Bab 8
KETIKA asyik menjamu selera, tiba-tiba Lina dan beberapa orang kawannya datang ke gerai itu. Lina sengaja mencari tempat bersebelahan dengan meja musuhnya, Alisa. Entah kenapa, dia amat membenci gadis itu. Dia cemburu apabila Alisa menjadi pelajar kesayangan guru-gurunya di sekolah. Di rumahnya pula, ibu bapanya selalu menasihatinya supaya mencontohi Alisa. Walaupun Lina merupakan anak ketua kampung di kampungnya, ibu bapanya tidak pernah memberi muka kepadanya.
Selalu sahaja dia dimarahi oleh mereka. Bapanya Haji Leman sangat tegas apabila mendidik anak-anak terutama Lina. Bapanya akan mula membandingkan dirinya dengan Alisa. Asyik-asyik nama Alisa. Alisa baik, Alisa rajin, Alisa pandai. Ada tu, Alisa cantik? Cantik ke? Pleaselah! bentak hatinya cemburu. Dia berasa bosan apabila nama itu sering sahaja didengarinya ke mana sahaja dia pergi. Hari ini dia ingin mengenakan Alisa. Biar padan muka! Otaknya ligat berfikir.
"Hai, nampaknya pakar ekonomi kita makan cendol pulutlah. Kenapa agaknya, ya? Opsss... Lupa pula. Ekonomi merudum kut," sindir Lina dengan ketawa yang dibuat-buat.
Beberapa orang temannya turut ketawa. Alisa yang langsung tidak mempedulikan sindiran itu segera menghabiskan makanannya.
Setelah selesai membayar makanannya, dia dan Zila segera bangun dari tempat duduk mereka untuk berlalu dari situ. Namun baru saja memulakan beberapa langkah, kakinya tersadung sesuatu. Dia jatuh terjelepok dan mukanya mencium lantai. Dia menjerit kesakitan dan mula meraba bibirnya. Pedih. Bibirnya berdarah.
Zila yang terkejut melihat temannya itu segera menolong. Lina dan teman-temannya ketawa.
"Hei Lina! Kau sengaja ya tahan kaki kau kat depan tadi supaya kawan aku jatuh?!" marah Zila.
"Amboi, kau nak tuduh aku pula. Kau nampak ke? Kau kan dah jalan dekat depan tadi..." balas Lina cuba menyembunyikan perkara sebenar.
Namun tanpa disedarinya, tindakannya itu telah diperhatikan oleh seseorang.
"Ya! Aku nampak tadi apa yang kau dah buat kat kawan Zila! Memang kau sengaja tahan kaki kau tadi..." Tiba-tiba sahaja suara Budin kedengaran.
Mereka yang ada di situ berpaling ke arah Budin. Lelaki yang berusia awal 20-an itu mula mengatur langkah ke arah Lina. Muka Lina mula membahang. Malu apabila semua memandang ke arahnya. Kantoi!
"Hei Lina! Jangan ingat kau anak ketua kampung, kau boleh buat apa saja. Ini tempat orang cari rezeki. Kalau niat kau dan kawan-kawan kau datang sini sengaja nak cari gaduh dengan orang, baik kau orang balik. Berambus!!!" jerit Budin menghalau Lina dan kawan-kawannya.
Lina dan kawan-kawannya segera berlari mendapatkan motosikal masing-masing.
"Hoi, Budin!!! Kau ingat aku hadap sangat ke nak makan kat kedai buruk ni? Sesuka hati nak halau orang. Sedar sikit yang kau tu pembantu aje. Aku tak tahulah betina mana yang malang dapat laki macam kau ni! Sial kau, Budin!!!" laung Lina tidak puas hati.
"Pergi berambuslah!!!" bentak Budin sambil mencekak pinggang. Nafasnya mula naik turun. Geram!
Lina dan kawan-kawan terus memecut dengan motosikal masing-masing sambil ketawa. Mereka yang berada di situ tergamam sebentar. Mungkin tidak pernah melihat Budin mengamuk. Budin yang sedari dirinya diperhatikan mula berlagak selamba. Dia segera berjalan ke arah Zila dan Alisa.
"Sudahlah Zila, kau hantar sajalah kawan kau ni balik. Mulut kawan kau berdarah tu... Nanti terus sapukan ubat," pesan Budin kepada Zila.
"Terima kasih Abang Budin sebab memihak pada saya dan kawan saya tadi. Maaf, sebab kami Abang Budin terpaksa bergaduh dengan Si Lina tu," ucap Zila kepada Budin.
Alisa yang mendengar kata-kata temannya itu hanya mampu mengangguk. Mulutnya yang berdarah akibat terkena lantai simen menyebabkan dia tidak dapat berkata apa-apa. Nanti sampai rumah mesti uminya bising. Nak buat macam mana, sudah nasibnya jadi begini.
"Tak ada apalah... Lagipun abang memang kenal sangat dengan perangai Si Lina tu. Dia tu memang suka cari pasal. Nanti lepas ni hati-hati kalau berjumpa dengan dia." Budin cuba memberi nasihat.
Malam itu Alisa hanya makan bubur nasi yang dimasak oleh uminya. Perlahan-lahan uminya menyuapkan bubur ke dalam mulut Alisa. Alisa Zahira sememangnya ditatang bagai minyak yang penuh. Kasih sayang kedua-dua ibu bapanya tidak pernah kurang. Dia langsung tidak memberitahu hal sebenar kepada orang tuanya tentang kejadian petang tadi. Dia tidak mahu membesar-besarkan cerita. Dia sendiri tidak faham kenapa Lina terlalu membencinya. Apa salahnya? Lama dia mengelamun mengingati kejadian yang berlaku petang tadi. Akhirnya dia terlena. Malam itu dia tidur awal. Lupa semua kerja sekolah yang perlu disiapkan.
"Hah?! Dah lewat? Argh! Sakitnya!" jerit Alisa sambil menyeringai. Dia lupa tentang lukanya itu apabila melihat jam loceng di sebelah katilnya.
Kemudian dia segera mencapai tuala dan bersiap-siap untuk ke sekolah. Dia tetap akan pergi sekolah walaupun lewat. Baginya lebih parah kalau dia tidak pergi ke sekolah. Pasti orang akan mempersoalkan ketidakhadirannya dan mungkin Zila akan beritahu hal sebenar kepada sesiapa yang bertanyakan tentang dirinya. Lupa dia nak pesan kepada Zila mengenai kejadian semalam supaya dirahsiakan.
"Kamu tetap nak pergi ke sekolah? Luka kamu tak sembuh lagi, Alisa. Kamu jangan degil. Duduk saja di rumah," nasihat uminya apabila melihat anaknya mula memakai stoking dan menyarung kasut sekolah.
"Okey dah ni. Alisa pergi dulu ya umi... Bye, assalamualaikum." Alisa segera bersalaman dengan uminya. Kemudian dia terus berlari mendapatkan motor skuternya. Puan Norazah hanya menggeleng melihat Alisa.
Sampai sahaja di sekolah, Alisa terus berlari ke kelasnya di tingkat tiga. Dia mula termengah-mengah. Nasib baik kelasnya tiada guru lagi. Tetapi macam ada yang tidak kena. Dia mula mendengar di sebalik pintu seperti namanya disebut-sebut. Macam suara orang bergaduh pun ada. Sah ini mesti Si Zila bergaduh dengan Si Lina pasal semalam. Nampaknya keadaan tidak terkawal lagi. Kalau ikutkan dia mahu saja lupakan perkara itu. Malas dia nak cari pasal dengan Si Lina. Tapi apabila ingat balik tentang apa yang berlaku, nampaknya dia tidak boleh berdiam diri lagi. Dia perlu bersuara agar Lina tidak cari pasal dengannya lagi. Keadaan kelasnya mula bising.
Dia terus memberanikan diri melangkah masuk ke dalam kelas. Dia berlagak seperti seorang guru dan berdiri di hadapan semua rakan-rakannya.
"Aku nak buat perhitungan dengan kau, Lina..." ujar Alisa dengan nada bersahaja. Matanya tajam memandang ke arah Lina.
"Perhitungan apa? Aku tak ada masa nak layan perhitungan bodoh kau tu. Pleaselah!" balas Lina sambil menjeling ke arah Alisa. Namun dalam masa yang sama dia tergamam. Berani pula minah ni sound aku depan-depan! herdik hati Lina. Dia berlagak selamba, bersedia untuk melawan musuhnya itu jika perlu.
Alisa Zahira terus mengatur langkah ke arah Lina sambil matanya masih tepat memandang wajah itu.
"Memang kau kena layan perhitungan bodoh aku!" bentak Alisa meneruskan kata-katanya. Matanya masih tajam merenung wajah Lina.
Pelajar lain mula tergamam dengan kata-kata yang keluar dari mulut gadis itu. Tidak sabar menanti babak seterusnya.
"Aku tak tahu kenapa kau selalu tidak berpuas hati dengan aku sedangkan aku langsung tak pernah cari pasal dengan kau. Aku tak tahu apa salah aku dengan kau. Hei, Lina! Kau sedar sikit, kita ni dah nak meningkat dewasa tau? Kenapa perlu bersikap macam budak-budak lagi? Kau tak malu ke cari pasal dengan orang sana sini? Kau sebenarnya nak apa dengan aku hah?!" bentak Alisa dengan nada keras.
Lina yang masih kaku berdiri mula menyusun ayat untuk disemburkan kepada musuhnya itu. Otaknya ligat berputar.
"Aku tak ada masalah dengan kau. Cuma aku... er... aku..." jawab Lina, mula gagap untuk meneruskan ayatnya. Mukanya membahang. Pelajar-pelajar di dalam kelas itu mula bersorak kepadanya.
"Aku apa, Lina?! Jawablah! Terketar-ketar pula kau nak menjawab! Dasar pengecut!" jerit Alisa lagi. Hatinya mula geram.
"Aku main-main saja. Kau tu yang ambil serius...Er... Aku..." Tanpa disangka itulah ayat yang terkeluar dari mulut Lina. Dia mula menggelabah.
"Main-main kepala otak kau! Kau dah buat mulut Alisa ni berdarah semalam dan..." sampuk Zila tiba-tiba. Belum sempat dia menghabiskan ayatnya, Alisa tiba-tiba mengangkat tangan kanannya, memberi isyarat supaya tidak campur urusan mereka berdua.
"Ya! Memang aku benci dengan kau, Alisa! Aku benci semua tentang kau! Kau berlagak kononnya baik. Budak contohlah konon! Aku pergi mana-mana orang duk puji kau! Aku tak tahulah apa yang spesial sangat dengan kau ni! Mak bapak aku pun puji kau! Aku benci tahu tak! Kau tu penuh dengan kepura-puraan! Aku betul-betul menyampah dengan kau. Kau jangan ingat kau tu best student kat sini! Kat universiti nanti belum tentu orang duk sebut-sebut nama kau! Ramai lagi yang hebat! Setakat jadi pakar ekonomi kat sekolah ni, pleaselah weh! Hei, mangkuk! Kakak dan abang aku semua belajar kat overseas tau! Siap dapat tajaan biasiswa lagi! Kau pula belum tentu dapat pergi ke sana.Pusing satu semenanjung pun belum tentu lagi! Ada hati nak pergi overseas konon!" luah Lina sambil menyilang kedua-dua belah tangannya. Hatinya puas!
Mereka yang mendengar luahan Lina dapat memberi ungkapan yang tepat buat Lina. Ya, cemburu dan busuk hati! Itulah jawapan yang dapat disimpulkan. Lina memang cemburu terhadap Alisa. Mereka yang lain mula membisik antara satu sama yang lain sambil menjeling ke arah Lina.
Alisa yang pada mulanya tergamam dengan kata-kata Lina, mula sebak. Memang Si Lina cemburu kepadanya. Hina sungguh dirinya sehingga dihamburkan dengan kata-kata demikian. Rasa dirinya mula tercabar. Matanya mula berkaca-kaca. Dia segera menyeka air matanya daripada terus menitis.
"Hmmm... Kan bagus kalau kau dah luahkan segalanya. Terima kasih sebab hina aku selama ini. Aku mengaku yang aku bukan anak orang kaya. Tidak mampu nak berjalan jauh. Tapi ini tidak bermakna aku patah semangat dengan kata-kata kau!" Alisa cuba mengumpul kekuatan untuk meneruskan kata-katanya.
Lina ketika itu hanya tersenyum sumbing.
"Aku Alisa Zahira binti Ahmad Lutfi dengan ini berjanji atas nama kedua-dua orang tua aku, yang aku akan buktikan kepada kau Siti Zalina binti Leman dan semua mereka di dalam kelas ini, aku akan menyambung pelajaran aku ke Melbourne suatu hari nanti. Aku akan pastikan aku dapat ranking yang terbaik di sana nanti!" Ikrar Alisa bersungguh-sungguh.
Lina hanya tersenyum sinis.
"Aku harap lepas ni, kau jangan cuba nak kacau hidup aku lagi!" sambung Alisa lagi sebelum berlalu pergi ke tempat duduknya.
Mereka yang menjadi saksi untuk babak itu terus bersurai dan kembali ke tempat masing-masing. Lina yang masih bungkam dengan kata-kata Alisa terus berjalan keluar dari kelas itu. Hatinya mendidih geram, malu, marah dan benci. Semuanya bersatu! Semuanya kerana Alisa!
LINDA SOFEA yang masih terpegun mendengar cerita Alisa, terpaku memandang sahabatnya itu. Dalam diam dia mengagumi Alisa. Bukan sekadar ikrar, tetapi Alisa dapat buktikannya juga.
Tidak hairanlah temannya itu dicemburui ketika zaman sekolah dan zaman universiti dulu. Memang ternyata gadis secantik Alisa Zahira ini seorang yang sangat istimewa. Kalau tidak masakan nama gadis itu disebut-sebut semasa di universiti dulu.
"So, lepas tu apa jadi dengan Si Lina tu? Dia dapat sambung belajar ke?" tanya Linda.
"Ya, aku dengar cerita dia memang dapat sambung belajar kat IPTA sini, tetapi tak sempat habis pun. Masuk sem tiga dia gagal! Terus kena buang." Dia dapat tahu mengenai cerita itu daripada teman-teman sekolahnya yang dulu.
Linda yang mendengar hanya mengangguk faham.
"Sekarang kau tahu tak dia berada kat mana dan kerja apa?" tanya Linda lagi.
"Dia ada aje kat kampung aku. Jadi kutu rayau kat sana. Bukan kerja pun. Duk menyusahkan mak bapak dia," jawab Alisa bersahaja. Mungkin inilah hukum karma, bisik hatinya.
"Oh, jadi sekarang aku fahamlah kenapa kau ambil kos tu. Kau memang nak buktikan kepada Si Lina tu, ya?"
Alisa hanya tersenyum.
"Ya, aku sengaja ambil kos tu sebab nak cabar diri aku juga. Soal kerja aku tak fikir sangat. Rezeki Allah ada di mana-mana sahaja. Lagipun kerja yang aku pilih sekarang sebab aku minat dari dulu lagi. Aku rasa tak salah kalau kita pilih kerja walaupun berbeza dari kos kita ambil di universiti dulu. Kalau kita minat dengan kerjaya kita sekarang, kita akan lakukan dengan ikhlas. Lagipun kita tidaklah terlalu stres dengan kerja kita. I can be whatever I want to be," ujar Alisa kagum dengan kerjaya yang dipilih sekarang. Dia yakin dia membuat keputusan yang tepat apabila memilih kerjaya sebagai designer. Pedulilah orang lain nak cakap apapun. Dia tidak kesah.
"Actually, I am so proud of you, Alisa. Kau ni bukan saja cantik dan baik hati, genius pula tu. Beauty with brain katakan... Dulu sebelum kita rapat, aku pun cemburu juga dengan kau ni. Yalah, pergi mana-mana... nama kau disebut-sebut oleh semua orang. Semua lecturer di sana kenal dengan kau. Tetapi bila betul-betul kenal rapat dengan kau, tak hairanlah kalau nama kau disebut-sebut oleh semua orang. Memang kau ni spesial sangat. Ada aura tersendiri! Itu sebab aku bertuah dapat BFF macam kau..." ujar Linda tanpa menyembunyikan hal sebenar.
Alisa yang mendengar kata-kata pujian daripada temannya itu ketawa mengekek. Beauty with brain? Lawak sungguh dilabel macam itu. Linda yang melihat temannya itu, turut sama ketawa.
"Haha! Apalah kau ni? Kembang hidung aku hari ini." Alisa menghabiskan sisa tawanya.
Linda yang melihat temannya itu, mula terdiam. Dia cuba ingin mengatakan sesuatu tetapi teragak-agak. Bimbang perkara ini melukakan hati temannya itu.
"Hei! Kenapa kau tiba-tiba diam ni?" tegur Alisa. Dia pelik melihat Linda tiba-tiba sahaja membisu.
Linda yang pada mulanya serba salah, akhirnya membuka mulut.
"Sebenarnya aku nak beritahu yang syarikat tempat aku bekerja sekarang ni tengah ada usaha sama dengan syarikat Golden Global Holdings," ujar Linda mengenai perkara yang baru diketahui beberapa hari yang lepas.
"Jadi apa masalahnya? Kau kena handle sesuatu projek ke?" Alisa menunggu jawapan dari mulut temannya itu.
"Tak adalah. Jawatan aku dalam syarikat tu taklah besar sangat pun. Cuma aku nak beritahu yang CEO Golden Global Holdings itu sekarang ialah Nasih Mikael. Anak kepada Tan Sri Akhtar Firdaus," jawab Linda perlahan. Cukup sahaja didengar oleh Alisa.
Entah kenapa, mendengar sahaja nama lelaki itu hati Alisa mula tidak keruan. Dia hanya melemparkan senyuman pahit kepada Linda.
"Sorry Alisa, aku tak bermaksud apapun. Aku cuma nak beritahu yang Nasih Mikael tu dah ada di Malaysia sekarang. Mungkin kau nak jumpa dia sebelum kahwin nanti."
Dia sendiri terkejut apabila mendengar perkara ini diumumkan oleh bosnya sendiri di dalam bilik mesyuarat. Sangkaannya mungkin orang lain. Tetapi apabila mendengar rakan kerjanya bercakap mengenai Nasih Mikael dan latar belakang pendidikan lelaki itu dari universiti yang sama dengannya, memang tidak salah lagi.
Ya! Nasih Mikael! Lelaki jahanam yang menolak cinta sahabatnya itu!
"Tak apalah, Linda. Tak kesahlah dia berada kat mana pun. Aku tak ingin pun nak jumpa dia. Lagipun aku dah nak kahwin dengan Asyraf. Tak ada sebab aku nak teringatkan dia lagi. Dia sendiri dah lupakan aku. Lagipun aku percaya Asyraf ialah lelaki yang terbaik untuk aku. Doakan kebahagiaan aku nanti," balas Alisa. Dia mahu melupakan segala-galanya mengenai lelaki itu.
"Aku sentiasa doakan yang terbaik untuk kau," ucap Linda ikhlas.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro