Bab 9
PUAN SRI Aisyah tidak senang duduk. Sekejap dia berdiri, sekejap dia berjalan. Entah kenapa wajah Alisa Zahira sering sahaja muncul di ruang matanya. Masih terbayang lagi pertemuan yang tidak disengajakan antara dia dan gadis itu. Dia masih terbayang senyuman gadis itu dan kebaikan gadis itu mengembalikan jam tangannya. Entah kenapa, wajah gadis itu seakan-akan memberi petanda yang gadis itu akan menjadi menantunya. Kalaulah dia tahu rumah gadis itu, pasti dia akan masuk meminang untuk anak lelakinya.
"Awak ni dah kenapa, Aisyah? Ada masalah ke?" tegur Tan Sri Akhtar sambil membaca surat khabar. Dari tadi lagi dia memerhatikan gelagat isterinya itu.
"Entahlah abang... Dari tadi lagi saya asyik teringatkan budak perempuan yang saya jumpa hari tu..."
Tan Sri Akhtar yang mendengar kata-kata itu terus mengerutkan dahi seraya berpaling ke arah isterinya.
"Budak perempuan mana pula ni?" soal Tan Sri Akhtar. Surat khabar di tangannya dilipat lalu diletakkan di atas meja ruang tamunya. Kemudian dia segera duduk bersebelahan dengan isterinya itu.
"Alah, budak perempuan yang kembalikan jam tangan saya malam itulah. Entahlah, saya tak tahu kenapa asyik duk teringatkan wajah dia aje... Kalaulah dia jadi menantu kita bang," jelas isterinya dengan penuh harapan.
"Entah-entah budak perempuan yang awak jumpa tu... er..." Tan Sri Akhtar berwajah serius. Dia mula membuat wajah takut dan menggigil.
"Apa bang?" Puan Sri Aisyah pelik melihat reaksi wajah suaminya. Macam orang tak siuman pula!
"Hantu kut?!" Tan Sri Akhtar cuba meneka sambil berseloroh. Sengaja mahu mengusik isterinya. Namun tanpa sempat mengelak, paha kirinya terasa perit dek dicubit oleh isterinya. Dia menjerit kesakitan.
"Padan muka! Itulah awak, orang cakap betul-betul, dia main-main pula!" bebel Puan Sri Aisyah sambil menjeling geram ke arah suaminya itu.
"Ya, betullah... Awak kan terserempak dengan dia dalam toilet. Dalam toilet tu tempat iblis dan sepupu sepapatnya tau tak?" Tan Sri Akhtar cuba mengusik isterinya lagi.
Dia mengekek ketawa. Wajah Puan Sri Aisyah mencuka.
"Mulut awak ni memang tak ada insurans, kan? Sejak dah bersara, perangai awak ni menjadi-jadi ya!" marah Puan Sri Aisyah.
Tan Sri Akhtar masih lagi ketawa. Sudah lama dia tidak bergurau senda dengan isterinya itu. Sejak Nasih Mikael mengambil alih syarikatnya itu, inilah masa yang sesuai untuk dia dan isterinya mengisi masa yang terluang. Memang diakui alangkah bagus kalau rumahnya itu diisi dengan gelak tawa cucu-cucunya nanti. Tidaklah dia dan isterinya berasa bosan.
"Saya bukan apa bang... Sebelum saya menutup mata, saya nak sangat tengok anak sulung lelaki saya tu mendirikan rumah tangga. Tenang nanti saya kat sana bang..." tutur Puan Sri Aisyah dengan harapan.
Tan Sri Akhtar mengerutkan dahi apabila mendengar kata-kata isterinya itu. Tiba-tiba sahaja hatinya dipagut sayu. Dia tidak sanggup untuk berpisah dengan isterinya. Ya! Dia dan isterinya sedar, ajal tidak mengenal usia. Sampai masa akan tiba jua tidak kira sedetik pun. Dia mengusap tangan isterinya. Memang isterinya itu seorang ibu yang baik dan mahukan yang terbaik buat keluarganya.
"Awak jangan cakap macam tu. Awak dan saya dapat tengok cucu-cucu kita membesar nanti," balas Tan Sri Akhtar Firdaus sambil mengukir senyuman.
Puan Sri Aisyah memandang ke arah suaminya dengan senyuman pahit.
"Selain tu saya sebenarnya berharap sangat Rizki dan Nasih dapat berbaik seperti adik-beradik kandung yang lain. Ini tak... Mereka berdua tu buat hal sendiri aje. Ingatkan dinner kat restoran hari tu boleh buat mereka berbaik. Tapi hampa, langsung tak bertegur sapa! Pening saya fikirkan budak-budak tu, bang," luah Puan Sri Aisyah mengenai perangai anak-anaknya itu. Lebih-lebih lagi Rizki. Tidak habis-habis cemburu terhadap abangnya.
Tan Sri Akhtar yang mendengar luahan isterinya itu mengangguk perlahan. Dia sendiri juga buntu memikirkan cara untuk anak-anak lelaki mereka berbaik. Baginya biarlah masa yang menentukan.
Namun tanpa disedari mereka, perbualan mereka itu didengar oleh Nasih Mikael yang baru sahaja pulang dari kerja. Nasih Mikael yang mendengar perbualan itu tersandar di sebalik pintu. Begitu besar harapan mama dan papanya. Mengenai hubungannya dengan Rizki, bukan dia sendiri tidak mahu berbaik-baik dengan adik lelakinya itu, tetapi adik lelakinya itu keras kepala. Entah kenapa adiknya itu terlalu bencikan dirinya. Dia sendiri tertanya-tanya. Walau bagaimanapun dalam diam dia berdoa supaya dapat berbaik dengan adik lelakinya itu suatu hari nanti.
Jika soal jodoh pula, bukan dia tidak mahu berkahwin tetapi hatinya masih tidak boleh lupa gadis yang berjaya mengetuk pintu hatinya dulu. Alisa Zahira! Ya Allah... Pertemukanlah aku dengan dia suatu hari nanti, doanya dalam hati.
Dia mula mengatur langkah masuk ke rumahnya sambil memberi salam kepada kedua-dua orang tuanya itu. Nasih segera mengambil tempat untuk duduk berhadapan dengan mama dan papanya.
"Kamu dah makan Nasih?" tegur Puan Sri Aisyah kepada anak lelakinya itu. Wajah anak lelakinya itu kelihatan sugul. Mungkin penat dengan kerja di pejabat, fikirnya lagi.
Nasih hanya mengangguk.
"Mama, papa... Sebenarnya Nasih nak beritahu yang Nasih dah beli apartmen," umum Nasih perlahan.
Wajahnya tunduk ke bawah menghadap lantai. Tan Sri Akhtar dan isterinya berpandangan sesama sendiri.
"Papa dah agak dah. Betul cakap adik kamu, Mila. Mesti kamu nak duduk berasingan dari kami nanti," balas Tan Sri Akhtar Firdaus dengan nada bersahaja.
Hatinya geram melihat sikap anak lelakinya itu. Langsung tidak memikirkan perasaan dia dan isterinya.
"Kenapa perlu pindah, Nasih? Mama kalau boleh tak mahu berenggang dengan kamu, tahu tak? Kamu dulu dah pernah tinggalkan kami, sekarang kamu nak tinggalkan kami lagi?" soal Puan Sri Aisyah dengan nada sebak.
"Bukan macam tu, mama. Nasih kalau boleh nak berdikari. Lagipun bukannya Nasih tak datang jenguk mama dan papa langsung. Nanti sekali-sekala Nasih datanglah rumah ni jenguk mama dan papa."
Dia mula rasa bersalah kerana mengecewakan hati kedua-dua orang tuanya itu. Tidak sanggup untuk melihat wajah mamanya yang mula mengalirkan air mata. Hatinya dirundung rasa pilu. Tiba-tiba sahaja dia dapat akal untuk mengambil semula hati ibunya itu.
"Mama, bagi peluang untuk Nasih kali ini. Nasih berjanji dengan mama yang Nasih akan berkahwin dalam tahun ini juga. Nasih akan cari pasangan yang sesuai untuk Nasih jadikan isteri. Kalau Nasih tidak dapat calon isteri dalam tahun ini, Nasih serahkan soal jodoh kepada mama dan papa. Nasih tak kesah. Nasih dah sedia terima sesiapa pun," jelas Nasih dengan harapan.
Wajah mama dan papanya dipandang silih berganti. Dia mengharapkan restu daripada kedua-dua orang tuanya itu. Puan Sri Aisyah dan suaminya saling berpandangan. Akhirnya mereka berdua bersetuju dengan perjanjian yang dibuat oleh anaknya itu. Nasih Mikael tersenyum puas. Namun dalam masa yang sama, dia masih memikirkan ayat-ayat yang baru keluar dari mulutnya itu tadi. Dia tekad mahu mencari Alisa Zahira. Berdoa agar gadis itu memang ditakdirkan untuknya suatu hari nanti.
Malam itu Nasih Mikael bangun untuk lakukan solat tahajud dan solat istikharah. Lama dia berdoa mengharapkan Yang Maha Esa dapat memakbulkan doanya itu. Hatinya tiba-tiba sebak memikirkan dosa-dosa yang pernah dilakukannya sebelum ini. Menyakiti hati gadis sebaik Alisa Zahira. Dia benar-benar kesal dengan tindakannya itu.
"Ya Allah, ampunkanlah segala dosa-dosa yang pernah aku lakukan. Aku banyak menyakiti hati dia, Ya Allah. Kau pertemukanlah aku dengan dia suatu hari nanti. Aku ingin meminta maaf dengan dia. Pertemukanlah kami nanti Ya Allah, pertemukanlah kami... Andai kata dia ialah jodohku, satukanlah kami nanti. Namun andai kata dia bukan ditakdirkan untuk aku, redalah aku... Sesungguhnya Kaulah Yang Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hamba-Mu ini..." doa Nasih Mikael dengan tenang. Hatinya sebak. Tiba-tiba air mata lelakinya mula bergenang. Dia teringatkan kata-kata daripada Ustaz Maliki di masjid baru-baru ini.
"Doa merupakan senjata orang mukmin. Berdoalah jika kamu mahukan sesuatu yang baik. Insya-Allah, Allah akan makbulkannya nanti," nasihat Ustaz Maliki.
"Saya masih sayangkan dia ustaz dan saya tidak dapat lupakan dia." Nasih Mikael menundukkan wajahnya.
"Kalau Allah S.W.T sudah takdirkan dia untuk kamu sejak tercatat di lohmahfuz lagi, datanglah pelbagai halangan sekalipun, kamu dan dia tetap akan bersatu juga. Sebab tiada sesiapa dapat halang kuasa Allah S.W.T. Tetapi andai kata dia bukan milik kamu, ikhlaskan hati dan redalah dengan ketentuan-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk setiap hamba-Nya. Kamu bersabarlah dan terus berdoa." Mata Ustaz Maliki tidak lepas memandang ke arah Nasih Mikael. Sayu memandang wajah lelaki itu.
"Terima kasih, ustaz," ucap Nasih Mikael seraya mengangguk lemah.
SYARIKAT Golden Global Holdings dan Mega Satu Corporation hari ini telah menandatangani perjanjian untuk satu projek usaha sama di Pulau Pinang. Projek yang menelan belanja dua bilion itu telah ditandatangani oleh Rizki Faris selaku ahli lembaga pengarah syarikat yang mewakili Golden Global Holdings manakala Linda Sofea pula mewakili syarikat Mega Satu Corporation. Perjanjian ini juga disaksikan oleh Nasih Mikael selaku CEO syarikat Golden Global Holdings dan Datuk Halim Jusoh selaku Presiden Mega Satu Corporation. Projek yang ditandatangani itu juga telah mendapat liputan meluas oleh beberapa pihak media yang hadir ke persidangan yang berlangsung itu. Mereka yang ada di situ memberi tepukan yang gemuruh kepada projek yang ditandatangani sebentar tadi.
"Harap kita dapat memberi kerjasama yang baik ya, Cik Linda Sofea." Rizki Faris tersenyum seraya berjabat tangan dengan Linda.
Linda yang mendengar kata-kata itu hanya mengangguk tersenyum. Apalah nasib, tak sangka yang dia dipilih untuk mengetuai projek besar itu. Berat hatinya untuk menerima tawaran daripada Datuk Halim itu memandangkan dia sendiri tidak pernah mengambil apa-apa projek sebelum ini. Tetapi apa pun dia menganggap ini adalah cabaran yang terbaik untuk dia buktikan nanti. Sememangnya Alisa Zahira banyak memberinya inspirasi dan semangat. Berani terima cabaran! Ya! Dia akan buktikan nanti. Namun, disebabkan projek ini akhirnya dia terpaksa bertentang mata dengan Nasih Mikael.
Nasih Mikael yang menyedari kehadiran Linda dalam persidangan itu rasa bersyukur dengan pertemuan yang tidak disangka-sangka. Mungkin ini adalah langkah permulaan yang terbaik untuk dia bertemu semula dengan Alisa Zahira. Dia segera menghulurkan tangan kanannya untuk bersalam dengan Linda.
"I nak jumpa you sekejap time lunch hour nanti," ucap Nasih Mikael perlahan sambil tangannya masih tidak lepas menggenggam tangan Linda.
Linda yang mendengar kata-kata itu hanya tersenyum pahit. Segera dia meleraikan tangannya dari genggaman tangan Nasih.
Rizki yang menyedari situasi itu menjeling tajam ke arah abangnya itu. Memang abangnya itu miang! Pantang tengok perempuan cantik! kutuk hatinya tanpa mengetahui hal sebenar.
Nasih Mikael dan Linda Sofea memilih sudut meja yang jauh dari orang lain. Restoran Manggo menjadi pilihan mereka untuk berbual dan makan tengah hari. Setelah masing-masing selesai menikmati menu hari itu, Nasih Mikael mula berfikir menyusun ayat untuk bertanyakan perihal Alisa Zahira.
"Linda, Alisa apa khabar sekarang? Dia sihat?" tanya Nasih Mikael sambil memandang ke arah Linda. Dia berharap Linda dapat menolongnya nanti.
"Yep, dia sihat," jawab Linda acuh tak acuh. Sudah mengagak soalan yang akan diajukan oleh Nasih Mikael.
"Dia sudah berkahwin?" Hatinya mula berdebar, apabila persoalan itu diajukan.
Linda yang melihat reaksi wajah Nasih menjadi serba salah. Nak bagi tahu macam mana, ya? Dia mula tidak keruan. Lantaklah! Aku beritahu ajelah hal sebenar, bebel hatinya.
"Macam inilah Encik Nasih... Sebenarnya Alisa sekarang sudah bertunang dengan..."
"Hah! Tunang? Dengan siapa?!" pintas Nasih Mikael. Hancur luluh hatinya saat ini.
Tidak sangka itu jawapan yang didengarinya.
"Yeah... Dia sudah bertunang. Lelaki itu satu daerah dengannya di Terengganu. He is a really nice guy. So I think you should forget about her. Sebab sekarang dia mula membilang hari untuk disatukan dengan tunangnya itu," jelas Linda mengenai status sahabatnya.
"But, I really love her so much, Linda. I mula jatuh hati dengan dia sejak kita belajar kat sana lagi. I nak sangat jumpa dia. Please Linda, I merayu kepada you bawa I jumpa dia," rayu Nasih Mikael cuba menagih simpati dengan Linda.
Dia tidak kesah jika Linda fikir yang dia sudah tidak betul atau gila. Dia terima. Memang dia sudah gila! Gilakan cinta Alisa!
"Sorry Nasih... It is too late. Alisa memang tak nak jumpa you pun. Dia dah tak kesah pasal you lagi. Dia memang dah lupakan you pun."
"Dia betul-betul cintakan lelaki itu?" tebak Nasih.
Linda diam. Tak tahu macam mana nak buat Si Nasih ini faham yang cinta bukan segala-galanya. Kalau cinta tapi hati jadi pengecut untuk mengakuinya, that is simple... No point! Itulah yang boleh digambarkan tentang Nasih Mikael. Pengecut!
"Please Nasih, you kena terima hakikat ini. Memanglah you dulu first love dia, tapi sekarang dia dah bertunang dengan orang lain. Suka atau tidak dia kena belajar mencintai lelaki itu. Lagipun tunangnya itu sangat baik."
"You are not answering my question." Nasih tersenyum sinis. "I yakin dia masih sayangkan I. Masih cintakan I," kata Nasih dengan yakin.
Linda menggeleng. Pening dengan mamat meroyan ni! Kalau Alisa tengok babak ni tak tahulah aku...Takkan cair terus kut! bebel hatinya.
"Itu I tak tahulah... tapi semua orang tak boleh lupa cinta pertamanya, Nasih. Begitu juga Alisa. Dia dah cukup menderita, Nasih. You pernah tolak dia mentah-mentah dulu.You malukan dia depan kawan-kawan you. So, you ingat dia mudah nak lupakan semua tu? You sendiri telah mempergunakan kebijaksanaan dia untuk kepentingan you! You langsung tak hargai dia!" luah Linda. Sedih apabila terkenangkan perkara yang menimpa sahabatnya itu. Nasib baiklah Alisa itu ialah insan yang kuat semangat!
Nasih tergamam dengan kata-kata Linda. Memang dia akui semua itu salah dia. Dia betul-betul menyesal sekarang! Tanpa disangka matanya mula berkaca-kaca. Dia terus melutut di hadapan Linda. Linda yang terkejut dengan tindakan Nasih itu tergamam. Beberapa orang pelanggan di dalam restoran itu mula memandang ke arah mereka.
"Linda please! You bawalah I jumpa dia. I nak minta maaf dengan dia. I tahu, itu semua salah I. I memang bodoh dulu kerana tak hargai dia. Tapi I betul-betul sayangkan dia, Linda. I nak sangat jumpa dia. Please Linda! I am begging you," rayu Nasih Mikael tanpa mempedulikan mata-mata yang memandang ke arah mereka.
Linda yang malu dengan situasi itu terasa pucat mukanya. Memang Si Nasih ni spesies tak tahu malu! Argh, entah kenapa rasa menyesal pula mengetuai projek usaha sama itu! Tolong aku, Alisa! jerit hatinya.
"Okay fine. I will help you..." akur Linda serba salah.
Nasih yang masih melutut itu terus mengangguk. Gembira. Seperti budak kecil minta dibelikan mainan. Linda mula mencapai telefon bimbitnya di atas meja.
"But you have to stand up now! I malu tau semua orang tengok kita!" sambung Linda lagi dengan membeliakkan biji matanya.
Nasih terus berdiri seperti yang diarahkan oleh Linda. Linda mula membuat panggilan telefon. Namun tiada jawapan. Dia cuba lagi tapi hampa. Nasih melihat sahaja gerak-geri Linda itu.
"You call siapa?" soal Nasih. Matanya tidak lepas memandang ke arah Linda yang sibuk membuat panggilan.
"Alisalah... Siapa lagi? I bagi peluang you cakap dengan Alisa. Tapi lepas ni kalau dia tak layan you, I am sorry. I can't help you anymore," ujar Linda lagi. Tidak lama kemudian, panggilannya dijawab.
"Helo Linda, kenapa?" jawab Alisa sambil membelek-belek fail di dalam pejabatnya.
"Alisa... Nasih bersama aku sekarang. Dia tanya aku pasal kau. Aku tak tahu nak cakap macam mana lagi dan tak boleh nak mengelak. Dia melutut merayu dengan aku tau. So, aku ingat.." Tanpa sempat Linda menghabiskan ayatnya, Alisa terus memotong.
"Linda please... Aku tak mahu dengar apa-apa lagi pasal dia. Aku tak nak berjumpa dengan dia atau bercakap dengan dia. Kau cakap dengan dia, aku dah lupakan dia dan kau jangan sesekali bagi nombor telefon aku kat dia. Okeylah, aku sibuk sekarang ni. Bye." Alisa terus mematikan telefonnya.
Linda yang terkedu dengar kata-kata itu hanya memandang sepi telefon bimbitnya. Aduhai! Apalah nasib aku hari ini? keluhnya dalam hati.
Nasih Mikael pula setia menanti jawapan daripada Linda. Linda memandang lelaki di hadapannya itu dengan wajah bersimpati.
"Sorry Nasih, I tak dapat nak tolong you. Dia tak mahu I bagi nombor telefon dia kat you. Dia cakap yang dia dah lupakan you." Linda sudah mula berkira-kira ingin meninggalkan tempat itu.
"Linda, I masih sayangkan dia..." Hatinya sebak mendengar kata-kata daripada Linda. Begitu bencinya Alisa kepadanya.
"Sorry, but I have to go now. I ada meeting dengan klien. Thanks for lunch," ucap Linda sebelum berlalu pergi.
Nasih hanya mengangguk lemah dan memandang sepi ke arah kelibat Linda yang mula hilang dari pandangan. Tiba-tiba sahaja nasihat Ustaz Maliki berlegar-legar dalam fikirannya. Dia harus reda dan pasrah.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro