Bab 7
BEBERAPA orang pekerja yang ditugaskan menyiapkan bahagian kabinet dapur masih tekun bekerja. Alisa Zahira masih meneliti beberapa contoh gambar di dalam iPadnya sambil memberi arahan kepada para pekerjanya. Konsep yang diketengahkan kali ini ialah kabinet dengan material medium-density fiberboard yang moden dan eksklusif.
Puas dia meyakinkan pelanggannya kali ini mengenai konsep yang diketengahkan. Dia bernasib baik kerana pelanggannya hari ini tidak terlalu cerewet. Memandangkan kliennya memiliki rumah teres dua tingkat, jadi bahagian dapur dilihat sangat luas. Rekaan kabinet yang unik dengan material medium-density fiberboard berwarna kelabu lembut, kemasan gabungan high gloss dan aluminium frame melengkapkan kabinet dan menyuntik gaya eksklusif. Table top solid surface daripada warna senada iaitu black pearl dapat membangkitkan aura kelabu di dapur eksklusif dan aluminium bar handle yang tebal dipasang melintang menampakkan ketegasan di ruang dapur.
Alisa tersenyum puas dengan konsep kali ini. Dia segera mengatur langkah ke arah kliennya yang tekun memerhati mereka yang bekerja menyiapkan bahagian dapur.
"Jadi Encik Badrul, macam mana? Puas hati dengan hasil kerja kami?" tanya Alisa sambil memandang tepat ke arah kliennya.
Lelaki yang berusia awal 40-an itu masih memandang ke arah pekerja yang tekun membuat kerja.
"Ya, sangat berpuas hati. Tak sangka sekejap sahaja team awak dapat siapkan," balas Encik Badrul sambil tersenyum. Dia menyilangkan kedua-dua belah tangannya.
"Okey, saya nak tambah sikit. Untuk pengetahuan Encik Badrul, dinding kabinet juga dibina daripada solid surface berwarna putih yang diukir melintang. Ini akan memberi pesona gaya eksklusif dan binaan kabinet seakan-akan gerbang dipasang melintang bagi mencipta sedikit kelainan di dapur. Binaan kaca tempered glass yang dipasang di dalam kabinet gerbang itu adalah khusus untuk meletakkan barangan hiasan. Selain itu, lampu eyeball turut dipasang di dalam kabinet kaca dan juga di dalam kabinet." Alisa menggerakkan tangannya ke arah sudut yang diterangkan.
Encik Badrul hanya mengangguk faham. Tidak sabar untuk memberi kejutan buat isterinya nanti.
"Encik Badrul tinggal dengan siapa lagi di dalam rumah ni?" Alisa cuba beramah mesra.
"Oh, saya tinggal dengan wife saya dan anak kami dua orang. Kedua-dua lelaki kembar dan baru berusia empat tahun. Sekarang mereka ada di Sabah melawat keluarga sebelah sana. Saya tak dapat ikut sebab sibuk dengan kerja. Mereka balik ke sini malam esok. Itulah, kalau boleh saya nak bagi kejutan kepada wife saya untuk dekorasi dapur baru kali ini. Harap-harap dia sukalah," balas Encik Badrul dengan mesra.
Alisa yang mendengar butir-butir yang disampaikan oleh kliennya itu terpegun sebentar. Tidak menyangka masih ada lagi lelaki seperti Encik Badrul.
"Bertuahnya isteri encik... Saya pasti dia mesti suka konsep dapur kali ini," balas Alisa sambil tersenyum. Tidak lama kemudian, telefon bimbitnya berbunyi. Segera dia menjawab panggilan tersebut.
"Helo Linda, aku dengan klien sekarang ni. Kau ambil aku sejam lagi. Nak settle sikit lagi," jawab Alisa tanpa menunggu respons daripada temannya itu.
"Okey... Tapi alamat yang kau bagi kat aku ni betullah, ya?" tanya Linda sambil melihat alamat rumah klien Alisa. Nasiblah tak pasal-pasal jadi pemandu peribadi Alisa. Nasib baik BFF sendiri. Kalau orang lain, kirim salam saja! desis hatinya.
"Ya, betullah tu. Lagipun dekat aje kan dengan tempat kau. Nanti kalau dah siap awal aku call kau balik ya. Okeylah, bye," jawab Alisa mengakhiri perbualan.
Setelah selesai menyiapkan bahagian kabinet dapur itu, Alisa bersalaman dengan Encik Badrul sebelum meminta izin untuk berlalu pergi.
Dia dan beberapa orang pekerjanya terus berlalu pergi meninggalkan rumah kediaman Encik Badrul. Alisa sempat memesan sesuatu kepada beberapa orang pekerjanya sebelum mereka semua berlalu menaiki van yang disediakan. Alisa pula terus menanti Linda datang menjemputnya. Tidak lama kemudian, kereta Honda Civic sahabatnya pun tiba. Dia segera melabuhkan punggungnya di bahagian penumpang hadapan.
"Nah, novel yang kau nak pinjam tu." Alisa menghulurkan novel kepada Linda.
Linda menyambut novel tersebut. Kemudian dia melihat sekilas judul novel tersebut.
"Nampak menarik, Lost Luggage," omel Linda seraya meletakkan novel itu di tempat duduk belakang. Dia mula menumpukan perhatian ketika memandu ke tempat yang dituju.
"Kau storylah sikit novel tu macam mana?" Linda menoleh sekilas ke arah temannya itu.
"Not bad. Kisahnya tentang pencarian sejarah keluarga. Kisah empat beradik satu bapa berlainan ibu. Watak-watak dalam novel ini Christof, Christophe, Christopher dan Cristofol. Keempat-empat mereka ini saling tidak mengetahui kewujudan masing-masing. Mereka menjalani kehidupan di Frankfurt, Paris, London serta Barcelona dan hanya satu perkara menghubungkan mereka iaitu si bapa mereka Gabriel Delacruz yang meninggalkan mereka ketika masih bayi. Kemudian beberapa tahun selepas itu, apabila Gabriel diisytiharkan hilang, empat beradik ini telah bertemu buat kali pertama dan berusaha untuk menyelesaikan persoalan mereka mengenai Gabriel. Nanti kau bacalah sendiri..."
"Sangat menarik. Tak sabar aku nak baca. Dalam simpanan kau memang banyak novel Inggeris, ya?" soal Linda.
"Tak adalah banyak sangat. Novel Melayu tu banyaklah," balas Alisa lagi. Linda mengangguk. Memang mereka berdua berkongsi minat yang sama. Lebih-lebih lagi apabila ada novel terbaru dalam pasaran.
NASIH MIKAEL mengetuai mesyuarat petang itu. Banyak perkara yang perlu disemak dan dianalisis semula. Rizki Faris mengambil tempat di sebelah abangnya itu. Selain itu beberapa orang ahli lembaga pengarah syarikat itu juga kelihatan bersama-sama dengan beberapa orang eksekutif muda. Nasih Mikael tekun mendengar penerangan dari mulut Zamri sebagai pengurus kewangan.
"Di sini kita boleh menilai kedudukan sebenar status kewangan syarikat iaitu melalui analisis berasaskan nisbah-nisbah kewangan. Seterusnya kita juga mampu menilai kemampuan syarikat menyediakan modal kerja jangka pendek dan kemampuan syarikat ini menyediakan modal kerja jangka panjang melalui nisbah pinjaman atau ekuiti. Matlamat lain pula kita dapat mengukur tahap sebenar kemampuan menyediakan modal kerja, keberkesanan prosedur capital budgeting dan tahap hubungan syarikat kita dengan semua stakeholders. Saya sebagai pengurus kewangan juga penting dalam memimpin bahagian kewangan dengan baik dan dinamik ini," ujar Zamri dengan yakin. Nasih berpuas hati dengan hujah-hujah yang disampaikan oleh pekerjanya itu.
Rizki memandang sekilas ke arah abang sulungnya. Entah kenapa perasaan cemburu masih menebal dalam dirinya. Cemburu dengan gelaran yang dipegang oleh abangnya itu. Jika bersama Nasih, dia memang tidak boleh ngam. Benci kepada semua orang yang memberi perhatian kepada abangnya. Cukuplah seisi keluarganya terlalu sayangkan Nasih. Sekarang abangnya itu menjadi buah mulut syarikat mereka. Dia betul-betul rimas!
"KAU memang tak minat kerja dalam ofis ya Alisa?" tanya Linda sambil memerhati pakaian yang dipilih oleh sahabatnya itu.
Pening dia melihat pemakaian Alisa yang sempoi apabila ke tempat kerja. Adakalanya sahabatnya itu lebih selesa mengenakan T-shirt dan jean apabila berjumpa klien. Tahulah designer, tetapi langsung tiada ciri-ciri korporat sebagai wanita yang berkerjaya. Apabila dipersoalkan perkara ini, mulalah pelbagai alasan diberikan. Tetapi pelik kalau berdating bukan main cantik lagi. Siap telefon lagi tanya pendapat. Linda menggeleng apabila terkenangkan Alisa menelefonnya beberapa hari yang lalu semata-mata bertanyakan pendapatnya mengenai pakaian yang akan digayakan untuk candle light dinner dengan si Asyraf.
"Kau nak kutuk cara aku berpakaian, ya?" tanya Alisa tanpa menjawab soalan yang diajukan.
Dia faham benar apabila Linda mula bertanya soalan seperti itu. Baginya dia lebih selesa dengan pakaian seperti itu. Memandangkan pekerjaannya lebih melibatkan kerja-kerja luar, jadi lebih praktikal jika dia berpakaian seperti ini. Asalkan pakaiannya bersih dan kemas apabila bertemu pelanggan. Lagipun adakalanya dia perlu bersiap sedia membantu anak-anak buahnya ketika diperlukan. Bukan sekadar hanya bagi arahan sahaja.
"Tak adalah, kita belajar kat Melbourne sama-sama. Kau tu first class degree! Bidang International Economy pula tu! Sempat lagi sambung belajar di UiTM Shah Alam hanya semata-mata nak bekerja sebagai designer. Alasannya lebih santai dan kreatiflah konon. Aku rasa kalau kerja dengan degree yang kau ada sebelum ni, mungkin gaji kau lima kali ganda daripada ini tau? Silap-silap hari bulan dah jadi pakar ekonomi!" bebel Linda sambil membeliakkan matanya. Jari telunjuknya pula ditujukan ke arah Alisa.
Alisa cuba menahan mulutnya supaya tidak ketawa. Pakar ekonomi? Memang gelaran itulah yang disebut-sebut oleh Cikgu Masturi kepadanya dulu. Namun tanpa disangka ketawanya terburai.
Apalah Linda ni! Dia buat shopping complex ni macam bapak dia punya! Sesuka hati aje nak sound aku kat sini. Dahlah orang ramai pula tu! bebel hatinya.
Dia segera mengayunkan langkah ke kaunter pembayaran dengan membawa beberapa helai pakaian yang dipilih. Linda hanya mengekorinya dari belakang. Selepas masing-masing selesai membuat pembayaran, mereka berdua terus berlalu keluar dari pusat membeli-belah itu. Kemudian mereka mencari restoran berdekatan untuk membasahkan tekak.
"Aku bukan apa, aku ambil bidang tu dulu sebab rasa tercabar dengan kawan aku masa form six. Budak tu nama dia Lina, satu kampung dengan aku juga. Entahlah, dia sering tidak puas hati dengan aku. Kalau jumpa dekat mana-mana aku mesti kena perli dengan dia..." Alisa memulakan ceritanya sambil menghirup minuman di depannya. Kisah zaman remajanya, mula terbayang di ruang matanya. Linda juga turut sama-sama menghayati kisah yang akan diperdengarkan oleh temannya itu sambil menongkat dagunya.
KELAS Enam Atas Wawasan mula bising kerana Cikgu Masturi lewat masuk mengajar. Masing-masing mula bersuara riuh, ada yang menyanyi, ada yang cuba berlakon dalam drama yang mereka tonton, ada yang pergi berbual dengan rakan kelas sebelah, bermain telefon dan ada juga yang asyik picit jerawat di cermin. Begitulah gelagat golongan prauniversiti ketika itu. Langsung tidak memikirkan peperiksaan STPM yang bakal menjelang tidak lama lagi.
Namun hanya ada beberapa orang sahaja yang memanfaatkan masa yang terluang iaitu grup Alisa sendiri. Mereka terdiri daripada Sufian, Zila, Ainur dan Alisa. Empat orang pelajar ini merupakan antara pelajar harapan sekolah dalam peperiksaan STPM nanti. Mereka berempat sering menghabiskan masa bersama-sama untuk menelaah. Tidak hairanlah setiap kali peperiksaan, mereka antara pelajar yang terbaik dan mendapat ranking pointer 3.6 ke atas.
"Okey, hari ini saya akan kembalikan kertas ujian subjek Ekonomi kepada kamu semua. Sebelum tu saya nak kamu semua sila beri tepukan kepada pakar ekonomi kita iaitu Alisa Zahira kerana mendapat 92 peratus markah dalam subjek ini," ujar Cikgu Masturi sambil tersenyum memberi tepukan diikuti pelajar-pelajar di dalam kelas itu. Dia sengaja menggelarkan Alisa sebagai pakar ekonomi kerana kagum dengan kepintaran Alisa dalam subjek yang diajarnya.
"Tahniah, Alisa. Harap awak dapat buat yang terbaik dalam peperiksaan sebenar nanti," ucap Cikgu Masturi seraya menghulurkan kertas ujian kepada pelajarnya.
Alisa tersenyum sambil berterima kasih dengan gurunya itu. Kemudian dia kembali ke tempat duduknya. Sufian, Zila, Ainur dan beberapa pelajar lain tersenyum bangga memandang ke arahnya sambil memberi ucapan tahniah. Lina yang berada di dalam kelas itu mencebik. Menyampah apabila dia memandang wajah Alisa.
"Saya minta kamu semua contohilah Alisa. Kalau tidak faham, boleh rujuk saya atau Alisa sendiri. Saya tahu mungkin subjek ini sukar bagi kamu semua, tapi kalau orang lain boleh buat, takkan kamu semua tak boleh buat. Ingat, peperiksaan sebenar akan tiba tidak lama lagi. Kamu semua tak ada masa untuk main-main lagi. Fokus betul-betul untuk subjek saya dan subjek yang lain." Cikgu Masturi cuba memberi semangat kepada semua anak didiknya itu.
"Okey, nama seterusnya ialah..."
Setelah habis sesi pembelajaran ketika itu, semua pelajar mula berkemas untuk pulang. Sememangnya waktu pulang amat dinanti-nantikan oleh semua pelajar sekolah. Namun Alisa dan Zila tidak terus pulang sebaliknya singgah di kedai makan ABC Mak Cik Embun.
"Abang! Cendol pulut dan ABC makan sini, ya!" jerit Zila sambil melambai-lambai tangan ke arah pembantu Mak Cik Embun yang tekun membersihkan meja.
"Okey, siap!" balas Budin sambil mengangguk.
Tidak lama menunggu, ABC dan cendol pulut telah sampai di meja mereka. Alisa memilih cendol pulut manakala temannya pula memilh ABC. Sambil makan, mereka berbual dan adakalanya mereka ketawa gembira.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro