahu, Ammara risaukan anak sendiri.
"Yalah, auntie..." Akhirnya dia mengalah. Namun, duduknya kian tak betah.
Hatinya benar-benar tak sedap. Tak selesa. Biarpun Kak Mas kata tak usah risaukan tentang Amaris. Masalahnya sekarang, bukan Amaris yang membuat dia resah. Tapi, perkara lain. Jantung dia seperti tak reti untuk bertenang.
Adakah kerana Eqwan? Entahlah... Dia tak tahu.
"Eh, Wan... Adik mana? Kata balik sekali?" Riak Auntie Safiah nampak risau.
"Ada... Dia masuklah tu kejap lagi. Nak bawa keluar barang yang Kak Ita suruh dia beli..." Tadi dia nak tolong, tapi budak bertuah tu melarang. Dia pun penat ni. Tapi penat itu serasa hilang sedikit bila melihat wajah misteri ini di depan matanya sekarang.
Sebaik saja suara Eqwan mati, pintu berwarna oak gelap yang tidak ditutup rapat sejak tadi, sekali lagi terkuak bersama salam. Suara Auntie Safiah dan Eqwan berpadu menjawab salam. Hanya Ammara sekadar membalas di bibir. Tunduk. Tak mahu angkat wajah lagi seperti tadi.
Degupan di dalam dada kian menjadi-jadi.
Apalah yang tak kena ni? Hujung jarinya mula terasa dingin. Rasa ini... Dia pernah hadapi suatu waktu dulu. Kenapa sekarang...
"Haaa... Sampai pun. Mak ingat balik lambat lagi."
Suara Auntie Safiah sedikit sebanyak membuatkan dia memujuk resah. Keluarga ini berniat baik. Dia akan pergi dalam masa lima minit lagi.
"Mak ni... Kan Am dah janji. Am dah lama berubah. Janganlah prejudis sangat dekat Am ni haaa..." Suara itu kedengaran tak puas hati.
Sudahlah orang penat ni! Tali leher dirungkai lemah. Dibiar saja tergantung pada leher. Butang kemeja dibuka hingga ke tengah dada. Selesa bila udara daripada pendingin hawa menyentuh dada bidangnya. Lengan kemeja disingsing hingga ke pangkal siku. Baru beberapa hari dia masuk kerja, tapi stresnya boleh tahan.
"Eh, Kak Ita... Awal balik?" Am duduk di sebelah Ammara. Tersengih sumbing namun senyumnya mati bersama kerutan di dahi apabila wajah itu tersapa dek pandangan.
"Bukan Kak Ita..." Suara Am begitu perlahan. Seakan-akan berbisik. Terkejut bila wajah itu bukan milik kakaknya.
"Mak kata ini kawan dia..." Eqwan menjawab bagi pihak mak.
"Eh, mak lupa nak kenalkan... Ini Ara. Ammara..."
Ammara angkat wajah, memandang ke kanan di mana lelaki itu sedang duduk santai. Dia mahu senyum namun bila dia memusatkan segala ingatannya... Senyumannya serasa lumpuh. Kedinginan yang melanda hujung jarinya, degupan jantung yang begitu rancak bekerja... Adakah satu petanda?
Tak mungkin! Mustahil! Tak mungkinlah dunia ini begitu kecil?! Hingga menghimpit dia tanpa mampu dia bergerak dan sukar untuk dia bernafas.
"Errr... I kenal you ke?" soal lelaki itu tiba-tiba. Dahi licinnya berkerut tak sudah seperti mengingati sesuatu.
"Hurmmm..." Ammara cuba kawal kegelisahannya. Dia koyak senyum pada Auntie Safiah dan Eqwan.
"I rasa I kenal you..." tekan lelaki itu lagi.
"Confirm... Memang I pernah kenal you. Tapi dekat mana, ya?" Wajah itu nampak giat memikir.
"Silap orang ni. I yakin kita tak pernah kenal. I tak pernah ingat pun kalau-kalau I pernah jumpa you..."
"Betul? You yakin?" Kening tebal itu mencerun, tak puas hati.
"Ya... Sangat yakin..." Ammara sekali lagi ukirkan senyum. Biar nampak yakin biarpun lututnya sudah hampir nak tercabut.
"I rasa..."
"Auntie..." Ammara menyekat suara lelaki itu daripada terus mewujudkan rasa janggal di antara mereka. Dia senyum pada Auntie Safiah.
"Rasanya saya kena balik dulu. Nak ambil anak balik sekolah. Takut lama sangat nanti. Kesian dekat cikgu dia," ujar Ammara laju.
Eqwan kerut wajah. Wan Ammara dah kahwin? Tak mungkinlah. Ataupun berita yang dia dengar tentang Ammara yang dibisikkan oleh suara sumbang di pejabat Ammara itu adalah kenyataan? Itu lagilah rasa tak logik bila melihat cara Ammara.
Namun, semua itu tak mustahil. Itu yang dia kena terima. Eqwan senyum. Senyum yang bersulam kecewa. Tawar hati tiba-tiba bila wanita yang bahagia dipandang ini adalah kepunyaan orang.
"Oh, yalah. Auntie pun lupa dah Ara cakap banyak kali nak kena jemput anak. Maaf, ya... Ara kena hantar auntie. Kalau gitu, nanti boleh datang ziarah auntie lagi. Dah tahu rumah ni..." ajak Auntie Safiah, mesra.
"Insya-Allah, auntie. Kalau tak ada aral..." Ekor mata Ammara mengerling lelaki tadi yang masih merenungnya.
Sepertinya, aral itu telah melintang kini. Dia tak mungkin datang ke rumah ini lagi.
"Kalau gitu, Wan pergilah tolong hantar Ammara ke pagar. Nanti mak cerita macam mana kami jumpa..." Senyuman tak putus-putus sejak tadi.
"Eh, tak apa, auntie. Saya boleh keluar sendiri. Lagipun, Encik Eqwan nampak penat sangat..."
Eqwan usap belakang leher. Memang dia penat. Keletihan dia begitu bermaharajalela sekarang. Apatah lagi dia agak terkejut bila dengar hakikat tentang Ammara. Dah berpunya dan sudah menjadi seorang ibu.
Habis tu, apa yang mak suka sangat?
Tidak dapat nafi, ada rasa kecewa bermukim di dalam dada Eqwan. Dia senyum sekilas dan terus memanjat tangga untuk ke bilik.
"Eh, eh budak ni..." Sempat Auntie Safiah membebel.
"Kalau gitu, mari auntie hantar. Ara dah berbudi... Biar auntie berbahasa..."
Auntie Safiah bangkit. Ammara sejak tadi sudah berdiri tegak. Tak lama, Am juga sama. Matanya masih memandang wajah itu tanpa jemu. Wajah yang langsung tak mengerling padanya.
Namun... Dia... Argh!
"Mak... Mak kata nak masak. Biar Am aje hantar tetamu mak ni..." Tiba-tiba saja dia mempelawa diri.
Ammara telan liur. Tak mungkin segalanya telah tertangkap? Dia dah begitu berubah sekarang.
"Tak apa. Saya keluar dulu..." Ammara terus pasang langkah dan berlalu melepasi pintu dan baru saja dia mahu keluar dari pagar automatik yang sejak tadi ternganga lebar, pagar berwarna coklat itu mula mahu tertutup.
Dia matikan langkah dan menoleh ke belakang bila dengar derap tapak kasut sedang menghampiri.
"Well... Well... Well..." Tangan ditepuk. Lelaki itu ketawa kecil. Rasanya, bayangan dia tempoh hari bukan sekadar bayangan. Tapi memang kenyataan.
"I rasa I dah ingat sesuatu tapi tiba-tiba lupa pula. RAM dalam otak I ni dah tak berapa okey gamaknya."
Ammara diam. Dibiarkan saja lelaki itu mendekati. Tubuh itu begitu sasa sekarang dan dia hanya ada di paras dagu lelaki itu saja. Lengannya sudah berurat dan nampak begitu kekar. Tidak lagi seperti suatu waktu dulu. Lelaki ini benar-benar telah dewasa. Apatah lagi, wajah bersih itu kini sudah dihiasi kumis dan janggut tipis.
"Kejap. I bukakan pagar..." Punat ditekan. Pagar kembali terbuka.
Ammara berpaling dan mahu melangkah namun sekali lagi kakinya mati. Bukan kerana pagar yang kembali ditutup namun...
"Wan..."
Ammara kakukan tubuh bila mendengar suara lelaki itu.
"Ammara?" Hujung bibirnya terjongket dengan senyum senget yang menakutkan.
Mata Ammara mula berkaca-kaca.
"Am I right? You were the same Wan Ammara from my past?" Soalan itu begitu menyakitkan pendengaran.
"Atau patut I sebut nama yang you guna dulu. Nur... Dot dot dot... Amaris..."
Ammara ketap bibir sekuat hati. Matanya mula terasa suam. Dia terasa nak menangis dan saat ini juga, dia seperti benar-benar memerlukan Ina. Tapi Ina tiada. Dia sendiri. Dia benar-benar bersendiri menghadapi sejarah yang sedang berulang.
Pedihnya hati, tak ubah dihiris oleh gergaji tumpul.
Dia tidak menjawab. Tidak juga membantah. Seperti terbang segala kekuatan. Dia sedang lemah. Sampaikan nak buka mulut pun, dah tak berdaya.
"Yes. Of course you are..." Lelaki itu ketawa sendiri. Beralih dan berdiri tepat di depan Ammara. Nampak seperti puas hati bila berjaya memberi jawapan yang tepat.
"Mesti you rindu I sangat lepas lima tahun, kan? Sebab tu sampai ke rumah you cari I. Betul tak?" Jujurnya, dia hampir meraung bila teringat akan wajah ini. Hampir jatuh melutut ke bumi. Dan dia terpaksa menjadi kejam demi mendengar pengakuan wanita ini.
Biarpun sudah jauh berbeza, tapi dia masih dapat cam. Andai dulu, Ammara nampak polos dengan mengenakan tudung bentuk bawal, tapi sekarang... Ammara nampak sedikit lain bila mengenakan selendang itu. Namun, tiada yang berubah di pandangan matanya. Ammara masih sama.
"Atau you nak nafi yang you bukan Ammara yang pernah..." Dia sengaja hentikan suara di situ demi memancing riak wajah Ammara. Bimbang juga kot-kot tersalah orang.
Mata itu nampak berair dan merah. Dia yakin, dia tak salah orang. Perempuan yang dia nampak sewaktu lepak di tempat kerja lamanya di Putra Mall tempoh hari, memang wanita yang sama. Dia tak berhalusinasi.
"Tadi, you kata you tak kenal I... I rasa I patut tolong you recall balik sejarah kita? Atau you nak kita ulang balik sejarah tu? Kalau betul you orang yang sama, you mesti tahu... Apa yang pernah berlaku antara kita..."
"Saya tak faham apa yang awak cakap ni, saudara!" tegur Ammara dengan suara yang begitu tegas dan keras. Dia sedang bertahan agar tak menangis. Malah, kata-kata lelaki ini benar-benar menjijikkan.
"Seriously you bukan Wan Ammara yang pernah I kenal?" Senyuman kian tajam terasah pada bibir lelaki itu.
Ammara telan liur tak henti-henti. Matanya dipejamkan rapat buat seketika. Apa dia nak buat ni? Dia tak mahu tertangkap begitu saja setelah sekian lama dia cuba elak.
"I memang trigger sesuatu bila pandang rupa you. Mungkin agak lain, tapi memang I yakin, you're the same woman I used to..."
"No. Not me. You betul-betul salah orang..." Keyakinan dalam penafian Ammara kali ini semakin goyah. Sekilas pun dia tak berani memandang mata lelaki itu. Sedangkan dia tahu, mata kuyu itu sedang merenungnya.
Tak ubah seperti mengejeknya. Seperti suatu waktu dulu yang tak pernah dia lupa.
"For God sake, Wan Ammara. Tak boleh ke you mengaku? I memang yakin sangat. Atau betul you nak kita ulang balik apa yang dah pernah jadi? I can make it better than before. Kalau you okey, I boleh aje bila-bila masa pun..." Eqram terus menggiat. Saja buat-buat tak dengar suara Ammara yang melarang.
"Saya dah kata... Awak salah orang. Dan, tolong... Tolong jangan biadab sangat. Kita memang tak kenal satu sama lain. Ini semua salah faham..."
"Kalau macam tu, perlu ke I bagi tahu you parut pada tubuh you, yang you sendiri mungkin tak tahu?!" Pandangan Eqram dah berubah. Nampak bengis dan garang.
"Berapa kali nak cakap, bukan saya. Dan tolong tutup mulut awak tu. Jangan cakap kotor dengan saya, Mohd Eqram!" Nama itu disebut sepenuh perasaan. Tanpa sengaja yang pastinya.
Dan Ammara tahu, dia telah jatuh ke dalam perangkap yang telah lelaki ini pasang. Apatah lagi bila senyuman tajam pada bibir Eqram kian lebar.
"Bingo!" Eqram jongket kening sebelah. Puas hati setelah penafian.
It's really you, Wan Ammara.
Setelah lima tahun... Senyuman tajam Eqram tadi, mula berubah perasa. Sudah ada manisnya biarpun pada wajah Ammara hanya tergambar garis tangisan.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro