Bab 10
RASANYA dah hampir berbulan dia cuba bertahan. Memilih untuk suka lelaki yang tak suka padanya, adalah sesuatu yang agak membebankan. Agak mengecewakan. Tapi apa nak kata? Dia tak mampu lagi menipu diri sendiri.
Ammara duduk tenang. Di tempat biasa. Menanti Ina tiba dari kerja di luar daerah.
Dia dapat tahu yang Eqram masih terkesan dengan cinta tak kesampaian. Pada mulanya, Ammara ketawa tapi itu adalah kenyataan. Sepertinya, Eqram tidak lagi mempercayai cinta dan wanita. Tapi semua manusia itu berbeza. Setiap orang perlu diberi peluang untuk buktikan keikhlasan masing-masing. Keikhlasan yang tidak boleh dibicarakan dengan kata-kata melainkan dirasa oleh hati. Dinilai oleh akal.
Dia hanya duduk memandang keluar dinding kaca. Melihat manusia yang lalu lalang. Memerhati setiap gerak-geri. Sewaktu dia masuk tadi... Langsung tiada kelibat Eqram. Kerana itu dia beranikan diri duduk di sini, biarpun sendiri.
Fikirannya benar-benar kosong. Sejak tadi, dibiarkan saja notebook putih itu hidup. Dia tak mampu bekerja. Ada masanya dia terfikir, apa lagi yang dia mahukan dalam hidup ini? Dia punyai hampir segalanya. Biarpun dalam serba sederhana. Tapi masih banyak nikmat Tuhan yang telah dia dustakan.
Mata-mata yang memandang padanya, yang hanya mengenali dia sekadar nama, sentiasa mengatakan... Dunianya luas. Dia bebas mengepak sayap terbang ke mana saja yang mahu dituju. Biarpun bersendirian. Kerana padanya, mengembara sendirian membuat dia lebih tabah. Dalam segalanya.
Sedangkan, orang tidak tahu. Dunia dia sempit. Hanya muat-muat untuk dia seorang saja. Cuma sekarang, dia mahu buka dunianya agar lebih lebar. Agar muat lagi untuk seorang selain Ina. Tapi keadaan telah menjadi begitu sukar. Dia benar-benar sedang bertepuk sebelah tangan.
Yang mampu dilakukan sekarang, adalah menyembunyikan rasa kecewa itu dengan tawa. Tawa yang bersulam air mata. Hingga ada yang mengatakan itu air mata tanda bahagia. Tidak... Itu air mata yang benar-benar menitis bila dia begitu angkuh menipu diri sendiri melalui tawa itu.
Ammara rapatkan kelopak mata cuba menghalau resahnya hati. Dia tak patut labuhkan hatinya pada hati lelaki itu. Apa yang dia harapkan pada lelaki seusia itu? Cinta? Tahukah Eqram menghargai cinta? Suatu perhubungan yang lebih serius? Mahukah lelaki itu terikat? Atau dia perlu biarkan segalanya berlalu?
Matanya terbuka saat mendengar kerusi ditarik orang. Dia harapkan Ina namun seraut wajah di depannya bersama kening yang terjongket tinggi; membuatkan dia kaku di situ.
"Boleh saya duduk?"
Ammara diam. Tak berkata apa bila lelaki itu duduk dan terus melebarkan senyum.
"Sorang hari ni?"
"Ya," jawab Ammara sepatah.
"Tak pernah saya tengok awak sorang kalau lepak dekat sini..."
"Oh... Hari ni kawan saya lewat sikit. Kenapa, ya?"
"Saya sekarang lunch break. Saya tengok awak sorang-sorang. Jadi, saya datang kejap sebab nak tanya..."
Ammara ketap bibir. Dia mati-mati ingat Eqram tak ada hari ni. Tapi sekarang, ada tepat di depannya.
"Boleh saya tanya?" Bibir merah Eqram lebar dengan senyum.
"Yes, please..."
Eqram tongkat siku di atas meja. Belakangnya lurus, condong sedikit ke depan.
"Kenapa awak selalu datang sini?"
"Saya selalu lepak dekat sini sejak dulu..."
"Kenapa saya tak perasan pun?" Dia nampak tak puas hati.
"Kenapa perlu nak perasan? Saya customer. Lagipun, saya sendiri tak perasan awak. Barista kat sini biasanya berubah-ubah. Saya bukan datang masa awak ada aje. Saya datang sini ikut masa saya nak datang. Awak ada atau tak, itu bukan masalah saya..."
Eqram kerling cawan di depannya. Wanita yang dia kenali dengan nama Nur Amaris, tapi tertera nama Ammara pada gelasnya. Dia tunduk dan senyum. Lebih pada diri sendiri. Apalah yang perempuan ni sorok daripada dia? Sejauh mana keikhlasan yang dikatakan? Atau...
Mata kuyunya naik memandang mata redup Ammara. Tak bulat, tak juga sepet. Mencari keikhlasan. Tapi memang dia tak nampak langsung.
"Saya perasan sekarang sebab dah beberapa bulan, awak selalu pandang saya. Awak mesej saya, lepas tu awak gelabah jumpa saya. Tapi bila datang sini awak buat tak kenal langsung saya. Macam mana awak nak cakap awak tak pernah perasan saya?" Kata-katanya berbaur sindiran.
"Entah... Mungkin masa tu mata saya tiba-tiba penat pandang apa yang saya tak nak pandang hingga terpaku pada muka awak. Tiba-tiba mata saya jadi tenang. Mungkin sebab tu saya rasa nak terus pandang awak. Lagipun, saya mengaku dah sebelum ni tapi awak kata tak selesa. Awak tetap buat tak tahu aje walaupun beberapa kali saya cuba. Awak suruh saya pandang dinding, sebab awak tak selesa..." luah Ammara mengingatkan lelaki di depannya yang dia pernah memberi jawapan yang sama.
"Bukan saya, kak." Senyuman pada wajah yang menenangkan itu, berubah tajam.
"Bukan saya yang suruh awak pandang dinding. Awak yang cakap akan pandang dinding. So, saya try juga pandang dinding..."
"Saya tak rasa awak betul-betul pandang dinding pun."
"Dah tu, awak rasa saya boleh pandang aje dinding bila tahu orang yang suka saya duduk dekat sini? Sendirian?" Sekali lagi Eqram menempelak.
Senyuman senget yang tersungging pada hujung bibir Eqram bagai membuktikan, lelaki itu sedang mendominasi suasana. Ammara hela nafas panjang.
"Sebab tu saya buat keputusan untuk tak pandang awak lagi. Saya dah janji saya akan buat tak tahu aje. Saya datang sini hanya sebagai customer. Itu aje sekarang. Kalau awak tak suka, saya boleh cari port lepak lain..." Sebolehnya, Ammara cuba kawal suara.
"Mungkin awak lupa. Tapi saya sudi ingatkan. Awak pernah cakap yang awak ramai peminat..."
"Eh, ada ke?" Eqram tayang wajah penuh tanda tanya. Tersenyum dengan wajah suci.
"Perlu ke saya recall untuk awak?"
Lelaki itu ketawa kecil. Tak mahu menarik perhatian orang lain barangkali.
"Saya tahu. Tapi itu kenyataan. Kenapa? Awak nak bagi benda sama pada saya? Bunga? Coklat? Ajak makan? Tengok wayang? Mana satu?"
"Saya boleh bagi. Tapi saya rasa buat apa saya bagi apa yang selalu orang lain bagi dekat awak? Baik saya bagi sesuatu yang lain, kan?" Ammara lepas nafas tenang. Biarpun dadanya seperti nak runtuh.
Sebelah kening Eqram terjongket. Dia telan sendiri apa yang mahu dia luahkan tatkala mendengar kata-kata Ammara seketika tadi.
"Boleh saya tanya?"
"Silakan..." Eqram bersandar pada kerusi sambil menyilangkan kaki.
"Awak jadi resign?"
"Saya tahu awak dah tahu..." Dia yakin, wanita ini telah tahu tentang itu. Malah, tarikh efektifnya juga.
"Nak sambung belajar?"
Eqram geleng. Mencebik sendiri.
"Saya tak minat belajar. Saya nak kerja tempat lain. Saya rasa nak balik Sabah kejap. Awak mesti tahu saya asal sana, kan? Cuma lama dah tinggal dekat sini. Family semua dekat sini..."
"Habis tu, kenapa perlu balik sana?"
"Saja. Melawat tempat asal saya. Kalau saya rasa bosan, saya pergi tempat lain pula..."
"Bila nak ke sana?"
"Mungkin hujung bulan ni. Lepas saya selesaikan beberapa perkara dekat sini..."
Ammara diam seketika. Makna kata, ini peluang terakhirnya. Dia akan cuba buat yang terakhir kali.
"Kalau macam tu, boleh awak bagi saya satu peluang terakhir?"
"Cubalah..." Senyuman tajam tersungging pada hujung bibir Eqram.
Ammara kumpul segala kekuatan. Tak salah mencuba. Itulah yang dia bisikkan pada diri sendiri. Buat kali terakhir setelah dia hampir nekad mahu biarkan saja perasaannya pada lelaki ini mekar.
"Memandangkan kita tak akan jumpa lagi... Saya nak ajak awak date dengan saya. Makan, tengok wayang... Mungkin. Kalau awak nak bunga dan coklat, saya boleh hadiahkan. Tak ada masalah..." ujarnya tanpa senyuman.
Hanya Eqram saja tersenyum sejak tadi.
"Awak kata awak tak nak bagi benda tu semua. Itu semua saya dah selalu sangat dapat."
"Okey. Saya lupa. Apa saja yang awak nak selagi saya mampu..." balas Ammara.
Bibir Eqram mencebik seketika. Dia angguk kecil beberapa kali. Seperti memikirkan sesuatu.
"Now?" soalnya tiba-tiba.
Ammara geleng.
"Saya ada kerja sekarang. Weekend ni..."
"Weekend saya kerja. Jadual saya penuh. Saya kena ajar barista baru. Hari ni, saya habis kerja pukul lima. Boleh?" cadangnya pada Ammara.
Lama Ammara diam. Menimbang dan memikir. Entah patut atau tidak dia bagi tahu pada Ina, dia tak pasti. Apatah pula bila Ina baru memberitahunya yang mereka tak dapat berjumpa hari ni. Ina lambat.
Ammara tarik nafas dalam. Untuk kali ini aje.
"Okey... Saya datang jemput awak nanti..."
"Awak drive?"
Ammara angguk. Dia senyum tipis.
"Okey. Saya tunggu depan mall nanti."
"Kalau macam tu, saya mesej awak nanti..." Ammara bangkit. Menutup notebooknya dan terus saja keluar dari situ.
Kenapa dadanya berdebar tak henti-henti?
Betulkah keputusannya mengajak lelaki itu keluar?
Tanpa pengetahuan Ina?
Berkali-kali dia tanya hati sendiri. Atas dasar apa? Bila hatinya menjawab yang dia benar-benar sukakan lelaki itu, dia akhirnya akur.
MATA Ammara terbuka. Dia dapat rasakan, ada air mata yang sedang mengalir di juring matanya. Tuhan... Kenapa kian kerap mimpi ini menyerang lena hamba? Apakah petandanya?
Ammara bangkit dan meraup seluruh wajah. Dia capai handphone. Jam sedang menginjak ke angka empat pagi dan dia rupa-rupanya terlelap di atas katil Amaris. Wajah comel itu dipandang lama. Dia tunduk dan mengucup dahi Amaris sebelum membetulkan selimut anak itu dan terus saja berlalu ke biliknya.
Dia masuk ke dalam bilik air. Wuduk diratakan ke seluruh anggota badan.
Kata Ina.
"Boleh jadi Tuhan kejutkan kau untuk kau bangun memohon ampun pada-Nya, Ara. Setiap kali kau terjaga daripada mimpi ngeri, ingatlah... Tuhan sedang panggil kau untuk mengadu pada-Nya."
Ammara pandang wajahnya di dalam cermin. Nampak pucat. Dia dulu agak berisi orangnya. Tidaklah gemuk tapi tidak juga kurus. Sekarang, dia telah kurus. Gamaknya kerana kepenatan menguruskan diri sendiri dan Amaris. Cuma pipinya saja masih sama. Masih bulat.
Lama dia renung wajah sendiri dalam cermin. Entah mengapa, bayangan lelaki itu muncul di depannya. Seperti mahu dia pecahkan cermin di depan mata tapi dia pujuk hati. Itu sekadar bayangan yang dia masih cuba lupakan. Namun tak pernah berjaya.
Biarpun lima tahun berlalu, dia masih mencuba dengan sehabis daya. Tapi apa nak dikata bila dia perlu terima kesannya setelah apa yang dia lakukan.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro