Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 1

PROLOG 1

Dalam mengenang kisah hidup silam,

Kusedar dari kesilapan lalu,

Tuhan... Beratnya dosa-dosaku,

Masihkah ada ampunan buatku?

Tuhan... Dalam menempuh hidup ini,

Banyaknya dugaan datang menguji.

Tuhan... Ada yang dapat kugagahi,

Dan ada yang gagal kuhindari.

Tuhan... Dosaku menggunung tinggi,

Tapi taubatku tak kutepati.

Tuhan... Rahmat-Mu melangit luas,

Terlalu sedikit kubersyukur.

(Kredit : Epilog Silam - Haikal )

PROLOG 2

Puisi

Yang Tak Tersembuhkan

Aku akan melupakan tentangmu.

Segalanya.

Benar.

Tiada dusta.

Tapi, hati rapuhku melarang ketat.

Ingin aku lari daripada sakit yang kau pahatkan.

Tapi, langkah kaki tersekat.

Hadirku kau nafi.

Sedang aku masih di sini.

Setia. Menggalas janji.

Namun, sayang. Kau buta. Kau pekak.

Sepertinya aku ini hanyalah sekadar bayang.

Sedangkan bayang itu wujud bila berjasad.

Kenapa tidak sekali kau selam ke dasar hati?

Melihat sendiri apa yang menanti.

Segalanya... Tentangmu.

Masih... Kau berikan memori yang sukar untuk kuhadam.

Tetap... Kau tinggalkan sakit yang tak akan tersembuhkan.

Wan Ammara a.k.a Nur Amaris

PROLOG 3

KAKINYA diayun selaju mungkin. Sehabis daya dia kerah tenaga. Berlari dan terus mengejar lelaki itu demi menahannya daripada pergi. Di bawah keindahan warna keemasan langit senja. Tapi, dia tak mampu lagi menikmati keindahan ini kerana hati yang luka.

Ammara mendongak ke langit. Warna senja yang keemasan itu sepertinya sedang bertukar menjadi darah. Ya, hatinya sedang berdarah. Mengalir tanpa mampu dia tahan.

"Am?" panggilnya.

Tapi lelaki itu terus berjalan.

"Eqram?" Dia kuatkan suara.

Sayang, masih tak mampu menahan langkahnya.

"Mohd Eqram!" Ammara menjerit sekuat hati. Tangisnya kian menjadi-jadi.

Sekali... Lelaki itu menoleh. Tanpa senyuman. Memandang padanya seperti tiada apa yang terjadi antara mereka.

"Awak nak pergi?" soalnya dengan air mata yang terus mengalir.

"Ya..."

"Tinggalkan saya?" soal Ammara lagi.

Eqram diam.

Ammara mendekat. Setapak.

Eqram menjarak. Selangkah.

Kaki Ammara mati.

Eqram juga kaku berdiri.

"Kalau awak pergi, bawalah semua janji awak bersama. Jangan tinggalkan dengan saya. Saya tak mampu menggalasnya..."

Senyuman Eqram terukir. Nampak manis tapi tiada keikhlasan.

"Janji tu untuk awak, Ammara. Awak nak galas atau sebaliknya... Terserah..." ujar Eqram. Kedengaran sangat kejam.

Akhirnya... Ammara angguk. Faham.

"Kalau gitu, pergilah. Jangan toleh lagi. Saya tak akan cari awak biar apa pun yang terjadi dan jangan kembali..." beritahu Ammara dengan nada yang cukup lirih.

"Saya tak akan kembali," ujar Eqram. Yakin. Lantas, lelaki itu menoleh dan menyambung perjalanan yang tersekat kerananya.

Susuk tubuh Eqram kian kabur. Entah kerana air mata atau kerana siang yang mula bertukar malam. Apa yang pasti, bahunya mula rebeh. Bahana menggalas janji.

BAB 1

UJIAN itu datang pada setiap masa. Bersedia atau tidak, itu bukan persoalannya kerana Tuhan telah minta kita sentiasa bersedia untuknya. Bagaimana? Segalanya telah dinyatakan dengan jelas. Namun, kenapa kerap kali manusia tewas? Dia juga sama. Saat ujian melanda, ada yang mampu dia gagahi, malah tak kurang juga yang gagal untuk dia harungi.

Dan dia... Pernah tewas kerana ujian yang telah lima tahun berlalu. Sesuatu yang menyakitkan. Sakit kerana kejahilan sendiri. Sakit bila dia toreh hatinya dengan tangan sendiri. Sakit yang mana luka itu masih mengalir darahnya. Tak pernah nak kering hingga ke hari ini.

Yang memberi dia kekuatan, hanyalah keyakinan pada Tuhannya Yang Maha Pengampun dan juga wajah comel di depan mata sekarang.

Apa nak kata...

Biarpun di sini, segala punca kepedihan itu bermula... Namun kerana kebahagiaan permata hati, dia rela hadapi segalanya. Biarpun terpaksa dia koyak hatinya berjuta-juta kali, senyuman pada wajah suci ini yang akan mengubati. Kerana dia tahu kini, hidup di dunia ini bukanlah untuk dia hidup demi diri sendiri.

"Sedap ke?" Ammara capai tisu dan dilapkan pada pipi comel yang nampak begitu comot.

Gadis kecil itu mengangguk. Ammara tongkat dagu. Merenung lebih dekat wajah anak daranya, membuatkan dia jatuh cinta berkali-kali. Wajah ini tak pernah puas ditatap. Tak pernah puas untuk dikucup. Tapi, cita rasa Amaris... Hai... Suka lepak tempat orang tua lepak.

"Nak lagi boleh ke, mama?" Mata bulat itu nampak teruja.

"Eh, mana boleh. Benda itu kan gula. Jarang-jarang sekali bolehlah makan. Makan kerap sangat, gula banyak... Rosaklah gigi baru nak tumbuh tu."

Mendengarkan suara mama membebel, Amaris sengih. Tak mengerti. Tapi lapan batang gigi susu itu dapat mengoyak senyuman lebar pada bibir Ammara.

"Comel anak mama ni..." Sesekali, rusuknya terasa berselisih sesama sendiri tatkala menatap wajah comel milik Amaris.

Entahlah... Perkara itu telah lama berlalu. Seperti pernah sahabat baiknya katakan, sesuatu yang dah terjadi itu adalah mustahil untuk dia lupakan. Selamanya akan menjadi kudis pada hatinya. Dia pula, terima semua itu sebagai satu hukuman kecil daripada Tuhan. Berkali-kali dia tersungkur, malah tersembam hinggakan wajahnya retak. Tapi kerana Amaris, dia mampu. Dia gagah. Dia kuat.

"Mama tengok Aris ni umur baru empat tahun dah pandai makan donat mahal ni. Mama dulu makan donat tepi jalan aje..." Dia sambung bersuara.

Tapi, seperti tadi juga... Amaris hanya ketawa. Menikmati donat itu dengan penuh berselera.

"Nak air ni tak?" Dia sua air coklat itu pada Amaris. Anak itu menyedut sedikit rakus.

"Esok nak datang sini lagi, boleh?"

"Haip... Tak boleh. Mama dah cakap tadi. Rosak gigi. Lagipun, kat sini mahal. Tempat orang dewasa lepak. Aris kan kecil lagi. Mama tak suka datang sini tapi dah sebab Aris suka donat kat sini, mama bawa ajelah ke sini. Sesekali bolehlah. Lagipun, penatlah nak bawa Aris ke sini setiap kali pun. Makan dekat rumah aje lain kali..."

"Nasi ayam kok kok kok?" Anak kecil itu masih ketawa. Mulut penuh dengan donat.

"Haaa... Yang itu boleh. Mama boleh belanja. Tak pun, mama boleh masakkan. Lagi sedap..."

"Mama masak tak sedap..." Amaris ketawa. Kuat.

Hinggakan ada beberapa pasang mata mula memandang. Hampir saja Ammara tekup mulut anaknya tapi akhirnya, dia membiarkan saja tawa itu berlarutan.

Tawa itu, adalah penawar pada segala duka.

Tawa itu, adalah hartanya di akhirat dan sekarang, di dunia.

"Mama sayang Aris..." Tiba-tiba, ucapan itu terluncur dari celah bibirnya bersama linangan air jernih yang entah bila muncul pada juring mata.

Setelah beberapa tahun dia bertahan, entah mengapa rasa sebu itu kembali hadir sejak akhir-akhir ini. Seperti baru semalam dia lalui banyak kehilangan.

"Sayang mama juga..." Amaris senyum.

Ammara pejam mata. Air jernih itu menitis setitis ke pipi. Tapi cepat-cepat dia seka.

Dulu, di kerusi ini bukan tempat dia. Tapi tempat sahabat baiknya. Dia... Akan duduk di tempat Amaris duduk sekarang ni. Di sinilah mereka selalu membuang masa. Berbicara apa saja tentang kisah hidup masing-masing. Tangisan, tawa dan juga senyum... Hanya milik dia dan sahabat baiknya saat itu.

Kini... Setelah lama berlalu, dia hanya kongsi waktu-waktu ini dengan Amaris yang baru berusia empat tahun.

"Mama?"

"Hurm... Ya, sayang?" Ammara senyum pada Amaris.

"Jom balik..."

"Yalah. Dah habis makan dah, kan?"

Amaris angguk.

Tangan dihulur lantas tangan halus itu menyambut tangannya. Digenggam kemas. Amaris tak nak didukung. Malu katanya. Tak mahu juga duduk di atas stroller. Dah besar katanya.

Baru saja dia mahu keluar dari kedai kopi itu, kaki Ammara terpaku. Lama dia berdiri. Outlet yang agak lengang hari ini. Adik-adik barista juga nampak santai di kaunter, bergelak ketawa sesama sendiri. Entah kenapa, sepertinya wajah itu ada juga di situ. Wajah yang begitu menenangkan. Wajah yang pernah dia igaukan. Wajah yang begitu muda belia. Wajah yang putih bersih dan nampak jujur. Wajah yang mungkin telah jauh berubah setelah sekian lama.

"Kenapa, mama?" Amaris menggoyang tangan Ammara. Pelik bila mama tak menapak pun.

"Mama tengok apa?"

"Tak ada apa. Jom kita balik..."

"Tapi mama... Nak kuih tu, boleh?"

"Kuih apa lagi?"

"Yang mama suka beli letak dalam peti tu?"

Jenuh Ammara memikir. Kuih apa yang aku suka beli letak di dalam peti? Rasanya, selain karipap frozen, aku memang tak beli apa-apa kuih dah.

Jangan-jangan...

Dia tarik tangan anaknya turun ke lower ground. Terus menuju ke kios Hokkaido Baked Cheese.

"Sini ke?"

"Yeah..." Amaris melompat.

Hai la budak ni. Benar-benar mengikut selera dia.

Telah dia katakan, apa saja untuk Amaris. Ini adalah bahagia dia.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro