1 | Betrayer
Pekan Aztec sesak dengan penduduknya yang sibuk melakukan aktiviti harian mereka. Bunyi mereka berbual sambil berjual beli membingitkan telinga.
Haiwan ternakan seperti lembu dan kambing pula sibuk meragut di padang rumput.
Dengan santai, Nylea berjalan di dalam kelompok manusia. Kadang-kala badan disengetkan sedikit untuk memudahkan pergerakan.
Dalam diam, perasaan takjub terselit dalam sanubari Nylea. Kagum melihat pekan yang dahulunya sunyi tanpa kehadiran manusia kini berubah wajah.
Penduduknya semakin ramai dan pengunjung dari luar juga semakin bertambah. Malah pelbagai barang seperti barang keperluan, posyen ajaib, ramuan sihir dan beberapa anggota haiwan mistik yang dikatakan boleh membawa tuah turut dijual di situ.
Sesekali, mata Nylea melilau melihat langit yang sedikit kemerahan. Walaupun matahari baru sahaja terbit, namun pekan ini sudah beroperasi seperti matahari sudah lama tegak di kepala! Peningkatan kemajuan yang amat memberangsangkan dan boleh dibanggakan.
Spontan, satu senyuman terukir di bibir Nylea.Entah kenapa, terdetik rasa di hati untuk memberi penghargaan kepada penduduk pekan Aztec atas pencapaian yang mereka capai setakat ini secara rahsia. Senyuman Nylea kian melebar tatkala beberapa orang kerdil berlari melintasi di hadapannya. Mereka kelihatan gembira berlari menyusup di celah-celah orang ramai kemudian lesap.
Nylea meneruskan langkah sehingga tiba di sebuah lorong. Tanpa ragu, Nylea terus berjalan menuruni tangga. Diabaikan segala bau busuk sampah sarap yang telah bercampur dengan bahan buangan posyen ajaib.
Genap lima minit berjalan menyelesuri lorong itu, Nylea berhenti di sebuah kedai besi. Dikerling sekilas papan tanda kedai tersebut sebelum dia terus menapak masuk ke dalam kedai.
"Nylea!"
Nylea tersengih sambil mengangkat tangan saat melihat Darren yang kelihatan teruja memandangnya.
"Darren."
Nylea berjalan menghampiri kaunter sebelum melabuhkan punggung di atas kerusi yang disediakan khas untuk tetamu. Rambut yang sedikit kusut dikemaskan sebelum dia melebarkan lagi senyuman tatkala sepasang mata jatuh ke seraut wajah milik sahabat lama.
"Termasuk kelmarin sudah genap tiga tahun kau tak ke mari.Apa tujuan kau ke sini? Mahu menempah pedang baru ke? Atau sebab kau rindukan pekan ini?"
Darren menyoal bertubi-tubi sambil mata tak lepas memandang muka Nylea yang sedikit berbeza dari sebelum ini. Kelihatan lebih matang dan cantik. Mungkin kerana sekarang rambutnya dipotong pendek mengikut trend terkini.
"Maaf, Darren kerana sudah lama tidak datang menziarahi kau.Namun, segala tebakan kau ialah salah. Aku datang ke sini bukan kerana nak melihat perkembangan pekan kecil ini atau mahu membeli pedang baru. Aku nak ini!"
Nylea tersengih menayang barisan gigi sambil mengeluarkan lipatan kertas yang sudah kekuningan dari poket seluarnya sebelum menghulurkannya ke arah Darren.
Tanpa mengeluarkan sepatah kata, Darren terus mencapai kertas itu. Dibuka lipatan kertas sebelum dia mula meneliti isi kertas itu.
"No way,Nylea! Kau datang sini semata-mata hendak menangkap unicorn? Kau sudah gila?"
Darren menyoal bertalu-talu bersama mata yang sedikit terbeliak. Tak pernah terjangkau dek akalnya bahawa kedatangan Nylea kali ini demi menangkap haiwan yang menjadi buruan ramai itu.
Nylea hanya tergelak kecil melihat riak terkejut Darren sebelum perlahan-lahan dia menjatuhkan kepalanya beberapa kali.
"Ya. Itulah tujuan sebenar aku ke sini. Aku nak tangkap unicorn itu. Aku nak menang ganjaran itu! Kau cuba tengok berapa jumlah ganjaran yang ditawarkan sekali lagi. 1000 platinum!1000 platinum bersamaan dengan sejuta gold! Kalau aku dapat ganjaran itu, aku tak perlu memburu lagi. Aku mampu untuk hidup mewah. Malah, nama aku juga bakal dipandang tinggi oleh pemburu yang lain. Sebagai sahabat, takkan kau tak rasa bangga jika aku menang? Pemburu wanita mempunyai kemahiran setanding dengan pemburu lelaki atau mungkin lebih lagi. Wow! Aku rasa berita ini akan menjadi berita terhangat yang bakal tersebar di seantero negara, kan?"
Nylea memetik jari sebelum menepuk tangan. Rasa gembira datang menyinggah dalam hati tatkala teringat kemasyhuran yang diinginkan selama ini menjadi kenyataan.
Nylea memejam mata, menghayati sebaiknya keindahan imaginasi yang dicipta oleh diri sendiri.
"Heh, kau yakin ke boleh tangkap unicorn tu? Kau dah lupa ke yang kau ni hanya seekor werewolf betina biasa? Untuk pengetahuan kau, unicorn ialah seekor haiwan mistik yang cukup susah untuk dijumpai. Apatah lagi, untuk menjeratnya. Aku tak yakin kau mampu menangkapnya, Nylea. Tambahan pula, sasaran kau ialah Unicorn Darklous,seekor unicorn warna ungu gelap yang begitu liar-"
"Dan, amat berkuasa! Setitik darahnya mampu untuk mengembalikan nyawa seseorang. Ah, jangan risau Darren. Aku pasti boleh menangkapnya, dengan bantuan seorang kawan lama," potong Nylea laju bersama satu senyuman tergayut di bibir. Darren mengerut dahi.
"Kawan lama?"
"Ohoi, kawan-kawanku."
Belum sempat Nylea menjawab soalan Darren, ada satu suara lebih cepat menyampuk dalam perbualan mereka.
"Alexis?"
Sepasang mata Darren sedikit membulat sebaik imej lelaki yang tinggi lampai itu ditangkap oleh retina matanya.
Alexis hanya mengukir senyuman melihat riak terkejut Darren sebelum mengambil tempat di sebelah Nylea.
"Yeah, Alexis yang bakal membantu aku menangkap unicorn itu untuk dipersembahkan kepada Tuan Douglas bagi menghidupkan kembali anaknya. Dengan bantuan seorang Necromancer, mana mungkin aku gagal, kan?"
Nylea tersenyum lebar usai memberi penerangan kepada Darren. Perasaan teruja dan gembira yang sedang bercampur-baur saat ini membuatkan bibirnya tidak henti-henti mengukir senyuman.
"Tapi, Alexis bukankah kau dah berjanji untuk-"
"Shhh!"
Alexis meletak jari telunjuk di atas bibir.
"Aku akan bantu Nylea dapatkan apa yang dia mahu. End of discussion. Nylea, mari mulakan misi kita sebelum matahari tergelincir. Ada banyak kerja yang aku terpaksa laksanakan selepas ini.
Alexis bingkas bangun dari kerusi sebelum terus menonong keluar dari kedai Darren.
Darren mulai berasa curiga dengan tindak-tanduk Alexis. Perasaan hairan menjengah dalam hati tak mampu ditepis dek perangai Alexis yang tiba-tiba muncul dan pergi begitu sahaja, seolah-olah dia sedang menyembunyikan sesuatu!
"Nylea."
Darren mengalih pandang ke arah Nylea sebaik telinga menangkap bunyi kerusi bergeser dengan permukaan simen, memberi tanda bahawa si gadis sudah bangkit berdiri. Laju Darren memaut lengan kanan sahabatnya sebelum menggelengkan kepalanya beberapa kali.
"Jangan pergi, Nylea. Aku rasa sesuatu yang buruk bakal berlaku. Adakah kau tahu yang-"
"Nylea, cepat keluar."
Automatik, Nylea terus menarik lembut tangannya tatkala arahan Alexis mencecah gegendang telinga sebelum menepuk lembut bahu sahabatnya.
"Tunggu aku pulang dengan berita baik," ujar Nylea bersama senyuman yang kekal teraut di bibir sebelum berlari anak keluar dari kedai Darren.
Kaki diatur merapati Alexis yang sedang berdiri tegak sambil mata tak lepas memandangnya tanpa sebaris senyuman.
"Jom, Alex. Aku dah sedia."
Alexis pantas menganggukkan kepala tanda faham dengan isi tersirat yang ingin disampaikan oleh Nylea.
Sesaat, kakinya mula menapak ke tiga tapak ke belakang sebelum mendepakan kedua-dua tangannya.
"Alexis, bertukar!"
Serentak itu, tubuh Alexis perlahan-lahan mula ditumbuhi bulu-bulu burung sebelum dia sepenuhnya bertukar menjadi seekor helang.
"Nylea, naik belakang aku."
Nylea menjatuhkan kepala beberapa kali sebelum dia mula merapati si helang lalu dipanjat belakangnya.
"Bagaimana? Kedudukan kau dah stabil?"
"Ya," jawab Nylea sepatah dengan penuh teruja.
"Baik, siap sedia.Aku akan mula terbang dalam kiraan tiga, dua...satu!"
Alexis mula mengepak sayapnya beberapa kali, menyebabkan kakinya tidak lagi mencecah tanah. Badannya juga mula ringan melayang di udara.
"Be careful, Nylea. Aku takut kau jatuh. Dengan ketinggian sebegini, kau boleh mati jika terjatuh ke bawah."
Pantas Nylea memaut leher si helang sebelum memegang erat bulu-bulu di kawasan sekitar situ. Risau andai nyawa berada di dalam bahaya jika dia tidak menurut nasihat Alexis.
"Jadi, Nylea kau tahu di mana lokasi terakhir unicorn?"
Alexis menyoal dengan nada sedikit tinggi. Angin yang terhasil hasil kibasan sayapnya sedikit sebanyak menenggelamkan suaranya, menyebabkan dia terpaksa meninggikan nada agar soalannya dapat didengari oleh Nylea.
"Ya. Berdasarkan kompas ajaib Joni si alchemist, lokasi terakhirnya ialah gua yang berada dalam Hutan Larangan di bahagian utara Pekan Aztec, tak jauh dari sini," jawab Nylea dengan penuh yakin.
"Baik,kita akan ke sana."
Alexis pantas mengepak sayapnya lebih kuat, menuju ke arah Hutan Larangan. Kadangkala disengetkan sedikit tubuhnya bagi mengurangkan tekanan agar kestabilan badannya dapat dikekalkan agar Nylea kekal selamat.
Sebaik mereka tiba di hadapan Hutan Larangan, Alexis memperlahankan kepakan sayap sebelum perlahan-lahan mendarat di atas tanah. Sebaik kaki helangnya menjejak tanah, Nylea terua melompat turun sambil meliarkan mata ke arah sekeliling, memberi masa kepada Alexis untuk kembali kepada bentuk manusia.
"Nylea, jom."
Baru sahaja mereka ingin menapak masuk ke dalam hutan, bunyi nyaring yang muncul tanpa amaran membantutkan langkah mereka. Spontan mereka berdua terus mendongakkan kepala memandang ke arah langit.
"Berhenti! Jangan sesekali kalian jejakkan kaki ke dalam Hutan Larangan!"
Nylea terkaku seketika mendengar laungan lantang itu. Matanya masih tidak lepas memandang ke arah seekor Pegasus yang sedang terbang rendah, menghampiri tanah.
"Siapa penunggang Pegasus itu?"
Nylea menyoal separa berbisik sewaktu Pegasus sudah menjejakkan kaki ke tanah. Kelihatan kelibat seorang perempuan yang lengkap memakai armor besi melompat turun daripada Pegasus warna merah kehitaman.
"Itu ialah Zendaya dan dia sedang cuba memanah kita jadi lari!"
Dengan kelajuan sepantas kilat Alexis dan Nylea terus berlari menjauhi Zendaya yang sedang menghala panah ke arah mereka.
"Si-siapa Zendaya?"
Nylea bertanya dengan nafas sedikit tercungap-cungap. Sesekali, kepala menoleh ke belakang melihat kedudukan si penunggang Pegasus yang sedang mengejar mereka.
"Pelindung Unicorn Darklous."
Alexis menjawab sepatah namun mampu membuatkan Nylea tersenyum lebar.
"Ini bermakna unicorn itu memang berada di sini!"
Nylea terus memberhentikan larian. Badan berpusing ke belakang sebelum dia mengeluarkan satu uncang kecil berwarna biru kehijaun lalu menuang isinya ke tapak tangan kanan.
"Nylea! Kau sedang menempah maut ke? Lari!"
Nylea hanya mengabaikan jeritan Alexis yang semakin menjauh sebelum ditiup serbuk warna merah jambu itu ke arah Zendaya yang sudah bersiap sedia untuk memanahnya.
"Argh! Apakah ini?!"
Zendaya yang tadi bersedia untuk memanah terus terbaring ke atas tanah. Menggelupur dia menahan kesakitan dek terkena serbuk posyen Nylea sebentar tadi.
"Nylea, apa yang telah kau buat?"
Nylea hanya tersenyum sinis mendengar soalan Alexis yang tercengang-cengang dengan perbuatannya sambil menyilang tangan di dada.
"Aku cuma meniup serbuk Penghancur Jiwa yang boleh memusnahkan jiwa mereka yang terkena, tak kira apa bangsa mereka. Ah, kau tengoklah sana. Pegasus itu juga sudah mula merasai kesakitan jiwa hilang dimamah syaitan."
Mata Alexis terbeliak tatkala mendengar jawapan yang meluncur keluar dari mulut Nylea. Pantas mata dilarikan ke arah Pegasus yang sudah rebah ke tanah sebelum pandangannya kembali ke arah Zendaya yang semakin lemah silih berganti.
"Kau beli posyen ajaib dari Witch Of Solderia ke? Sanggup kau membunuh demi ganjaran?!"
"Ganjaran itu membolehkan aku hidup mewah selama berabad-abad lamanya. Demi mencapai tujuan itu, aku tak peduli nyawa apa yang bakal melayang."
Nylea tersenyum senget sebelum kaki mula melangkah masuk ke dalam Hutan Larangan. Zendaya dan pegasusnya yang berada dalam kesakitan tidak dia pedulikan. Langkah semakin dipercepatkan.
"Nylea."
Alexis memaut bahu kanan Nylea, memaksa Nylea untuk berhenti berjalan.
"Apa? Kita jangan buang masa lagi. Aku dapat rasa unicorn itu semakin dekat!"
"Tapi takkanlah kau nak tinggalkan Zendaya dan haiwan peliharaannya yang sedang bertarung dengan kematian begitu saja? Kau tak takut terkena bala kerana membunuh salah seorang pelindung unicorn?"
Nylea hanya tersenyum nipis sebelum menepis tangan kiri Alexis.
"Aku tak kisah siapa atau apa yang bakal mati asalkan aku dapat tangkap unicorn itu. Setakat bala yang bakal ditimpakan ke atas aku apalah sangat nilainya dibandingkan dengan kekayaan yang bakal aku miliki."
"Nylea, kau dah tersasar jauh. Sekarang ini-"
"Aku atau pelindung itu kawan kau?Aku, kan? Jadi, ikut sahaja aku cari unicorn yang berharga itu!"
Nylea bersuara tegas.Matanya tajam mencerun ke arah si kawan yang berada dalam keadaan dilema. Spontan satu keluhan terlepas dari bibir Alexis. Kesal dengan sikap materialistik Nylea.
"Boleh tapi dengan syarat kau kena beri penawar untuk selamatkan Zendaya dan Pegasus. Kau mempunyai penawarnya, bukan?"
Nylea menjatuhkan kepala beberapa kali.
"Ya, aku ada. Kalau kau nak mereka selamat, baik kau tolong aku dengan kadar segera sebab masa sedang berjalan," ujar Nylea bersama satu senyuman senget yang tertampal di wajah sedari tadi.
"Fine!"
Alexis terus berjalan mendahului Nylea. Kaki dibuka besar supaya langkah semakin dipercepatkan. Nylea hanya diam mengekori Alexis. Bibirnya masih tidak berhenti menguntumkan senyuman.
Tak silap dia memilih seorang Necromancer yang cukup menguasai selok-belok Hutan Larangan untuk membantunya.
Nampaknya, impian dia untuk menjadi kaya dan terkenal bukan hanya tinggal mimpi tapi bakal menjadi realiti!
Mereka terus berjalan tanpa mengeluarkan sepatah kata, sampailah mereka tiba di sebuah gua.
"Kita dah sampai."
Alexis memusing badan menghadap Nylea yang berhenti betul-betul dibelakangnya.
"Inilah satu-satunya gua yang-"
"Roar!"
Belum sempat Alexis menghabiskan kata-katanya, satu ngauman kuat terlebih dahulu memintas bicaranya. Burung-burung mula terbang ke udara, manakala daun-daun pepohon berguguran di atas tanah kerana ngauman itu.
"Chimera."
Nylea pantas membuka langkah. Pedang yang tersisip di pinggang terus dikeluarkan.
"Nylea, jangan kau-"
"Diam, Alexis. Aku perlu fokus untuk membunuh Chimera ini," bentak Nylea kasar. Dijeling sekilas ke arah Alexis sebelum mata mula memandang ke hadapan, menanti Chimera keluar dari muka gua.
"Berhenti, Nylea! Kau-"
"Chimera!"
Nylea menjerit nyaring sebelum terus membaling pedang ke arah Chimera yang baru melangkah keluar dari gua.
"Nylea!"
Kali ini, Alexis pula menjerit saat melihat Chimera, haiwan gergasi berkepala singa dan mempunyai kepala kambing di belakangnya tumbang ke atas tanah.
"Rasakan!"
Nylea ketawa jahat. Puas hatinya dapat melihat segala penghalang tumpas begitu saja.
"Tak sia-sia aku habiskan wang simpanan aku untuk membeli serbuk posyen dan racun paling berbisa di dunia ini. Ternyata, memang berguna!"
"Nylea, berhenti! Aku-"
Belum sempat Alexis menghabiskan kata-katanya, Nylea lebih cepat menikam perutnya dengan pisau lipat yang dia sorok di sebalik sarung pedang.
"Banyak sangat mulut kau, Alexis. Disebabkan hal itu, kau terpaksa menjadi mangsa aku."
Nylea ketawa lagi ketika Alexis jatuh melutut di hadapannya. Entah kenapa, hatinya puas menatap wajah mereka yang menghalangnya berada dalam kesakitan. Rasa segala pengorbanan yang dia buat selama ini demi memastikan dia dapat menangkap unicorn itu terbayar dengan riak wajah menahan kesakitan mereka.
"Maafkan aku kerana gembira atas penderitaan kalian."
Nylea tersengih lebar sebelum mengeluarkan satu wisel berbentuk kuda dari kocek seluar kulitnya. Ditiup wisel itu sekuat hati sambil mata meliar ke arah sekeliling. Tak sampai seminit, seekor unicorn melangkah keluar dari mulut gua.
Mulut Nylea terlopong seketika saat imej unicorn itu terbias di retina mata. Tanduk di kepalanya kelihatan berwarna-warni dengan warna pelangi manakala badannya warna ungu gelap, menyebabkan haiwan ini kelihatan begitu unik dan memikat. Tidak hairanlah mengapa haiwan itu menjadi buruan ramai.
Bibir Nylea semakin melebar ke kiri dan ke kanan. Terbayang wang yang bakal diterima sebaik dia menyerahkan unicorn ini kepada Tuan Douglas. Memang tak lama lagi dia bakal hidup bermandikan wang!
"Tak sia-sia aku merendahkan ego aku untuk merayu pada Darria supaya meminjamkan wiselnya padaku. Semudah ABC kau keluar menemuiku. Tak mengapa,segalanya akan terbalas selepas ini. Unicorn, mari ke sini. Aku nak bawa kau menemui tuan baru kau."
Nylea mula melangkah mendekati si unicorn yang sedang terpukau di mulut gua. Tiba-tiba tanpa diduga satu anak panah menusuk belakangnya, tepat di bahagian jantung.
Mulut Nylea terus menyemburkan darah sebelum jatuh melutut. Terketar-ketar tangan dia menahan kesakitan yang mula menjalar dalam dirinya. Perlahan-lahan tangan kanan mula meraba belakang badan mencari anak panah itu sebelum mencabut panah tersebut dengan sekali tarik.
"Panah perak? Siapa-"
Dunia Nylea terus berubah gelap.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro